Rayuan untuk Syria
Selasa, Mei 22, 2018
Kolum Dunia Islam Majalah al-Ustaz Bilangan 73
Kashmir Yang Kian Dilupakan
JUFITRI JOHA
Naib Presiden ABIM
Sewaktu memegang portfolio Naib Presiden Hal Ehwal Antarabangsa Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), ada dua program utama yang tidak pernah saya terlepas saban tahun. Dua program tersebut dianjurkan bersama Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Pakistan di Malaysia. Dua program penting tersebut ialah sambutan memperingati Kashmir Solidarity Day 9 Februari dan Kashmir Black Day 27 Oktober pada setiap tahun bagi mengenang perjuangan dan penderitaan rakyat Kashmir menuntut kemerdekaan dan kebebasan semenjak 1947.
Shaista Safi, aktivis Kashmir yang mengunjungi kami baru-baru ini menyatakan bahawa Kerajaan India lebih berjaya daripada Kerajaan Zionis Israel kerana Kerajaan India berjaya menutup penindasan dan kezaliman yang berlaku ke atas rakyat Kashmir berbanding penindasan dan kezaliman yang berlaku ke atas rakyat Palestin. Saf kelihatan “cemburu” apabila umat Islam dan pejuang kemanusiaan banyak memperjuang dan membela nasib rakyat Palestin dan Rohingya berbanding nasib rakyat Kashmir yang kurang didengari khusus di media massa.
Kashmir atau lebih tepat Jammu dan Kashmir yang merdeka daripada pemerintahan British mempunyai pilihan sama ada untuk terus merdeka atau memilih menyertai India atau Pakistan. Wilayah istimewa yang menjadi rebutan dua negara India dan Pakistan diputuskan secara rasmi oleh Resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 1949 agar diadakan referendum atau pungutan suara di kalangan rakyat Kashmir bagi menentukan nasib dan masa hadapan mereka sendiri (self-determination).
Sudah tentu wilayah yang dihuni majoriti Muslim mempunyai hasrat untuk menjadi sebuah negara merdeka kerana mereka sudah tentu tidak selesa berada di bawah pemerintahan India dan minoriti bukan Islam Kashmir tidak selesa berada di bawah pemerintahan Pakistan. Malangnya hasrat yang datang daripada hati nurani mereka dinafikan di mana referendum tidak langsung berlaku oleh pihak yang berwajib.
Semenjak tarikh hitam tersebut rakyat Kashmir terus sengsara manakala India dan Pakistan terlibat dalam tiga kancah perang bagi merebut wilayah istimewa ini.
Hasrat yang ternafi dan tertangguh ini terus diperjuangkan oleh rakyat Kashmir dan pejuang pejuang kemanusiaan sehinggakan ratusan ribu nyawa yang terkorban. Kashmir Black Day pada 27 Oktober disambut bagi memperingati dan memprotes penjajahan India terhadap wilayah Kashmir pada 1947 dengan dokongan Maharaja Kashmir yang bukan beragama Islam manakala Kashmir Solidarity Day pada 9 Februari yang dicadangkan oleh Pakistan adalah bagi memberikan sokongan dan dokongan kepada perjuangan rakyat Kashmir yang terjajah di bawah India. Hari solidariti ini kali pertama dicadangkan oleh Parti Jamaati Islami Pakistan pada tahun 1990.
Aktivis Shaista Safi cuba membangkitkan semula nuansa perjuangan rakyat Kashmir sambil memberikan berita kemaskini perkembangan yang berlaku di sana. Agar sukar mendapat berita daripada lapangan apabila akses kepada berita sebenar cuba ditutup oleh Kerajaan India. Penulis yakin kebanyakan rakyat Malaysia tidak mengetahui dan cakna terhadap perkara yang sebenar berlaku dan masih menganggap Kashmir adalah wilayah yang aman dan merupakan destinasi pelancongan yang popular.
Aktivis Shaista Safi sempat berkongsi keluhan apabila Dunia Islam hanya mampu membisu sedangkan akhbar-akhbar Barat seperti The Gurdian dan Telegraph banyak menulis berkenaan perjuangan rakyat Kashmir dan pencabulan hak asasi oleh Kerajaan India di dalam wilayah bergolak ini. Pejuang-pejuang pembebasan ditangkap dan dibunuh dan paling menyayat hati jenazah pejuang-pejuang ini dilenyapkan dan tidak dikembalikan ke pangkuan keluarga untuk disemadikan secara sepatutnya. Mana-mana rakyat Kashmir yang cuba mempraktiskan hak mereka untuk memprotes akan dibunuh tanpa belas kasihan.
Safi juga menghimbau nasib kanak-kanak yang terpaksa hidup dalam keadaan yang tidak sempurna bahkan terpaksa berhadapan dengan serangan-serangan peluru berangkai pallet yang digunakan oleh askar India untuk berhadapan pemprotes rakyat Kashmir. Peluru berangkai ini mampu membutakan mata sesiapa yang mengenainya.
11 Julai 2016 merupakan detik hitam bagi gadis 16 tahun bernama Insha Mushtaq. Beliau kehilangan penglihatan apabila membuka jendela untuk melihat kekecohan yang berlaku akibat protes jalanan rakyat Kashmir yang terpaksa berhadapan dengan kebrutalan pihak berkuasa India di mana peluru berangkai pallet telah terkena di mata, muka dan mulutnya. Peristiwa tersebut menyebabkan Insha kehilangan penglihatan buat selama-lamanya walaupun berusaha mendapat rawatan di New Delhi dan Mumbai.
Dilaporkan bahawa hampir 1200 pemprotes terkena dengan pallet ini di mata ketika protes musim panas 2016 menyebabkan mereka buta atau separuh buta. Hampir 14 peratus mangsa pallet adalah kanak-kanak di bawah umur 15 tahun. Ini merupakan suatu yang tragik pada masa hadapan kanak-kanak tersebut. Insha mahu pelakunya dihukum namun dia sedar bahawa Kerajaan India sama sekali tidak akan mempedulikannya permintaan dan rayuannya. Insha tidak mampu makan, membaca, ke bilik air dan mahupun ke sekolah sebaliknya terpaksa bergantung ehsan dan pertolongan daripada kedua ibubapanya.
Amnesty International telah melakukan advokasi pada 2017 agar Kerajaan India mengharamkan penggunaan pallet ini di Kashmir kerana telah membutakan ratusan rakyat Kashmir dan membunuh sekurang-kurang 14 orang semenjak 2016. Perlakuan ini jelas memperlihatkan kezaliman ke atas rakyat Kashmir yang hanya mahu menuntut hak kemerdekaan yang tertangguh.
Shaista Safi juga mendedahkan taktik Kerajaan India menangguhkan referendum sehingga ke hari ini agar mereka dapat memastikan penduduk Hindu menjadi majoriti di wilayah Jammu dan Kashmir dengan terus menerus melakukan pembunuhan ke atas rakyat Muslim Kashmir. Dengan cara jijik dan taktik kotor ini akan memudahkan majoriti penduduk Hindu Kashmir akan mengundi untuk kekal bersama India.
Shaista Safi bersama suaminya Muzammil Ayub Thakur iaitu Presiden World Kashmir Freedom Movement yang berpengkalan di London aktif memperjuang dan mengadvokasikan isu Kashmir di seluruh dunia. Semoga usaha gigih mereka berdua terus mendapat dokongan bagi menamatkan isu hak asasi manusia yang ternafi di bumi Kashmir ini. Semoga kita tidak melupakan Kashmir di dalam munajat kita.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan