Rayuan untuk Syria

Rayuan untuk Syria

Selasa, April 21, 2020

Kenangan di SMAP Kajang



Beberapa hari lepas ada seorang senior saya di sekolah mengirimkan gambar di atas. Ketika beliau membelek album lamanya lalu beliau terperasan gambar ini lalu menghantarnya ke whatsapp saya. Saya teruja dengan gambar ini kerana ianya diambil di sekolah menengah saya, seingat saya sama ada tingkatan 1 atau tingkatan 2 sekitar tahun 1991 atau 1992. Lalu saya kongsikan petikan tulisan pengalaman saya di sekolah menengah yang dimuatkan dalam buku Tokoh Belia Negara yang saya tulis sendiri.

INKUBATOR 2: SEKOLAH MENENGAH AGAMA PERSEKUTUAN KAJANG (SMAP KAJANG)

Selepas cemerlang di Sekolah Kebangsaan Khir Johari Perai dengan keputusan 4 A UPSR pada tahun 1990, saya menerima perhargaan daripada Ahli Parlimen Permatang Pauh yang juga Menteri Pendidikan Malaysia Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada ketika itu. Hadiah disampaikan oleh Tan Sri Khalil Yaakob (sekarang Yang Dipertua Negeri Melaka) yang ketika turut berada dalam Kabinet Malaysia atas jemputan Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Saya masih ingat hadiah RM 50 yang diterima merupakan jumlah yang ketika itu bagi saya terlalu besar dan amat berharga.

Saya diterima masuk ke sekolah idaman Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP) Kajang yang baru sahaja dibuka. Ketika itu, Pengetuanya adalah Ustaz Saim Ithnin. Saya menjadi batch peneroka yang kedua menghuni sekolah yang tandus dan gersang kerana ketiadaan pokok-pokok. Kolej Islam Kelang (KIK) dan SMAP Labu merupakan adik beradik SMAP Kajang dan sering menjadi rival dalam menjadi sekolah terbaik Malaysia bagi kategori sekolah agama berasrama penuh. SMAPK ketika itu menjadi sekolah yang menjadi dambaan ibubapa yang mahu lihat anak mereka masuk dan berjaya di situ. Saya antara yang terpilih dan dipilih Allah di mana sekali saya membanggakan ayahbonda atas kejayaan ini. Saat ini saya mengharap adik-adik SMAP Kajang terus menjaga reputasi dan imej cemerlang SMAP Kajang untuk terus mendominasi sebagai antara sekolah terbaik Negara melahirkan cerdik pandai dan pimpinan Negara.

Walaupun tadika dan Sekolah Khir Johari telah banyak mencetak perjalanan kejayaan awal saya namun SMAPK merupakan inkubator kedua terpenting yang merintis kejayaan hingga ke puncak. SMAPK juga melahirkan ramai tokoh – tokoh hebat yang bermanfaat dalam masyarakat seperti Ustaz Nazri Chik (Pengurus Besar di Bank Islam), Ustaz Ahmad Husni Abdul Rahman (Ustaz Selebriti), Muhammad Hisyamuddin (YDP ABIM Pahang), Dr. Muhamad Razak Idris (Mantan Presiden ABIM), Syuhaida Abdul Wahab Zen (Timbalan Setiausaha Bahagian Kementerian Dalam Negeri), Norisman Sulaiman (Ketua Operasi Global Nimez Petroleum Group), Ustaz Syed Abdul Kader (Exco Pemuda PAS), Suffian Amrin (DJ IKIM) dan Dr. Mohd Izwan Md Yusof (Penolong Pengarah Unit ‘Ilaj wa Shifa’ Juvana, Pengguna Dadah dan Alkohol JAKIM).

5 tahun merupakan masa yang terlalu singkat, saya bukan sahaja mendapat pelajaran tetapi pendidikan daripada guru-guru terbaik dan komited. Ustaz Ismail Che Ku, Ustazah Shamsiah dan Ustaz Bakru Rozi antara yang mempunyai saham yang besar terhadap saya. Di sekolah kami diajar dengan menjaga solat, mathurat, qiyamullail, menjadi imam dan khatib serta dalam masa yang sama untuk cemerlang dalam bidang akademik. Banyak hafalan al-Quran saya tersemat kukuh sehingga kini adalah usaha berterusan semenjak zaman persekolahan yang kerap ditekankan dan digalakkan oleh Ustaz Ismail Che Ku.

Bagi saya, komitmen guru-guru yang kasih dan komited kepada anak muridnya merupakan ramuan kejayaan kepada para pelajar. Seingat saya ketika berada 5 Neptune (aliran agama), guru-guru menjadi ibubapa kami di kala berjauhan dengan keluarga dan mereka amat penyayang dan prihatin terhadap pelajaran kami. Antara kata-kata yang terkesan di jiwa saya apabila Ustazah Mumtamah, guru subjek al-Quran dan as-Sunnah kami mengingatkan agar tidak belajar kerana untuk mendapatkan kerjaya sebaliknya mendidik kami belajar kerana untuk mendapat redho Allah dan keluar daripada belenggu kejahilan. Akibat belajar kerana keduniaan maka neraka akibatnya. Kata-kata hikmah yang keluar daripada seorang guru yang ikhlas mengajar menjadi obor pembakar semangat kepada para pelajar seperti saya. Semoga Allah merahmati guru-guru kami.

4 dan 5 Neptune menjadi kelas lagenda apabila kami dianggap sebagai kelas terbaik yang mempunyai kejelikitan yang padu antara guru-guru dan pelajarnya. Walaupun cita-cita menjadi pengawas tidak kesampaian namun bakat kepimpinan diasuh apabila saya terpilih menjadi pustakawan dan projek imam-bilal di Surau Al-Ehsan SMAPK. Namun begitu, saya merupakan ima pelatih lapisan kedua yang tidak berpeluang menyampaikan khutbah ketika solat Jumaat di sekolah. Saya sering naik sebagai imam solat dan mengasah bakat berpidato dengan menyampaikan tazkirah berkaitan dunia Islam. Di situ keyakinan meningkat dan perasan malu sebagai introvert dikikis. Namun sedikit latihan tersebut ketika menjadi imam pelatih, membantu membina keyakinan diri untuk menjadi iman dan berkhutbah selepas tamat alam persekolahan. Saya memang pemalu khususnya kepada budak perempuan tapi saya suka kacau budak perempuan balik sekolah kerana asrama saya di blok D memang bertentangan dengan susur gajah pelajar perempuan untuk balik ke asrama dari sekolah. Apabila kembali semula ke sekolah untuk berforum sempena Sambutan Jubli Perak sekolah baru baru ini (September 2015), Ustaz Bakru Rozi terkejut dengan kepetahan saya berbicara kerana saya dikenali dulunya sebagai seorang yang amat pemalu dan skema. Syukur pengalaman telah merubah penampilan saya. Membaca buku-buku self-help juga boleh membantu membina keyakinan diri.

Dua perkara saya terkilan tidak mendapat peluang sewaktu di sekolah ialah menyertai Kelas Khas Kemahiran al-Quran (KKKQ) atau yang kami gelarkan sebagai kelas KeKaQ di mana ilmu tajwid, qiraat dan taranum diajar secara advance oleh para ustaz dan ustazah yang berkemahiran. Saya cemburu melihat rakan-rakan lain terpilih namun saya gagal dalam ujian saringan dan pemilihan masuk ke kelas KeKaQ. Saya juga terkilan kerana batch kami tidak terpilih untuk belajar bahasa Perancis. Kelas Perancis menjadi subjek wajib kepada junior batch setahun di bawah saya. Saya terasa rugi kerana tidak berpeluang mempelajarinya kerana ia merupakan salah satu bahasa daripada 6 bahasa yang digunakan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) selain Mandarin, Arab, Inggeris, Sepanyol dan Rusia.

Walaupun menjadi Mat Masjid yang sering mendidik adik-adik junior tapi saya turut membuktikan hebat dalam pelajaran dan mewakili sekolah sebagai killer pertama sekolah dalam sepaktakraw. Walaupun fizikal yang rendah dan tubuh yang kecil namun lipatan saya mampu menggerunkan musuh dengan lipatan pacak. Rakan-rakan seperti Ustaz Ahmad Husni Abdul Rahman (Panelis Tanyalah Ustaz di Tv9) sering menjadi sparring killer untuk menunjukkan kehebatan melipat dan melibas. Seingat saya saya menjadi star takraw dan berjaya membawa sekolah ke peringkat separuh akhir kejohanan peringkat mukim bersama rakan sepasukan seperti Ale, Rizal, Fitri, Jigo, Hezri dan Hidayat. Jurulatih kami waktu itu ialah Ustaz Wan Akasyah Wan Abdul Hamid yang akhirnya menjadi personaliti Semanis Kurma Tv9 bersama isterinya Dato’ Siti Norbahyah. Turut aktif bermain sebagai penyerang dalam pertandingan bola sepak dalam liga domestik sekolah. Acara tahunan merentas desa walaupun tidak mendapat top 3 tapi acapkali saya menamatkannya di kedudukan 10 terbaik. Apa yang cuba dibuktikan kepada pelajar-pelajar lain ialah untuk berjaya, maka kejayaan harus diseimbangkan antara akademik, agama dan sukan.

Saya sering dikenali mat skema. Selalu mematuhi arahan sekolah dan tidak pernah dalam ingatan saya terlibat “fly” (keluar sekolah tanpa izin). Fly merupakan amalan biasa kepada pelajar asrama bahkan ilmu fly diturunkan oleh senior di tahun akhir kepada junior agar ilmu itu tidak lenyap dan diwarisi turun temurun. Terkadang warden terpaksa buat roll-call untuk memastikan tiada pelajar yang fly pada waktu malam. Saya rasa curfew dan larangan fly yang dikenakan terhadap pelajar asrama baik untuk mendidik kita akan erti kesabaran daripada godaan dunia dan rayuan nafsu. Ia latihan terbaik untuk fokus terhadap pelajaran dan ibadah manakala peluang outing dua minggu sekali harus digunakan sebaiknya untuk membeli barang dan berjalan-jalan. Guntingan rambut saya sering kali dijadikan contoh oleh warden Ustaz Wan Akasyah sebagai potongan rambut contoh di perhimpunan sekolah. Mungkin sebab saya rendah (paling rendah dalam batch saya) dan selalu berada di barisan hadapan ketika perhimpunan, maka Ustaz Wan Akasyah selalu ternampak saya untuk dijadikan contoh. Saya tak teringat berapa cm tinggi saya tapi saya memang rendah. Saya tidak pernah merokok kerana ingat pesanan bonda yang melarang menghisap rokok. Seperkara lagi yang bonda pesan yang masih diingati ialah jangan masuk silat takut salah guna ilmu. Disebabkan itu saya tidak pernah sekali-kali terlibat mempelajari seni mempertahankan diri seperti silat kerana takut salah guna. Pernah saya berkongsi dorm di blok D bersama-sama senior-senior yang suka ponteng solat jemaah di surau, merokok dan suka mendengar lagu-lagu metal seperti Gun n Roses dan Metallica, namun ianya tidak sedikit mempengaruhi saya dengan izin Allah. Terkadang saya terhafal dan boleh menyanyikan satu dua bait lagu-lagu Gun n Roses. Dengan izin Allah, saya tetap istiqamah sambil melakukan dakwah bil hal dengan harapan agar abang-abang tersebut berubah. Jadi saya menjadi pendakwah cilik seumpama ikan yang tidak masin dek masinnya air laut!....

Bacaan selanjutnya boleh diakses di buku ini:



Buku ini boleh dibeli di ABIM Press : https://www.facebook.com/abimpressmy/

Tiada ulasan: