Rayuan untuk Syria

Rayuan untuk Syria

Isnin, Ogos 15, 2016

Pak M Natsir: Sang Demokrat Yang Berdakwah di Jalur Politik dan Berpolitik di Jalur Dakwah



Oleh: JUFITRI BIN JOHA
MAJALAH AL-USTAZ 52


14 Shaaban 1413 H atau bersamaan 6 Februari 1993 iaitu kira-kira 23 tahun yang lampau dunia Islam kehilangan sosok ahli politik dan pendakwah Islam yang tersohor iaitu Pak Mohammad Natsir. Raja Arab Saudi iaitu Raja Faisal pernah menyifatkan beliau sebagai pemimpin dunia Islam global melampaui sempadan geografi Indonesia.

Generasi muda mungkin ramai yang tidak mengenali sosok yang hebat ini termasuklah yang aktif dalam dunia gerakan Islam. Pak Natsir merupakan Putera Minang yang pernah menjawat jawatan Menteri Penerangan Indonesia, Perdana Menteri Indonesia dan Presiden Partai Islam Masyumi (Majlis Syura Muslimin Indonesia). Pak Natsir juga pernah merengkok dalam penjara dipenjarakan oleh Orde Lama Presiden Sukarno kerana berlaga angin menentang pelbagai idea dan tindakan Soekarno yang bergerak ke arah pemerintahan kuku besi dan pro-komunis. Itulah sunnah pejuang yang penjara menjadi sebahagian daripada teman kehidupan dan perjuangan.
Pak Natsir turut dikenali dengan karya-karya hebat dakwah dan siyasahnya seperti Capita Selecta, Fiqhu’d Da’wah dan Agama dan Negara dalam Perspektif Islam yang menjadi obor inspirasi kepada pejuang-pejuang agama termasuk di Malaysia yang beraliran wasatiyyah atau kesederhanaan. Pak Natsir menggunakan sistem demokrasi sebagai alat untuk mencapai matlamat menegakkan Islam sambil menafikan kediktatoran sekaligus menegaskan bahawa Islam itu bersifat demokrasi dengan erti kata bahawa Islam anti kediktatoran, anti absolutisme dan anti sewenang-wenang!

Pak Natsir bukan hanya punyai pengaruh besar di Indonesia bahkan dunia Islam secara amnya sebaris dengan tokoh-tokoh umat seperti Sheikh Abul A’la Maududi dan Sheikh Abul Hasan Ali an Nadwi. Beliau pernah seketika menjawat jawatan Timbalan Presiden Mu’tamar Alam Islami dan sering diundang oleh dunia Islam untuk menyampaikan buah fikirannya yang brilliant. Di Malaysia Pak Natsir juga merupakan tokoh yang disegani oleh pimpinan Negara dan rakyat Malaysia termasuk Tunku Abdul Rahman al-Haj. Pak Hamka pernah kelihatan sedikit cemburu apabila beliau berkunjung ke luar Negara, ramai yang bertanyakan tentang Pak Natsir berbanding beliau yang berdiri di hadapan mereka berjabat tangan. Ini jelas memperlihatkan kesan kehadiran dan sumbangan besar beliau di pentas antarabangsa. Pak Natsir terkenal dengan ungkapan keramatnya dan sering menitit di bibir-bibir pejuang Islam seperti,

“Jangan kita membangun sambil merobohkan; membangun gedung sambil merobohkan akhlak, membangun industri sambil menindas pekerja; membina prasarana sambil memusnahkan lingkungan”. dan

“Pemimpin tidak lahir di bilik-bilik kuliah tetapi lahir di tengah-tengah kemelut masyarakat”.

Penulis dan generasi muda sezaman mungkin tidak sempat hidup dan berinteraksi dengan tokoh hebat seperti Pak Natsir namun cukup sekadar mendengar perkongsian daripada insan-insan yang pernah hidup di lingkungan masa dan zamannya. Kehadiran Pak Misbach Malim ElYunusi mantan pembantu peribadi Pak Natsir selama 20 tahun ke Malaysia baru-baru ini merupakan saat-saat yang dinanti-nantikan untuk mendengar sendiri secara ‘live’ pengalaman Pak Misbach berkhidmat dan berinteraksi dengan sosok yang hebat ini.

Pak Misbach memulakan perkongsian dengan permulaan yang baik dengan mengingatkan bahawa sebagai insan kita tiada maksud untuk melakukan pengkultusan peribadi. Ini adalah kerana manusia yang sempurna hanyalah Rasulullah S.A.W. dan manusia pasti seperti kita pasti adalah kelemahan. Namun yang penting sisi-sisi hebat Pak Natsir yang mahu diketengahkan untuk diikuti oleh generasi muda yang berminat berdakwah dijalur politik sepertinya.
Banyak yang dikongsikan oleh Pak Misbach termasuklah usaha Pak Natsir dalam menyatukan Indonesia merangkumi wilayah bergolak Papua agar Indonesia kekal berpadu dan tidak berpecah. Ternyata idea beliau ini disenangi ramai pihak termasuk golongan Kristian sendiri. Seorang pendakwah harus menyantuni umat bukan Islam sebagai usaha menjinakkan mereka kepada keindahan Islam sebagaimana yang dipertegaskan oleh Pak Natsir kepada pimpinan gerakan Islam di Malaysia agar menggalakkan dialog dan interaksi dengan masyarakat bukan Islam khususnya India dan Cina.

Pak Natsir juga menurut daripada kaca mata Pak Misbach sebagai pembantu peribadi merupakan sosok yang hidup secara sederhana dan simple. Pak Natsir walaupun pernah menjadi Perdana Menteri (PM) namun rumahnya biasa-biasa sahaja bahkan ketika perlantikan sebagai PM, beliau tidak punyai sut kot untuk dipakai sebagaimana pembesar-pembesar Negara. Saya berkeyakinan, Pak Natsir mampu hidup mewah namun beliau memilih hidup bersederhana persis kehidupan Nabi S.A.W dan Saidina Umar Abdul Aziz sebagai ketua negara dan khalifah. Kesederhanaan inilah yang menyebabkan rakyat terbanyak merasai kebersamaan pemerintah kerana sanggup merasai denyut kesusahan rakyat. Qudwah pimpinan sebegini sukar dicari di zaman moden sebegini.

Pak Natsir juga berjiwa dan pemaaf seperti Pak Hamka. Pernah suatu ketika Soekarno ingin memulihkan hubungan dengan Malaysia dan Tunku Abdul Rahman selepas peristiwa Ganyang Malaysia namun ditolak oleh Tunku kecuali jika ada surat endorsement daripada Pak Natsir yang merengkok di dalam penjara. Pak Natsir walau diperlakukan sedemikian rupa tetap memaafkan dan menyediakan surat endorsement bagi menyumbang kepada usaha yang lebih besar untuk memulihkan hubungan antara dua Negara. Inilah sifat dan sikap negarawan rahmah yang memandangkan kehadapan berbanding seorang politikus yang berfikiran sempit dan menyesakkan.

Pahlawan Nasional ini sentiasa percaya dengan agenda pendidikan umat dengan mengasaskan reformasi pendidikan berpaksikan tauhid dan menjauhi syirik. Pendidikan merupakan agenda pendakwah yang paling penting dalam memastikan umat celik dengan keilmuan bagi menjauhi kejahilan yang menyesatkan.

Seperkara lagi yang menarik perhatian saya daripada perkongsian Pak Misbach adalah daya intelektual Pak Natsir dalam menegakkan Islam dan mempertahankan hujah sehingga musuh-musuhnya akur dan tidak berani berdebat secara berdepan dengannya. Natijahnya, musuh-musuhnya seperti Soekarno terpaksa menggunakan otot dengan memenjarakan beliau setelah didapati gagal menggunakan otak untuk berhujah dan berdebat dengan Pak Natsir. Saya harus akui bahawa kertas ini terbatas untuk memerikan kehebatan dan kesederhanaan Pak Natsir secara holistik namun memadai menjadi pembuka selera kepada pejuang-pejuang muda di luar sana untuk menelusuri jejak perjuangan beliau yang berpaksikan tauhid, kesederhanaan, intelektual dan global.

Sesungguhnya dunia Islam kehilangan beliau sambil mengharapkan akan lahir permata-permata baru untuk memimpin Islam dari sebelah Timur ini.

Tiada ulasan: