Rayuan untuk Syria

Rayuan untuk Syria

Selasa, September 25, 2007





“MENELUSURI BUMI BALAKOT : 7 BULAN YANG SUKAR SELEPAS GEMPA MAUT”

Oleh: Jufitri Joha

Apabila menjejaki tanah yang berdebu Lahore, Pakistan,penulis teringat kata-kata Syed Qutb Rahimahullah iaitu :”Umat Islam tidak dibatasi dengan sempadan geografi mahupun negara bangsa tetapi mereka dibatasi dengan sempadan Aqidah. Kata-kata ini menjadi hujah dan sumber kekuatan bagi penulis untuk meneruskan misi ke – 8 Global Peace Mission (GPM) Malaysia di bumi dilanda gempa bumi pada tanggal 8 Oktober 2005. Gempa yang berskala 7.2 skala ritcher tersebut memusnahkan bumi terpencil Balakot dan meragut ratusan ribu nyawa penghuninya.

Misi ke-8 ini adalah salah satu usaha kesinambungan GPM meneruskan tradisi membantu rakyat Balakot yang menderita kehilangan tempat tinggal, anak-pinak serta saudara-mara. Walaupun sudah 8 bulan tragedi ngeri itu berlaku dan berita-berita mengenai nasib mangsa gempa bumi tersebut tidak lagi menjadi tajuk utama di dada-dada akhbar tanahair namun usaha-usaha jangka panjang GPM tetap diteruskan di sini dengan membuka dan menguruskan perjalanan harian Rumah Kenbajikan Anak-Anak Yatim dan Miskin atau Children Welfare Home, Balakot.

Misi ke 8 ini diketuai oleh Dr.Mohd Saifullah Alhany iaitu Ketua Biro Kesihatan ABIM Pusat dan dianggotai oleh 3 orang sukarelawan iaitu saudara Jufitri Joha, Pengerusi Grup Pengkaji Tamadun Dunia Angkatan Belia Islam Malaysia (GPTD ABIM), saudara Ahmad Junaidi Ahmad Hamidi, pelajar praktikal UITM dan saudara Ahmad Abdul Jalil Abdul Razak juga merupakan pelajar praktikal UITM.

Tujuan utama misi adalah misi perubatan iaitu memberikan rawatan percuma kepada penduduk setempat di Balakot, memeriksa tahap kesihatan anak-anak yatim dan miskin di rumah kelolaan GPM tersebut, mengenalpasti projek pendidikan jangka panjang yang GPTD boleh laksanakan untuk membantu GPM memastikan penghuni rumah anak yatim dan miskin ini mendapat pendidikan yang sewajarnya dan tujuan terakhir sekali adalah untuk menghantar 2 pelajar praktikal UITM membuat kajian mengenai penyakit Kancing Gigi (Tetanus) selepas kejadian gempa bumi di Balakot.

Perjalanan dari KLIA ke Balakot memakan masa sehari semalam. Balakot merupakan wilayah Utara Barat Pakistan yang amat terpencil dan mundur. Perjalanan begitu memenatkan ditambah pula Pakistan berada dalam musim panas yang berdebu. Ini memberikan cabaran yang amat menarik kepada 4 orang anak muda ini. Perjalanan ke Balakot melalui jalan-jalan di lereng-lereng gunung yang tinggi dan curam menambahkan lagi keadaan-keadaan sukar dan lasak yang terpakasa ditempuhi. Selepas bertarung dengan kepenatan, kepanasan dan bahaya,akhirnya 4 orang sukarelawan GPM ini sampai juga ke destinasi yang dituju. Kami disambut oleh saudara Iqbal, seorang sukarelawan GPM sudah 4 bulan mengorbangkan masa beliau berada di sini untuk menjaga rumah anak-anak yatim dan miskin tersebut.

Keadaan dan suasana Balakot yang teruk memang sudah diduga sejak awal kerana ia merupakan kawasan selepas dilanda gempa bumi yang dahsyat. Namun kami terasa berada di Switzerland apabila pemandangan alam sekitarnya memukau pandangan kami.Ini adalah kerana Balakot terletak di lembah yang dikelilingi oleh banjaran gunung yang bersalji dan cantik. Landskapnya dicantikkan lagi dengan pohon-pohon musim sejuk yang tumbuh mewarnai banjaran tersebut serta sebatang sungai mengalir deras kesan pencairan glasier dari atas gunung.

Balakot dipenuhi dengan khemah-khemah yang masih dihuni oleh mangsa-mangsa gempa yang kehilangan tempat tinggal. Pelbagai Ngo-Ngo antarabangsa masih beroperasi di sini untuk memberikan khidmat mereka dalam pelbagai kepakaran kepada penduduk Balakot. Ada satu fakta yang amat menarik bagi penulis iaitu dalam-dalam banyak Ngo yang beroperasi di sini, Cuba merupakan antara negara yang tidak ketinggalan menyumbangkan para doktornya dan membina sebuah hospital sementera untuk merawat para pesakit setempat. Apa yang lebih menarik perhatian penulis ialah, menurut saudara Iqbal, ramai di kalangan doktor Cuba yang bertugas di sini telah memeluk Islam. Apa yang menjadi persoalan penulis seterusnya ialah apakah faktor pendorong sehingga Islamnya sebahagian doktor-doktor Cuba ini?Subhanallah.

Walaupun gempa bumi meranapkan sebahagian rumah, namun kelihatan masih ramai penduduk Balakot mengambil keputusan untuk terus tinggal di rumah yang didirikan di lereng-lereng gunung yang curam.Ini mungkin kerana paras kemiskinan mereka yang tidak mampu untuk membuat rumah di tempat yang lebih selamat atau sikap mereka yang tidak mahu mengambil ibrah dan iktibar?. Persoalan sikap ini mengingatkan penulis kepada kata-kata Iqbal ketika penulis baru sampai di Balakot apabila beliau menceritakan perangai orang Islam Pakistan ini. Mereka ini amat kuat menipu walaupun dalam keadaan terang-terangan, tidak menjaga kebersihan dengan membuang air merata-rata, amalan rasuah yang berleluasa dari peringkat atas sehinggalah ke peringkat akar umbi dan di sesetengah tempat amat kuat sifat suku kaum mereka sehingga undang-undang adat melebihi undang-undang syariat. Ini jelas dalam kes Mukhtaran Mai yang menggemparkan dunia apabila beliau dirogol sebagai hukuman “adat” kepada beliau kerana membenarkan adik beliau berkawan dengan dengan wanita kasta atasan. Sikap-sikap negatif ini harus dijadikan sempadan dan beberapa sikap-sikap positif mereka seperti amat kuat menghormati dan melayan tetamu dan kuat dari segi ketahanan fizikal harus diteladani.

Beberapa program telah diatur bersama anak-anak yatim dan miskin di rumah tajaan GPM ini walaupun kerap kali mengalami keputusan bekalan air dan elektrik secara tiba-tiba. Antara program yang menjadi perhatian utama adalah yang berkaitan dengan soal kesihatan dan pendidikan seperti penjagaan kesihatan (hygene), pemeriksaan vaksin dan nutrisi, pemberian vitamin tambahan dan lain-lain. Antara tugas berat yang harus difikirkan untuk mendidik mereka ialah bagaimana nak menggalakan mereka sentiasa mandi dan memberus gigi. Mereka sudah terbiasa dengan mandi 3 hari sekali dan yang paling ekstrem sehingga seminggu sekali baru mandi. Bayangkan bau mereka jika tidak mandi seminggu dalam suasana panas dan berdebu. Program-program lain seperti perlawanan bola sepak persahabatan, solat jemaah dan mengaji Al-Quran turut tidak dilupakan.

Pengalaman singkat selama seminggu menyambung tugasan bantuan kepada mangsa gempa ini di bumi berbahasa Urdu ini cukup memberikan impak pengalaman yang luar biasa dan mencabar kepada penulis. Pengalaman ini sukar dijual beli kerana ia mendatangkan kesan yang mendalam ke dalam hati nurani terutamanya dalam memahami penderitaan yang ditanggungi mangsa gempa dan merenung masa depan anak-anak yatim dan miskin yang memerlukan pembelaan yang sewajarnya dari umat terutamanya soal masa depan pendidikan mereka yang jauh tercicir selepas tragedi gempa tersebut. Di tambah pula dengan keadaan mereka di tengah-tengah bangsa Pakistan yang amat sukar untuk membuat anjakan pemikiran dan perubahan sikap untuk menjadi bangsa yang lebih bermaruah dan maju ke hadapan.

Tiada ulasan: