Rayuan untuk Syria

Rayuan untuk Syria

Rabu, Oktober 11, 2017

DASAR PEMBANGUNAN BELIA DI NEGERI SEMBILAN: SOROTON DAN SARANAN DARIPADA PERSPEKTIF AKTIVIS DAN PEKERJA BELIA

JUFITRI BIN JOHA
Naib Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM)
& Aktivis Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)



PENDAHULUAN:

Belia Negeri Sembilan merupakan belia yang bertuah di Malaysia apabila mempunyai dasar belianya yang tersendiri dan unik yang dinamakan sebagai Rancangan Pembangunan Belia Negeri Sembilan (RPBNS). Bahkan ia merupakan dasar belia Negeri yang pertama seumpamanya yang dirujuk dan dibaca seiring dengan Dasar Pembangunan Belia Negara (1997), Dasar Belia Malaysia (DBM) 2015 dan Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007. DBM bersifat umum menyantuni belia di seluruh Malaysia manakala RPBNS melengkapi DBM dengan menangani secara lebih khusus kehendak dan aspirasi belia Negeri Sembilan.

Dasar merupakan komponen lapisan kedua terpenting dalam aspek pembangunan belia selepas mempunyai kefahaman yang tepat tentang falsafah, matlamat dan strategi pembangunan belia (Azimi, 2005). Dasar menurut Kamus Dewan (1994) dalam konteks ini ditakrifkan sebagai pendirian yang menjadi asas segala tindakan (sikap, keputusan dan lain-lain); dan polisi. Sementara itu, falsafah program pembangunan belia adalah untuk melahirkan belia yang resilience dan kompeten untuk memandu dirinya memasuki samudera kedewasaan (Roth & Gunn, 2003).

Oleh itu RPBNS yang dibaca sekali dengan DBM dan beberapa dasar Negeri merupakan satu dokumen yang dijadikan asas rujukan terhadap segala keputusan, tindak-tanduk dan perancangan program untuk membangunkan belia di Negeri Sembilan agar menjadi insan yang bersepadu, seimbang, resilience dan kompeten.

Belia yang ditakrifkan sebagai individu berumur 15-40 tahun (Akta Belia 2007) merupakan kelompok rakyat Negeri Sembilan yang signifikan dalam membentuk Negeri dari aspek politik (pengundi), sosial (perpaduan) dan ekonomi (modal insan) (Asnarulkhadi, 2009). Secara ringkasnya belia adalah aset Negeri yang perlu diperkukuhkan dan diserlahkan potensi modal insan belia sebagai pemacu pembangunan strategik negeri pada masa hadapan berpandukan Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara dan Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan selaras dengan DBM 2015. “Youth are resources to be developed rather than as problem to be managed”.



Bagi memenuhi hasrat murni tersebut suatu sistem sokongan atau ekosistem yang padu diperlukan bagi melahirkan belia Negeri Sembilan yang bersepadu dan seimbang. Ia merangkumi juga RPBNS sebagai antara komponen utama dalam ekosistem pembangunan belia Negeri Sembilan selain daripada komponen-komponen lain seperti peruntukan kewangan, latihan, prasarana, pertubuhan belia, pekerja belia, pemimpin belia, pemantauan dan jabatan belia.
RPBNS yang juga merupakan dasar sosial menurut Siti Hajar (2002) berkaitan dengan isu-isu dan kebajikan belia serta berfungsi sebagai,

a.) Mekanisme perubahan;
b.) Legitimasi pengekalan status quo;
c.) Medium legitimasi hukuman dan kawalan sosial;
d.) Penyelesaian keperluan atau masalah sosial; dan
e.) Instrumen pembentukan masyarakat dan pembahagian sumber-sumber sosial dan ekonomi Negeri.

RPBNS mula dicetuskan oleh arkitek pembangunan Negeri Dato’ Seri Utama Muhammad Hasan sekitar tahun 2003 dan mula mengorak langkah pembentukan dan penggubalan yang melibatkan sekumpulan penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) yang diketuai Profesor Dr. Azimi Haji Hamzah, pegawai-pegawai Kerajaan Negeri, pegawai belia dan sukan Negeri dan pimpinan Majlis Belia Negeri Negeri Sembilan (MBNNS). Ia merupakan idea terkehadapan Menteri Besar agar program pembangunan belia di Negeri Sembilan tidak dijalankan secara ad-hoc, tangkap muat dan syok sendiri. Sebaliknya program pembangunan belia harus berpandukan polisi, perancangan dan panduan holistik dan rapi yang akhirnya melahirkan RPBNS 1 2006-2010. RBPNS dihasilkan berdasarkan kajian yang menyelami kehendak dan keperluan akar umbi.
Selain itu, sebagai sebuah dasar sosial, RPBNS dibentuk, digubal dan diimplementasikan,

a.) mengikut konteks sosial, masa dan ruang yang berbeza-beza;
b.) memenuhi keperluan-keperluan dan mengatasi masalah-masalah sosial yang melanda belia Negeri Sembilan;
c.) menggunakan pelbagai intervensi, kaedah, pendekatan dan usaha-usaha yang praktikal, rasional, efektif dan sistematik bagi bertindak balas terhadap setiap keperluan dan masalah sosial yang timbul;
d.) dipengaruhi oleh sekumpulan nilai, ideologi dan idea yang dipegang oleh sekumpulan tertentu dalam masyarakat.

Oleh kerana itu, RPBNS disemak setiap setiap lima tahun sekali bagi memastikan ianya sebagai dasar yang sentiasa releven dengan kehendak semasa dan zaman. Karakter belia berubah seiring dengan arus kemodenan zaman. Fokus utama pembangunan belia pada masa ini ialah Generasi Y yang lahir selepas tahun 1980 yang sudah tentu mempunyai karakter tersendiri yang harus difahami dan disantuni sebelum persediaan menyambut Generasi Z dan Alpha. Menurut Profesor Turiman (2009), “Belia sebenarnya bukanlah tanpa potensi tetapi kebanyakan mereka yang bermasalah adalah kerana tidak mendapat bimbingan sewajarnya bagi menyerlahkan potensi sebenar mereka”. Menurut Dr. Abdul Karim Zaidan pula, para belia itu lebih cepat menerima kebaikan daripada golongan lain. Dengan mengemaskini RPBNS secara lima tahun sekali, diyakini dapat menyantuni tuntutan zaman, lokaliti dan belia agar benar-benar diserlahkan potensi dan prestasi sebenar belia Negeri Sembilan.

SENARIO BELIA NEGERI SEMBILAN


Belia merupakan sumber yang paling berharga kepada Negeri Sembilan. Kerajaan Negeri Sembilan melalui Menteri Besarnya menganggap belia sebagai aset jika mempunyai wawasan dan jati diri (n9kini.com, akses 2016). Menurut Statistik Belia Malaysia (2014), daripada 1 081 600 penduduk Negeri Sembilan terdapat 481 700 belia yang mewakili 44.50% dengan pecahan 259 100 belia lelaki dan 222 600 belia perempuan. Sebanyak 352 500 belia tinggal di bandar manakala selebihnya 129 100 tinggal di luar bandar. Ia merupakan khazanah Negeri yang besar yang memerlukan suatu perhatian khusus untuk dibangunkan. Jika ia tidak dibangunkan dengan betul maka ia bakal mengundang masalah yang besar buat Negeri dengan pelbagai masalah sosial.



Berdasarkan pengalaman dan pemerhatian saya terhadap isu masalah sosial ketika terlibat dalam pembangunan belia di Negeri Sembilan sebagai Setiausaha Agung MBNNS, saya mendapati terdapat tiga punca akar kepada permasalahan ini iaitu faktor keluarga berantakan, buta huruf dan kejahilan agama. Keluarga merupakan ekosistem dalaman terpenting membentuk karakter dan watak belia semenjak kecil. Hubungan baik anak-anak belia dengan ibu dan bapa sangat penting dalam menentukan perkembangan mereka (KPKM-5, 2015).



Belia Negeri Sembilan juga secara amnya mempunyai bakat dan kelebihan tersendiri. Tidak kurang sedikit juga tokoh-tokoh belia dan masyarakat yang lahir di Negeri Sembilan yang menjadi aset kepada pembangunan belia dan Negeri.

Sewajarnya Kerajaan Negeri Sembilan mempunyai bank data belia bagi mengenalpasti bakat dan kelebihan seseorang individu untuk digilap dan disalurkan ke jalan betul untuk mereka terus berjaya di bidang masing-masing sekaligus menyumbang kepada pembangunan belia dan Negeri. Dengan adanya bank data belia tersebut maklumat tentang kejayaan dan kelebihan belia sebagai contoh di bidang agama, akademik, sukan, kerjaya dan kemahiran dapat dikumpulkan dengan mudah bagi tujuan rujukan, penghargaan dan mobilasi untuk mereka turun semula ke akar umbi belia untuk membimbing. Data-data tokoh-tokoh yang berjaya juga wajar dikumpulkan bagi mendamba kudrat mereka untuk turun semula ke masyarakat menginspirasi dan membimbing belia dan masyarakat.
Status terkini kesejahteraan belia Negeri Sembilan boleh juga dirujuk melalui Indeks Belia Malaysia (2015) dengan skor yang agak tinggi 71.13 iaitu di tahap sederhana berbanding skor Kebangsaan pada 70.22 yang juga berada di tahap sederhana.

PERTUBUHAN BELIA NEGERI SEMBILAN

Belia Negeri Sembilan juga mempunyai sumber kelebihan aktif dalam kegiatan pertubuhan belia yang menjadi the conscience of the society (Mustaffa, 1998) yang memperjuangkan suara belia dan masyarakat terbawah. Pertubuhan belia merupakan partner in nation building kepada Kerajaan Negeri dalam merealisasikan dasar dan aktiviti belia. Mengikut data 2014 Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY) pada 2013 sebanyak 30 persatuan belia baru berdaftar manakala pada 2014 sebanyak 26 persatuan belia baru berdaftar. Peranan pertubuhan belia penting membangun belia setempat, melahirkan kepimpinan setempat dan menjadi nukleus kepada kegiatan ekonomi dan sosial akar umbi. Ada pertubuhan belia yang benar-benar memberikan impak kepada belia dan masyarakat setempat di Negeri Sembilan seperti Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) Felda Lui Muda sehingga terpilih sebagai Naib Johan peringkat kebangsaan Anugerah Perdana Belia Negara 2015 kategori pertubuhan belia terbaik.

Di Negeri Sembilan pertubuhan belia mempunyai induknya iaitu MBNNS yang menaungi lebih kurang 21 pertubuhan belia terbesar di Negeri Sembilan seperti MAYC, 4B, ABIM, MBFM. GPMS, HYO, GBBM, KBBT dan Pengakap sebagai badan gabungannya. MBNNS berperanan besar untuk bekerjasama rapat dengan Kerajaan bagi sama-sama merancang pembangunan belia agar perancangan bersifat bottom to top dan naik ke tangga puncak partisipasi belia sebagai adult-youth decision making. Selain itu juga MBNNS dan badan gabungannya banyak melahirkan tokoh-tokoh pemimpin belia di peringkat nasional seperti Presiden MYHA, Presiden KBBT, Mantan Presiden GBBM, Presiden Majlis Belia Felcra, sekadar menyebut beberapa nama. MBNNS juga melahirkan tokoh-tokoh hebat seperti Dato’ Hassan Malek (Ahli Parlimen Kuala Pilah) yang pernah menjawat jawatan Presiden MBM dan Menteri KPDNKK.

Terdapat juga kritikan terhadap kepimpinan belia ini seperti menjadikan pertubuhan belia sebagai gelanggang pendakian politik, tidak mandiri daripada sudut kewangan, lesu untuk mengaktifkan pertubuhan belia dan gabungannya dan terikat dengan perancangan Kerajaan yang bersifat top-down. Makalah ini tidak bertujuan memperdalami isu-isu sebegini namun penting untuk difikirkan solusinya dan diperbetulkan persepsinya di kesempatan-kesempatan yang lain.

RBPNS DAN KEBERKESANAN

Bagi menanggapi dan menangani isu-isu yang diperbincangkan di atas maka wajar pelaburan besar dan smart dilakukan agar pembangunan belia yang dicitrakan bukan bersifat zero-sum development iaitu membangun sambil meruntuh. Pembangunan belia merupakan satu proses dan bukannya event (Samsudin, 2007) dan tidak boleh dilakukan secara tangkap muat (Syed Aribi, et al., 2007) mengikut andaian dan kehendak kelompok tertentu semata-mata. Ia juga merupakan suatu proses pendidikan yang bersifat evolusi dan bukannya kesan dan impak segera yang diharapkan tetapi bersifat jangka panjang dan mendepani zaman.

RPBNS merupakan satu dasar yang menjadi dokumen panduan bagi memandu proses ini dan ianya merupakan pelaburan jangka panjang yang menguntungkan belia dan masyarakat Negeri Sembilan. Pemikiran Menteri Besar Negeri Sembilan dalam pembangunan belia adalah beliau mahukan belia di Negeri ini berfikir di luar lingkungan dan mempunyai daya pemikiran yang kritis. Selain itu juga beliau mahukan pertubuhan belia bersifat mandiri tanpa terlalu bergantung kepada Kerajaan Negeri khususnya dalam bentuk kewangan. Dengan latar bidang korporat yang sinonim dengan budaya perancangan strategik, maka MB menggagaskan idea dan budaya perencanaan pembangunan belia yang beragenda melalui RPBNS.

Seperti yang dilaporan Utusan Malaysia (2015), RPBNS semenjak 2005 seperti yang disebut oleh MB telah memacu perkembangan belia yang berdaya saing di Negeri ini selaras dengan hasrat Kerajaan yang mahu belia berdikari tanpa terikat dengan karenah birokrasi. RPBNS juga telah membawa kepada penubuhan Sekretariat Belia di bawah Yayasan Negeri sebagai pemandu dan pelaksana RPBNS dan penubuhan Dewan Undangan Negeri (DUN) Belia. DUN Belia menurut MB adalah pencapaian besar RPBNS penggal kedua (2011-2015) yang membawa resolusi akar umbi ke persidangan sebelum Kerajaan meneliti untuk menyelesai dan menjayakannya.

RPBNS menurut Rosli (2011) merupakan perancangan pembangunan belia Negeri Sembilan yang komprehensif bermatlamat untuk melahirkan belia Negeri Sembilan yang bersepadu dari segi spiritual, psikologikal, intelektual dan fizikalnya berilmu, berdikari, bersemangat sukarela dan berjasa kepada agama, bangsa dan agama. RPBNS adalah dasar dan pelan tindakan lima tahun dan berjalan serentak dengan Rancangan Malaysia (RMK). Ia merangkumi dasar-dasar dan inisiatif-inisiatif di peringkat nasional dan Negeri. RPBNS juga merupakan kerangka pembangunan belia yang benar-benar bersepadu dalam pelbagai dimensi dan aspek kehidupan belia dan sebagai pengukur yang saintifik dan sistematik serta berterusan bagi menilai keberkesanan setiap program belia yang dilaksanakan.

Menurut Rosli lagi, RPBNS berobjektifkan agar wujud satu pandangan yang holistik, matlamat utama, fokus dan nilai-nilai asas dalam pembangunan belia yang diterimapakai oleh semua pemegang taruh di Negeri Sembilan. Selain itu ia bertujuan agar dapat mengenalpasti kumpulan-kumpulan sasar sebenar bagi pembangunan belia dan program yang bersesuaian dengan mereka. RPBNS mempunyai lima teras utama iaitu:

a.) Belia, Pendidikan dan Kemahiran;
b.) Belia, Pekerjaan dan Ekonomi;
c.) Belia, Kesihatan dan Kecergasan;
d.) Belia, Jati Diri dan Sosio Budaya; dan
e.) Belia, Persatuan dan Partisipasi.

RPBNS telah memasuki fasa ketiga 2016-2020, ia merupakan fasa kritikal untuk membawa dan memandu belia Negeri Sembilan memasuki gerbang Negara maju. RPBNS pertama telah pun dilihat semula dan disemak pada 2011 dan RPBNS kedua juga wajar disemak agar RPBNS ketiga lebih mantap, global, kontemporari dan futuristik. RPBNS harus dilihat bebas dari sebarang pengaruh politik kepartian agar ia dilihat memberikan khidmat kepada semua belia pelbagai latarbelakang dan ideologi. RPBNS juga harus difahami oleh semua pemegang taruh khususnya pimpinan tertinggi belia agar segala perancangan dan pergerakan dirancang berpandukan ruh dan hasrat RPBNS yang sudah cukup komprehensif.

Bagi menjayakan perlaksanaan RPBNS untuk fasa kritikal seterusnya sukacita dicadangkan beberapa syor di bawah:

a.) Diwujudkan Indeks Belia Negeri seperti Negeri Sabah bagi mengukur dan menilai keberkesanan perlaksanaan RPBNS;
b.) Pimpinan tertinggi belia dan jabatan belia harus diberikan kefahaman sebenar terhadap ruh perjuangan RPBNS melalui seminar dan latihan kepimpinan;
c.) Diwujudkan institut atau think do tank pembangunan belia bagi memandu RPBNS berasaskan penyelidikan (R & D) dan perbincangan ilmiah;
d.) Dianjurkan Makmal Pembangunan Belia Negeri Sembilan bagi memformulakan program-program pembangunan belia yang berkualiti berdasarkan RPBNS yang bersesuaian dengan isu dan cabaran semasa belia Negeri Sembilan;

e.) RPBNS disemak dengan penekanan jatidiri keagamaan dan kearifan lokal yang membentuk idealisme dan makna diri seseorang belia; dan
f.) Diwujudkan data bank belia bagi mengumpul maklumat bakat dan pencapaian belia;
g.) Mempromosikan kerja belia profesionalisme dengan mengwujudkan pekerja belia terlatih dan profesionalisme sebagai satu elemen sokongan ke arah menjayakan RPBNS kerana belia bukan tanpa keupayaan dan potensi tetapi mereka amat memerlukan bimbingan profesional yang berintegriti.

NILAI
18 MAC 2016 / 9 JAMADILAKHIR 1437 H
3.52 PETANG


Tiada ulasan: