Rayuan untuk Syria

Rayuan untuk Syria

Selasa, Mac 18, 2008








Oleh: Jufitri Joha

Baru-baru ini, Islamic Outreach ABIM (IOA) telah menganjurkan Ekplorasi Dakwah ke Kunming, China iaitu negeri kelahiran Laksamana Islam terkenal Cheng Ho. Kunming merupakan ibu negeri bagi provinsi Yunnan.

Menghimbau lipatan sejarah, Cheng Ho atau Zheng He merupakan Laksamana Tionghoa Muslim kelahiran Wilayah Islam Kunming, China. Sepanjang hidupnya, Cheng Ho melakukan pelayaran antara benua selama 7 kali berturut-turut dalam kurun waktu 28 tahun (1405-1433). Tidak kurang daripada 30 negara di Asia, Timur Tengah, dan Afrika pernah disinggahinya. Pelayarannya lebih awal 87 tahun dibanding Columbus. Juga lebih dulu dibanding pelayar dunia lainnya seperti Vasco da Gama yang berlayar daripada Portugis ke India tahun 1497. Ferdinand Magellan yang merintis pelayaran mengelilingi bumi pun terlewat 114 tahun kebelakang.
Menurut Paul Rozario dalam bukunya Zheng He and the Treasure Fleet 1405-1433, sejak kecil Cheng Ho digelar Ma He yang dikagumi akan kepintarannya sehingga telah dibawa lari ke Beijing dan diletakkan perkhidmatan Zhudi iaitu anak keempat Maharaja Yong Le pada waktu itu yang juga merupakan Bakal Pengganti Maharaja China. Cheng Ho telah membuktikan kehebatan beliau dengan diberi kepercayaan oleh Zhudi dalam setiap kempen kententeraan beliau. Tidak syak lagi Cheng Ho merupakan Laksamana yang cukup hebat yang akhirnya menawan sebahagian besar samudera yang terbentang luas dan daratan yang seolah-olah tiada berpenghujung bermisikan keamanan sejagat. Cheng Ho juga berjaya menjadi duta keamanan dan diplomatik sejagat bertepatan dengan apa yang disifatkan oleh Yusuf Liu Baojun dalam bukunya Oversea Chinese Muslims bahawa eksplorasi Cheng Ho sebagai ”a tremendous promotion of diplomatic relations between China and other nations overseas...”

Tujuan ekplorasi IOA ini adalah untuk membuka ruang dakwah baru di negeri China. Di samping itu membina jaringan dakwah dengan pertubuhan Islam di Kunming. Selain itu, ekplorasi ini bertujuan menghulurkan bantuan berbentuk kewangan di madrasah-madrasah pengajian ilmu agama di sekitar Yunnan dan meninjau ruang – ruang untuk menghantar para aktivis IOA mahupun aktivis muda Grup Pengkaji Tamadun Dunia (GPTD) untuk menabur bakti di sana.

Antara madrasah yang sempat dilawati bagi menyambung silaturahim dan menghulurkan sedikit bantuan ialah Madrasah Tao Yuan dan Madarasah Tien Bai Mu. Juga tidak ketinggalan melawat masyarakat Muslim di Kota Islam Na Jia Yin. Madrasah-madrasah di sini amat memerlukan bantuan dan sumbangan ikhlas para dermawan demi memastikan syiar Islam ini terus bersinar di bumi Kunming dengan melahirkan generasi Muslim yang kental imannya.

Delegasi yang diketuai oleh saudara Jufitri Joha, bekas Naib Pengerusi IOA yang juga merupakan Pengerusi Grup Pengkaji Tamadun Dunia (GPTD) sempat menyambungkan silaturahim dengan Pertubuhan Islam Yunnan dan Kolej Islam Yunnan.

Sebagai aktiviti sampingan, ekplorasi ini juga turut mengambil peluang melawat Taman Peringatan Cheng Ho, Stone Forest (Keajaiban Dunia), Kilang Sutera dan kedai herba terkenal China.

Tidak terhenti kepada sekadar lawatan, hasil ekplorasi ini akan diteruskan melalui tindakan susulan dengan menghantar seorang aktivis muda melalui unit sukarelawan antarabangsa ABIM iaitu Grup Pengkaji Tamadun Dunia (GPTD) ke sana di bawah Sekretariat Antrabangsa ABIM untuk tujuan khidmat sosial dengan syarat aktivis tersebut perlu menguasai bahasa Mandarin dan membuat kajian tempatan mengenai Muslim di Kunming secara khusus dan di China amnya. Selain itu aktivis tersebut harus pandai meneroka ruang-ruang perniagaan untuk dikembangkan bagi memulakan agenda ekonomi umat yang akhirnya membawa kepada Jihad ekonomi. Setakat ini pihak GPTD telah pun mendapat seorang calon yang menawarkan diri untuk melakukan khidmat sosial dan berdakwah di China.

China merupakan satu maudhuk atau tajuk yang amat menarik untuk dikaji oleh kita semua bahkan sudah tentu kepada sukarelawan GPTD yang bakal ditugaskan ke sana. Negara yang mempunyai 30 juta umat Islam dan 42 000 buah masjid ini sarat dengan khazanah warisan tamadun yang unik yang akhirnya menjadi sebuah bakal kuasa besar ekonomi dunia yang mengimbangi kehebatan Amerika Syarikat. Sejarah kegemilangannya dimulakan dengan pelbagai dinasti pemerintahan maharaja dan yang paling terkenal seingat penulis adalah Dinasti Ming yang menyaksikan kebangkitan semula pemerintahan bangsa Han dan zaman Cheng Ho menawan samudera. Dan yang paling penting untuk dikaji ialah faktor jatuh bangun sesebuah dinasti dan tamadun bakal agar boleh diteladani dan dijadikan pengajaran berharga kepada generasi muda di Malaysia.

Selain itu diaspora China yang bertebaran di seluruh dunia termasuk China Muslim yang bertebaran di 13 buah negara seperti Brunei, Malaysia, Singapura, Indonesia, Thailand, Burma, Hong Kong, Taiwan, Arab Saudi, Kazakhstan, Kyrgystan, Uzbekistan dan Amerika Syarikat yang menjadi rumah kepada populasi China Muslim memang menjadi antara subjek yang menarik untuk diteliti dan dikaji oleh sukarelawan GPTD.

Namun apa yang lebih penting sukarelawan GPTD akan memfokuskan pengkajian umat Islam di China yang mempunyai sejarah panjang dalam mempertahankan iman mereka. Tragedi tersebut berlaku ketika Revolusi Kebudayaan pada zaman Mao Zedong di mana mereka di larang mengamalkan agama secara bebas. Dengan memfokuskan wilayah Yunnan yang beribunegerikan Kunming memudahkan skop kajian umat Islam di China sebelum diluaskan kepada wilayah-wilayah di mana umat Islam berada seperti di Xinjiang, Ningxia, Gansu dan lain-lain. Selain itu, tidak dilupakan pengkajian tentang Cheng Ho yang merupakan anak jati kelahiran Yunnan.

Sebelum berlepas ke China, sukarelawan GPTD akan mempelajari asas Bahasa Mandarin sebelum mempraktikkannya di sana bagi memudahkan komunikasi di samping memperlengkapkan sukarelawan tersebut dengan kelebihan soft skill iaitu kelebihan bahasa. Bayangkan seseorang sukarelawan tersebut bukan sahaja fasih bahasa Melayu, bahasa Arab dan bahasa Inggeris bahkan satu lagi bonus iaitu bahasa Mandarin.

Di samping itu, sukarelawan tersebut juga akan mengenal pasti kawasan umat Islam yang memerlukan bantuan terutamanya madrasah-madrasah yang memberikan pelajaran agama dan akademik serta mendidik anak-anak Muslim China di sana menjadi umat yang taat pada agama. Ini menunjukkan bahawa sempadan umat Islam tidak dibatasi dengan sempadan geografi tapi sempadan iman. InsyaAllah setelah dikenalpasti maka mudahlah bantuan-bantuan yang boleh disalurkan kepada yang memerlukan di Kunming.

Akhirnya, sukarelawan tersebut akan meneroka peluang-peluang perniagaan di China bagi memeriahkan lagi usaha menyuburkan ekonomi umat Islam yang mana hasil keuntungan tersebut akan digunakan membantu umat Islam di China dan Malaysia.

Semua lipatan pengalaman yang bakal dilalui oleh sukarelawan tersebut tidak lengkap jika tidak dikongsi kepada para belia di Malaysia sejurus selepas kepulangan sukarelawan tersebut ke Malaysia kerana pengalaman dan ilmu yang diperolehi tersebut harus dikongsi untuk memberikan satu inspirasi dan booster kepada para belia akan mejadi belia yang berjiwa besar membela nasib umat. GPTD boleh dilayari di http://gptd.blogspot.com.

3 ulasan:

Kembara Hati Sang Jejaka berkata...

bagaimana pula sejarah Islam di Xian Yang? Di kawasan yang ada statue terracota army n masjid tertua Xian?

mdnasiridris berkata...

Assalaamu'alaikum

Saya amat berminat nak melawat tempat2 umat Islam di China. Setakat ini saya cuma pernah pergi beijing sahaja. Bandar2 besar ni, adalah umat Islam disana sini tapi tak seperti tempat yg anda lawati ini. saya harap anda dpt berikan maklumat lbh detail serta lampirkan no contact teman di kunming/xi'an. Kalau ada kesempatan.

Kemungkinan saya dan rakan2 semuanya dari jabatan bhs arab uia akan berkunjung ke Kunming/xi'an pd bln oct nanti, insha ALLAH. Saya pernah bertemu dgn orang islam kunming/xi'an dan xinjiang sewaktu di beijing dahulu dan mereka fasih berbahasa arab. Kami nak tinjau pembelajaran bahasa arab disana.
Kami juga ingin backpacking dari kunming ke vietnam. Htp bg tipsnya.

Minggu lps kami backpacking ke chiangmai dgn airasia. Dari situ ke Tachilek, myanmar dan ke sempadan lais dgn bas.
جزاك الله خيرا

mdnasiridris berkata...

Assalaamu'alaikum

Saya amat berminat nak melawat tempat2 umat Islam di China. Setakat ini saya cuma pernah pergi beijing sahaja. Bandar2 besar ni, adalah umat Islam disana sini tapi tak seperti tempat yg anda lawati ini. saya harap anda dpt berikan maklumat lbh detail serta lampirkan no contact teman di kunming/xi'an. Kalau ada kesempatan.

Kemungkinan saya dan rakan2 semuanya dari jabatan bhs arab uia akan berkunjung ke Kunming/xi'an pd bln oct nanti, insha ALLAH. Saya pernah bertemu dgn orang islam kunming/xi'an dan xinjiang sewaktu di beijing dahulu dan mereka fasih berbahasa arab. Kami nak tinjau pembelajaran bahasa arab disana.
Kami juga ingin backpacking dari kunming ke vietnam. Htp bg tipsnya.

Minggu lps kami backpacking ke chiangmai dgn airasia. Dari situ ke Tachilek, myanmar dan ke sempadan lais dgn bas.
جزاك الله خيرا