Rayuan untuk Syria

Rayuan untuk Syria

Jumaat, April 24, 2020

WARKAH TERBUKA BUAT PEMIMPIN PERGERAKAN BELIA NEGARA



WARKAH TERBUKA BUAT PEMIMPIN PERGERAKAN BELIA

Oleh:
JUFITRI JOHA
Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM)


22 April 2020 bertepatan 28 Syaaban 1431 H mencatat sejarah tersendiri dalam sejarah pergerakan belia Negara apabila Menteri Belia dan Sukan Dato’ Seri Reezal Merican menyerahkan bantuan pentadbiran sejumlah 2 juta kepada Majlis Belia Malaysia (MBM) dan 19 badan induk belia kebangsaan yang bernaung di bawah MBM untuk mendayaupayakan fungsi dan peranan sebagai penggerak pembangunan belia. Ini merupakan kali pertama seumpamanya semenjak Oktober 2018 ketika kepimpinan MBM sesi 2018-2020 mengambil alih kepimpinan MBM. Latarbelakang Dato’ Sri Reezal atau mesra dengan jolokan nama "abang Jai" sebagai mantan Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS / Sesi 2006 - 2009) dan kemahiran mengurus pemegang taruh utama menjadikan proses ini mudah dan lancar.

1 juta akan diagihkan segera kepada 19 badan induk utama belia kebangsaan pelbagai kaum dan agama seperti Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Pergerakan Belia India Muslim Malaysia (GEPIMA), Junior Chamber International (JCI) Malaysia, Pergerakan Pemuda Malaysia (YMM) dan Majlis Belia Hindu Malaysia (HYO). Pastinya bantuan pentadbiran serba sedikit melegakan mereka kerana ada yang sebelum ini terpaksa menutup pejabat, menggunakan duit poket sendiri membayar sewa pejabat, memecahkan tabung ayam, memberhentikan staf, berhutang keliling pinggang dan juga dikejar surat peguam untuk tuntutan hutang. Pusingan kedua bantuan pentadbiran akan diusahakan kepada Majlis Belia Negeri (MBN), Majlis Belia Daerah (MBD) dan Badan Uniform.

Bantuan pentadbiran ini jika diuruskan dengan baik, penuh integriti dan cekap, maka ia boleh membantu pergerakan belia untuk mengumpul aset, membuat tabungan, membuat sedikit pelaburan dan dijadikan modal untuk menjana pendapatan sendiri. Selepas 2 tahun yang sukar, maka agenda kemandirian pergerakan belia wajar menjadi keutamaan. Mengambil mithal Majlis Belia Negeri Terengganu (MBNT), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) yang sudah pun memiliki bangunan dan aset tersendiri, sedikit sebanyak membantu kemandirian apatah lagi ketika berlaku keputusan bantuan pentadbiran. Idealisme dan material penting untuk sama-sama dibangun dan dibugarkan.

Bagi MBM yang patut sudah lama mandiri (nanti kita cerita waktu lain topik ini), bantuan pentadbiran ini wajar digunakan secara berhemah dan diuruskan secara bijak. Selain bagi menampung kos pentadbiran dan menjana pendapatan, bantuan ini sangat membantu untuk MBM menjalankan fungsi secara berkesan sebagai badan induk pergerakan belia dan suara rasmi belia Malaysia. Tugasan MBM amat mencabar untuk mewakili 14.7 juta jiwa muda yang rencam dan berkelompok dengan membawa suara dan aspirasi kepada pihak pembuat keputusan dan polisi. MBM juga harus memenangi hati mereka dan menjadikan merasa MBM adalah organisasi yang sentiasa membela nasib mereka dan bukannya syok sendiri, berebut jawatan dan memikirkan keuntungan diri sendiri. Kritikan terhadap MBM sebelum ini tidak harus dipandang enteng bahkan pimpinan MBM wajib bermuhasabah sementelah bantuan pentadbiran ini adalah amanah wang rakyat dan pembayar cukai supaya MBM benar-benar menjadi jurubicara belia dan rakyat kebanyakan. Secara jujur, sepanjang tempoh sesi ini, MBM belum benar-benar mampu memainkan fungsi secara efisyen dan smart disebabkan tumpuan terpaksa diberikan kepada soal survival bulanan dan pergeseran yang sengit dengan kepimpinan politik lama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang banyak membuang masa.

Dengan dana yang mencukupi, MBM boleh fokus kepada soal yang lebih besar seperti Pembudayaan Ilmu; Pengkaderan pemimpin muda bertaraf global; Penyerlahan potensi belia di bidang keusahawanan, kemahiran, pendidikan dan kesukarelawanan; Pengantarabangsaan belia; Penggubalan dan rekomendasi polisi-polisi Negara yang berkaitan dengan kepentingan belia; Advokasi dan melobi isu-isu belia di Parlimen; Menggerakkan MBM Holdings bagi menjana dana kemandirian; Membantu membentuk negara bangsa melalui perpaduan kaum dan integrasi nasional; dan Mewujudkan pasukan ‘think do tank’ belia yang mampu menghasilkan idea-idea besar untuk belia dan Negara.

Bantuan pentadbiran ini benar-benar mengdayaupayakan pergerakan belia negara selaras dengan hasrat dan citra YB Menteri Belia untuk ‘empower’ MBM sebagai induk belia kebangsaan dan terus berperanan sebagaimana yang disifatkan oleh YB Menteri sebagai ‘confidence builder’ dalam lubuk masyarakat. Dalam konteks ini, apa yang difahami ialah pertubuhan masyarakat madani (CSO) belia seperti MBM dan badan gabungannya mampu menjadi jenama dipercayai masyarakat sekaligus menjadi jambatan kukuh antara Kerajaan dengan belia serta rakyat. Mengambil contoh bagaimana aktifnya Relawan MBM (RM) dan badan gabungan MBM membantu belia dan rakyat yang terkesan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Bantuan RM 100 000 yang diumumkan oleh YB Menteri Belia telah disalurkan secara langsung kepada penerima yang layak.

Sewaktu awal tempoh PKP, Relawan MBM (RM) bersama Majlis Belia Sabah, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) antara yang terkehadapan membantu para mahasiwa yang keputusan bekalan makanan. Inilah apa yang disifatkan oleh Alvin & Heidi Tofler dalam Revolutionary Wealth bahawa CSO mempunyai kelajuan (speed) yang tersendiri. Kombinasi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di pihak Kerajaan dengar sumber dananya dan MBM di pihak CSO dengan kekuatan kelajuannya adalah model yang terbaik mendepani dan menangani isu belia dan rakyat. Tindakan YB Menteri Belia meletakkan MBM di perbatasan hadapan dengan sokongan dana yang kuat adalah tepat dalam menjayakan bantaun Covid-19 semasa PKP. Tindakan ini wajar diteruskan pada masa-masa mendatang. Sebagai CSO belia, MBM akan kekal secara kolektif non-partisan tetapi tiada masalah untuk mendokong Kerajaan semasa atau ‘government of the day’ selama mana agenda utamanya adalah untuk kepentingan belia dan rakyat. MBM yakin dengan peranan ini dan tidaklah berhasrat menjadi seperti Nashi Youth Movement di Rusia. MBM yakin jika Kerajaan baik, bagus dan kurang politiking maka belia dan rakyat akan dokong. MBM akan terus menjadi 'check and balance' dan menawarkan constructive criticism kepada pihak Kerajaan without fear or favour. Budaya bodek dan jilat adalah budaya lama yang wajib ditinggalkan jika ingin melihatkan belia, rakyat, Kerajaan dan Negara terus maju ke hadapan.

Dengan kekuatan akar umbi dan menyeluruh merangkum 40 badan gabungan, 104 majlis belia daerah (termasuk yang terbaru Majlis Belia Daerah Kuala Nerus), 6 gabungan belia kawasan besar di Sabah, 74 cawangan pertubuhan Saberkas di Sarawak dan 8924 pertubuhan belia yang berdaftar dan aktif jika digembeling dengan sebaiknya maka pergerakan belia mampu memainkan peranan yang berkesan. Gerakan Belia 4b Malaysia sahaja dengan kekuatan 1908 cawangan yang aktif di 145 kawasan parlimen mampu menjadi ‘foot soldier’ yang berkesan di akar umbi.

Bantuan pentadbiran memberikan semangat baru kepada pergerakan belia untuk fokus membantu belia dan rakyat berhadapan dengan cabaran semasa PKP dan cabaran pasca Covid-19 yang dijangka lebih mencabar khususnya yang terkait dengan ekonomi dan pengangguran. Pengakap Kelana dan Majlis Belia India Malaysia (MIYC) antara yang terus bersemangat terkehadapan membantu rakyat pelbagai kaum yang terkesan dengan PKP. ABIM tak payah ceritalah sebab mereka telah lama terkehadapan dalam bab-bab sebegini bahkan telah menginstitusikan bantuan kemanusiaan dan bencana menjadi Global Peace Mission (GPM) Malaysia. Jelas, peranan pemimpin belia adalah crucial sebagai penyelesai masalah. Ini juga bertepatan dengan kajian yang dilakukan oleh Siti Raba’ah Hamzah (2005) bahawa terdapat 6 peranan utama pemimpin belia sebagai agen perubahan iaitu sebagai:

1) pengurus; 2) pembantu proses; 3) perunding; 4) penggerak; 5) penyelesai masalah; dan 6) penghubung sumber.

Pemimpin belia juga boleh menjadi pembantu proses kepada tawaran Pakej Rangsangan Ekonomi yang diumumkan sempena PKP bagi memudahkan belia dan rakyat memohon. Pakej tersebut bakal dan sedang memanfaatkan 3.8 juta belia namun persoalannya mungkin ada yang tidak menyedarinya dan tidak tahu bagaimana memohonnya. Di situ datangnya peranan pemimpin belia. Ketika bertemu dan bersembang Pengerusi Majlis Belia Daerah (MBD) Bentong, saya dapati selepas Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY) membuat penaziran dan pengauditan kepada MBD Bentong, barulah beliau menyedari bahawa peranan utama pemimpin MBD ialah bukanlah menunggu dana-dana besar dan menganjurkan program keramaian yang tidak mempunyai impak tinggi tetapi yang lebih penting pemimpin MBD perlu menjadi pemudahcara belia. Dalam contoh spesifik, bagaimana pemimpin MBD boleh menjadi pemudahcara kepada para belia untuk memasarkan produk mereka melalui Malaysia External Trade Development Corporation (MATRADE).

Pemimpin belia juga harus berperanan aktif menjadi penghubung sumber tentang bagaimana membantu usahawan belia PKS memanfaatkan Pakej Rangsangan Ekonomi (Tambahan PKS). Secara ringkas pemimpin belia harus memerah otak untuk menangani isu pekerjaan dan pengangguran. Sudah sampai masanya juga pemimpin belia melakukan inovasi sosial untuk mengembangkan pergerakan belia sebagai sumber peluang pekerjaan sekaligus mencipta peluang pekerjaan. Ini sudah terbukti apabila ada antara pemenang utama Anugerah Belia Negara Kategori Pertubuhan Belia yang menang saban tahun telah pun berperanan dengan jayanya menjadi sumber peluang pekerjaan di mana mereka menyelesaikan masalah sosial sekaligus menjana pendapatan dan pekerjaan untuk ahli mereka. Ini adalah semangat keusahawanan sosial. Model-model kejayaan seperti ini wajar diangkat sebagai hero tidak didendang dan di replicate. Selain itu dunia pembangunan belia juga harus bergerak serius ke arah profesionalisme kerja belia dengan mewujudkan sektor baharu iaitu pekerja belia sebagai satu bidang profesyen membangun belia secara sepenuh masa dan profesional. MBM sudah mula mengorak langkah ke arah ini dengan menubuhkan Federasi Kebangsaan Pekerja Belia (FKPB) pada 2017 dan membantu KBS menyiapkan National Occupational Skills Standard (NOSS) untuk kerja belia. MBM ingin melihatkan seluruh staf MBM, MBN dan MBD menjadi pekerja belia profesional dengan gaji standard, ada persijilan, ada peningkatan kemahiran profesional dan peluang kerjaya yang cerah. Bagi pemimpin belia yang tidak ke arena politik boleh terus menyumbang dalam pembangunan belia (walaupun sudah habis umur belia) secara profesional sama ada separuh masa atau sepenuh masa.

Model lain seperti Persatuan Belia Buddhist Malaysia (YBAM) sebagai contoh dalam kalangan belia Buddhist wajar diuar-uarkan di media. Persatuan belia ini sebagai contoh telah mempunyai bangunan pejabat sendiri yang hiasan dalamannya bercirikan hipster di samping mempunyai konti radio sendiri dan pusat kaunseling yang aktif. Model-model yang baik seperti ini memberikan justifikasi kuat agar Kerajaan khususnya KBS terus membantu pendayaupayaan pergerakan belia.

Seperkara lagi yang penting, dengan bantuan pentadbiran ini diharap akan merangsang lebih banyak kelompok belia berbasiskan minat (interest) dan belia indie di luar sana untuk terlibat secara aktif dalam pergerakan belia Negara sama ada menyertai mana-mana pertubuhan belia yang sedia ada atau menubuhkan persatuan belia sendiri. MBM yakin ini merupakan bentuk baru partisipasi politik anak muda di mana tidak semestinya mereka aktif dalam politik kepartian tetapi mereka juga boleh menyumbang kepada sfera demokrasi dengan menggerakkan CSO seperti persatuan belia. MBM juga berharap badan gabungan MBM khususnya Majlis Belia Negeri (MBN) dan Majlis Belia Daerah (MBD) boleh merangsang belia dengan menaja lebih banyak penubuhan persatuan belia sekaligus mengajak mereka bergabung. Dengan ini, MBM mampu mengkoordinasi lebih banyak kelompok belia sekaligus mengekalkan relevensi MBM. Dengan menggalakkan belia berpersatuan sebagai medium pembangunan belia positif atau positive youth development (PYD) akan menggilap lebih ramai bakat anak muda dalam masa yang sama menghindari mereka daripada gejala sosial dan menjimatkan wang negara.

Di peringkat kebangsaan, MBM sedang membidani kelahiran Majlis Belia OKU dan Majlis Belia Tahfiz di samping mendayaupayakan semula pertubuhan belia minoriti seperti Persatuan Belia Sikh dan Majlis Belia Orang Asli (MBOA). MBM juga mengalu-alukan mana-mana kelompok belia untuk bergabung kekuatan dengan MBM. Pertubuhan belia era baharu yang berjaya menarik segmen baru anak muda seperti Youth Power Club (YPC) dan Angkatan Belia MFLS (ABM) amat dialu-alukan. MBM adalah payung untuk semua belia dan wajar berwatak inklusif. MBM adalah ‘melting pot’ untuk semua belia tanpa mengira kaum, agama, gender, kedudukan geografi, fahaman politik dan aliran pemikiran.

Dengan peranan yang berkesan yang telah, sedang dan bakal dimainkan maka MBM dan seluruh pergerakan belia akan dipandang benar-benar berwibawa dan masyarakat tidak akan sekali-kali mempertikaikan jumlah bantuan pentadbiran yang diterima bahkan ia merupakan pelaburan Kerajaan yang sangat berbaloi.

Dana ini datang dengan tanggungjawab besar bukan untuk "bergumbira" semata-mata!.

Ayuh pemimpin belia, masa untuk khidmat Negara!



Nilai - 4.08 pm 1 Ramadahn 1441 H

Tiada ulasan: