Rayuan untuk Syria

Rayuan untuk Syria

Jumaat, Oktober 16, 2009

BICARA BELIA : Pekerja Belia, Pengajian dan Kerja Belia.


Profesor Dr. Turiman Suandi, Pensyarah Unit Pengajian Belia, Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam satu bengkel kepimpinan belia anjuran Majlis Belia Negeri, Negeri Sembilan (MBNNS) pernah menyarankan agar pemimpin belia mesti rajin menulis di dada-dada akhbar untuk menyampaikan idea dan pandangan atau ‘nazrah’ generasi muda terhadap sesuatu isu. Justeru saya amat terpanggil untuk memulakan semula tradisi menulis di kalangan aktivis dan pemimpin belia.

Saya sekarang berada di Universiti Durham, United Kingdom (UK) menyambung pelajaran di peringkat Sarjana (Master) di bidang Community and Youth Work selepas bergelumang selama 7 tahun sebagai pekerja belia di Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM). Jawatan terakhir saya adalah sebagai Pengarah Sekretariat ABIM Pusat dan dalam masa yang sama saya merupakan Exco Hubungan Antarabangsa ABIM. Tidak ramai generasi muda menyedari wujudnya peluang pekerjaan di sektor keempat. Sektor pertama adalah sektor kerajaan, kedua;sektor swasta, ketiga;sektor keusahawan dan keempat;sektor pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu dalam pertubuhan sukarela, kebajikan dan belia. Apabila saya memperkenalkan diri dan memberitahu saya bekerja sepenuh masa dengan pertubuhan belia, rata-rata terkejut dan tidak menyangka rupanya ada peluang pekerjaan di sektor keempat ini. Jika di barat, sektor ini juga amat popular dan sudah lama berkembang sebagai satu kerjaya profesional yang mantap. Sektor ini kurang popular di Malaysia mungkin kerana dikaitkan dengan pelbagai faktor seperti gaji, skim yang tidak menarik, jaminan masa depan dan ‘glamor’. Bekerja di sektor NGO ini mungkin tidak semashyur jawatan sebagai seorang Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) atau profesyen yang sewaktu dengannya. Namun bagi pandangan dan hemat peribadi saya ia merupakan satu kerjaya yang menarik, memberikan banyak ilmu dan pengalaman baru, meningkatkan kreativiti, ruang berkarya yang luas, ruang berbakti yang amat besar kepada masyarakat dan kepuasan diri. Malah sektor ini boleh dipopularkan di Malaysia pada suatu hari nanti sebagai satu kerjaya yang stabil, profesional dan berdaya saing.

Antara lain sebab saya menekuni bidang Community and Youth Work ini juga sebagai salah satu strategi untuk menjadikan diri saya sebagai pekerja belia profesional di samping menjadi pemimpin belia yang berilmu dan berkredibiliti. Bidang dan disiplin pengajian kerja belia ini juga amat baru dan amat jarang diajar di universiti-universiti di Malaysia kecuali hanya ada di Universiti Putra Malaysia (UPM). Itupun sebagai satu unit kecil di bawah Fakulti Pengajian Pendidikan UPM. Namun menurut Profesor Dr. Azimi Hamzah, Ketua Unit Pengajian Belia UPM, bidang pengajian ini sedang diperjuangkan untuk dikembangkan menjadi selangkah kehadapan lagi mungkin ke tahap menjadi jabatan bagi melatih dan mendidik masyarakat Malaysia khususnya para aktivis dan pemimpin belia mempunyai ilmu profesional dalam bidang ini. Jika dibandingkan di UK bidang pengajian ini amat establish dan ditawarkan di beberapa buah universiti seperti Universiti Brunel, Universiti Huddersfield, Universiti Lancaster dan termasuk Universiti Durham di mana saya sedang berada sekarang. Pengajian ini diiktiraf oleh National Youth Agency (NYA) UK (http://www.nya.org.uk/). NYA merupakan sebuah agensi khusus memperbaiki dan mengembangkan perkhidmatan dan kerja belia di UK.

Antara lain tujuan saya menyambung pelajaran dalam bidang ini adalah untuk mempopularkan bidang pengajian ini di Malaysia. Perkara yang sama juga saya tegaskan ketika ditemuduga untuk anugerah biasiswa British Chevening Scholarship di Kedutaan Britain Kuala Lumpur bagi membiayai pengajian master ini. Jika ada rezeki, saya akan panjangkan langkah ini dengan menyambung pengajian di peringkat PhD di bidang yang sama. Dengan ilmu dan kepakaran yang ada serta bantuan dan kerjasama dari Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia Kementerian Belia dan Sukan Malaysia, Majlis Belia Malaysia (MBM), Pusat Belia Antarabangsa (IYC) Cheras dan Unit Pengajian Belia UPM sebuah Akademi Latihan Belia boleh ditubuhkan untuk melatih, memberikan ilmu serta skil dan memperakukan (certify) para aktivis dan pimpinan belia sebagai mereka yang terlatih dan diiktiraf oleh kerajaan Malaysia. Jika peguam ada latihan dalam kamar dan Majlis Peguamnya (BAR Council) mengapa tidak para aktivis dan pimpinan belia. Semoga usaha ini menjadi kenyataan.

Sesungguhnya ilmu dan kemahiran kepada para aktivis dan pemimpin belia amat perlu bagi menstruktur gerak kerja mereka dan merancang secara strategik aktiviti yang menarik, segar dan berkesan dalam menarik generasi muda menyertai perkara yang berfaedah dan terhindar daripada gejala negatif. Cabaran para aktivis dan pemimpin belia dewasa ini amat mencabar kerana mereka berhadapan dengan generasi muda yang berstatus Y. Menurut Prof. Dr. Azimi Hamzah, generasi muda sekarang ini dijangkiti dengan 5L iaitu Love and Lust, Loafing, Leaving Home, Living in Prison dan Loaded with Money. Justeru, para aktivis dan pemimpin belia harus menyajikan sesuatu yang boleh menyayingi cabaran 5L ini dan tampil dengan pelbagai pendekatan baru dan menarik generasi muda menyertai pertubuhan belia yang sedia ada sebagai satu platform mereka terlibat dengan kerja-kerja bermanfaat.

Ini merupakan tugasan besar kita dalam memastikan aset negara yang amat bernilai ini terus dibangunkan, dipandu, difasilitasi, dibimbing dan dihakupayakan (meminjam istilah yang dipopularkan Y.B. Dato’ Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi) ke arah yang diredhoi dan dipuji oleh Allah taala seperti mana Allah memuji 7 Pemuda Ashabulkahfi dalam surah al-Kahfi 13. Tugasan ini merupakan misi besar yang harus didasari kepada ilmu dan digerakkan oleh para aktivis, pekerja dan pemimpin belia yang ikhlas untuk melihat masa depan Agama, Bangsa dan Negara terjamin di bawah generasi muda yang teguh keimanannya. Benarlah kata-kata John F. Kennedy, mantan Presiden Amerika, “We cannot always build the future for the youth but we can always build the youth for the future”.

Tiada ulasan: