Rayuan untuk Syria

Rayuan untuk Syria

Khamis, April 16, 2009

Antara Andalus dan Universiti Durham UK



William Drapper, seorang sarjana Inggeris yang terkenal tentang penulisan sejarah perkembangan intelektual di Eropah menyebut :

"Selama hampir lapan ratus tahun berada di bawah pemerintahan Islam, Andalus menjadi satu sumber tamadun kepada Eropah. Sebagai sebuah negara bertamadun tinggi, kemajuan yang dicapai oleh umat Islam Andalus dalam bidang seni, sastera dan sains, tiada bandingannya di benua Eropah. Para penuntut dari negara Perancis, Jerman dan England tertumpu ke sana untuk mempelajari ilmu-ilmu pengetahuan yang hanya terdapat di bandar-bandar Islam Andalus. Bidang-bidang ilmu seperti matematik, astronomi, biologi, sejarah, falsafah dan ilmu-ilmu hukum, hanya boleh dipelajari di Andalus..."

Namun hari ini kiblat ilmu sudah berpindah ke dunia barat khususnya dikuasai oleh orang bukan Islam. Satu kajian di UK mendapati orang Yahudi menguasai 95% ilmu, orang Kristian 65%, orang Buddha 35% dan orang Islam hanya 15% sedang ayat Iqra merupakan ayat terawal turun kepada kita!. Ramai pelajar di seluruh dunia tertumpu untuk menimba ilmu di negara Barat seperti UK, Perancis, Amerika Syarikat, Jerman dan lain-lain dan tidak terkecuali pelajar dari Malaysia. Saya juga tidak terkecuali. Saya diberi izin oleh Allah untuk melanjutkan pelajaran di Universiti Durham, UK pada bulan September tahun ini (2009). Saya bakal mengambil Master dalam bidang Pengajian Ilmu Kemasyarakatan dan Belia selama setahun.

Bidang pengajian saya ini, amat jarang didapati di Malaysia kecuali di UPM. Ini mengambarkan bidang ini agak asing di Malaysia namun di UK ia telah 'advance' dan berkembang. Saya berazam untuk terus menggali ilmu ini dan memindahkannya ke Negara Islam Malaysia ini. Ia ibarat Hikmah yang hilang yang seharusnya kita membawa hikmah ini pulang ke pangkuan dunia Islam. Saya berharap Malaysia akan terus berkembang menjadi pusat ilmu dunia Islam yang bakal menjadi Andalus kedua. Almarhum Sheikh Muhammad al-Ghazali, tokoh pemikir Islam Mesir pernah menyifatkan Malaysia sebagai Andalus kedua. Malaysia berpotensi menjadi pusat Ilmu dunia!. Kita juga wajib berjihad mengembalikan kegemilangan ilmu dalam dunia Islam.

Saya amat tertarik untuk mengambil bidang ini memandangkan saya terlibat bekerja sepenuh masa sebagai aktivis mesyarakat, pekerja belia dan pendakwah global. Sampai masanya saya menjadi pekerja yang berilmu, berkelayakan dan profesional. InsyaAllah jika diizinkan Allah saya bercita-cita untuk menyambung pelajaran ke tahap PhD dan menjadi "An Activist Profesor"!. Ungkapan ini saya sebut semasa temuduga biasiswa British Chevening di depan panel penemuduga di Kedutaan Britain di Kuala Lumpur pada Februari yang lepas.

Seperkara lagi yang menarik minat saya ialah untuk mengkaji perbandingan pergerakan belia antara UK dan Malaysia . Sebagai perbandingan awal, pergerakan belia di UK telah bermula seawal tahun 1844 manakala Malaysia seawal tahun 1957.

Saya amat berharap saya boleh terus menambahkan kesaktian bagi meneruskan perjuangan saya dalam dakwah, ilmu, belia dan masyarakat sekembalinya saya ke bumi Malaysia. Mari sama-sama kita pasti Malaysia menjadi Andalus kedua.

Tiada ulasan: