Rayuan untuk Syria

Rayuan untuk Syria

Ahad, Ogos 03, 2008

Jejak Melayu - Di Bumi Arab Saudi



Sedutan artikel Jufitri Joha di Ruangan Agama, Utusan Malaysia pada 27 Mei 2005 (Jumaat):

DI DALAM buku The Malays in The Middle East terbitan University of Malaya Press, Dr. Mohammad Redzuan Othman dan Dr. Md Sidin Ahmad Ishak menyebut, bahawa orang Melayu sudah mula mengembara ke tanah Hijaz (Mekah dan Madinah) tidak lama selepas mereka memeluk Islam, iaitu apabila Islam memasuki Tanah Melayu. Terdapat dua tujuan utama mereka berada di Tanah Suci, iaitu menunaikan rukun Islam kelima, ibadah haji dan menuntut ilmu daripada ulama terkemuka di sana.

Kemungkinan daripada dua sebab inilah terdapat beberapa kelompok Melayu yang jatuh hati untuk terus berada lama di Tanah Haram. Mereka mengambil keputusan menetap di sana kerana cinta mereka kepada bumi yang diberkati ini. Apabila mereka membulatkan tekad bermastautin di sana, berkembanglah baka dan zuriat mereka hingga ada yang berkahwin dengan orang-orang Arab. Sehingga kini, bayi-bayi yang lahir di kalangan masyarakat Melayu di sana sudah menjangkau ke generasi keempat.

Grup Pengkaji Tamadun Dunia (GPTD) Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) atas jemputan Abdul Rahim Abdullah, anak Melayu kelahiran Mekah, terbang ke bumi Arab Saudi pada 15-25 Mei 2005. Jemputan beliau kepada GPTD adalah dalam misi menjejaki masyarakat Melayu melalui Kajian Sosio Budaya Masyarakat Melayu di Mekah dan Madinah
Kajian ini mendapat sokongan padu daripada Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Usamah Mat dan Ummul Qura League, pelajar-pelajar Melayu Mekah yang belajar di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) serta penduduk Melayu setempat.

Bermastautin

Ia berjaya dilaksanakan ke atas 52 individu Melayu, meliputi orang Melayu yang berasal dari Malaysia, Indonesia dan Pattani. Mereka mendiami kawasan di Mekah seperti Hutaibah, Jabal Ajyad, Nuzhah, Ka'kiah, Syisha dan Syari' Sittin. Manakala di Madinah, hanya terdapat tiga keluarga Melayu yang bermastautin di sana. Terdapat juga beberapa keluarga Melayu di Jeddah, tetapi kami tidak sempat menjejaki mereka kerana kesuntukan masa. Kebanyakan mereka masih mengekalkan taraf kewarganegaraan sebagai warganegara Malaysia dan Thailand. Kaedah kajian kami meliputi temuramah, edaran borang kaji selidik, menghadiri kuliah agama yang disampaikan oleh guru Melayu di Masjidil Haram iaitu Sheikh Muhammad Mandili, homestay, ziarah ukhuwah dari rumah ke rumah dan memenuhi jemputan jamuan dan kenduri.

Di antara perkara-perkara menarik daripada hasil kajian adalah, kebanyakan responden tidak mempu-nyai pekerjaan tetap. Bagi yang bekerja tetap, mereka banyak bekerja sebagai Mutawwif (pemandu dan pembimbing untuk haji dan umrah) dan pemandu am. Selain itu, bagi responden yang memegang status penduduk tetap (PR), kebanyakan mereka masih tinggi pengetahuan tentang negara asal kerana ada yang setiap tahun pasti tidak melepaskan peluang pulang ke tanah air, menziarahi saudara-mara dan sahabat handai. Ada yang masih berbangga dengan Malaysia dan terus memastikan jati diri Melayu itu kekal pada diri mereka dan anak-anak mereka.

Keberkatan

Namun, terdetik juga kesedihan di hati kami apabila melihat ramai anak muda Melayu di sana yang sudah tidak fasih berbahasa Melayu, bahkan paling menyedihkan ada yang telah kehilangan arah tuju hidup, walaupun mereka bernaung di bawah keberkatan Tanah Suci dan Kaabah! Seperkara lagi yang menarik hati kami adalah, apabila diajukan pertanyaan sama ada mereka ingin pulang ke tanah air atau terus menetap di situ, maka majoriti menjawab, ``Ya''. Manakala sebahagian lagi menjawab ``Tidak'' dan ``Tidak tahu!''. Hasil kajian tersebut, kami bentangkannya dalam mesyuarat yang dipengerusikan sendiri oleh Konsul Malaysia di Jeddah, Abdul Aziz Shahar. Mesyuarat yang diadakan di Konsulat Malaysia di Jeddah ini, turut dihadiri wakil ABIM Mekah, Abdul Rahim Abdullah; Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Mohd Raimi Abdul Rahim; wakil Malaysia Airlines System (MAS), wakil Malaysia External Trade Development Corporation (Matrade), pemuda-pemuda Melayu Mekah dan 10 orang ahli GPTD sendiri.

Mesyuarat tersebut berjaya mencapai kata sepakat untuk menghidupkan kembali Kelab Melayu Jeddah yang hampir berkubur, dan seramai lima anak muda Melayu yang menetap di Mekah dan Madinah telah dilantik bagi melaksanakan agenda pembangunan masyarakat Melayu di Arab Saudi. Agenda-agenda tersebut akan dirumus berdasarkan hasil kajian yang kami lakukan. Peluang mengembara ke bumi Rasulullah s.a.w. yang tercinta ini, kami sempat melakukan umrah, menziarahi makam Rasulullah s.a.w., Masjid Nabawi dan tempat-tempat bersejarah sekitar Mekah dan Madinah. Selain itu, kami membuat kunjungan ukhuwah dan mahabbah kepada pelajar-pelajar Malaysia di Universiti Islam Madinah yang bernaung di bawah Perpustakaan Pelajar Malaysia Madinah (PPM), melawat Bank Pembangunan Islam di Jeddah, menghadiri majlis promosi pelancongan Malaysia dan majlis promosi penggambaran drama Cinta Madinah terbitan RTM dan Anugerah Media Network.

Sesungguhnya misi GPTD ke Arab Saudi ini banyak memberikan pengalaman berharga kepada kami, di antaranya memahami tabiat dan perangai orang-orang Arab.



1 ulasan:

Mazlum Syahid berkata...

https://drive.google.com/file/d/0B6ut4qmVOTGWMkJvbFpZejBQZWM/view?usp=drivesdk

Web: almawaddah.info

Salam


Kepada:

 

Redaksi, rektor dan para akademik


Per: Beberapa Hadis Sahih Bukhari dan Muslim yang Disembunyikan


Bagi tujuan kajian dan renungan. Diambil dari web: almawaddah. info

Selamat hari raya, maaf zahir dan batin. 


Daripada Pencinta Islam rahmatan lil Alamin wa afwan