Rayuan untuk Syria

Rayuan untuk Syria

Khamis, Februari 16, 2006



"Masjid Agung Cordoba Dalam Kenangan"

Grup Pengkaji Tamadun Dunia (GPTD) melabuhkan tirai aktivitinya dengan program Eksplorasi Sepanyol – Amerika Latin ke bumi Andalus, Selatan Sepanyol dari 21 Disember sehingga 26 Disember 2005. GPTD yang merupakan unit sukarelawan muda Global Peace Mission (GPM) Malaysia telas berlepas ke sana bersama 7 orang sukarelawan termasuk penulis sebagai Pengerusi GPTD. Di samping itu, projek Ekplorasi ini mendapat kerjasama dari pihak Malaysian Islamic Study Group - Angkatan Belia Islam Malaysia United Kingdom & Eire (MISG-ABIM UK & Eire) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).

Kesempatan melawat bumi bekas pemerintahan kerajaan Islam Umayyah tidak lengkap jika tidak menjejakkan kaki di bumi Cordoba di mana tersergamnya bekas Masjid Agung Cordoba serta Bandar Az-Zahra. Cordoba, masih dapat dilihat kesan-kesan peninggalan kerajaan Islamnya kerana ia merupakan di antara tempat-tempat yang terakhir jatuh ke tangan pemerintah Kristian iaitu pada 1236 masihi. Sebab itulah kesan peninggalan Islam di bahagian utara Sepanyol hampir lenyap kerana ia merupakan tempat terawal jatuh ke tangan pemerintah Kristian.

Masjid Cordoba yang dulu pernah menjadi saksi kehebatan pusat pemerintahan kerajaan Islam Ummayyah (756 masihi -1031 masihi) telah di tukarkan secara fizikal dan rohani menjadi tempat suci Kristian oleh Raja Ferdinand III, Raja Castile Sepanyol yang menawan semula Cordoba dari tangan umat Islam. Tragedi yang menyedihkan jutaan umat Islam ini berlaku pada abad ke-13. Sudah jatuh ditimpa tangga apabila pada tahun 1523 masihi kesucian Masjid Agung ini sekali lagi dicemari dengan pembinaan cathederal di tengah-tengah Masjid tersebut oleh ahli agama Kristian setempat dan mendapat dokongan dari Raja Charles kelima.

Menyorot sejarah Masjid Cordoba pada abad ke 10, ia mencapai puncak kegemilangan di bawah Khalifah Abdul Rahman 3. Tidak hairanlah Masjid Cordoba mencapai zaman kegemilangannya kerana Khalifah Abdul Rahman 3 juga merupakan antara pemerintah yang hebat yang pernah dilahirkan dalam sejarah Islam. Pada masa tersebut, Cordoba merupakan kota terbesar dalam empayar Islam dan kota paling pesat membangun di Eropah mengalahkan kota-kota yang sezaman dengannya seperti Byzantium dan Baghdad terutamnya dalam bidang sains, kebudayaan dan kesenian. Cordoba menjadi taman dan raudhah ilmu yang begitu pesat sehingga melahirkan pemuka-pemuka Ilmu yang hebat seperti Ibn Rusyhd dan Imam Qurtubhi. Tidak hairanlah apabila tercatat dalam sejarah, orang bukan Islam yang hidup harmoni di bawah pemerintahan Islam ketika itu begitu mengkagumi Islam sehingga mereka meniru pakaian umat Islam yang menutup aurat tersebut. Benarlah kata-kata Sheikh Abul Hasan Ali An-Nadawi, tokoh agamawan India yang menyatakan bahawa sebab orang Islam meniru pakaian barat kerana orang barat itu dianggap maju dan umat Islam dianggap mundur. Secara psikologinya apa yang datang dari barat itu semuanya maju termasuk cara berpakaiannya yang ternyata jauh menepati syariat Islam. Justeru itu, umat Islam harus bangkit menjadi umat yang maju agar umat manusia kembali dibimbing oleh syariat Islam. Ikutlah formula alim ulama yang menyatakan, “Barat maju kerana meninggalkan agama tapi umat Islam mundur kerana meninggalkan agama”.

Apabila melangkah masuk ke kawasan Masjid Cordoba terasa akan kehebatan senibinanya dan terasa dibawa kembali ke zaman keemasannya. Kawasan halamannya yang luas diserikan dengan pepohon yang kelihatan seakan-akan Oren yang disebut sebagai “Lindaraja” yang hidup subur di situ serta kolam-kolam air yang memancut air segar yang menenangkan jiwa. Namun apabila memasuki ruang dalam Masjid Cordoba hati penulis berasa sedih bercampur marah apabila melihat masjid agung ini dipenuhi dengan puluhan patung dan salib Kristian di hampir setiap dinding tepi masjid. Di bahagian tengah masjid pula tersergam kawasan upacara sembahyang agama Kristian yang disebut sebagai “altar”. Hampir keseluruhan senibina yang ditambah oleh pemerintah Kristian selepas mereka menguasai masjid ini adalah semata-mata cuba untuk menandingi kehebatan senibina Islam yang ternyata tiada tandingannya.

Inilah yang dilakukan oleh pemerintah Kristian di hampir semua bandar di Andalusia yang dikuasai semula dari tangan pemerintah Islam iaitu menukarkan masjid yang sedia ada kepada gereja. Menurut seorang penulis Barat sendiri, iaitu Lawrence Bohme bahawa pemerintah Kristian telah melakukan “jenayah” kepada kesenian Islam Moors apabila menukarkan masjid yang suci ini kepada gereja dan penambahan di dalam masjid oleh pihak Kristian disifatkan beliau sebagai “strange hybrid” iaitu satu kacukan kesenian yang pelik!.

Masjid agung ini sunyi dari orang yang sujud menyembah Allah apabila tidak dibenarkan untuk bersolat dan ia dikawal oleh sekumpulan pasukan polis. Mihrab masjid walaupun terpelihara namun ia dipagari oleh pagar besi seolah-olah tidak dibenarkan untuk didekati apatah lagi untuk umat Islam bermunajat. Tambah umat berasa terhina dan berdukacita apabila di satu sudut masjid tergantung gambar lukisan cat minyak menggambarkan seorang dua umat Islam berjubah dan berserban tunduk kehinaan menyerahkan kunci masjid kepada pemerintah Kristian yang berdiri dengan penuh kebongkakkan setelah berjaya menguasai Cordoba dan masjid agungnya. Lukisan ini menggambarkan betapa peritnya jiwa umat apabila terpaksa menyerahkan maruah keagungan rumah Allah kepada yang bukan ahlinya!.

Jika hendak berbicara soal kehebatan senibina masjid ini pasti tidak terungkap dengan tinta dan pena kerana ia mengandungi seribu satu makna yang mendalam. Namun apa yang jelas tugasan umat bukan hanya memastikan Baitul Maqdis dibebaskan bahkan Masjid Agung Cordoba juga mengharapkan pembelaan yang sewajarnya dari umat apabila lebih 700 tahun sunyi dan gersang daripada munajat dan doa umat yang sujud mengharapkan limpahan dan hembusan rahmat Allah. Penulis tidak putus-putus berdoa agar masjid agung ini akan dikembalikan haknya pada satu hari nanti. GPTD boleh dikenali melalui http://gptd.blogspot.com.

Oleh : Jufitri Joha - Ketua Grup GPTD Sepanyol-Amerika Latin, dipetik dari Ruangan Agama, Utusan Malaysia (14 Februari 2006)di:http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2006&dt=0214&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm

Tiada ulasan: