Rayuan untuk Syria

Rayuan untuk Syria

Jumaat, Januari 15, 2010

Tawhid Centre, Nadi Umat di Kota Paris:

Tawhid Centre Perancis yang diasaskan pada tahun 1992 merupakan Pusat Islam yang menjadi kebanggaan umat Islam di Perancis. Pusat Islam Paris ini terletak di kawasan Saint Denis iaitu kira-kira 3 kilometer dari pusat bandaraya Paris di mana jumlah umat Islamnya merupakan teramai berbanding bandar-bandar lain dalam negara di bawah pemeritahan sekular Nicolas Sarkozy ini.

Pada awalnya Pusat Islam ini berfungsi hanyalah sebagai sebuah pejabat kecil yang berfungsi sebagai pusat penyebaran maklumat dan dakwah Islam serta tempat mendirikan solat Jumaat. Namun kerana kemakmuran dan kemeriahan fungsinya akhirnya Pusat Islam ini telah melebarkan kapasitinya dengan menganjurkan pelbagai kegiatan-kegiatan keagamaan bagi membina kekuatan kerohanian dan keilmuan umat Islam Perancis khususnya di Paris.

Kemakmuran Pusat Islam ini semakin terserlah apabila setakat hari ini jemaah solat Jumaat mencapai 1700 orang, 200 kanak-kanak menghadiri kelas Al-Quran dan asas fardhu ain dan purata 2 atau 3 tokoh agama akan mengisi kuliah bulanan. Dengan berkembangnya syiar penyebaran Islam dan pertambahan umat Islam di Perancis peranan Pusat Islam terus dipertingkatkan peranannya sebagai Masjid, pusat aktiviti belia dan remaja, pusat pengajian ilmu agama dan wacana ilmiah, kedai buku-buku agama, pusat kegiatan kemasyarakatan dan pusat bantuan kemanusiaan umat Islam di Mali, Senegal, Benin dan Burkina Faso.

Di bawah kepimpinan Abdul Basset, Tawhid Centre terus membuat lonjakan kemajuan dengan menggagaskan agenda untuk membeli kawasan di mana Pusat Islam ini terletak. Selepas perundingan dengan Datuk Bandar serta hubungan baik dengan kerajaan tempatan Saint Denis mereka berjaya memulakan proses pembelian yang bernilai 1 juta Euro atau RM 4.85 juta. Ia bukanlah satu proses yang mudah untuk mendapatkan kepercayaan pihak pemerintah untuk melepaskan kawasan yang strategik apatah lagi untuk kegunaan umat Islam. Sudah tentu berkat kegigihan dan kesungguhan diiringi dengan doa dan tawakkal yang tinggi membolehkan mereka mendapatkan kawasan tersebut. Mereka juga terpaksa menanggung kos tembahan sebanyak 100 000 Euro lagi iaitu untuk kos urusan pembelian. Namun itu tidak mematahkan semangat mereka untuk terus berusaha membeli kawasan Pusat Islam ini demi keselesaan umat Islam dan generasi mereka yang akan datang.

Dalam pertemuan mahabbah baru-baru ini di Paris bersama Abdul Basset, saya sempat bertanya progres pembelian kawasan Pusat Islam tersebut dan beliau dengan penuh bersemangat menjawab 30 peratus sudah dilangsaikan. Mereka akan terus bertekad dan berazam untuk melangsaikan baki 70 peratus bayaran dan tidak putus-putus memohon saya mengiringi usaha mereka dengan doa kejayaan. Selain bertanyakan progres, saya juga berkongsikan isu terkini umat Islam di Malaysia berkenaan ketengangan isu kalimah Allah dan beberapa isu berkaitan dakwah dan belia.

Menyingkap kembali pertemuan pertama saya dengan Abdul Basset ketika kali pertama kali beliau berkunjung ke pejabat Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dalam kerangka membina silaturahim dengan umat Islam di Malaysia. Diikuti dengan kunjungan balas ABIM yang wakili oleh saya pada tahun 2007. Ketika itu saya dijemput membentangkan dan berkongsi pengalaman dakwah dan belia Islam Malaysia dalam perhimpunan tahunan Gabungan Muslim Perancis (CMF) di Lyon di mana Abdul Basset adalah Presidennya. CMF adalah gabungan umat Islam terbesar di Perancis yang mengambil pendekatan sederhana dan berdialog dengan pihak pemerintah Perancis seperti yang dipelopori oleh cendikiawan Islam tersohor yang berasal daripada Switzerland iaitu Profesor Dr. Tariq Ramadan.

Sebelum mengakhiri pertemuan ringkas tersebut, Abdul Basset sempat mengingatkan saya dan umat Islam Malaysia khususnya agar jangan semata-mata menghabiskan masa dengan isu kalimah Allah ini kerana menurut beliau ia adalah sebahagian cara musuh Islam untuk mengalihkan perhatian kita daripada isu yang lebih penting iaitu melaksanakan kerja dakwah dan kebajikan.

Beliau memberikan contoh di Perancis sebagai perbandingan, isu kerajaan Perancis berhasrat hendak mengharamkan burqa (pakaian wanita Islam yang menutup muka). Menurut Abdul Basset kerajaan Perancis sengaja menimbulkan isu ini agar CMF dan umat Islam Perancis khsusunya mengalihkan perhatian dan tumpuan kepada kerja-kerja dakwah dengan harapan tersembunyi agar ianya dapat menyekat dan membendung peningkatan jumlah umat Islam di Perancis. Menurut Abdul Basset isu ini sebenarnya terlalu kecil sahaja kerana wanita yang hendak memakai burqa di Perancis hanyalah sekitar 300 orang daripada 5-6 juta penduduk Islam Perancis iaitu hanya 0.01 peratus. Umat Islam Perancis amat matang dalam soal ini apabila diajak berdebat dalam isu burqa mereka enggan melayan isu yang bakal membuang banyak masa berharga mereka. Sebaliknya mereka menuntut jika pihak pemerintah ingin berdebat juga, bukan soal burqa yang kecil tersebut harus dijadikan topik debat tetapi isu yang lebih utama dan mendasar iaitu kebebasan berpakaian itulah sepatutnya diperdebatkan! Justeru umat Islam Perancis tidak akan terleka dengan isu ini bahkan akan terus komited dengan program-program dakwah di bawah Tawhid Centre.

Besar harapan umat Islam di sini, mereka amat mengharapkan doa iringan daripada sahabat-sahabat seagama mereka di Malaysia agar perjuangan mereka mendapat bantuan dari Allah Taala. Tawhid Centre boleh dilayari di http://www.tawhid.fr/

1 ulasan:

Unknown berkata...

Saya sungguh bangga melihat saudara mewakili negara dalam pertemuan bersama penduduk Islam Perancis. Dalam catatan ini, saya tertarik kepada kenyataan 'jangan kita banyak membuang masa dengan isu kalimah Allah'. Pendapat saya, ada benarnya kenyataan itu kerana saya kuat merasakan ada pihak yang sengaja cuba melahirkan idea untuk menimbulkan isu ini dengan tujuan untuk melaga-laga umat Islam dan Kristian. Jika kita lihat akan jangka masa penyelesaian bagi sesuatu isu agama di Malaysia, saya kira ianya mengambil masa berbulan-bulan (seperti isu murtad, ayah pin dan sebagainya) untuk keluar dari minda masyarakat. Dalam masa ini, banyak perkara yang terlindung atau terlepas dari perhatian kita. Sedangkan, banyak aktiviti yang lebih positif boleh dilaksanakan.

Selamat berjuang.
Fadil