Walaupun sibuk dengan pelajaran dan tugasan harian, saya tidak pernah lupa mengingatkan diri agar sentiasa berdakwah kepada masyarakat bukan Islam di UK mahupun masyarakat Islam UK serta tidak ketinggalan berdakwah kepada komuniti pelajar Malaysia di UK. Dalam kursus master saya mensyaratkan untuk melakukan kerja lapangan atau fieldwork bersama projek belia di UK. Saya ditakdirkan ditempatkan di North Benwell Youth Project di Newcastle. Saya berpeluang berinterakasi dengan generasi muda Newcastle di North Benwell ini secara langsung. Saya dapat menyelami bagaimana kehidupan anak muda di situ yang amat jauh dari nilai agama dan adab sopan serta hidup di kawasan yang mempunyai rekod jenayah yang tinggi. North Benwell terkenal dengan pelbagai masalah jenayah dan moral di kalangan belia. Adakalanya saya mengambil masa ketika berbual dengan mereka bercerita tentang Islam dan kehidupan sebagai seorang Muslim secara santai. Banyak salah faham yang telah saya berjaya rungkaikan berkenaan Islam kepada mereka seperti isu keganasan dan kedudukan wanita dalam Islam.
Durham merupakan bumi subur untuk perkembangan Islam. Dengan adanya Masjid Durham yang disediakan atas budi bicara pihak pentadbiran Universiti Durham serta peranan yang dimainkan oleh DUIS atau Durham University Islamic Society menyemarakkan lagi usaha penerangan Islam kepada masyarakat tempatan dan pelajar di Durham. DUIS di bawah kepimpinan pelajar sarjana PhD Malaysia Ustaz Maszlee Malek banyak membawa dimensi perubahan dan dinamika baru dakwah di Durham. Terbaru DUIS merancang mengadakan Discover Islamic Week 2010 pada awal Mac bagi memperkenalkan Islam secara besar-besaran kepada warga Durham serta membetulkan salah faham terhadap agama Allah ini. Antara program yang dirancang adalah pameran, pengedaran risalah, wacana ilmiah membarisi tokoh-tokoh Islam seperti Hamzah Tzortzis, Adam Deen (http://www.adamdeen.blogspot.com/) dan Ryan. Selain itu DUIS juga merancang untuk membuka ruang kepada orang bukan Islam untuk melihat sendiri Solat Jumaat didirikan secara langsung sambil mendengar khutbah dari khatib jemputan yang berwibawa untuk menerangkan Islam. DUIS boleh dilayari di http://www.duisoc.com/.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan