Rayuan untuk Syria

Rayuan untuk Syria

Rabu, Mei 03, 2017

Kata Aluan BUKU : "Hanya Senyummu Yang Terlihat"



Setinta Kata
Pembakar Nyalarasa


Khidmat bakti di pentas antarabangsa mempertemukan minda dan hati 4 orang anak muda #Ajeerah, #Faiz, #Siraj dan #Farah untuk mencoret pengalaman berharga di dalam buku yang amat bermakna ini. Usaha mendokumentasikan akaun pengalaman peribadi 4 pemimpin relawan Malaysia Youth Volunteer Leader (MyCorps) wajar dipuji kerana mereka berusaha berkongsi suka duka inside story menaburkan bakti kepada khalayak pembaca khususnya untuk tatapan generasi muda di luar sana sekaligus merangsang untuk bersama-sama menyingsing lengan untuk bersukarela. Perkongsian walaupun dalam mode santai dan monolog refleksi diri namun tetap diselitkan dengan fakta-fakta ilmu yang menyegarkan. A coalition of mind and heart ini menghasilkan sebuah karya yang memberikan dimensi dan perspektif tersendiri anak muda terhadap kehidupan dan kepemudaan.

Perkongsian pengalaman ini bukan sekadar perkongsian biasa tetapi kisah unik penulis permusafiran menemui erti dan makna sebenar kehidupan. Mereka menemui makna dan nilai pada memberi dan tidak pantas mengeluh terhadap kesulitan apatah lagi menyalahkan takdir atas sebarang nasib buruk yang melanda diri. Pengalaman bergelumung di lapangan kemasyarakatan dan halaman kemanusiaan banyak menginsafkan mereka dan bersyukur atas kelebihan yang mereka miliki berbanding kesulitan yang jauh lebih sukar yang dihadapi oleh penduduk serba miskin di Kemboja dan pelarian serta mangsa perang di Timur Tengah. Pengalaman kerohanian ini benar-benar merubah sempadan diri dan mencetus semangat luar biasa untuk terus berubah menjadi manusia bermanfaat. Lesson learned ini turut mengangkat semangat patriotisme untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara kuasa besar (middle power) penyebar mesej keamanan dan kemanusiaan. Dunia sudah lama menderita, mereka sedang menunggu messiah yang sudi dan sanggup membela golongan yang sering ditindas dan tertindas oleh segelintir individu yang rakus dan tamak.

Terpilih menyertai misi kemanusiaan MyCorps selama hampir dua bulan berjaya membuka mata mereka di mana bukan sahaja mereka mendapat faedah fizikal iaitu membantu bagi yang memerlukan tetapi juga faedah maknawi di mana mereka menemui diri sendiri dan Tuhan. Pengalaman ini mengingatkan kita kepada Jason Wood, penulis Leaving Microsoft to Change the World yang menemui makna kebahagian dan kepuasan sebenar sehingga sanggup meninggalkan kerusi empuk Microsoft untuk berkhidmat di pedalaman Asia semata-mata membantu kanak-kanak yang kurang bernasib baik untuk mendapat nikmat membaca.

Secara peribadi menelaah karya mereka menambahkan lagi kosa kata kemanusiaan sambil menyelami sanubari perasaan dan pandangan alam anak muda terhadap aktiviti kesukarelawanan di tengah-tengah jangkitan virus narcissisme yang menggila.

Usaha memupuk semangat kesukarelawan harus terus disemarakkan bagi melihat belia dan rakyat Malaysia yang sudi berkongsi kekayaan dan kemakmuran dengan sebahagian penduduk dunia yang dilanda peperangan, kemiskinan, kebuluran dan kesejukan. Usaha ini juga selaras dengan ajaran dan saranan agama seperti yang dititipkan oleh Sheikh Yusuf al-Qaradhawi di dalam Ushul al-‘Amal al-Khairi fi al-Islam atau Prinsip Amal Kebaikan agar sentiasa berbuat baik; berlumba-lumba membuat kebaikan; bersegera menuju kebaikan; mengajak pada kebaikan; menganjurkan pada kebaikan; mengerjakan kebaikan sekecil apa pun; sentiasa berniat berbuat kebaikan; dan bekerjasama berbuat kebaikan. Di dalam dunia yang sinonim dengan ketamakan dan kerakusan atau apa yang diistilahkan oleh Ronggowarsito dalam syairnya sebagai Jaman Edan (zaman gila) ini, seruan kebaikan dan kesukarelawan ini amatlah releven untuk mengembalikan nilai kemanusiaan atau memanusiakan manusia yang sering alpa.

Sebagai pemimpin sukarelawan, graduan MyCorps dilatih secara intensif untuk tidak menunggu peluang bersukarela (volunteerism seeker), sebaliknya menjadi pencetus dan pencipta (volunteerism creator) yang mewujudkan impak dan gelombang kebaikan di dalam masyarakat. Graduan MyCorps juga diharapkan menjadi informal educator bagi menggalakkan belia dan masyarakat membuat kerja kebaikan, kebajikan dan kesukarelawanan sekecil mana pun sebagaimana yang disebut oleh Nicole Bouchard Boles di dalam lewat karyanya How to Be an Everyday Philanthropist bahawa terdapat 330 cara untuk bersukarela termasuklah give with your presence di mana kehadiran kita menyokong sesuatu aktiviti kebajikan sahaja sudah memadai dikira sebagai perbuatan sukarela. Betapa mudahnya untuk buat baik!

4 penulis ini merupakan produk humanivarsity MyCorps, sebuah projek kepimpinan sukarelawan global yang dicetuskan oleh Menteri Belia dan Sukan, Y.B. Khairy Jamaluddin bagi memberikan ruang dan peluang generasi muda untuk berbakti di pentas antarabangsa pada tempoh masa yang agak signifikan panjang. Kami berasa bertuah kerana turut diizinkan Allah Taala untuk memberikan sentuhan kerdil sebagai barisan jurulatih untuk melahirkan pemimpin sukarelawan ini. MyCorps merupakan projek mengangkat harakat dan martabat generasi muda di mana aset dalaman dan aset luaran terbentuk dengan baik bagi menyokong dan mendokong mereka untuk menjadi warga yang efektif dan menyumbang kepada Agama dan Negara.

Semoga usaha MyCorps dan Kementerian Belia dan Sukan yang murni dan baik ini diteruskan dan akan terus malar memberikan khidmat bakti yang bakal merubah landskap kemanusiaan global.

Kami mengambil kesempatan berharga ini mengucap syabas dan tahniah kepada 4 sekumpulan sahabat MyCorps #Ajeerah, #Faiz, #Siraj dan #Farah ini. Sesungguhnya kami berbangga melihat coretan yang sarat dengan makna keinsafan dan kemanusiaan ini. Coretan yang datang daripada dhomir yang ikhlas ini diyakini mampu menggugah kealpaan sebahagian generasi muda yang masih lena dibuai penipuan dunia dan tidak dapat sama sekali menghargai erti hidup pada memberi. Pesanan tulus daripada kami agar semua anda terus ikhlas dan istiqamah mencipta membantu manusia dan jangan berhenti berlari untuk mencari makna diri, menyerlahkan potensi, mengilhamkan inspirasi, membangkitkan nyalarasa dan melengkapkan kanvas erti kehidupan yang penuh dengan cabaran.
Semoga Allah Taala menerima amal kebaikan ini.

Selamat maju jaya #Ajeerah, #Faiz, #Siraj dan #Farah, anda semua sumber inspirasi generasi muda!

Kami bangga bersama anda!

JUFITRI JOHA
Pengerusi
Malaysia Life Line for Syria (MLLFS)
&
Naib Presiden
Majlis Belia Malaysia (MBM)

Nilai, 10:10 pm
11 April 2017 / 13 Rejab 1438 H

Tiada ulasan: