Rayuan untuk Syria
Khamis, November 23, 2017
Keindahan Islam Terhijab Kerana Penganutnya Sendiri
Oleh: JUFITRI JOHA
Segmen Dunia Islam Majalah al-Ustaz Isu. No 67
Dr. Aid al-Qarni menulis sebuah kitab bertajuk Mujtama’ Mithali atau Masyarakat Contoh dengan menyenaraikan beberapa ciri-ciri asas masyarakat yang diidamkan dan didambakan. Beliau menyenarai dan menghuraikan beberapa kriteria ideal sebuah masyarakat contoh seperti amanah, berakhlak tinggi, beradab, mempunyai belas ehsan yang tinggi dan tidak sombong. Namun hakikatnya pada ketika ini masyarakat Islam secara umumnya gagal menterjemahkan kriteria-kriteria ideal ini dalam dimensi kehidupan sekaligus gagal menjadi panutan kepada masyarakat dunia secara keseluruhannya.
Ironinya, masyarakat Jepun, Switzerland dan Scandinavia iaitu Finland, Sweden, Norway dan Denmark sering meniti di bibir masyarakat dunia sebagai masyarakat contoh yang dikatakan mempunyai disiplin dan kesedaran sivik yang tinggi. Wartawan Helen Russel sebagai contoh menulis buku The Year of Living Danishly menceritakan pengalaman beliau tinggal selama hampir setahun di pedalaman Jutland sambil mencari rahsia kebahagian masyarakat Danes ini seperti yang diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Beliau merasai sendiri dan memerhati beberapa sudut kehidupan masyarakat Danes seperti pendidikan, makanan, penjagaan kanak-kanak, hiasan dalaman rumah, cukai dan hobi. Contoh ringkas pengalaman Helen ialah bagaimana masyarakat pedalaman Jutland mempunyai tabiat yang baik dalam mengurus dan mengitar semula bahan buangan rumah dan sampah secara berdisiplin dan tertib.
Penulis juga berpeluang membuat pemerhatian singkat di Jepun, Switzerland dan Sweden dan mendapati masyarakatnya yang berdisiplin, bersih, menepati masa, mempunyai keseimbangan di antara kerja dan kehidupan dan berintegriti tinggi. Setiap Negara tersebut mempunyai keunikannya yang tersendiri seperti masyarakat Jepun yang mempunyai integriti yang tinggi tidak mengambil harta orang lain walaupun harta tersebut tertinggal di kawasan awam terbuka. Masyarakat Switzerland yang hidup sederhana dan tidak berlumba-lumba memperagakan kemewahan dan masyarakat Sweden yang mempunyai rasa simpati yang tinggi kepada masyarakat dunia yang kurang bernasib baik dengan mengambil sejumlah pendatang dan immigran dari Somalia, Bosnia dan Syria untuk diserap menjadi pemastautin dan seterusnya menjadi warganegaranya.
Malangnya, apabila melihat contoh Negara-Negara tersebut, mungkin ada sesetengah masyarakat dunia berkesimpulan bahawa untuk menjadi masyarakat yang baik tidak semestinya memerlukan agama kerana Negara-Negara tersebut tidak berpaksikan agama, tidak mempercayai agama dan berpaksikan ideologi sekular. Justeru golongan atheis seperti Sam Harris dan Dawkins pantas menyimpulkan bahawa untuk menjadi baik tidak semestinya mesti beragama dan mempercayai konsep ketuhanan. Pada mereka sains dan masyarakat itu sendiri sudah boleh menentukan sendiri nilai kebaikan tersebut.
Dalam tradisi keilmuan Islam, akal mempunyai peranan menentukan baik buruk namun ianya terbatas kerana terdapat perkara-perkara ghaibiyyat di luar jangkaan akal dan pancaindera. Justeru akal perlu dipandukan dengan wahyu daripada yang Maha Esa.
Sebagai masyarakat Islam yang beriman, Negara-Negara yang disebutkan di atas walaupun mempunyai ciri-ciri masyarakat yang berdisiplin dan mempunyai kesedaran sivik yang tinggi namunnya tetap mempunyai kekurangan daripada segi aspek ketuhanan dan kerohanian. Masyarakat Islam yang ideal adalah masyarakat yang berpaksikan peradaban yang berpaksikan akhlak rabbani atau ethical civilization. Tamadun yang diasaskan oleh Islam adalah tamadun yang seimbang di antara material dan rohani.
Namun persoalan yang timbul ialah hampir tiada masyarakat di dunia Islam yang mampu menjadi contoh masyarakat mithali yang mampu menandingi masyarakat-masyaralat tersebut bahkan jauh ketinggalan apabila diukur daripada sudut indeks Keislaman oleh Profesor Hossein Askari. Sebaliknya Negara-Negara yang datang bukan dari dunia Islam seperti yang disebutkan di atas yang menempati kedudukan teratas Islamicity Index tersebut.
Bila dilawati Negara-Negara di dunia Islam, maka terserlah imej-imej yang memalukan seperti budaya tidak menepati masa; tandas yang kotor; rasuah; kecurian barang; gaya hidup mewah yang melampau; dan hilang sifat kemanusiaan. Benarlah Islam terhijab oleh penganutnya sendiri.
Malaysia dan Turki antara contoh limited edition yang boleh diketengahkan sebagai contoh masyarakat mithali. Pendakwah dan pendidik harus bekerja keras mendidik dan mempersiapkan masyarakatnya supaya bukan sahaja beragama tetapi memperlihatkan keindahan Islam melalui perlakuan kehidupan seharian yang berintegriti, berakhlak, sederhana, berdisiplin, pembersih dan menepati masa.
Proses tarbiyyah, ta’dib dan pendidikan masyarakat khususnya generasi muda memerlukan masa yang panjang dan kesabaran. Pendidikan menurut Malcolm X atau Abdul Malik Shabbaz, pejuang hak-hak sivil Amerika adalah pasport untuk cemerlang di masa hadapan. Di kala kecelaruan proses pendidikan formal, pendakwah dan pendidik wajar mempopularkan pendidikan informal melalui proses usrah, ribat, pementoran, tarekat dan latihan bagi membentuk masyarakat mithali di masa hadapan.
Deria rasa sejagat atau common sense antara dimensi yang hilang di hati sanubari masyarakat Malaysia yang wajar diberikan perhatian oleh para pendidik. Kita mahu suatu hari nanti masyarakat Malaysia akan meniti di setiap bibir penduduk dunia sebagai masyarakat mithali yang berpaksikan agama dan ketamadunan dan tersenarai di World Happiness Report sebagai masyarakat yang paling bahagia dan seimbang di dunia.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan