Rayuan untuk Syria

Rayuan untuk Syria

Isnin, Disember 28, 2009

Geneva Kota Harapan

Dunia digemparkan dengan undian 57 % rakyat Switzerland menyokong referendum untuk mengharamkan pembinaan menara masjid. Menurut John Esposito, Professor Hal Ehwal Antarabangsa dan Pengajian Islam di Universiti Georgetown Amerika Syarikat, parti berhaluan kanan yang menganjurkan referendum tersebut sebenarnya enggan menerima realiti abad 21 bahawa masyarakat Muslim telah melalui proses integrasi dalam masyarakat Eropah dan Islam sekarang adalah agama bagi negara Eropah bahkan agama kedua terbesar di kebanyakkan negara Eropah.

Menurut Esposito yang juga merupakan Pengarah Prince Alwaleed Bin Talal Center for Muslim-Christian Understanding di universiti yang sama, kebanyakkan pemimpin Islam dan Kristian di seluruh dunia, majoriti pimpinan politk Eropah dan pakar hak asasi manusia telah mengutuk pengharaman tersebut. Vatican juga telah mengecam perbuatan tersebut atas dasar melanggar kebebasan beragama.

Isu ini menguatkan lagi naluri saya untuk menziarahi bumi Switzerland bagi mendapat gambaran lebih jelas tentang isu ini di samping bertanya khabar dan membina jaringan persahabatan Islam bagi pihak Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) khususnya.“Sebenarnya isu menara tidak memberikan kesan pun kepada masjid dan umat Islam”, kata salah seorang umat Islam di Geneva kepada saya. “Umat Islam akan terus beramal di masjid kerana menara tak penting, yang penting pengisian dalam masjid. Masjid zaman Nabi sallallahualahi wasallam pun hanya beratapkan pelepah tamar dan berlantaikan tanah”, tambah beliau lagi. “Betul tu! Walaupun begitu keadaan masjid zaman Nabi sallallahualahi wasallam, tapi ia telah mengeluarkan gergasi-gergasi yang telah berjaya merubah dunia!” tambah saya pula bagi merancakkan perbualan.

Bagi saya, pengharaman menara ini amat memalukan imej Switzerland sebagai sebahagian negara yang digelar sebagai “Enlightened Liberal Europe” yang juga menempatkan ratusan pejabat pertubuhan antarabangsa termasuk UN, WTO, WHO dan lain-lain. Dengan penggunaan tiga bahasa di Switzerland iaitu Perancis, Jerman dan Itali menggambarkan keliberalan negara tersebut dan sepatutnya menjadikan negara itu lebih terbuka dalam menerima Islam sebagai sebahagian agama penting untuk Switzerland dan yang paling penting membenarkan kebebasan beragama untuk umat Islam. Isu pengharaman menara tidak penting tetapi yang penting maksud tersirat di sebalik pengharaman tersebut.

Sebab itulah Profesor Dr. Tariq Ramadhan yang berkunjung ke Malaysia baru-baru ini mempersoalkan bahawa di Switzerland hanya ada 4 menara masjid, jadi mengapa inisiatif referendum ini harus dilancarkan? Profesor Tariq menjelaskan isu menara ini dijadikan alasan permulaan untuk menggerakkan kempen Islamophobia. Profesor Tariq menegaskan bahawa pihak yang menggerakkan referendum tersebut gagal menyedari Islam sekarang sebagai agama untuk orang Eropah dan umat Islam sudah Berjaya diintegrasikan dalam komuniti Eropah. Namun dalam masa yang sama Profesor Tariq turut menyalahkan umat Islam dalam hal ini kerana gagal memainkan peranan proaktif dalam memperjuangkan isu hak asasi umat Islam Switzerland melalui pendekatan dialog, kerjasama dan tindakan berhemah dengan sebahagian masyarakat bukan Islam Switzerland.

Selain untuk mendapatkan gambaran sebenarnya isu menara ini, saya turut melakukan kunjungan silaturahim ke masjid terbesar di Geneva di bawah kendalian Yayasan Kebudayaan Islam Geneva (www.mosque.ch). Yayasan ini telah ditubuhkan 1978 dan masjid boleh menampung seramai 1500 jemaah dalam satu masa. Selepas menunaikan solat Jumaat bersama sebahagian umat Islam Geneva yang berjumlah hampir 40 000 dan 500 000 di seluruh Switzerland saya bertemu dengan imam masjid iaitu Sheikh Rashid Farhat untuk memulakan perkenalan, membina jaringan dan bertukar-tukar kad. Saya tidak sempat berbual lama dengan beliau kerana terlalu ramai jemaah yang berhajat berurusan dengan beliau. Apa yang mengkagumkan saya ialah apabila masjid penuh sesak dengan jemaah yang berpusu-pusu ingin mendirikan solat Jumaat dan mendengar khutbah. Saya sendiri terpaksa solat dalam keadaan rapat ketika solat Jumaat didirikan namun saya rasa seronok kerana sentuhan ukhuwwah mengalir dalam tubuh saya sebagai tanda indahnya jalinan ukhuwwah persaudaraan walaupun tidak mengenali antara satu sama lain.

Misi saya seterusnya di bumi yang terkenal dengan produk jam berjenama seperti Swatch, Tag Heuer, IWC, Raymond Weil dan Rolex ialah menjejaki Pusat Islam Geneva (www.cige.org) kendalian Dr. Hani Ramadan iaitu abang kepada Profesor Dr. Tariq Ramadhan. Pusat Islam ini merupakan antara yang tertua di Switzerland ini telah diasaskan sekitar 1950an oleh Sheikh Said Ramadan yang juga merupakan bapa kepada Dr Hani dan Profesor Tariq. Sheikh Said Ramadan juga merupakan anak menantu kepada pengasas dan pemimpin gerakan Islam terkenal di Mesir Ikhwanul Muslimi iaitu Imam Hasan al Banna.

Setelah puas berjalan dan mencari akhirnya saya menemuinya di 104, rue des Eaux-Vives 1207. Sebuah bangunan lama diapit oleh bangunan-bangunan besar namun ia tidak menenggelamkan fungsi sebenarnya untuk menyebarkan mesej ajaran Islam kepada masyarakat Switzerland. Sekali lagi saya sempat bersolat jemaah di situ dan berbual dengan imam mudanya iaitu Sheikh Said. Apa yang menggembirakan saya ialah sebahagian besar jemaah solat di situ terdiri dari generasi muda. Ini satu petanda baik untuk perkembangan umat Islam di sini. Generasi muda inilah yang akan dan sedang menjadi sandaran untuk meneruskan perjuangan umat Islam di tengah-tengah bandar Geneva yang dianggap bandar paling tinggi kos sara hidup selain Moscow, London dan Tokyo.

Sesungguhnya perjuangan umat Islam Switzerland masih lagi jauh dan berliku. Mereka harus tabah dan berani kehadapan mempertahankan hak mereka secara konsisten. Namun peranan kita selaku saudara seakidah adalah mengiringi perjuangan mereka dengan doa dalam setiap munajat kita seperti yang diajar oleh para alim ulama..” Ya Allah ampunkan dosa umat Nabi Muhammad, ya Allah selamatkanlah umat Nabi Muhammad dan jadikanlah aku sebahagian daripada umat Muhammad sallallahualahi wasallam”. Amen.

1 ulasan:

Ilham Nur berkata...

Salam Abang Ju.Rasanya Said Ramadan menantu Hassan Al-Banna bukan anaknya. Betulkan jika saya silap.