Setelah memimpin Grup Penjejak Muda Tamadun Dunia (GPTD) selama hampir 8 tahun semenjak awal penubuhannya pada 2001, saya tidak pernah terfikir untuk berada di perantauan selama setahun menyambung belajar. Saya biasa menghantar sukarelawan ke luar negara dalam tempoh setahun atau lebih, namun saya masih tidak berpeluang berada di luar negara dalam tempoh yang lama kerana saya bertugas menjaga pengkalan di Malaysia.
Misi menyambung belajar melalui GPTD sudah pun dipelopori oleh saudara Faiz di Istanbul, Turki selama dua tahun dan saya mengikut jejak langkah beliau di Durham, United Kingdom bersama rakan-rakan lain seperti saudari Puteri dan lain-lain. GPTD juga akan meneruskan usaha melalui pendidikan. Seingat dulu GPTD ditawarkan mencari calon ahli untuk dihantar ke Belanda menyambung Master dan PhD serta menguasai bahasa Belanda.
Saya pada awalnya juga jarang mendengar nama Durham. Nama Durham juga ada di Amerika Syarikat dan Australia. Bila saya memberitahu orang bahawa saya akan sambung belajar di Durham, secara spontan mereka kata “Kat mana tu”?. Mungkin kerana Durham tidak ada dalam senarai Liga Perdana Inggeris (EPL) sebab itu mereka tidak mengenali Durham. Kalau saya kata sambung belajar kat Manchester ke, London ke, atau Newcastle ataupun Sunderland pasti ramai yang tahu. Durham hanya terkenal dengan permainan kriket sahaja. Nak menyebut Durham pun susah, ia harus dilafazkan sebagai ‘Darem’ bukan secara baku Durham!
Durham terletak di Utara Timur England berjiran dengan Newcastle. Sunderland dan Middlesborough. Jika naik keretapi laju dari London, ia akan mengambil masa 3 jam setengah. Durham merupakan bandar orang putih (white area) yang tidak dihuni oleh immigran daripada negara lain atau disebut Black and Minority Ethnic (BME). Tidak seperti Bradford yang dipenuhi oleh orang Pakistan sehingga digelar ‘Bradfodstan’. Durham merupakan bandar universiti yang tidak terlalu besar seperti bandar London, Sheffield, Leeds atau Newcastle. Durham merupakan bandar lama yang amat terkenal dengan Norman Cathedral dan 11th-century Castle.
Durham dilatari dengan sebatang sungai besar yang merentangi bandarnya. Pemandangannya amat cantik terutamanya di musim luruh kerana dedaun yang kekuningan menambahkan lagi kecantikan landskapnya. Bahasa Inggeris yang digunakan di sini amat sukar difahami kerana mereka menggunakan slanga ‘Jodi’ iaitu bahasa orang Newcastle di bahagian utara England. Saya menghadapi kesukaran apabila dalam kelas untuk memahami bahasa Jodi ini. Berbanding jika saya ke London (selatan England) bahasa Inggeris yang digunakan standard dan amat mudah difahami. Cuaca di Durham sentiasa sejuk walaupun musim panas. Cuaca sekarang iaitu dalam musim luruh antara 10-15 darjah celcius. Sejuk, kadang-kadang saya perlu memakai baju tebal berlapis di tambah dengan sarung tangan.
Durham berasal dari perkataan lama Inggeris iaitu ‘Dun’ bermakna bukit dan ‘Holme’ diterjemahkan sebagai pulau. Bishop Durham mengambil variasi kalimah Latin sehingga dinamakan ‘N.Dunelm’. Ada setengah riwayat menyatakan, Durham diambil namanya dari lagenda ‘Dun Cow’ dan pengembala lembu yang mana mereka dalam hikayat lagenda memandu pendeta Lidisfarne membawa tubuh St Cuthbert ke tapak pengebumian yang dikenali sekarang sebagai Durham. Hari ini Dun Cow dikatakan merupakan jalan pertama diasaskan di Durham, dan di situ sekarang terletaknya Masjid Durham yang serba sederhana. Itulah satu-satunya masjid di Durham.
Saya tidak berniat menceritakan sejarah Durham lebih lanjut kerana saya yakin ramai tak minat nak membacanya. Saya walaupun minat sejarah dan dapat A1 dalam SPM pun tak minat nak baca sejarah terlalu panjang. Saya lebih berminat menceritakan apa yang saya lihat secara langsung dan ‘live’. Saya pun nak cerita ‘live from Durham’ ala-ala Mikael Jackson live from Munich dalam History Tour – You Are Not Alone!
Di Durham lahirnya tokoh seperti Tony Blair bekas Perdana Menteri Britain yang digantikan oleh Gordan Brown. Selain menjadi PM, Tony Blair pernah menjadi ‘Menteri Luar’ George Bush. Katanya Tony Blair sekarang diusahakan untuk menjadi Presiden Kesatuan Eropah (EU) namun ada suara menyatakan, “With the hatred steaming out of the ears of many former followers, the appointment of Blair to E.U. President would be the ultimate insult to the oppressed people of Britain.” Di Durham juga lahir seorang tokoh komedi bernama Rowan Atkinson, siapa tu? Mr Bean la!.
Berbicara berkenaan kembara ilmu saya di Universiti Durham memang amat mengujakan dan mengesimakan. Teringat saya apabila menghadiri Jamuan Hari Raya dan Deepavali anjuran Durham University Malaysian Society (DUMAS), semasa tu ada kuiz dan mereka tanya apa makna terkesima dalam bahasa Inggeris, maka saya abrupt. Jawapannya betul dan masa tu saya hentam sahaja sebab ada jawapan pilihan a, b, c, atau d. Sekadar selingan!
Durham merupakan tertua di UK selepas Oxford dan Cambridge. Durham juga dikategorikan antara universiti terbaik di UK dan baru-baru ini Universiti Durham memenangi anugerah Outstanding Support for Early Career Researchers oleh Times Higher Education (THE) United Kingdom. Sistem Universiti Durham menggunakan ‘term’ bukan semester seperti universiti-universiti lain di dunia. Hanya Oxford, Cambridge dan Durham setahu saya yang menggunakan sistem ‘term’. Sekarang saya berada di ‘Michaelmas term’ dan dua lagi adalah Easter dan satu lagi saya lupa apa ‘term’nya.
Saya mengambil keputusan menyambung pelajaran dalam Community and Youth Work di sini bagi meneruskan kajian saya dalam bidang belia dan kesukarelaan ini. Saya berhasrat untuk menjadikan aktiviti kajian dalam GPTD menjadi satu urusan yag serius dan didasari dengan dunia akademik. Kursus yang saya ambil amat menarik bagi saya kerana kita belajar tentang orang muda dan bagaimana hendak mendekati orang muda secara professional dan beretika. Di sampang itu saya cuba mempelajari budaya kesukarelaan dan kerja belia di UK agar dapat diserap dalam sistem dan budata GPTD. Selain itu juga saya amat sibuk membina jaringan dengan agensi, persatuan, individu dan ahli akademik yang ada kaitan dengan belia dan aktiviti kesukarelaan agar jaringan yang sedia berkembang besar dan ianya amat berguna di masa hadapan.
Kembara ilmu saya di Durham masih jauh dan saya masih ada 11 bulan untuk menghabiskan masa saya di bumi Durham ini. Doakan kejayaan saya
Rayuan untuk Syria
Isnin, November 30, 2009
Kembara Ilmu di Bumi Durham.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
2 ulasan:
Salam... minta izin, ambil sedikit info Durham untuk dikongsi bersama rakan blogger. Jazakallah...
Assalamualaikum saya akan menyambung pelajaran ke durham university. Boleh bantu sy bagaimana perjalanan ke sana?
Catat Ulasan