Rayuan untuk Syria

Rayuan untuk Syria

Selasa, Ogos 23, 2016

SURAT PEMBACA BH : Wajar pertimbang perlantikan wakil belia dalam anggota panel pemantau SPRM.


Kelmarin seramai 20 individu telah menerima watikah perlantikan daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk menganggotai panel pemantau SPRM iaitu tiga belas individu sebagai anggota Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) dan tujuh lagi sebagai anggota Panel Penilaian Operasi.
Sudah tentu perlantikan ini amat dialu-alukan bagi memastikan kredibiliti dan integriti SPRM sebagai entiti utama di Malaysia bagi memerangi rasuah secara habis-habisan sehingga ke akar umbi. Rasuah merupakan masalah dan penghalang besar sesebuah Negara untuk terus maju dan berdaya saing dan ianya harus diperangi secara konsisten di semua peringkat.

Pihak Majlis Belia Malaysia (MBM) juga sebagai sebuah pertubuhan utama yang menaungi 39 pertubuhan belia utama di Malaysia tidak ketinggalan di dalam beberapa acara dan ketika bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuk bersama SPRM, Yayasan Anti Rasuah Malaysia (YARM), Institut Integriti Malaysia (IIM) Alumni Sekretariat Pencegahan Rasuah (ASPIRA) dan Transparency International (TI) Malaysia untuk memerangi rasuah di kalangan belia dan masyarakat melalui pogram latihan dan kesedaran di pelbagai peringkat.

Belia merupakan kelompok terpenting dan terbanyak di Malaysia yang wajar diberikan peranan penting untuk membasmi rasuah. Belia wajar diberikan peranan signifikan bukan sahaja dalam membasmi rasuah tetapi di dalam arena-arena penting yang lain sama ada di peringkat akar umbi, daerah, Negeri dan Negara.
Berdasarkan hujah di atas, saya berpandangan amat wajar dilantik seorang dua wakil belia yang berkelayakan dalam panel pemantau SPRM bagi sama-sama menyumbang di dalam platform yang amat penting ini. Selain mengiktiraf peranan golongan belia, ianya juga memberikan peluang untuk golongan ini menimba ilmu dan pengalaman di samping memberikan pandangan mewakili perspektif belia bagi memantapkan peranan dan operasi SPRM dalam mencegah rasuah.

Perlantikan wakil belia ini juga akan memperkukuhkan ekosistem bagi mempercepatkan proses kematangan belia selaras dengan Dasar Belia Malaysia (DBM) 2015-2035 yang menggariskan definisi baru umur belia 15 sehingga 30 tahun. Mungkin belia yang berumur 30 sehingga 40 tahun boleh dilantik dalam mana-mana platform penting Negara seperti PPPR sebagai manifestasi keseriusan pihak Kerajaan untuk menguatkuasakan definisi baru umur belia tersebut. Jika tidak Kerajaan kelihatan tidak serius untuk menjayakan proses kematangan umur belia ini.

Jika dilihat daripada senarai lantikan terbaru panel pemantau SPRM ini, tiada seorang pun wakil belia yang berkelayakan dilantik sedangkan saya percaya ramai belia di luar sana khususnya belia profesional yang mampu dan layak bersama-sama menyumbang di dalam panel ini.
Saya mengharapkan pihak Kerajaan sudi mempertimbangkan lantikan wakil belia di dalam mana-mana platform penting Negara pada masa akan datang. Perlu dipertegaskan semual bahawa lantikan wakil belia tersebut bukan sekadar memenuhi kuota belia tetapi lantikan tersebut mestilah kepada belia yang benar-benar layak dan berkemampuan. Sekiranya ramai yang berkelayakan di kalangan belia maka tidak salah pihak Kerajaan memperbanyakkan lantikan daripada golongan ini bagi mewakili aspirasi dan kehendak generasi muda.

Pihak Kerajaan dicadangkan agar mengkonsultasi pihak MBM sebagai wakil suara belia di peringkat nasional sebagai mana yang berlaku sebelum ini bagi memudahkan urusan mengenalpasti belia yang berkelayakan untuk menempati posisi-posisi penting Negara ini.

JUFITRI BIN JOHA
Naib Presiden
Majlis Belia Malaysia (MBM)


Tersiar di ruangan Surat Pembaca Berita Harian
19 Ogos 2016 / 16 Zulkaedah 1437 H


Tiada ulasan: