Rayuan untuk Syria

Rayuan untuk Syria

Sabtu, Julai 02, 2016

Majalah al-Ustaz Bilangan 51 : AYAAN HIRSI ALI DAN BIDAAH CIPTAANNYA


Oleh: JUFITRI JOHA

Ayaan Hirsi Ali merupakan sebuah nama kontroversi dalam dunia Islam sebaris dengan nama Salman Rushdie yang mencetuskan polemik Satanic Versus. Ayaan yang sudah meninggalkan Islam dan menggelarkan dirinya sebagai Atheist iaitu tidak mempercayai kewujudan Tuhan telah menulis sejarah perjalanan kehidupan beragamanya di dalam sekurang-kurang dua buku lewat tulisannya iaitu Infidel dan Heretic.

Tulisan ini bukannya berhasrat untuk mempopularkan beliau malahan jauh sekali untuk mengkagumi beliau tetapi berusaha membedah pemikiran dan tindakan Ayaan tentang alasan beliau meninggalkan Islam. Beliau bukan sahaja meninggalkan Islam tetapi secara agresif mengadvokasi bahawa ajaran asas dalam Islam bermasalah hingga menyebabkan sebahagian daripada penganutnya terlibat dalam gejala keganasan yang mengorbankan ribuan nyawa rakyat dunia yang tidak berdosa. Justeru beliau mengisytiharkan bahawa Islam perlu kepada reformasi dengan membongkar keseluruhan ajaran asas Islam dan diberikan suntikan substance baru khususnya yang berkaitan isu wanita, pergaduhan Sunni-Syiah, terrorisme dan penindasan golongan minoriti. Golongan murtad yang diperangi oleh Islam ialah golongan yang menyerang dan memberikan ancaman semula terhadap kedaulatan Islam dan di dalam konteks Ayaan ini hujahan beliau harus dilawan dengan hujahan yang bernas daripada pihak Islam kerana Islam tertegak atas hujah dan ilmu.

Ayaan yang berasal dan dibesarkan di Somalia dan Kenya ini terus aktif menyebarkan pemikiran dan kefahaman baru yang beliau yakini benar tersebut dengan menyampaikan pelbagai syarahan termasuk berdialog, berforum dan berdebat dengan beberapa tokoh-tokoh intelektual dan personaliti Muslim seperti Profesor Tariq Ramadan, Imam Faisal Rauf dan Ed Husain. Beliau menjadi popular di Barat dan terus muncul di forum-forum awam.

Kita berusaha memahami alasan beliau berfikir dan bertindak sedemikian rupa supaya sebagai penganut agama yang taat dan progresif, kita dapat mengambil pengajaran dan merangka strategi yang padu bagi menangani gejala-gejala riddah seperti ini. Umat tidak perlu menghetam dan mengutuk Ayaan dan individu seumpama beliau secara keterlaluan dan membuat tuli tetapi sebaliknya wajar mencari formula bagi menangkis serangan-serangan pemikiran beliau sambil memperbaiki diri dan keluarga dalam memahami ajaran Islam yang sebenarnya secara mendalam. Pemikiran dan tindakan Ayaan ada kaitan dengan cara beliau membesar dan dididik di dalam keluarga walaupum Ayaan cuba menafikannya kerana beliau amat yakini bahawa punca masalah adalah terletak kepada ajaran Islam itu sendiri dan bukan kepada cara keluarga khususnya ibu dan bapa beliau dalam memahami agama. Kita juga wajar melakukan muhasabah diri agar kita tidak menjadi sebahagian daripada kelompok yang mencalarkan imej agama seperti Daesh dan kelompok esktremis agama yang lain yang diserang secara habis-habisan oleh Ayaan.

Ayaan dibesarkan di dalam keluarga yang taat beragama dan pernah menetap di Madinah beberpa ketika. Beliau suka berfikir kritis dan bertanyakan tentang soalan-soalan fundamental berkaitan ajaran Islam. Ibunya agak strict dalam mengamalkan dan beberapa ketika tidak responsif dalam memberikan jawapan yang rasional kepada persoalan Ayaan. Ayahnya agak terbuka dan beberapa ketika responsif terhadap kemusykilan yang dilontarkan oleh Ayaan. Ayaan membesar dalam keadaan layanan tidak adil dan saksama terhadap wanita. Kemuncak kepada turning point kehidupan Ayaan apabila beliau lari daripada arahan keluarga untuk dijodohkan secara paksa dengan seorang lelaki yang mempunyai pertalian keluarga dengan bapanya. Ayaan berjaya lari daripada perangkap tersebut lalu berhijrah dan belajar di Universiti Leiden. Di Belanda beliau masih mengekalkan saki baki keIslamannya sehingga benar-benar runtuh selepas peristiwa 911 di New York yang menukarkan sepenuhnya sistem kepercayaannya. Ayaan juga secara terbuka mengaku bahawa beliau sudah melakukan pelanggaran beberapa perbuatan yang dianggap sebagai dosa besar seperti bersekedudukan tanpa nikah dengan pasangannya dan minum arak.

Ayaan seolah-olah naik tocang dengan lantang mengkritik Islam dengan pelbagai tohmahan dan fitnah yang tidak berasas sama sekali, mungkin ada dalang yang menyokong idea dan pergerakannya. Ayaan tidak dapat membezakan sama sekali antara ajaran asas agama Islam yang membawa kedamaian dengan segelintir kecil kelompok Muslim yang menyalahgunakan nama dan imej Islam untuk menghalalkan keganasan khususnya terhadap orang awam. Ayaan menuduh Nabi Muhammad S.A.W sebagai sumber inspirasi kepada tindakan keganasan masa kini.

Ayaan terlalu kagum dengan Barat kerana Barat mengajar beliau tentang pemikiran kritikal sehingga asas-asas agama Islam pun wajar dikritik dan dibongkar. Kita tidak terlibat dalam syndrome of denial kerana kita memang mengakui segelintir umat yang menolak peranan akal di samping agama. Akal mempunyai peranan yang signifikan dalam agama khususnya untuk menguatkan keimanan kepada Allah Taala dan Islam. Islam melalui disiplin ilmu seperti usul-fiqh dan maqasid sebagai contoh mendidik umatnya agar berfikiran kritis bahkan sistematik mengikut urutan keutamaan. Sebagai sebuah fakta, terdapat ilmu mantiq dalam Islam sebagai satu sarana untuk umatnya melatih akal untuk berfikir.

Ayaan juga cuba membandingkan negara kelahirannya Somalia dengan Belanda di mana beliau bermastautin. Beliau melihat keamanan wujud di Belanda namun di Negara tanah tumpahnya pergaduhan dan pembunuhan sudah menjadi adat kebiasaan kepada mereka. Persekitaran inilah yang merubah cara Ayaan berfikir dan kita sekali tidak menafikan tentang kelemahan ini kerana Somalia merupakan antara 10 Negara paling berbahaya di dunia yang diperlu diubah dan dibantu. Tidak semua keluhan-keluhan Ayaan yang ditolak kerana ia wajar dijadikan iktibar dan sempadan namun yang menyedihkan ialah cara salah Ayaan berfikir menyebabkan beliau meletakkan kesalahan kepada ajaran asas agama Islam.

Tulisan ini tidak bertujuan untuk menjawab satu persatu idea-idea jelik yang dilontarkan Ayaan tetapi sekadar membuka minda umat agar terus berfikir bagi mengatasi gejala riddah pemikiran dan kepercayaan agar dapat dibendung dan dicegah melalui pendekatan intelektual dan pendidikan. Walaupun banyak sisi-sisi negatif yang ditonjolkan oleh Ayaan namun sekurang-kurang idea-idea Ayaan ini mencabar minda kita untuk bekerja lebih keras bagi mendalami kefahaman terhadap agama dan tidak sekadar berasa selesa dengan kefahaman cetek terhadap agama yang diwarisi secara turun-temurun daripada keluarga kita.

Pendidikan anak-anak terhadap keyakinan utuh kepada agama wajar diperkemaskan. Pendidikan global tasawwur agama wajar dipersembahkan secara jelas dan menyeluruh kepada anak-anak agar mereka memahami Islam meraikan peranan penting akal di samping wahyu. Islam sebenarnya kaya dengan wacana-wacana intelektual segar yang mendepani zaman. Islam juga agama yang mengislahkan diri dan masyarakat ke arah membina sebuah peradaban yang maju dan seimbang daripada segi rohani dan material, dunia dan akhirat. Islam tidak jumud bahkan sentiasa progresif mengikut peredaran zaman dan masa hadapan sekaligus menafikan tuduhan Ayaan yang menyatakan bahawa “…Islam represented a barrier to progress, especially (but not only) for women.

Individu seperti Ayaan akan sentiasa wujud dan agresif menyerang Islam namun kita tidak harus lupa tentang peranan kita untuk menjadi sebahagian daripada pasukan tajdid dan reformis agama. Kefahaman dan pendekatan terhadap agama yang perlu ditajdid dan bukannya ajaran asas Islam seperti seruan batil Ayaan di dalam bukunya Heretic, “…Muslims have to do what they have been reluctant to do from the very beginning – and that is to engage in a critical appraisal of the core creed os Islam. Jangan mengambil mudah hujahan dan tujahan Ayaan, tohmahan tersebut wajar dijawab secara intelektual dan hujahan yang mantap. Semoga Ayaan diberikan hidayah semula oleh Allah Taala.

Tiada ulasan: