Rayuan untuk Syria

Rayuan untuk Syria

Khamis, Oktober 22, 2009

Mujahadah (Bersungguh-sungguh)


Imam Ghazali mengasingkan diri selama 10 tahun mencari makna dan haqiqat diri manakala Imam Nawawi tidur secara duduk selama dua tahun menghasilkan karya feqah monumentalnya iaitu ‘Majmuk’. Ini merupakan sebahagian mujahdah (usaha melawan hawa nafsu) Imam Ghazali dan Imam Nawawi dalam kerangka mereka untuk menjadi hebat dan menghasilkan sesuatu yang hebat. Ini merupakan inti motivasi bagi saya untuk bertapa di UK berjauhan dari keluarga dan anak isteri. Saya perlu sentiasa bermotivasi dan bersemangat untuk terus kekal di sini sehingga September 2010.

Antara perkara yang perlu saya buat terus menumpukan perhatian kepada pelajaran dan budaya ilmu. Ilmu dan buku menjadi teman saya di sini. Hari-hari yang saya lalui saya terus bersemangat dan bertenaga apabila menyibukkan diri dengan ilmu. Kadang – kadang terasa kerdil dengan luasnya ilmu Allah. Ketika 2007, saya melawat pameran buku di San’aa, Yaman saya terasa kagum dengan banyaknya buku yang yang dipamerkan dan dijual menggambarkan betapa luasnya ilmu Allah yang sudah tentu saya tak mampu dan sempat selami sepanjang hayat.

Dulu di Malaysia jika hati tak tenang, cara mengubatinya saya akan ke kedai buku atau menuntut ilmu. Selepas itu, hati saya akan jadi tenang. Begitu juga tadi, bila saya rasa kurang tenang saya ke kedai buku Universiti Durham dan saya beli buku ‘Power Play’ dan ‘The first Crusade and The Idea of Crusading’. Hati saya berbunga dan bersemangat. Saya cuba membaiki penguasaan membaca dengan menjadikan tradisi membaca buku barat dalam bahasa Inggeris dan buku dunia Islam dalam bahasa arab. Kedua-dua ilmu harus diselarikan dan dikuasai. Bahasa Inggeris saya agak lemah dan saya sedang memperbaikinya dengan banyak membaca dan juga mempraktikkan bahasa Arab saya apabila bercakap dalam bahasa Arab dengan jiran sebelah bilik saya yang berasal dari Kuwait dan beberapa rakan Arab lain terutamanya daripada Libya yang menuntut di Universiti Durham. Dan juga saya mengambil masa untuk mempraktikkan bahasa Sepanyol dan saya sedang cuba mencari komuniti pelajar Sepanyol di sini. Juga hajat saya untuk menambah satu lagi bahasa asing. Ini juga intipati perjuangan yang ditekankan dalam GPTD.

Selain itu tradisi menuntut dengan ulama dan cendekiawan Islam harus diteruskan. Saya rasa gembira bila sempat menuntut dengan beberapa cendekiawan terkenal di Malaysia dulu iaitu dengan Sheikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki (sejak 1998), Dr. Asri Zainul Abidin (sejak 2001), Prof. Dr Sayyid Muhammad Alawi al-Maliki (Arab Saudi), Sheikh Sayyid Mamduh (Mesir), Sheikh Jinting al-Langkati (Indonesia), Sheikh Nuruddin al-Banjari (Indonesia), Sheikh Ahmad Fahmi Zam-Zam, Ustaz Rumaizi, Ustaz Pazli dan ramai lagi. Juga mentor yang menunjuk jalan seperti Encik Ahmad Azam Abdul Rahman dan Puan Inon Muhammad yang banyak menunjuk jalan dan member ilmu. Kalau dulu di UIA, saya akan habiskan masa rehat 1-2 petang dengan membuka kitab seperti Syarhu Waraqat karangan Imam Juwaini dan lain-lain kitab dan berguru dengan Dr. Abdurrahman Haqqi, Ustaz Borhan, Dr. Zulkifli Muda, Ustaz Zainuddin Ismail dan Ustaz Naim.

Sebelah malam pula saya akan pastikan saya lepak di surau menuntut ilmu dengan pelbagai ustaz-ustaz di sana antara yang saya minat adalah Ustaz Shukri Najib, Ustaz Salehuddin Nasir, Ustaz Halim Nasir dan lain-lain. Tengah malam panjat pula bilik Ustaz Asri (Bekas Mufti Perlis) ketika itu buat PhD di UIA lalu berlaga lutut dengan beliau membuka kitab Mustolah Hadis (Ilmu Disiplin Hadis). Saya rasa sungguh bahagia dan kenyang serta terasa makin kurangnya ilmu diri. Kini di Durham saya akan teruskan usaha mengaji ini dengan meneruskan menghadiri kuliah hadis pimpinan Ustaz Maszlee yang akan diadakan di 38, Steavenson Street, Bowburn, Durham. Kita kena terus belajar dan belajar...

Tiada ulasan: