Rayuan untuk Syria

Rayuan untuk Syria

Ahad, Oktober 04, 2009

Thuq al-Hamamah


Saya memenuhi seminggu di Durham ini dengan mula membaca buku Sabda Cinta dari Andalusia atau dalam bahasa Arabnya Thuq al-Hamamah karangan ulama terkenal Ibnu Hazm al-Andalusi. Dalam versi Inggeris dikenali sebagai The Ring of the Dove. Saya baru membaca bab pertama tentang Haqiqat Cinta. Perbincangannya amat menarik dan bahasa yang digunakan oleh ulama bermazhab Zohiri ini amat puitis. Tidak hairanlah ulama-ulama dahulu mereka bukan sahaja sarjana dalam bidang mereka bahkan mereka adalah orang seni yang mampu mengupas sesuatu topik dengan penuh madah keasyikan. Menurut Ortega Gasette, Sejarawan Sepanyol, “Buku ini telah mengilhami puluhan bahkan mungkin ratusan filosof cinta dan para pendeta di seluruh dunia untuk memaknai cinta dari pelbagai segi, salah satunya adalah pendeta-filisof; Fernando de Rojaz (1453-1541 M) yang tertuang dalam bukunya La Calestina”. Buku ini akan saya kupas apabila selesai membaca kelak.

Saya berazam untuk menguatkan tabiat membaca dan berazam menambah koleksi khutub khanah yang bakal saya beli dari http://www.amazon.co.uk/ apabila siap membuka buku akaun kelak. Budaya ilmu inilah yang saya diajar sejak menyertai ABIM dan diteruskan dalam budaya GPTD dan terbaru bersama Himpunan Keilmuwan Muda (HAKIM) yang kepala kejobosnya adalah Dr. Mohd Farid Shahran (ISTACIAN).

Selain itu, sementara menunggu kelas bermula saya mengambil kesempatan mengisi hujung minggu saya mengekori Ustaz Maszlee Malek ke Newcastle mengisi kuliah Fiqh Luar Negara kepada para pelajar baru (undergraduate) di Newcastle. Saya fikir takkan nak duduk di hostel seorang sahaja. Jadi saya bercadang meneruskan hobi saya ketika di Malaysia dulu dengan menyertai program-program keilmuan seperti ini. Perjalanan daripada Durham ke Newcastle hanya mengambil masa 20 minit sahaja. Newcastle merupakan sebuah bandar besar di utara England berbanding Durham. Di Newcastle ramai pelajar undergraduate. Di Newcastle juga ada stadium bola kebanggaan orang di sana iaitu St. James Park. Tapi malangnya Newcastle sudah diturunkan ke Divisyen Satu. Namun ketika saya melalui kawasan stadium, orang ramai berpusu-pusu ke stadium, rupanya ada perlawanan bola. Bolasepak di UK sudah menjadi tuhan sembahan mereka. Jadi mereka mendambakan diri untuk bola. Musuh tradisi Newcastle adalah Sunderland, jiran bersebelahan. Saya diberitahu abang Zul, “ Jufitri, ada penyokong pasukan Sunderland bersumpah tak mahu jejak ke Newcastle”. Lihat betapa fanatiknya mereka dengan bolasepak!

Perbincangan dalam kuliah terlalu menarik kerana ia menyentuh fiqh yang kita akan pakai di luar negara. Seringkali persoalan seperti ambil wuduk ketika musim salji, menyapu air wuduk di atas stoking, berkongsi pinggan yang digunakan untuk meletak daging babi, solat jamak ketika waktu Zohor dan Asar terlalu hampir ketika berlangsungnya kuliah, solat Jumaat kurang dari bilangan 40 orang dan pelbagai lagi persoalan fiqh berkaitan kehidupan harian pelajar Malaysia di perantauan diperbahaskan. Ketika kuliah saya teringat yang saya menyimpan nasi dalam satu peti ais dengan di tingkat bawahnya ‘ham’ (lihat gambar di atas) . Kalau ikut kamus ‘ham’ ini adalah daging babi yang disalai!. Jadi apa hukumnya ye?.

Saya terasa teruja dan segar bila mendengar ilmu-ilmu fiqh baru dan pengalaman rakan-rakan pelajar menghadapi rintangan menjaga agama di perantauan. Namun di akhir kuliah kami berkesimpulan bahawa Islam itu agama yang memudahkan penganutnya dan ini juga bertepatan apa yang disabdakan oleh Nabi sallallahualaihiwasallam. Islam itu amat luas, dan hukum berubah mengikut suasana dan tempat. “Taghayurul ahkam bi taghayurul azman wan amkan”, begitulah bunyi qaidah fiqh yang saya belajar bermaksud “Hukum berubah dengan berubahnya masa dan tempat”. Kemudian saya meneruskan perjalanan ke Middlesborough

Tiada ulasan: