Rayuan untuk Syria

Rayuan untuk Syria

Rabu, Julai 30, 2008

Pengerusi GPTD Di Sana Sini 3





Pengalaman yang saya timba semasa Eksplorasi Sepanyol-Amerika Latin pada tahun 2005 menyebabkan saya terus bertekad untuk bekerja keras menyebarkan Rahmat Allah atau dalam kata lain berdakwah menyebarkan kesedaran beragama dan berbangga dengan Islam.

Sudah tentu Eksplorasi Sepanyol tersebut bertujuan melihat keagungan peninggalan Tamadun Islam. Selain itu ia bertujuan mempelajari sejarah jatuh bangun sesebuah tamadun dengan memfokuskan faktor-faktor kejatuhan. Ia dihayati dalam konteks belia agar faktor-faktor kejatuhan tersebut tidak diulangi oleh belia di Malaysia. Benarlah seperti kata-kata George Santayana dalam The Life of Reason, “Those who cannot remember the past are condemned to repeat it.” Inilah yang membuat saya harus terus berjuang membuka kelopak mata setiap belia dan remaja berkenaan hal ini.

Melalui experiential learning ini, saya berusaha untuk berkongsi berkenaan perkara ini kepada para belia dan remaja di Malaysia melalui pendekatan dan penyampaian yang menarik kerana subjek Sejarah dan Ketamadunan ini semakin terhakis minat belia dan remaja terhadap dua subjek ini. Sedangkan ianya satu madah yang amat bernilai untuk panduan belia dan remaja. Semoga pendekatan baru dalam mendekatkan belia dan remaja kepada Sejarah dan Ketamadunan ini mampu membuatkan mereka belajar sesuatu yang berharga daripadanya seperti kata George Bernard Shaw, “Hegel was right when he said that we learn from history that man can never learn anything from history.”

Ini juga merupakan seruan terpenting Al-Quran mengajak kita untuk mengembara dan mengambil pengajaran daripada peninggalan sejarah seperti termaktub dalam Surah An Nahl ayat 36 : “..Maka berjalanlah kamu di muka bumi dan perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yang mendustakan (rasul-rasul)”. Bagi pemerhatian saya, Al-Quran sudah memberikan satu indikasi jelas agar pembelajaran sejarah melalui experiential learning adalah pendekatan berkesan dan menarik dalam menyelami pengajaran sejarah.

Saya juga amat tertarik apabila membaca buku “Blame It On The Rain” karya Laura Lee. Beliau berjaya menyajikan pembelajaran sejarah kepada pembaca dalam bentuk pendekatan yang amat menarik apabila mengaitkan faktor cuaca dalam merubah sejarah dunia. Pendekatan ini harus diambil oleh penulis-penulis sejarah lain dalam menyajikan karya-karya sejarah mereka agar mesra belia-remaja.

Bertitik tolak dari kesedaran tersebut saya memaksimakan tenaga dan usaha untuk menerima sebarang undangan ceramah agar mesej faktor-faktor kejatuhan sesebuah tamadun tidak tampak kelihatan benih-benihnya dalam budaya hidup belia dan remaja. Justeru seminggu dua ini saya telah menjelajah ke pelosok daerah dengan rendah diri memenuhi undangan atas pelbagai pihak bagi memberi pengisian kepada belia. Terbaru saya telah mengisi program motivasi pelajar SPM dan STPM di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sultan Azlan Shah, Bota Perak. Selain itu menjadi panelis Forum Isu Murtad di UITM Jengka, mengisi slot ceramah “Manusia Sebagai Khalifah Allah” di depan pelajar-pelajar Giat Mara Negeri Sembilan, menyampaikan kuliah Maghrib untuk pelajar terpilih Sekolah Menengah Dato’ Shamsuddin Rantau dan mengisi slot halatuju dalam latihan fasilitator Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM). Semua ini dengan satu mesej yang jelas seperti yang telah dinyatakan dalam pernyataan misi (mission statement) di atas.






Tiada ulasan: