Rayuan untuk Syria

Rayuan untuk Syria

Rabu, April 29, 2020

Catatan Dr. Maza



Semalam ada anak didik saya melakukan 'tag' di Facebook nama saya di artikel terbaru tulisan SS. Dr. Maza, Mufti Perlis bertajuk 𝐊𝐄𝐌𝐀𝐓𝐈𝐀𝐍 𝐌𝐄𝐍𝐆𝐈𝐍𝐆𝐀𝐓𝐊𝐀𝐍 𝐊𝐈𝐓𝐀 𝐏𝐀𝐃𝐀 𝐏𝐄𝐑𝐉𝐀𝐋𝐀𝐍𝐀𝐍 𝐇𝐈𝐃𝐔𝐏 di mana ada diabadikan nama saya selaku salah seorang aktivis yang membantu perjuangan ilmu beliau di 'The Garden of Virtue and Knowledge' UIAM Gombak. Ya, walaupun tidak 'subscribe' sepenuhnya idea pemikiran beliau tetapi saya tidak menafikan saya amat terkesan dengan keilmuan, fikiran kritis, kepimpinan dan ketajaman beliau. Beliau pernah mendidik kami cara menyampaikan ilmu agama dengan mendedahkan kami sebagai panelis forum di salah sebuah masjid di Pulau Pinang. Beliau juga mendedahkan saya kepada dunia penulisan dengan membuka ruang menulis di Majalah Tamadun di mana beliau turut menjadi kolumnis di situ.

Saya juga terkesan dengan beberapa pemikiran beliau sebagai contoh beliau mengajar saya agar cintakan ilmu, bersikap kritis terhadap sumber-sumber agama, bercakap berlandaskan fakta dan sumber yang sahih dan tidak taksub terhadap tokoh atau jamaah. Banyak yang saya terhutang budi kepada beliau dan saya ucap terima kasih atas pengiktirafan beliau terhadap saya.

Sedutan daripada tulisan beliau:

𝗔𝗸𝘁𝗶𝘃𝗶𝘀 𝗣𝗲𝗹𝗮𝗷𝗮𝗿
Kami membuat banyak program pengajian. Banyak siri ceramah saya dibuat atas usaha dan bantuan pelajar. Ratusan pelajar menghadiri kuliah saya. Ia rentas aliran politik dan kumpulan. Satu arus baru ketika itu. Isu-isu hadis menjadi tajuk saya. Ramai pelajar aktif membantu saya. Kami begitu rapat. Semasa Ramadan begitu meriah berbuka bersama. Antara aktivis program ketika itu Dr. Irwan Ariffin, Ustaz Abdul Razak Mutalib, Mohd Khairil Anwar (IJN), Saudara Amin Idris, Ustaz Malik Isa, Ustaz Yusof Arbain, Saudara Jufitri Joha, Ustaz Husnin bin Ahmad, Saudara Ruzaini dan ramai lagi. Ramai yang menjadi tokoh-tokoh penting di tempat mereka. Sehingga hari ini ramai juga sahabat-sahabat itu masih berhubungan baik dengan saya. Ramai mereka terus membantu saya sehingga kini alhamdulillah. Antara siswi yang aktif membantu aktiviti kami ialah Ustazah Rabiatul Adawiyah Hj. Ahmad, Saudari Haslina, Ustazah Sakinah dan ramai lagi.


Artikel penuh beliau boleh dibaca di pautan: https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10158438870167990&id=279290772989

Jumaat, April 24, 2020

WARKAH TERBUKA BUAT PEMIMPIN PERGERAKAN BELIA NEGARA



WARKAH TERBUKA BUAT PEMIMPIN PERGERAKAN BELIA

Oleh:
JUFITRI JOHA
Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM)


22 April 2020 bertepatan 28 Syaaban 1431 H mencatat sejarah tersendiri dalam sejarah pergerakan belia Negara apabila Menteri Belia dan Sukan Dato’ Seri Reezal Merican menyerahkan bantuan pentadbiran sejumlah 2 juta kepada Majlis Belia Malaysia (MBM) dan 19 badan induk belia kebangsaan yang bernaung di bawah MBM untuk mendayaupayakan fungsi dan peranan sebagai penggerak pembangunan belia. Ini merupakan kali pertama seumpamanya semenjak Oktober 2018 ketika kepimpinan MBM sesi 2018-2020 mengambil alih kepimpinan MBM. Latarbelakang Dato’ Sri Reezal atau mesra dengan jolokan nama "abang Jai" sebagai mantan Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS / Sesi 2006 - 2009) dan kemahiran mengurus pemegang taruh utama menjadikan proses ini mudah dan lancar.

1 juta akan diagihkan segera kepada 19 badan induk utama belia kebangsaan pelbagai kaum dan agama seperti Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Pergerakan Belia India Muslim Malaysia (GEPIMA), Junior Chamber International (JCI) Malaysia, Pergerakan Pemuda Malaysia (YMM) dan Majlis Belia Hindu Malaysia (HYO). Pastinya bantuan pentadbiran serba sedikit melegakan mereka kerana ada yang sebelum ini terpaksa menutup pejabat, menggunakan duit poket sendiri membayar sewa pejabat, memecahkan tabung ayam, memberhentikan staf, berhutang keliling pinggang dan juga dikejar surat peguam untuk tuntutan hutang. Pusingan kedua bantuan pentadbiran akan diusahakan kepada Majlis Belia Negeri (MBN), Majlis Belia Daerah (MBD) dan Badan Uniform.

Bantuan pentadbiran ini jika diuruskan dengan baik, penuh integriti dan cekap, maka ia boleh membantu pergerakan belia untuk mengumpul aset, membuat tabungan, membuat sedikit pelaburan dan dijadikan modal untuk menjana pendapatan sendiri. Selepas 2 tahun yang sukar, maka agenda kemandirian pergerakan belia wajar menjadi keutamaan. Mengambil mithal Majlis Belia Negeri Terengganu (MBNT), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) yang sudah pun memiliki bangunan dan aset tersendiri, sedikit sebanyak membantu kemandirian apatah lagi ketika berlaku keputusan bantuan pentadbiran. Idealisme dan material penting untuk sama-sama dibangun dan dibugarkan.

Bagi MBM yang patut sudah lama mandiri (nanti kita cerita waktu lain topik ini), bantuan pentadbiran ini wajar digunakan secara berhemah dan diuruskan secara bijak. Selain bagi menampung kos pentadbiran dan menjana pendapatan, bantuan ini sangat membantu untuk MBM menjalankan fungsi secara berkesan sebagai badan induk pergerakan belia dan suara rasmi belia Malaysia. Tugasan MBM amat mencabar untuk mewakili 14.7 juta jiwa muda yang rencam dan berkelompok dengan membawa suara dan aspirasi kepada pihak pembuat keputusan dan polisi. MBM juga harus memenangi hati mereka dan menjadikan merasa MBM adalah organisasi yang sentiasa membela nasib mereka dan bukannya syok sendiri, berebut jawatan dan memikirkan keuntungan diri sendiri. Kritikan terhadap MBM sebelum ini tidak harus dipandang enteng bahkan pimpinan MBM wajib bermuhasabah sementelah bantuan pentadbiran ini adalah amanah wang rakyat dan pembayar cukai supaya MBM benar-benar menjadi jurubicara belia dan rakyat kebanyakan. Secara jujur, sepanjang tempoh sesi ini, MBM belum benar-benar mampu memainkan fungsi secara efisyen dan smart disebabkan tumpuan terpaksa diberikan kepada soal survival bulanan dan pergeseran yang sengit dengan kepimpinan politik lama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang banyak membuang masa.

Dengan dana yang mencukupi, MBM boleh fokus kepada soal yang lebih besar seperti Pembudayaan Ilmu; Pengkaderan pemimpin muda bertaraf global; Penyerlahan potensi belia di bidang keusahawanan, kemahiran, pendidikan dan kesukarelawanan; Pengantarabangsaan belia; Penggubalan dan rekomendasi polisi-polisi Negara yang berkaitan dengan kepentingan belia; Advokasi dan melobi isu-isu belia di Parlimen; Menggerakkan MBM Holdings bagi menjana dana kemandirian; Membantu membentuk negara bangsa melalui perpaduan kaum dan integrasi nasional; dan Mewujudkan pasukan ‘think do tank’ belia yang mampu menghasilkan idea-idea besar untuk belia dan Negara.

Bantuan pentadbiran ini benar-benar mengdayaupayakan pergerakan belia negara selaras dengan hasrat dan citra YB Menteri Belia untuk ‘empower’ MBM sebagai induk belia kebangsaan dan terus berperanan sebagaimana yang disifatkan oleh YB Menteri sebagai ‘confidence builder’ dalam lubuk masyarakat. Dalam konteks ini, apa yang difahami ialah pertubuhan masyarakat madani (CSO) belia seperti MBM dan badan gabungannya mampu menjadi jenama dipercayai masyarakat sekaligus menjadi jambatan kukuh antara Kerajaan dengan belia serta rakyat. Mengambil contoh bagaimana aktifnya Relawan MBM (RM) dan badan gabungan MBM membantu belia dan rakyat yang terkesan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Bantuan RM 100 000 yang diumumkan oleh YB Menteri Belia telah disalurkan secara langsung kepada penerima yang layak.

Sewaktu awal tempoh PKP, Relawan MBM (RM) bersama Majlis Belia Sabah, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) antara yang terkehadapan membantu para mahasiwa yang keputusan bekalan makanan. Inilah apa yang disifatkan oleh Alvin & Heidi Tofler dalam Revolutionary Wealth bahawa CSO mempunyai kelajuan (speed) yang tersendiri. Kombinasi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di pihak Kerajaan dengar sumber dananya dan MBM di pihak CSO dengan kekuatan kelajuannya adalah model yang terbaik mendepani dan menangani isu belia dan rakyat. Tindakan YB Menteri Belia meletakkan MBM di perbatasan hadapan dengan sokongan dana yang kuat adalah tepat dalam menjayakan bantaun Covid-19 semasa PKP. Tindakan ini wajar diteruskan pada masa-masa mendatang. Sebagai CSO belia, MBM akan kekal secara kolektif non-partisan tetapi tiada masalah untuk mendokong Kerajaan semasa atau ‘government of the day’ selama mana agenda utamanya adalah untuk kepentingan belia dan rakyat. MBM yakin dengan peranan ini dan tidaklah berhasrat menjadi seperti Nashi Youth Movement di Rusia. MBM yakin jika Kerajaan baik, bagus dan kurang politiking maka belia dan rakyat akan dokong. MBM akan terus menjadi 'check and balance' dan menawarkan constructive criticism kepada pihak Kerajaan without fear or favour. Budaya bodek dan jilat adalah budaya lama yang wajib ditinggalkan jika ingin melihatkan belia, rakyat, Kerajaan dan Negara terus maju ke hadapan.

Dengan kekuatan akar umbi dan menyeluruh merangkum 40 badan gabungan, 104 majlis belia daerah (termasuk yang terbaru Majlis Belia Daerah Kuala Nerus), 6 gabungan belia kawasan besar di Sabah, 74 cawangan pertubuhan Saberkas di Sarawak dan 8924 pertubuhan belia yang berdaftar dan aktif jika digembeling dengan sebaiknya maka pergerakan belia mampu memainkan peranan yang berkesan. Gerakan Belia 4b Malaysia sahaja dengan kekuatan 1908 cawangan yang aktif di 145 kawasan parlimen mampu menjadi ‘foot soldier’ yang berkesan di akar umbi.

Bantuan pentadbiran memberikan semangat baru kepada pergerakan belia untuk fokus membantu belia dan rakyat berhadapan dengan cabaran semasa PKP dan cabaran pasca Covid-19 yang dijangka lebih mencabar khususnya yang terkait dengan ekonomi dan pengangguran. Pengakap Kelana dan Majlis Belia India Malaysia (MIYC) antara yang terus bersemangat terkehadapan membantu rakyat pelbagai kaum yang terkesan dengan PKP. ABIM tak payah ceritalah sebab mereka telah lama terkehadapan dalam bab-bab sebegini bahkan telah menginstitusikan bantuan kemanusiaan dan bencana menjadi Global Peace Mission (GPM) Malaysia. Jelas, peranan pemimpin belia adalah crucial sebagai penyelesai masalah. Ini juga bertepatan dengan kajian yang dilakukan oleh Siti Raba’ah Hamzah (2005) bahawa terdapat 6 peranan utama pemimpin belia sebagai agen perubahan iaitu sebagai:

1) pengurus; 2) pembantu proses; 3) perunding; 4) penggerak; 5) penyelesai masalah; dan 6) penghubung sumber.

Pemimpin belia juga boleh menjadi pembantu proses kepada tawaran Pakej Rangsangan Ekonomi yang diumumkan sempena PKP bagi memudahkan belia dan rakyat memohon. Pakej tersebut bakal dan sedang memanfaatkan 3.8 juta belia namun persoalannya mungkin ada yang tidak menyedarinya dan tidak tahu bagaimana memohonnya. Di situ datangnya peranan pemimpin belia. Ketika bertemu dan bersembang Pengerusi Majlis Belia Daerah (MBD) Bentong, saya dapati selepas Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY) membuat penaziran dan pengauditan kepada MBD Bentong, barulah beliau menyedari bahawa peranan utama pemimpin MBD ialah bukanlah menunggu dana-dana besar dan menganjurkan program keramaian yang tidak mempunyai impak tinggi tetapi yang lebih penting pemimpin MBD perlu menjadi pemudahcara belia. Dalam contoh spesifik, bagaimana pemimpin MBD boleh menjadi pemudahcara kepada para belia untuk memasarkan produk mereka melalui Malaysia External Trade Development Corporation (MATRADE).

Pemimpin belia juga harus berperanan aktif menjadi penghubung sumber tentang bagaimana membantu usahawan belia PKS memanfaatkan Pakej Rangsangan Ekonomi (Tambahan PKS). Secara ringkas pemimpin belia harus memerah otak untuk menangani isu pekerjaan dan pengangguran. Sudah sampai masanya juga pemimpin belia melakukan inovasi sosial untuk mengembangkan pergerakan belia sebagai sumber peluang pekerjaan sekaligus mencipta peluang pekerjaan. Ini sudah terbukti apabila ada antara pemenang utama Anugerah Belia Negara Kategori Pertubuhan Belia yang menang saban tahun telah pun berperanan dengan jayanya menjadi sumber peluang pekerjaan di mana mereka menyelesaikan masalah sosial sekaligus menjana pendapatan dan pekerjaan untuk ahli mereka. Ini adalah semangat keusahawanan sosial. Model-model kejayaan seperti ini wajar diangkat sebagai hero tidak didendang dan di replicate. Selain itu dunia pembangunan belia juga harus bergerak serius ke arah profesionalisme kerja belia dengan mewujudkan sektor baharu iaitu pekerja belia sebagai satu bidang profesyen membangun belia secara sepenuh masa dan profesional. MBM sudah mula mengorak langkah ke arah ini dengan menubuhkan Federasi Kebangsaan Pekerja Belia (FKPB) pada 2017 dan membantu KBS menyiapkan National Occupational Skills Standard (NOSS) untuk kerja belia. MBM ingin melihatkan seluruh staf MBM, MBN dan MBD menjadi pekerja belia profesional dengan gaji standard, ada persijilan, ada peningkatan kemahiran profesional dan peluang kerjaya yang cerah. Bagi pemimpin belia yang tidak ke arena politik boleh terus menyumbang dalam pembangunan belia (walaupun sudah habis umur belia) secara profesional sama ada separuh masa atau sepenuh masa.

Model lain seperti Persatuan Belia Buddhist Malaysia (YBAM) sebagai contoh dalam kalangan belia Buddhist wajar diuar-uarkan di media. Persatuan belia ini sebagai contoh telah mempunyai bangunan pejabat sendiri yang hiasan dalamannya bercirikan hipster di samping mempunyai konti radio sendiri dan pusat kaunseling yang aktif. Model-model yang baik seperti ini memberikan justifikasi kuat agar Kerajaan khususnya KBS terus membantu pendayaupayaan pergerakan belia.

Seperkara lagi yang penting, dengan bantuan pentadbiran ini diharap akan merangsang lebih banyak kelompok belia berbasiskan minat (interest) dan belia indie di luar sana untuk terlibat secara aktif dalam pergerakan belia Negara sama ada menyertai mana-mana pertubuhan belia yang sedia ada atau menubuhkan persatuan belia sendiri. MBM yakin ini merupakan bentuk baru partisipasi politik anak muda di mana tidak semestinya mereka aktif dalam politik kepartian tetapi mereka juga boleh menyumbang kepada sfera demokrasi dengan menggerakkan CSO seperti persatuan belia. MBM juga berharap badan gabungan MBM khususnya Majlis Belia Negeri (MBN) dan Majlis Belia Daerah (MBD) boleh merangsang belia dengan menaja lebih banyak penubuhan persatuan belia sekaligus mengajak mereka bergabung. Dengan ini, MBM mampu mengkoordinasi lebih banyak kelompok belia sekaligus mengekalkan relevensi MBM. Dengan menggalakkan belia berpersatuan sebagai medium pembangunan belia positif atau positive youth development (PYD) akan menggilap lebih ramai bakat anak muda dalam masa yang sama menghindari mereka daripada gejala sosial dan menjimatkan wang negara.

Di peringkat kebangsaan, MBM sedang membidani kelahiran Majlis Belia OKU dan Majlis Belia Tahfiz di samping mendayaupayakan semula pertubuhan belia minoriti seperti Persatuan Belia Sikh dan Majlis Belia Orang Asli (MBOA). MBM juga mengalu-alukan mana-mana kelompok belia untuk bergabung kekuatan dengan MBM. Pertubuhan belia era baharu yang berjaya menarik segmen baru anak muda seperti Youth Power Club (YPC) dan Angkatan Belia MFLS (ABM) amat dialu-alukan. MBM adalah payung untuk semua belia dan wajar berwatak inklusif. MBM adalah ‘melting pot’ untuk semua belia tanpa mengira kaum, agama, gender, kedudukan geografi, fahaman politik dan aliran pemikiran.

Dengan peranan yang berkesan yang telah, sedang dan bakal dimainkan maka MBM dan seluruh pergerakan belia akan dipandang benar-benar berwibawa dan masyarakat tidak akan sekali-kali mempertikaikan jumlah bantuan pentadbiran yang diterima bahkan ia merupakan pelaburan Kerajaan yang sangat berbaloi.

Dana ini datang dengan tanggungjawab besar bukan untuk "bergumbira" semata-mata!.

Ayuh pemimpin belia, masa untuk khidmat Negara!



Nilai - 4.08 pm 1 Ramadahn 1441 H

Selasa, April 21, 2020

Malcolm X di Alam Melayu



Ketika merayau meninjau carian nama Jufitri, saya terjumpa artikel yang amat baik oleh guru saya Profesor Khairudin Aljunied tentang Malcolm X. Beliau membuat analisas tentang pengaruh perjuangan Malcolm X di alam Melayu. Profesor Khairudin ada memetik artikel saya berkaitan ulasan program resensi buku 'Malcolm X Talks to Young People' di mana ianya merupakan himpunan ucapan-ucapan bertenaga Malcolm X kepada anak muda di Amerika, Britain dan Afrika. Artikel saya boleh diakses di https://belia.org.my/wp/2016/04/19/kupasan-buku-malcolm-x-talks-to-young-people/.

Saya mula mengenali Malcolm X melalui ABIM. ABIM pernah memperkenalkan pejuang hak-hak sivil Amerika ini suatu ketika dahulu. Artikel Profesor Khairudin boleh diakses di : https://yaqeeninstitute.org/khairudin-aljunied/the-mythicization-and-mobilization-of-malcolm-x-in-the-malay-world/

Kenangan di SMAP Kajang



Beberapa hari lepas ada seorang senior saya di sekolah mengirimkan gambar di atas. Ketika beliau membelek album lamanya lalu beliau terperasan gambar ini lalu menghantarnya ke whatsapp saya. Saya teruja dengan gambar ini kerana ianya diambil di sekolah menengah saya, seingat saya sama ada tingkatan 1 atau tingkatan 2 sekitar tahun 1991 atau 1992. Lalu saya kongsikan petikan tulisan pengalaman saya di sekolah menengah yang dimuatkan dalam buku Tokoh Belia Negara yang saya tulis sendiri.

INKUBATOR 2: SEKOLAH MENENGAH AGAMA PERSEKUTUAN KAJANG (SMAP KAJANG)

Selepas cemerlang di Sekolah Kebangsaan Khir Johari Perai dengan keputusan 4 A UPSR pada tahun 1990, saya menerima perhargaan daripada Ahli Parlimen Permatang Pauh yang juga Menteri Pendidikan Malaysia Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada ketika itu. Hadiah disampaikan oleh Tan Sri Khalil Yaakob (sekarang Yang Dipertua Negeri Melaka) yang ketika turut berada dalam Kabinet Malaysia atas jemputan Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Saya masih ingat hadiah RM 50 yang diterima merupakan jumlah yang ketika itu bagi saya terlalu besar dan amat berharga.

Saya diterima masuk ke sekolah idaman Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP) Kajang yang baru sahaja dibuka. Ketika itu, Pengetuanya adalah Ustaz Saim Ithnin. Saya menjadi batch peneroka yang kedua menghuni sekolah yang tandus dan gersang kerana ketiadaan pokok-pokok. Kolej Islam Kelang (KIK) dan SMAP Labu merupakan adik beradik SMAP Kajang dan sering menjadi rival dalam menjadi sekolah terbaik Malaysia bagi kategori sekolah agama berasrama penuh. SMAPK ketika itu menjadi sekolah yang menjadi dambaan ibubapa yang mahu lihat anak mereka masuk dan berjaya di situ. Saya antara yang terpilih dan dipilih Allah di mana sekali saya membanggakan ayahbonda atas kejayaan ini. Saat ini saya mengharap adik-adik SMAP Kajang terus menjaga reputasi dan imej cemerlang SMAP Kajang untuk terus mendominasi sebagai antara sekolah terbaik Negara melahirkan cerdik pandai dan pimpinan Negara.

Walaupun tadika dan Sekolah Khir Johari telah banyak mencetak perjalanan kejayaan awal saya namun SMAPK merupakan inkubator kedua terpenting yang merintis kejayaan hingga ke puncak. SMAPK juga melahirkan ramai tokoh – tokoh hebat yang bermanfaat dalam masyarakat seperti Ustaz Nazri Chik (Pengurus Besar di Bank Islam), Ustaz Ahmad Husni Abdul Rahman (Ustaz Selebriti), Muhammad Hisyamuddin (YDP ABIM Pahang), Dr. Muhamad Razak Idris (Mantan Presiden ABIM), Syuhaida Abdul Wahab Zen (Timbalan Setiausaha Bahagian Kementerian Dalam Negeri), Norisman Sulaiman (Ketua Operasi Global Nimez Petroleum Group), Ustaz Syed Abdul Kader (Exco Pemuda PAS), Suffian Amrin (DJ IKIM) dan Dr. Mohd Izwan Md Yusof (Penolong Pengarah Unit ‘Ilaj wa Shifa’ Juvana, Pengguna Dadah dan Alkohol JAKIM).

5 tahun merupakan masa yang terlalu singkat, saya bukan sahaja mendapat pelajaran tetapi pendidikan daripada guru-guru terbaik dan komited. Ustaz Ismail Che Ku, Ustazah Shamsiah dan Ustaz Bakru Rozi antara yang mempunyai saham yang besar terhadap saya. Di sekolah kami diajar dengan menjaga solat, mathurat, qiyamullail, menjadi imam dan khatib serta dalam masa yang sama untuk cemerlang dalam bidang akademik. Banyak hafalan al-Quran saya tersemat kukuh sehingga kini adalah usaha berterusan semenjak zaman persekolahan yang kerap ditekankan dan digalakkan oleh Ustaz Ismail Che Ku.

Bagi saya, komitmen guru-guru yang kasih dan komited kepada anak muridnya merupakan ramuan kejayaan kepada para pelajar. Seingat saya ketika berada 5 Neptune (aliran agama), guru-guru menjadi ibubapa kami di kala berjauhan dengan keluarga dan mereka amat penyayang dan prihatin terhadap pelajaran kami. Antara kata-kata yang terkesan di jiwa saya apabila Ustazah Mumtamah, guru subjek al-Quran dan as-Sunnah kami mengingatkan agar tidak belajar kerana untuk mendapatkan kerjaya sebaliknya mendidik kami belajar kerana untuk mendapat redho Allah dan keluar daripada belenggu kejahilan. Akibat belajar kerana keduniaan maka neraka akibatnya. Kata-kata hikmah yang keluar daripada seorang guru yang ikhlas mengajar menjadi obor pembakar semangat kepada para pelajar seperti saya. Semoga Allah merahmati guru-guru kami.

4 dan 5 Neptune menjadi kelas lagenda apabila kami dianggap sebagai kelas terbaik yang mempunyai kejelikitan yang padu antara guru-guru dan pelajarnya. Walaupun cita-cita menjadi pengawas tidak kesampaian namun bakat kepimpinan diasuh apabila saya terpilih menjadi pustakawan dan projek imam-bilal di Surau Al-Ehsan SMAPK. Namun begitu, saya merupakan ima pelatih lapisan kedua yang tidak berpeluang menyampaikan khutbah ketika solat Jumaat di sekolah. Saya sering naik sebagai imam solat dan mengasah bakat berpidato dengan menyampaikan tazkirah berkaitan dunia Islam. Di situ keyakinan meningkat dan perasan malu sebagai introvert dikikis. Namun sedikit latihan tersebut ketika menjadi imam pelatih, membantu membina keyakinan diri untuk menjadi iman dan berkhutbah selepas tamat alam persekolahan. Saya memang pemalu khususnya kepada budak perempuan tapi saya suka kacau budak perempuan balik sekolah kerana asrama saya di blok D memang bertentangan dengan susur gajah pelajar perempuan untuk balik ke asrama dari sekolah. Apabila kembali semula ke sekolah untuk berforum sempena Sambutan Jubli Perak sekolah baru baru ini (September 2015), Ustaz Bakru Rozi terkejut dengan kepetahan saya berbicara kerana saya dikenali dulunya sebagai seorang yang amat pemalu dan skema. Syukur pengalaman telah merubah penampilan saya. Membaca buku-buku self-help juga boleh membantu membina keyakinan diri.

Dua perkara saya terkilan tidak mendapat peluang sewaktu di sekolah ialah menyertai Kelas Khas Kemahiran al-Quran (KKKQ) atau yang kami gelarkan sebagai kelas KeKaQ di mana ilmu tajwid, qiraat dan taranum diajar secara advance oleh para ustaz dan ustazah yang berkemahiran. Saya cemburu melihat rakan-rakan lain terpilih namun saya gagal dalam ujian saringan dan pemilihan masuk ke kelas KeKaQ. Saya juga terkilan kerana batch kami tidak terpilih untuk belajar bahasa Perancis. Kelas Perancis menjadi subjek wajib kepada junior batch setahun di bawah saya. Saya terasa rugi kerana tidak berpeluang mempelajarinya kerana ia merupakan salah satu bahasa daripada 6 bahasa yang digunakan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) selain Mandarin, Arab, Inggeris, Sepanyol dan Rusia.

Walaupun menjadi Mat Masjid yang sering mendidik adik-adik junior tapi saya turut membuktikan hebat dalam pelajaran dan mewakili sekolah sebagai killer pertama sekolah dalam sepaktakraw. Walaupun fizikal yang rendah dan tubuh yang kecil namun lipatan saya mampu menggerunkan musuh dengan lipatan pacak. Rakan-rakan seperti Ustaz Ahmad Husni Abdul Rahman (Panelis Tanyalah Ustaz di Tv9) sering menjadi sparring killer untuk menunjukkan kehebatan melipat dan melibas. Seingat saya saya menjadi star takraw dan berjaya membawa sekolah ke peringkat separuh akhir kejohanan peringkat mukim bersama rakan sepasukan seperti Ale, Rizal, Fitri, Jigo, Hezri dan Hidayat. Jurulatih kami waktu itu ialah Ustaz Wan Akasyah Wan Abdul Hamid yang akhirnya menjadi personaliti Semanis Kurma Tv9 bersama isterinya Dato’ Siti Norbahyah. Turut aktif bermain sebagai penyerang dalam pertandingan bola sepak dalam liga domestik sekolah. Acara tahunan merentas desa walaupun tidak mendapat top 3 tapi acapkali saya menamatkannya di kedudukan 10 terbaik. Apa yang cuba dibuktikan kepada pelajar-pelajar lain ialah untuk berjaya, maka kejayaan harus diseimbangkan antara akademik, agama dan sukan.

Saya sering dikenali mat skema. Selalu mematuhi arahan sekolah dan tidak pernah dalam ingatan saya terlibat “fly” (keluar sekolah tanpa izin). Fly merupakan amalan biasa kepada pelajar asrama bahkan ilmu fly diturunkan oleh senior di tahun akhir kepada junior agar ilmu itu tidak lenyap dan diwarisi turun temurun. Terkadang warden terpaksa buat roll-call untuk memastikan tiada pelajar yang fly pada waktu malam. Saya rasa curfew dan larangan fly yang dikenakan terhadap pelajar asrama baik untuk mendidik kita akan erti kesabaran daripada godaan dunia dan rayuan nafsu. Ia latihan terbaik untuk fokus terhadap pelajaran dan ibadah manakala peluang outing dua minggu sekali harus digunakan sebaiknya untuk membeli barang dan berjalan-jalan. Guntingan rambut saya sering kali dijadikan contoh oleh warden Ustaz Wan Akasyah sebagai potongan rambut contoh di perhimpunan sekolah. Mungkin sebab saya rendah (paling rendah dalam batch saya) dan selalu berada di barisan hadapan ketika perhimpunan, maka Ustaz Wan Akasyah selalu ternampak saya untuk dijadikan contoh. Saya tak teringat berapa cm tinggi saya tapi saya memang rendah. Saya tidak pernah merokok kerana ingat pesanan bonda yang melarang menghisap rokok. Seperkara lagi yang bonda pesan yang masih diingati ialah jangan masuk silat takut salah guna ilmu. Disebabkan itu saya tidak pernah sekali-kali terlibat mempelajari seni mempertahankan diri seperti silat kerana takut salah guna. Pernah saya berkongsi dorm di blok D bersama-sama senior-senior yang suka ponteng solat jemaah di surau, merokok dan suka mendengar lagu-lagu metal seperti Gun n Roses dan Metallica, namun ianya tidak sedikit mempengaruhi saya dengan izin Allah. Terkadang saya terhafal dan boleh menyanyikan satu dua bait lagu-lagu Gun n Roses. Dengan izin Allah, saya tetap istiqamah sambil melakukan dakwah bil hal dengan harapan agar abang-abang tersebut berubah. Jadi saya menjadi pendakwah cilik seumpama ikan yang tidak masin dek masinnya air laut!....

Bacaan selanjutnya boleh diakses di buku ini:



Buku ini boleh dibeli di ABIM Press : https://www.facebook.com/abimpressmy/