Rayuan untuk Syria

Rayuan untuk Syria

Selasa, September 25, 2007



"Penulis Mempengerusikan Forum "Pengupayaan Belia"

Melayu diaspora sudah berkembang ke seluruh dunia. Selain dari yang terdapat di nusantara, komuniti di Melayu di beberapa buah negara di dunia seperti di Sri Lanka, Surinam, Belanda, Afrika Selatan dan tidak ketinggalan di United Kingdom (UK). Walaupun diaspora Melayu tidaklah sehebat diaspora India dan Cina, tetapi taburan komuniti Melayu di seluruh dunia sudah cukup menggambarkan keunikan dan keistimewaannya yang tersendiri.

Mungkin berita mengenai Melayu di United Kingdom yang meliputi negara Republik Ireland, Wales, Scotland dan England jarang didengari namun bila sesekali bila bercerita mengenai Melayu di United Kingdom merupakan sesuatu perkara yang amat menarik.

Persatuan yang amat sinonim dengan Melayu di UK adalah Persatuan Masyarakat Melayu United Kingdom atau singkatannya “Melayu UK”. Melayu UK ditubuhkan bagi menyediakan satu platform khusus untuk masyarakat Melayu di UK berinteraksi sesama mereka kerana masyarakat Melayu di UK tinggal berselerak dan tidak berkumpul setempat. Jadi Melayu UK merupakan medan perjumpaan terbaik untuk mereka merapatkan ukhuuwah, beraktiviti dan bertukar-tukar pandangan. Selain itu, Melayu UK merupakan satu wadah untuk mereka terus berusaha mengekalkan identiti dan jati diri sebagai masyarakat Melayu Islam berikutan kekhuatiran mereka terhadap anak-anak mereka yang dilahirkan dan dibesarkan dalam suasana dan budaya Inggeris yang akan mengikis sedikit demi sedikit identiti keIslaman dan budaya Melayu mereka. Bayangkan anak-anak mereka lahir sahaja terus menghirup udara Inggeris, makan makanan Inggeris, berkawan dengan anak-anak Inggeris dan bersekolah di sekolah Inggeris sudah tentu suasana Inggeris tersebut mempengaruhi sebahagian besar proses pembesaran mereka. Kekhuatiran mereka berasas kerana budaya dan cara hidup orang Inggeris sebahagian besarnya bercanggah dengan nilai-nilai keIslaman dan adat ketimuran yang halus.

Baru-baru ini penulis menghadiri Perhimpunan Keluarga Melayu kali ke – 5 yang dianjurkan oleh Melayu UK. Kehadiran penulis bersama delegasi Majlis Belia Negeri Negeri Sembilan (MBNNS) yang diketuai Presiden MBNNS, saudara Khaidir Jamal adalah atas jemputan Presiden Melayu Uk iaitu saudara Hamidi Abdul Rahman. Perhimpunan kali ini diadakan di Kem Pengakap Oxford, United Kingdom. Kehadiran MBNNS merupakan kunjungan balas selepas wakil belia Melayu UK menghadiri Pertukaran Belia Melayu Dunia yang diadakan di Rembau, Negeri Sembilan dan Jasin, Melaka.

Perhimpunan ini bukan sahaja dihadiri oleh masyarakat Melayu di UK tetapi juga dihadiri oleh ’Mat Saleh’ yang berkahwin dengan perempuan Melayu. Ternyata mereka amat menyenangi dan selesa bergaul dengan masyarakat Melayu serta menjadi sebahagian daripada keluarga besar mereka. Terdapat juga warganegara UK yang berbangsa Pakistan, Yaman dan Bangladesh yang turut bersama memeriahkan perhimpunan pada kali. Kehadiran mereka memberikan makna tersirat iaitu mereka amat menyenangi kepimpinan umat Islam di UK apabila yang mengapalainya datang dari orang Melayu. Orang Melayu apabila berada di luar negara memang sinonim dengan kepimpinan mereka yang dapat menyatukan barisan umat Islam termasuklah di UK dan Amerika Syarikat. Kepimpinan Melayu memang sudah diiktiraf oleh masyarakat islam antarbangsa. Seperti kata saudara Hamidi, Presiden Melayu UK walaupun bilangan orang Melayu sedikit tapi dari aspek kualiti kepimpinan umat, orang Melayu boleh menawarkannya pada tahap terbaik, ”what we cannot offer for quantity we go for quality”.

Perhimpunan keluarga pada kali menampilkan kelainan daripada sudut pengisian bersesuaian dengan temanya iaitu ”Youth Empowerment – Pengupayaan Belia” dan ditambah dengan kehadiran tetamu istimewa dari Malaysia iaitu delgasi MBNNS. Konsep perhimpunan dikekalkan antara pengisian ilmu, pengisian rohani dan aktiviti fizikal merangkumi forum, tazkirah, solat berjemaah, aktiviti berkumpulan, menyediakan makanan secara berkumpulan, forum, aktiviti rekreasi dan lasak serta diskusi. Semua ini menjuruskan ke arah pengukuhan ukhuwwah antara ahli Melayu UK yang menghasilkan suatu gerak kerja mantap bagi menggerakkan Melayu UK.

Sempena kehadiran delegasi MBNNS yang diketuai Presidennya iaitu saudara Khaidir Jamal, beberapa slot istimewa telah diadakan iaitu taklimat program MBNNS berkaitan Think Tourism through Youth Tourism dan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara MBNNS dengan Melayu UK. Tujuan MoU ini adalah untuk mengeratkan kerjasama dua hala terutamanya dalam soal belia Melayu antara dua negara. Bersesuaian dengan tema perhimpunan ’Youth Empowerment’ melalui MoU ini, MBNNS komited untuk membantu Melayu UK membangunkan aspek belia Melayu UK memandangkan mereka kini merupakan generasi ketiga Melayu di UK yang bakal meneruskan tradisi kepimpinan Melayu UK pada masa sekarang. Mereka harus dipersiapkan segera agar Melayu UK mendapatkan sentuhan anak-anak muda yang sudah tentu InsyaAllah akan merancakkan pergerakan aktiviti Melayu UK.

Kemuncak acara perhimpunan adalah forum yang membariskan Presiden Melayu Uk sendiri, Presiden MBNNS, Penolong Setiausaha Malaysian Islamic Study Group Angkatan Belia Islam Malaysia (MISG ABIM) United Kingdom dan Eire iaitu saudara Zamri dan wakil generasi ketiga Melayu UK iaitu saudari Sarah. Mereka berkongsi pandangan dengan para peserta perhimpunan mengupas tema perhimpunan iaitu ’Youth Empowerment’. Sebelum forum bermula, saudara Akyun selaku Setiausaha MISG ABIM UK dan Eire menyerahkan bantuan buku Iqra (kaedah mengaji) kepada wakil Melayu UK dari Ceshire sebagai satu simbolik penting penglibatan mahasiswa Malaysia di UK untuk terlibat dalam khidmat masyarakat membantu aktiviti Melayu UK menggerakkan halaqah pengajian agama dan Al-Quran terutamanya di kalangan ’mat saleh’ yang masuk Islam untuk berkahwin dengan wanita Melayu di UK. Ini satu lagi mesej jelas kepada seluruh mahasiswa Malaysia di UK iaitu tugasan mereka bukan sekadar belajar di bilik kuliah tapi peranan mereka amat ditagih bukan sahaja oleh masyarakat di Malaysia bahkan masyarakat antarabangsa.

Intipati forum amat menarik berkisar sejarah kedatangan orang Melayu ke UK, cabaran – cabaran yang dihadapi, serta pandangan generasi muda Melayu UK dalam persiapan mengambil alih kempimpina Melayu UK dari generasi kedua. Saudari Sarah selaku panelis kedua mewakili generasi ketiga Melayu UK petah berkata – kata dalam bahasa Inggeris walaupun tidak petah berbicara dalam bahasa Melayu dilihat antara pimpinan pelapis yang berpotensi untuk ke hadapan memimpin Melayu UK. Begitu juga generasi ketiga yang lain, ternyata bersedia dan bersemangat untuk memimpin Melayu UK bila tiba masanya seperti Huda, Mujahed, Suhaib, Nizam dan lain-lain.

Perhimpunan ini melabuhkan tirainya dengan baik kerana diakhiri beberapa hasil resolusi yang mantap dan berkesan. Walaupun mereka jauh di mata namum perhubungan serumpun bangsa tetap tidak memisahkan. Semoga Melayu UK terus relevan dan memainkan pernanannya yang penting dalam memastikan kebajikan ahlinya terbela sambil dibantu rapat oleh pihak MBNNS dan MISG ABIM UK dan Eire. Melayu UK boleh dilayari di http://www.melayu.org.uk/

Gambar dibawah: Wajah Anak Melayu Kacukan Inggeris

Tiada ulasan: