Rayuan untuk Syria

Rayuan untuk Syria

Isnin, Oktober 23, 2017

Mengangkat Agenda Sosial Negara dalam Belanjawan 2018



Saya ingin menarik perhatian semua tentang saranan Menteri Belia dan Sukan Y.B. Khairy Jamaluddin agar Kerajaan memberikan penekanan dan peruntukkan yang signifikan kepada sektor berkaitan sosial di dalam belanjawan 2018 yang bakal dibentangkan kelak sebagaimana yang tersiar di Utusan Malaysia 20 Oktober 2017 (Jumaat) yang lepas.

Walaupun sektor atau agenda sosial seolah-olah tidak mendatangkan sebarang keuntungan material tetapi ia sebenar terkait rapat dengan aspek ekonomi dan penjimatan wang Negara. Sebagai contoh ringkas jika agenda sosial untuk menangani gejala vandalisme atau pemusnahan harta awam diberikan perhatian dan peruntukkan sewajarnya, maka saya yakin Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebagai contoh akan berjaya menjimatkan jutaan ringgit bagi peruntukkan untuk membaiki harta awam yang dirosakkan. Itu merupak contoh ringkas bagi membuka minda kita semua bahawa dengan pelaburan yang signifikan di dalam agenda sosial Negara, maka akan dapat menyelamatkan jutaan ringgit wang Kerajaan. Agenda sosial sudah tentu akan mendokong secara padu dan beriringan dengan agenda ekonomi dan politik Negara.

Sebagai Duta Belia TN 50, memang benar antara aspirasi dan kebimbangan utama belia Malaysia ialah penekanan kepada agenda sosial dan pembangunan modal insan yang menyeluruh. TN 50 berhasrat untuk membentuk watak dan akhlak bangsa Malaysia yang hebat pada masa hadapan. Kita tentu sahaja tidak mahu Malaysia menjadi Negara maju tetapi mempunyai rakyat dan belianya mempunyai penyakit sosial yang parah. Sesuatu intervensi harus dilakukan segera daripada sekarang agar 30 tahun yang akan datang kita akan berjaya mendapat hasil yang positif. Melalui TN 50 juga kita mengimpikan berkurangnya jumlah penjara sebagai manifestasi berkurangnya masalah sosial dan jenayah sekaligus menjimatkan wang Kerajaan kepada perkara-perkara yang tidak sepatutnya dibelanjakan begitu sahaja.

Terbaru, Majlis Belia Malaysia (MBM) dan Federasi Kebangsaan Pekerja Belia (FKPB) telah mengadakan Sidang Meja Bulat Isu Keselamatan TN 50 dan hadirin dikejutkan dengan 60 jenis jenayah yang bakal wujud pada masa hadapan berkaitan dengan teknologi. Isu sosial dan jenayah berkaitan teknologi dan lain-lain ini juga harus diberikan perhatian dan diberikan intervensi segera meliputi aspek penjagaan, perawatan dan pengubahan. Kita tidak mahu terlewat bak kata pepatah Melayu, sudah terhantuk baru terngadah. Segala punca (root cause) kepada berlakunya masalah sosial dan jenayah seperti perceraian, kelemahan iman dan kemiskinan harus ditangani segera secara serius.

Memasukkan agenda sosial di dalam belanjawan 2018 bertepatan dengan aspirasi belia untuk TN 50 dan juga hasrat Perdana Menteri untuk mengambil kira dapatan-dapatan TN 50 di dalam belanjawan 2018.

Agenda sosial bukanlah baru diberikan perhatian oleh Kerajaan dan Ngo tetapi apa yang diharapkan ialah penekanan, perhatian dan penjenamaan semula secara lebih tegas, serius dan kreatif agar agenda sosial ini dapat dimobilisasikan secara besar-besaran oleh semua pihak terutamanya Kerajaan sebagai agenda utama Negara menjelang 2020 dan 2050. Kerajaan wajar mengaplikasi dan menggunakan platform Strategi Lautan Biru (NBOS) merentas kementerian dan agensi bagi membincang dan menggerakkan agenda sosial secara bersepadu. Ura-ura penubuhan platform belia nasional berkaitan NBOS juga wajar mengambil kira agenda sosial sebagai salah satu agenda utamanya. Platform belia tersebut boleh membantu mengNBOSkan agenda sosial di kalangan entiti yang berkaitan belia. Profesor W. Chan Kim dan Renee Mauborgne pun sudah menulis buku baru Blue Ocean Shift dengan mengambil kira pendekatan semasa dan senario masa hadapan yang bukan semata-mata boleh diaplikasi untuk sektor ekonomi tetapi sektor sosial. Agenda sosial harus dijadikan agenda utama dan bersama dan bukan hanya dibebankan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan MBM semata-mata.

Selain pelaburan dalam melahirkan lebih ramai pakar kaunseling seperti yang dicadangkan Menteri Belia, pelaburan dalam melahirkan pekerja belia, pekerja sosial dan pekerja komuniti wajar diberikan perhatian dan peruntukkan yang besar. Pekerja belia profesional sebagai contoh, sudah pun termaktub agenda ini di dalam Dasar Belia Malaysia (DBM) 2015 – 2035 di mana pekerja belia profesional mampu berperanan dalam mendidik dan menyerlahkan bakat dan potensi belia. Pekerja sosial profesional mampu melengkapi peranan pekerja belia apabila mereka memfokuskan kepada soal intervensi manakala pekerja komuniti profesional akan menghakupayakan komuniti dan masyarakat untuk sama-sama memberikan perhatian kepada pembangunan belia positif. Pekerjaan berkaitan dengan kemanusiaan dan sosial seperti pekerja belia merupakan profesyen yang bakal menjadi profesyen yang penting di masa hadapan.

Di United Kingdom, pusat belia yang diuruskan oleh seorang dua pekerja belia profesional ditempatkan di kawasan kejiranan yang mempunyai kadar jenayah dan masalah sosial yang tinggi. Uniknya pusat belia tersebut dibiayai dan dihakupayakan oleh komuniti kejiranan setempat yang prihatin.

Kesemua ini boleh digerakkan secara bersama di antara kementerian dan agensi kerajaan seperti KBS, Institut Sosial Malaysa (ISM) dan Ngo seperti Majlis Belia Malaysia (MBM), Federasi Kebangsaan Pekerja Belia (FKPB), Majlis Pekerja Sosial Malaysia (MSWA), Urusetia Menangani Gejala Sosial (UNGGAS), rumah-rumah perlindungan dan individu perseorangan atau NGI-NGI.

Majlis Sosial Negara (MSN) dan Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Belia (JKPB) yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri adalah platform terbaik bagi mengkoordinasi agenda sosial ini bagi membuat perubahan polisi dan pelan tindakan bersepadu agenda sosial masa hadapan Negara.
Justeru wajar agenda sosial diangkat di dalam belanjawan 2018.

JUFITRI JOHA
Duta Belia TN50
&
Pengerusi Federasi Kebangsaan Pekerja Belia (FKPB)











Tiada ulasan: