Rayuan untuk Syria

Rayuan untuk Syria

Rabu, Jun 15, 2016

Memperingati Pejuang Kebebasan Malcolm X aka Abdul Malek al-Shabbaz



Majalah al-Ustaz Bilangan 50
Oleh: JUFITRI BIN JOHA


Mac 2016 yang lepas, genap 51 tahun pemergian tokoh pejuang kebebasan Muslim berkulit hitam Abdul Malek al-Shabbaz. Beliau mati ditembak dengan 16 das tembakan semas memulakan ucapannya di Audobon Ballroom, Herlem, New York di Negara Uncle Sam Amerika Syarikat.

Ramai umat Islam yang tidak mengenali beliau sedangkan beliau merupakan tokoh anak muda yang menjadi legenda kepada dunia perjuangan golongan yang tertindas khususnya warga kulit hitam di Amerika Syarikat. Tokoh ini wajar dikenal dan diekstrakkan inti perjuangannya agar menjadi inspirasi kepada sebuah nilai kebangkitan dan self-resilient. Tokoh ini juga mewarisi sebahagian perjuangan Nabi S.A.W khususnya selepas memeluk Islam di dalam penjara di antara 1946 – 1952 kerana menentang penindasan, diskriminasi, kezaliman dan perkauman sambil membela golongan minoriti yang dinafikan hak mereka sebagai insan.

Sekitar 1996, pihak Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) pernah cuba memperkenalkan susuk tokoh dunia Islam yang berjasa ini ke tengah-tengah masyrakat dengan menganjurkan Tayangan Amal Perdana Filem Malcolm X bertujuan menyedarkan masyarakat terhadap perjuangan murni pejuang Islam seperti Malcolm X ke arah merealisasikan cita-cita perdamaian dan keadilan sejagat. Tayangan ini juga bermatlamatkan membangkitkan daya juang dan semangat rela berkorban generasi muda demi keadilan, martabat agama dan keamanan sejagat.

Sesungguhnya Malcolm X merupakan simbol keupayaan seorang insan membebaskan dirinya daripada gejala keruntuhan akhlak, kancah jenayah dan penyalahgunaan dadah. Dalam ilmu pembangunan belia, self-resilient yang ada di dalam diri Malcolm X merupakan antara formula utama anak muda untuk terus maju kehadapan walaupun persekitarannya tidak banyak membantu bahkan meruntuhkan semangat. Malcolm X dilahirkan pada 1925 di Nebraska Amerika Syarikat dalam suasana perkauman kulit putih terhadap kulit hitam yang amat menebal. Bapanya dibunuh dengan kejam oleh kumpulan yang tidak suka dengan perjuangan bapanya membela nasib warga kulit hitam dengan membawa kembali warga kulit hitam ke Afrika.

Malcolm X dibesarkan di dalam keluarga Kristian dengan 10 orang adik beradik. Kehidupan agak perit apabila dipaksa berpindah-randah, dibakar rumah dan diancam bunuh oleh kumpulan racist kulit putih Klu Klux Klan. Perkataan X di belakang namanya itu merujuk kepada darah bangsa Afrika dalam dirinya yang tidak diketahui asal-usulnya. Ibunya menderita sehingga terpaksa dirawat di hospital. 10 adik beradiknya berpecah dipelihara keluarga angkat. Kesusahan dan keperitan inilah yang menyebabkan Malcolm X tergolong sebagai belia yang berisiko dan terdedah kepada kegiatan jenayah seperti dadah, judi, pelacuran, rompakan, arak dan pembunuhan.


Jenayah ini menyebabkan Malcolm terheret ke dalam penjara selama hampir 6 tahun. Namun begitu, penjara ini merupakan suatu permulaan baharu kepada sebuah perubahan. Penjara merupakan sebuah universiti yang memperkenalkan Malcolm kepada cahaya hidayah apabila abangnya yang terpisah Wilfred dan Philbert menghantar al-Quran dan memperkenalkan Islam dan Elijah Muhammad, pemimpin kulit hitam Islam berpengaruh. Malcolm seolah-olah mengalami kelahiran semula dengan mula mendalami Islam serta mengasah pembacaan dan skil pidato di dalam penjara. Dalam sejarah perjuangan, penjara memang sinonim menempa dan mengasah idealisme perjuangan seperti mana yang berlaku kepada tokoh Islam Nusantara Hamka. Malcolm juga melalui jalan yang sama.

Apabila bebas daripada penjara, beliau bergiat aktif di dalam gerakan ‘Nations of Islam’ pimpinan Elijah. Malcolm mengenali versi Islam yang sempit melalui Elijah yang suka dipuja dan dan berdendam dengan orang-orang kulit putih. Ini membentuk idealisme perjuangan Malcolm yang berpaksikan nasionalisme kulit hitam. Semua ini berubah apabila beliau meninggalkan Elijah atas faktor cakap tidak serupa bikin dan setelah beliau menunaikan haji pada 1964. Ia merubah sempadan perjuangan Malcolm daripada perjuangan perkauman yang sempit kepada perjuangan kebebasan yang lebih sejagat sifatnya.

Malcolm menubuhkan Pertubuhan Perpaduan Afro Amerika (PPAA) pada tahun 1963 sebagai medium baru penyaluran fikrah dan perjuangannya yang lebih segar. Perjuangan dan idealisme beliau mula berkembang dan popular sehingga bukan sahaja menerima jemputan ceramah di dalam Amerika termasuk oleh John Kerry ketika menjadi mahasiswa dan Profesor Henry Kissinger (Mantan Setiausaha Negara Amerika), bahkan sehingga ke Britain dan Ghana. Beliau banyak menyeru dan memberikan inspirasi kepada anak muda di seluruh dunia untuk sama-sama bangkit menentang penindasan dan imperialisme global. Beliau bukan sahaja membela minoriti tertindas tetapi mengkritik kerajaannya sendiri yang melakukan campur tangan dan kezaliman terhadap Negara seperti Congo dan Vietnam. Selain itu, beliau juga turut bertindak sebagai duta umat apabila dengan bangganya mengakui bahawa beliau adalah seorang Islam dan menyampaikan mesej persaudaraan dan kedamaian Islam. Mesej ini antara lain disampaikan ketika berdebat berkenaan tajuk “Any Means Necessary to Bring about Freedom” dihadapan para mahasiswa dan akademia di Universiti Oxford. Hasil permusafiran beliau selama 4 bulan di luar Negara, membukakan lagi keluasan horizon pemikiran beliau bahawa tidak semua orang kulit putih itu jahat dan tidak semua orang kulit hitam itu baik. Allah Taala tidak melihat pada warna kulit tetapi ketakwaan yang terpasak di dalam sanubari. Perjuangan global keadilan juga bukan hanya untuk membela umat Islam tetapi umat bukan Islam di mana sahaja mereka tertindas kerana atas dasar persahabatan kemanusiaan.

Pendekatan perubahan yang dibawa oleh beliau adalah melalui pendekatan pendidikan. Pendidikan merupakan proses mencerdaskan masyarakat keluar dari zon kejahilan bagi mengetahui hak dan tanggungjawab mereka sekaligus melorongkan kepada masa hadapan yang lebih cerah. Ini jelas tergambar di dalam salah satu ucapan beliau,

“Without education, you’re not going anywhere in this world. Education is our passport to the future, for tomorrow belongs to the people who prepare for it todays”.

Jelas kata-kata keramat ini memberikan inspirasi kepada semua pejuang perubahan dan pendidik bahawa untuk merubah destini dan nasib umat adalah dengan evolusi pendidikan.

Malcolm X akan kekal menjadi ikon pejuang dalam lipatan sejarah dunia Islam dan pastinya ada pelapis penerus yang akan terus membawa obor perjuangan beliau untuk melihat dunia yang lebih adil, aman dan makmur.


Tiada ulasan: