Rayuan untuk Syria

Rayuan untuk Syria

Selasa, September 02, 2008

Perutusan Kemerdekaan dan Ramadhan




Perutusan Kemerdekaan dan Ramadhan :

Kemerdekaan pada tahun menjadi terlalu bermakna bagi umat Islam kerana ia datang sehari sebelum kehadiran bulan Ramadhan.

Seperti yang saya ungkapkan baru-baru ini di UITM Jengka ketika menyampaikan syarahan bertajuk ‘Kemerdekaan dari Perspektif Islam’ di hadapan lebih 300 pelajar bahawa, kemerdekaan yang haqiqi adalah kemerdekaan dari sudut aqidah. Iaitu berjaya membebaskan diri dari sebarang unsur syirik dan mengukuhkan keyakinan kepada mentauhidkan Allah yang Maha Esa. Kita harus berasa bahagia jika kita berjaya memahami erti kemerdekaan yang sebenar seperti yang diungkapkan oleh Dr. Muhammad Nur Manuty, Mantan Presiden ABIM dalam makalah beliau, “Islam dan Jiwa Merdeka” sebagai “..bahagialah suatu bangsa yang benar-benar memahami erti kemerdekaan.”

Saya juga rasa berbahagia kerana dengan izin Allah berjaya menyampaikan mesej sebenar kemerdekaan kepada peserta pada malam tersebut berdasarkan maklum balas sistem pesanan ringkas (sms) yang saya terima daripada saudari Ain (Pelajar UITM Jengka) berbunyi “Pd pndpt sy, crmah tu sgt mnarik. Isu smasa yg dbncgkn dpt dlontarkn dgn kreatif. Erti kmrdekaan yg dbncngkn myedrkn sy, bhw rmaja skrg ni da kurg mghyti erti kmrdekaan mnurut islam. Rmi da trjajah dn pmkirn dn ideologi brt...”. Begitulah bunyi ayat sms tersebut.

Begitulah saya memulakan ceramah saya dengan ungkapan keramat sahabat Rasulullah sallallahualaihi wasallam ketika bersemuka Panglima Rom, Rustum :

“Allah telah mengutus kami untuk mengeluarkan sesiapa sahaja yang Dia kehendaki dari penghambaan terhadap sesama hamba kepada penghambaan hanya kepada Allah, dari kesempitan dunia kepada keluasannya, dari kezaliman agama-agama kepada keadilan Islam. Maka Dia mengutus kami dengan agamaNya untuk kami seru mereka kepadanya. Maka barangsiapa yang menerima hal tersebut, kami akan menerimanya dan pulang meninggalkannya. Tetapi barangsiapa yang enggan (menerimanya), kami akan memeranginya selama-lamanya hingga kami berhasil memperoleh apa yang dijanjikan Allah.”

Ungkapan di atas dijadikan asas perbincangan saya dan ia jelas menggambarkan erti kemerdekaan sebenarnya dari sudut Islam seperti saya telah jelaskan di atas.

Juga saya menitipkan bahawa setiap manusia dilahirkan dalam keadaan bebas dan dalilnya seperti kata Saidina Umar al-Khattab ketika menegur perilaku Gabenor Mesir dan anaknya, ”Bilakah masa kamu memperhambakan manusia sedangkan
mereka lahir dalam keadaan merdeka!”. Begitu juga kata-kata John Locke, “All mankind... being all equal and independent, no one ought to harm another in his life, health, liberty or possessions”. Islam telah lama menjamin dan memelihara persoalan hak kemerdekaan atau kebebasan individu dan kumpulan seperti yang dibahaskan panjang lebar oleh Sheikh Dr. Wahbah az-Zuhaily (Ulama terkemuka Syria) dalam kitabnya “Haqqul al-Hurriyah fi al-Alam”. Persoalannya adalah, sejauh mana kita berjaya memastikan setiap daripada diri kita terus menerus merdeka dalam erti kata sebenar menurut kacamata Islam?

Kita harus terus menerus memastikan diri kita bebas dari penjajahan dari pelbagai bentuk seperti fizikal, rohani, minda, sosial dan emosi. Secara fizikalnya, kita mungkin sudah terlepas daripada cengkaman penjajahan barat dan Jepun selama 446 tahun, namun yang dikhuatiri adalah minda kita masih terjajah. Inilah yang dikhuatiri oleh penyair Mesir, Muhammad al-Wafa, “Telah keluar Inggeris berkulit merah namun masih berbaki Inggeris berkulit sawa matang!”.

Pastikan kemerdekaan negara yang kita kecapi sekarang adalah kemerdekaan lahiriah dan batiniah serentak seperti yang didefinisikan oleh Tan Sri Ahmad Sarji, Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dalam memberikan makna sebenar kemerdekaan.

Kita juga harus menghindari penyakit yang disifatkan oleh Malek Ben Nabi, Tokoh Pemikir Ulung Islam Algeria sebagai ’colonizability’ yang merupakan warisan pemikiran kolonial. Penyakit ini amat berbahaya untuk umat, di mana umat yang terkena jangkitan ini akan membiarkan diri mereka dijajah oleh barat, merelakan diri mereka dijajah bahkan lebih teruk lagi adalah bangga dijajah sedemikian rupa. Justeru penyakit ini, harus dihapuskan dengan satu pukulan maut menggunakan ubat Aqidah Islam yang Salimah.

Bulan Ramadhan ini, amat sinonim dengan erti kemerdekaan khususnya membebaskan diri daripada dijajah oleh hawa nafsu sendiri yang merupakan musuh dalam selimut yang amat berbahaya. Ramadhan adalah madrasah berkesan menghasilkan silibus yang praktikal untuk menundukkan hawa nafsu dan menjadikan ia lebih ringan. Secara teori dan amalannya, apabila nafsu menjadi ringan selepas berpuasa, maka secara automatik ianya akan senang untuk naik ke atas sebagai satu simbolik maqam kita akan dinaikkan di sisi Allah. Jadikan puasa kali ini sabagai satu senjata ampuh untuk menjinakkan hawa nafsu kerana nafsu takut kepada tiga perkara seperti kata ulama iaitu yang pertama; malam (dengan berqiamullaill), yang kedua; mati dan yang terakhir adalah lapar (dengan berpuasa).

Perbicaraan kemerdekaan dan Ramadhan telah saya lanjutkan di Universiti Multimedia Melaka selang dua hari selepas majlis syarahan di UITM Jengka. Di situ saya lanjutkan tentang kelebihan dan hikmah puasa menurut kaca mata Islam dan Sains seperti yang dibahaskan oleh Sheikh Majid az-Zindani, seorang ahli farmasi dan ulama Yaman. InsyaAllah kita akan bahaskan di kesempatan lain InsyaAllah. Selamat menyambut kemerdekaan negara yang ke 51 dan Tahniah dengan kedatangan Ramadhan!.

Tiada ulasan: