Rayuan untuk Syria

Rayuan untuk Syria

Sabtu, Jun 28, 2008

Pagi Nan Indah di Kota Granada.






Oleh : Jufitri bin Joha - Ketua GPTD Sepanyol - Cuba

Menjejaki kaki ke bumi Andalus untuk kali kedua mengingatkankan penulis pada pertemuan pertama kali penulis dengan Kota Granada pada tahun 2005 yang lalu. Sudah tentu perkara yang tidak luput dari ingatan saya adalah Istana Alhambra dan Masjid dan Pusat Islam Granada.

Walau misi kali ini berbeza saya tidak melepaskan peluang untuk menziarahi Masjid Granada yang menjadi kebanggaan umat Islam Sepanyol. Sudah tentu ia merupakan syiar kebangkitan Nur Islam di celah-celah gerhana umat selama lebih 500 tahun selepas kejatuhan Kerajaan Islam Sepanyol. Ia umpama gergasi yang sedang tidur yang sedang dalam proses permulaan dikejutkan semula.

Penulis amat berbesar hati untuk berbicara mengenai Masjid Granada ini kerana ia mempunyai nilai sentimental yang tinggi di hati penulis. Justeru penulis amat terpanggil untuk membuat coretan ini untuk mengkhabarkan kepada umat Islam di Malaysia bahawa ada sesuatu berita gembira sedang berhembus menyatakan Islam mula bangkit di sini!. Tambahan lagi, Masjid Granada mempunyai kaitan yang amat rapat dengan perkembangan dakwah kontemporari di Sepanyol khususnya di era pasca 911, iaitu peristiwa hitam pengeboman bangunan WTC di New York.

Pembinaan Masjid dan Pusat Islam Granada sebelah menyebelah ini seolah-olah menandakan secara rasmi Islam mula bertapak semula di bumi Andalus. Laungan azan berkumandang semula selepas Kota Granada sepi daripada kalimah agung ini. Ini bermakna Islam akan terus menjadi agama yang penting dan releven di era moden ini. Ini diakui oleh Sheikh Abdul Hasib Castineira, Pengarah Pertama Masjid Granada ketika ditanya oleh Majalah Globalia ketika diwawancara di Jerman berkenaan dengan makna kemasukan semula Islam di Sepanyol ketika Islam dihenyak di seluruh dunia, lantas beliau secara bersahaja menjawab seperti berikut :

“I think it is a sign of the vitality, the validity and relevance of Islam in this modern age. Also it is a sign that Islam has not been erased from the hearts and minds of the people of Spain. Eight hundred years of Islamic civilisation of Alandalus has left so much knowledge that is still used today by Ummah of Islam and non-Muslims. But as a living element, a living existential element it has been erased from the surface of the Iberian peninsula but, it is a sign of the vitality, validity and relevance of Islam and the people are taking it on existentially and in their daily lives”.

Kata-kata Sheikh Abdul Hasib ini menghimbau 30 tahun kebelakang apabila matinya pemerintah diktator Sepanyol yang terkenal iaitu Jeneral Francisco Franco, kedapatan suara-suara simpati terhadap Islam mula berputik dan berbunga terutamanya di kalangan ahli cerdik pandai dalam bidang sejarah dan kebudayaan. Bagi orang Islam mereka memang sudah biasa mengetahui bahawa zaman keemasan Sepanyol adalah pada era pemerintahan Islam namun perkara ini adalah asing bagi orang Sepanyol. Ini adalah kerana, selepas kejatuhan Islam di Sepanyol, rakyat Sepanyol telah dtanamkam bahawa Sepanyol merupakan negara Kristian tetapi telah dijajah oleh umat Islam yang akhirnya menyebabkan orang Sepanyol berpecah belah. Ini merupakan sejarah versi Katolik yang telah dimomok-momokan terus menerus kepada rakyat Sepanyol umumnya sehingga kurun ke 17 melalui buku-buku teks dan diduskusikan dalam wacana-wacana rasmi. Ini jelas menujukkan bahawa ada usaha-usaha pihak Kristian di Sepanyol cuba menafikan sumbangan bahkan memadamkan trek rekod yang amat cemerlang yang dilakukan oleh pemerintahan Islam di Sepanyol. Mereka seboleh-bolehnya ingin memadamkan cahaya yang sebenarnya mereka tidak mampu membendungnya lagi. Benarlah firman Allah dalam Surah As-Saff ayat 8:

“Mereka ingin hendak memadamkan cahaya (agama) Allah dengan mulut (ucapan-ucapan) mereka, dan Allah tetap menyempurnakan cahayaNya meskipun orang-orang kafir benci.”

Bukti yang sudah terang lagi bersuluh sudah tidak terselindung lagi. Penduduk di Granada sekarang sudah mula berbicara tentang Islam bukanlah agama keganasan mahupun agama kemunduran kerana mereka tahu sejarah yang terpahat di Kota Granada dengan kehebatan Istana Alhambra dan peninggalan-peningalan Islam yang lain. Apabila Sepanyol mempromosikan pelancongan mereka dari New York sehingga ke Singapura sudah pasti yang menjadi tempat bersejarah taruhan mereka untuk dijaja adalah Alhambra. Jadi Sepanyol terhutang budi dengan umat Islam. Pandangan umum ini disokong pula dengan kenyataan berani daripada Perdana Menteri Sepanyol Jose Luis Rodriguez Zapatero yang menyatakan bahawa Sepanyol terhutang budi dengan Islam terhadap sejarah kegemilangan tersebut.

Berdasarkan senario semasa Islam di Sepanyol yang amat menarik, kewujudan Masjid Granada amat tepat pada masanya sebagai pusat penyebaran dakwah dalam usaha meratakan Rahmat Islam ke seluruh Sepanyol bahkan ke seluruh Eropah. Ketika kunjungan baru-baru ini, penulis sempat berbual dengan Imam Masjid Granada, Sheikh Mohammad Kasbi. Beliau menyatakan hampir setiap minggu purata dua orang bukan Islam akan melafazkan kalimah Syahadah di sini. Subhanallah, dari mana datangnya mereka ini sudah tentu panggilan nur ilahi yang tidak dapat dibendung lagi.

Tersergamnya Masjid Granada yang mendapat sentuhan bantuan kewangan Malaysia, UAE, Maghribi dan Libya ini amat menarik kerana ia didirikan di lot bertentangan dengan Alhambra. Ia seolah-olah menantikan semula saat-saat kegemilangan Alhambra yang jatuh pada 1492 masihi. Masjid Granada adalah dibuka untuk semua termasuk bukan Islam khususya kepada pelancong, penyelidik, guru-guru, grup universiti dan sekolah. Selain sebagai pusat dakwah, Masjid Granada memainkan fungsi utama sebagai tempat beribadah, menjadi hati nurani masyarakat dan pusat interaksi masyarakat yang lebih bermakna. Masjid Granada aktif dengan pelbagai aktiviti bermanfaat termasuklah menganjurkan The International Encounter “ISLAM IN EUROPE” pada setiap kali tiba musim panas. Masjid Granada mencipta sejarah apabila menjadi salah satu anggota yang menubuhkan European Muslim Union (EMU) yang amat berperanan di Eropah.

Masjid Granada telah dibuka secara rasminya pada 10 Jamadilawal 1424 Hijrah bersamaan 10 Julai 2003 disaksikan ribuan mata umat Islam yang datang dari pelbagai pelosok dunia termasuk wakil Malaysia. Turut tidak ketinggalan ialah kehadiran Datuk Bandar Granada iaitu Mr. Jose Torres Hurtado. Masjid Granada memakan masa selama 21 tahun untuk disiapkan selepas melalui sesi ujian yang getir iaitu penentangan daripada masyarakat setempat. Namun ketentuan Allah telah mengatasi segalanya.

Granada merupakan kota terakhir tumbang di tangan Ratu Isabella dan Ferdinand dan sekarang Granada telah menebusnya semula dengan wujudnya Masjid Granada. Masjid Granada akan terus memainkan peranan sebagai tulang belakang kepada kebangkitan Granada. Granada merupakan sebuah provinsi kecil dengan 350 000 penduduk. Sepanjang 20 tahun yang lepas, Granada merupakan bandar contoh di Sepanyol di mana imigran Muslim telah diterima di sini sebagai “niche” dalam masyakarat yang amat menyumbang kepada ekonomi Granada. Mereka inilah yang membantu mewujudkan atmospera kebangkitan Islam melalui pasar (souks) dan bazar yang mana mengembalikan nostalgia suasana “moorish” dalam bandar tersebut. Ini amat bermanfaat kepada aktiviti ekonomi dan pelancongan Granada. Imigran ini juga berjaya berintegrasi ke dalam masyarakat tanpa sebarang suasana ketidakharmonian kaum.

Semoga, perkembangan ini akan terus subur di samping peranan masjid Granada yang melatari kerancakan kebangkitan Islam di Granada yang pasti Insyaallah kita akan mendapatkan semula “Pagi Nan Indah di Kota Granada”.

1 ulasan:

Atiqah Talib berkata...

salam..
wa, abg ju dah dua kali ke spain..
seronok baca cerita psl Islam di spain ni..
kan bagus kalu spain menang bola sebagai satu pasukan islam di Europe haritu, tentu lebih bermakna..
bila pulak rezeki saya nak ke spain ni ye..