Rayuan untuk Syria

Rayuan untuk Syria

Rabu, Januari 11, 2006



"Suria Islam Kembali Bersinar di Bumi Andalus" - Tahun 2003 menyaksikan sejarah yang tidak dapat dilupakan oleh umat Islam selatan Sepanyol khususnya dan umat Islam di seluruh dunia amnya apabila dunia menyaksikan pembukaan Masjid Jami’ Granada. Ia berlaku pada musim panas bukan sahaja disaksikan oleh hadirin dan hadirat yang hadir bahkan seolah-olah turut disaksikan oleh Istana Alhambra, istana peninggalan kerajaan Islam Nasriyyah yang bertentangan dengan Masjid ini dan banjaran Sierra Nevada yang melatari pemandangan semulajadi kota Granada.

Tarikh keramat 10 Jamadilawal 1424 Hijrah bersamaan dengan 10 Julai 2003 tarikh pembukaan Masjid yang penuh maknanya tersendiri ini sudah pasti memberi petanda dan isyarat jelas pengembalian semula “missing link” selama 500 tahun warisan kegemilangan pemerintahan Islam yang pernah menyuburi setiap sfera perusahaan dan aktiviti manusia di bumi Andalus ini.

Mengimbas kembali tahun 1492 masihi iaitu lebih kurang 500 tahun yang lampau, selain daripada peristiwa Columbus menemui benua Amerika, ia merupakan tahun umat Islam berdukacita dengan kejatuhan kerajaan Islam kecil terakhir di Kota Granada yang memperlihatkan berakhirnya seluruh pemerintahan Islam di bumi dan Andalus dan Sepanyol. Sultan terakhir Dinasti Nasriyyah, Sultan Abu Abdillah Muhammad XII (Boabdil) terpaksa tunduk kepada Ratu Isebella dan Ferdinand menyerahkan maruah kerajaan Islam terakhir kepada pemerintah Kristian tersebut. Sultan Abu Abdillah menangisi hal tersebut, lantas ditegur oleh ibunya dengan katanya:”Janganlah engkau menangis kejatuhan kerajaan ini seperti seorang perempuan kerana engkau gagal mempertahankan maruah pemerintahan kerajaan Islam seperti seorang lelaki.” Selepas penyerahan tragis ini berlaku, cahaya Islam terus menerus dipudarkan dan umat Islam dipaksa menukar agama mereka kepada Kristian, dibunuh, dicaci, dan dihalau dengan penuh kehinaan dari bumi Andalus. Peristiwa yang disebut sebagai “Inquisition” ini berterusan selama 250 tahun semata-semata untuk memastikan Islam dan umatnya tidak akan kembali semula ke bumi bersejarah ini.

Selepas 500 tahun dialog ini berlaku, Islam kembali menampakkan cahaya surianya dengan pembukaan Masjid Jami’ Granada ini. Justeru itu Grup Pengkaji Tamadun Dunia (GPTD) dalam eksplorasi dakwahnya ke bumi Andalus baru-baru ini tidak melepaskan peluang untuk menjadi saksi kepada tersergamnya semula masjid yang dirindui oleh penduduk Islam di selatan Sepanyol ini. Projek yang diberi nama Eksplorasi Sepanyol – Amerika Latin ini bertujuan untuk mengkaji kehebatan, jatuh dan bangun tamadun Islam di Sepanyol supaya dapat dirumus untuk dijadikan pengajaran berharga bagi generasi muda Islam. Selain mempraktikkan bahasa Sepanyol yang dipelajari di Malaysia, projek ini juga bertujuan menyambung serta membina hubungan silaturrahim dengan penduduk Islam di Granada dan mengkaji sejarah Sepanyol sebagai penjajah bagi benua Amerika Latin. Projek Eksplorasi ini disertai oleh 7 orang aktivis muda GPTD termasuk 2 wakil GPTD kawasan Eropah dan Amerika. Projek ini juga mendapat kerjasama padu dari Global Peace Mission (GPM), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).

Pembukaan Masjid Jami’ Granada atau dalam bahasa Sepanyol disebut Mezquita de Granada ini pada 3 tahun yang lepas turut dihadiri umat Islam dari serata pelusuk dunia seperti dari Romania, Turki, Burkina Faso, Malaysia, Jerman, Senegal, England, Belanda dan Amerika Syarikat yang mahu menyaksikan Syiar Islam kembali tertegak di bumi ini. Firman Allah dalam Surah Al Hajj ayat 32, “Demikianlah (perintah Allah) Dan barangsiapa mengagungkan syi’ar-syi’ar Allah, maka sesungguhnya itu timbul dari ketakwaan hati”. Malaysia pada ketika itu turut hadir dan diwakili oleh Dato’ Dr. Ismail Ibrahim yang merupakan bekas Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan beliau sekarang merupakan Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi dan Duta Malaysia ke Organization of Islam Conference (OIC). Pembinaan dan pembukaan Masjid ini telah dibiayai oleh Yang Mulia Dr. Sultan Bin Mohamad Al-Qasimi, pemerintah Sharjah, Emiriah Arab Bersatu (UAE) selaku penaja utama. Majlis pembukaan ini turut diserikan dengan seminar yang bertemakan Islam in Europe serta kehadiran Datu Bandar Granada iaitu Tuan Yang Terutama JoseTorres Hurtado.

Penulis rasa bersyukur dan terharu kerana dapat menyaksikan sendiri dengan mata dan kepala Masjid Jami’ Granada ini yang memakan masa selama 21 tahun untuk disiapkan. Selepas menerima pelbagai rintangan dan tentangan daripada masyarakat setempat, akhirnya Masjid ini siap juga sepenuhnya. Tambah membanggakan penulis apabila mendapat tahu bahawa Malaysia menjadi antara penyumbang utama di samping UAE, Morocco dan Libya ke arah merealisasikan Masjid ini. Lantas peluang keemasan untuk sujud menyembah Allah bersama-sama masyarakat Islam setempat dalam solat Jemaah tidak dilepaskan begitu sahaja selepas mendengar azan dikumandangkan oleh muazzin Masjid. Sebelum ini, penulis hanya berkesempatan melihat Majlis pembukaan Masjid ini melalui CD yang diusahakan oleh Mohd Azmil Dato’ Mustafa sahaja, tapi sekarang apa yang dilihat berada betul-betul di hadapan mata.

Selepas mengambil gambar kenang-kenangan dan membuat sedikit penggambaran dokumentari untuk simpanan arkib GPTD, penulis dan sahabat aktivis GPTD yang lain cuba memperhalusi seni rekabentuk fizikal dan pengisian kerohanian yang tersurat dan yang tersirat di dalamnya. Masjid ini terdiri dari tiga komponen utama iaitu Taman, Dewan Solat dan Pusat Pengajian Ilmu-Ilmu Islam.

Dari Taman Masjid ini dapat dilihat pemandangan yang indah yang mana Lembah River Darro terbentang di bawah dan Istana Alhambra yang tersergam indah di atas Gunung Sabika menghiasi pemandangan setentang dan selorong dengan Masjid seolah-olah mengukiri panorama kemuncak Sierra Nevada. Di taman ini juga terdapat dua air pancut mozek Andalus klasik yang dikelilingi oleh pepohon dan tumbuhan spesis Mediterranean seperti Pain, Zaitun, Delima, Oren dan Lemon.

Ruang Dewan Solat di dalamnya di bina Mihrab yang menyerupai Mihrab Masjid Agung Cordoba yang kini telah bertukar menjadi Cathederal atau gereja. Ukiran kalimah ayat suci Al-Quran di atas panel kayu cedar (sejenis pohon) yang berasal dari Gunung Atlas menghiasi Dewan Solat Masjid ini. Terdapat juga jubin marmar disalut dengan pelbagai warna adalah sama seperti yang terdapat di Masjid Al-Aqsa, Baitul Maqdis dan tingkap kiblat adalah replika dari masjid Biru di Istanbul. Manakala air pancut yang berada di halaman dalam bersebelahan dengan Dewan Solat dibina oleh pakar pertukangan dari Fez, Morocco menurut seni reka bentuk Andalus ribuan tahun yang silam. Menara Masjid yang digunakan oleh Muazzin untuk melaungkan azan lima kali sehari adalah dibina mengikut seni asli Albaicin. Di bawah cucur atap menara termaktub tulisan kufi tentang deklarasi Syahadah Umat Islam iaitu Tiada Tuhan selain Allah dan Muhammad adalah Rasulullah.

Pusat Pengajian Ilmu-Ilmu Islam mempunyai perpustakaan yang dilengkapi kitab-kitab Islam dalam bahasa Arab, Sepanyol, Inggeris dan bahasa-bahasa lain serta dilengkapi juga dalam bentuk audio visual. Pusat ini juga mempunyai dewan persidangan yang mampu menampung kapasiti 140 orang serta ruang untuk pameran. Ruang menyambut tetamu adalah di tingkat bawah iaitu di foyer utama di mana di situ juga terdapat kedai buku, kraftangan serta cenderahati Masjid dijual. Ketika penulis mengunjungi Pusat Pengajian ini, kelas kupasan kitab hadis Riyadhus Solihin dalam bahasa Sepanyol di adakan pada sebelah malamnya.

Walaupun penulis berasa kagum dan bangga dengan seni bina Masjid ini, tetapi apa yang lebih membanggakan penulis adalah tandas dan tempat wuduk Masjid dijaga dengan begitu bersih dan baunya pun wangi. Ini merupakan perkara asas dalam Islam yang begitu menitikberatkan kebersihan dalam kehidupan seharian. Ini juga merupakan petanda awal Islam akan bangkit semula di bumi berkah ini kerana persoalan asas telah pun diselesaikan sejak dari awal lagi. Selain itu, ia juga boleh memberi gambaran kepada pada para pelancong bukan Islam khususnya bahawa Islam bukan sahaja hebat dari segi seni dan reka bentuknya, tapi hebat dari segi kebersihan dan kekemasannya.

Dalam kesejukan kota Granada ini, penulis dapat merasakan Masjid Jami’ Granada ini, adalah manifestasi Masjid Agung Nabawi pada zaman Rasulullah S.A.W. masih hidup di mana masjid bukan sahaja sebagai pusat ibadah khusus solat fardhu jemaah lima waktu semata-mata tetapi fungsinya melebihi sebagai pusat komuniti, pusat intelektual, pusat pendidikan, pusat kebajikan bahkan juga berperanan sebagai hospital, hostel untuk pengembara, tempat mandian umum dan lain-lain lagi.

Di Masjid ini juga didirikan solat jumaat, serta dipenuhi pelbagai aktiviti kerohanian seperti bacaan Al-Quran harian, kelas Al-Quran, fiqh dan syariah untuk semua lapisan umur, seminar, kelas bahasa Arab, pameran dan kursus ilmu-ilmu Islam dan warisannya di Sepanyol. Masjid ini juga menghulurkan bantuan khususnya kepada pengembara jika terdapat sebarang masalah dalam musafir mereka.

Di akhir kunjungan, walaupun tidak sempat bertemu dengan pengarah Masjid iaitu Sheikh Abdul Hasib Castineira, namun penulis sempat berbual dan menemuramah pegawai Masjid tersebut yang merupakan pemuda bernama Mohamad Ziam yang berasal dari Maghribi. Penulis dan rakan-rakan sempat merakamkan kata-kata beliau yang menceritakan sejarah pembukaan Masjid tersebut. Kami rasa gembira apabila dapat bertemu dengan beliau yang begitu ramah serta dapat membuat jaringan ukhuwwah antara pemuda Islam Malaysia dengan pemuda Islam Sepanyol. Jaringan ukhuwwah ini adalah untuk program lanjutan GPTD di masa depan kerana azam penulis dan rakan-rakan akan kembali semula ke bumi Andalus ini. Untuk mengetahui perkembangan GPTD dan Grup GPTD Sepanyol – Amerika Latin ini, pembaca boleh melayari laman web GPTD di http: gptd.blogspot.com atau http:gptd-spain.blogspot.com.

Hasil Nukilan : Jufitri Bin Joha - Ketua Grup GPTD Sepanyol - Amerika Latin

Tiada ulasan: