Rayuan untuk Syria

Rayuan untuk Syria

Ahad, November 29, 2009

Kosova : Permata Islam di Bumi Eropah

Penulis berasa gembira dan bersemangat apabila pertama kali menjejakkan kaki ke bumi Eropah Timur iaitu Kosova. Tiba sahaja di Lapangan Terbang Pristina, hati menjadi risau kerana khuatir payah untuk memasuki sebuah negara bekas komunis walaupun mempunyai surat jemputan rasmi dari pihak penganjur mesyuarat iaitu Persatuan Budaya dan Pendidikan (AKEA) Kosova. Telahan saya meleset apabila mudah sahaja melepasi pintu imigresen kerana rupanya Malaysia amat disanjung oleh rakyat Kosova. Kehadiran saya di bumi Balkan ini adalah mewakili Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menghadiri mesyuarat Union of Ngos in the Islamic World (UNIW) yang beribu pejabat di Turki.

Ketika Bosnia, Macedonia, Montengero, Slovenia, Crotia, sudah merdeka daripada Yugoslavia dan ketika Kosova dinafikan kemerdekaannya oleh bekas penjajahnya Serbia, Malaysia antara negara terawal mengiktiraf kemerdekaan Kosova. Malaysia terpaksa membayar harga pengiktirafan tersebut apabila pejabat kedutaan Malaysia di Kosova ‘dihalau’ keluar oleh pihak Serbia semenjak setahun yang lalu. Ketika pertemuan ramah mesra bersama Mufti Kosova, Sheikh Naim Ternava kerap kali menyebut nama Malaysia kerana rasa terhutang budi dengan sumbangan Malaysia terhadap kemerdekaan Kosova. Ketika pertemuan dan interaksi dengan ratusan belia Islam Kosova saya sempat berkenalan dengan Imam Masjid Hamidije, Sheikh Irfankrasn di mana pembinaan masjid tersebut hasil biayaan dan sumbangan kerajaan Malaysia sepenuhnya. Sebagai rakyat Malaysia, kita sudah tentu bangga dengan sumbangan ini seperti mana yang dilakukan Malaysia di Bosnia satu ketika dahulu.
Negara bekas pengaruh komunis ini kecil sahaja. Bagi saya ia lebih kurang besar negeri asal saya iaitu Negeri Sembilan. Saya sempat mengelilingi ke utara di Mitrovica dan selatan di Prizren hanya mengambil masa kurang dari sehari. Namun negara kecil ini mempunyai tekad yang kuat untuk terus menjadi sebuah negara umat Islam merdeka dan berdaulat. walaupun masih diperhatikan oleh Serbia di sebelah utara.

Perjuangan darah dan air mata menjadi kelaziman bagi pejuang kemerdekaan. Kosova juga telah menyaksikan ribuan pejuang kemerdekaan Kosova gugur syahid ketika menghalau Serbia keluar daripada bumi mereka. Nama-nama seperti Adam Jashari, Hamzah Jashari, Syaaban Jashari dan Zahir Beyazid menjadi kebanggaan rakyat Kosova kerana mereka inilah yang menggerakkan kebangkitan perjuangan rakyat menentang penindasan dan kezaliman yang akhirnya mereka sendiri gugur bermandikan darah syahid. Saya sempat bertanyakan Haydar Mziu, pelajar Kosova yang belajar di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang kebetulan balik bercuti tentang kehidupan zaman kecilnya di bawah cengkaman Serbia, beliau lantas menjawab bahawa kehidupan mereka berada dalam ketakutan dan dinafikan hak sebagai seorang manusia merdeka. Mereka susah bergerak bebas kerana pos kawalan tentera Serbia berada di merata-rata. Penindasan inilah yang menyebabkan rakyat Kosova bingkas bangun dan melawan kekufuran. Haydar Mziu merupakan antara belasan pelajar Kosova yang ditaja setiap tahun oleh Yayasan AlBukhary Malaysia untuk belajar di UIAM. Satu lagi kebanggan Malaysia.

Serbia akhirnya akur dan keluar daripada bumi Kosova ini apabila mereka dibom oleh tentera Perjanjian Pakatan Antlantik Utara (NATO) 10 tahun yang lampau dimana Richard Holbrooke (Bekas Duta Amerika Syarikat ke Balkan) berhujah, “NATO's air attack on the former Yugoslavia a decade ago was "the right thing to do" and had improved the lives of Kosovo Albanians and Serbs.” Akhirnya Februari 2008, Kosova mengisytiharkan mereka sebagai sebuah negara merdeka dan berdaulat daripada kediktatoran Serbia. Kosova diiktiraf oleh 56 buah negara termasuk Amerika Syarikat dan Malaysia serta 22 daripada 27 buah negara ahli Kesatuan Eropah.

Kosova dan negara Balkan lain pernah hidup di bawah keadilan pemerintahan empayar Turki Uthmaniyyah dan kesan pengaruh Turki amat kuat mempengaruhi kehidupan harian masyarakat Kosova. Kesannya boleh dilihat dengan jelas pada senibina masjidnya yang mirip dan serupa dengan masjid yang ada di Turki. Di Prizren sebagai sebuah fakta, masyarakat di sana bertutur dalam bahasa Turki dengan fasih. Di Kosova terdapat maqam Sultan Murad 1, iaitu Khalifah Turki Uthmaniyyah dan maqamnya dipelihara oleh kerajaan Kosova setelah Serbia membiarkan sahaja monumen bersejarah ini. Setengah riwayat menyatakan maqam Sultan Murad 1 juga berada di Turki tapi saya dimaklumkan secara tidak pasti kebenarannya, jasad Sultan Murad 1 tanpa isi dalam badan berada di Turki dan di Kosova hanya ada isi dalaman sahaja dikuburkan. Hanya Allah Yang Maha Mengetahui.

Saya berasa gembira kerana berada di bumi Kosova kerana sebagai seorang umat Islam, kita menghulurkan salam persahabatan dengan umat Islam Kosova khususnya generasi mudanya yang penuh bersemangat. Pimpinan muda belia Kosova fasih berbahasa Arab menggambarkan iltizam mereka mendalami agama dan mengembangkannya di bumi Eropah. Peluang yang terhidang, diambil oleh saya untuk mengadakan kerjasama erat dan solidariti Belia Islam Malaysia dengan Belia Islam Kosova. Dengan kerjasama ini, bakal menaikkan lagi aroma keharuman nama Malaysia di mata rakyat Kosova. Umat Islam harus optimis dan yakin dengan suasana semasa bahawa Islam akan terus berkembang di bumi Eropah dan tidak mustahil 100 tahun akan datang Eropah akan menjadi Kesatuan Islam Eropah bermula dengan 3 negara asas umat Islam di Eropah Timur iaitu Albania, Bosnia dan Kosova

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Info yang bagus.
Harap negara kita terus membantu negara yang memerlukan terutama negara Islam.
Majulah Malaysia, jangan takut dengan ancaman jahat.