Pejam celik pejam celik sudah empat bulan saya berada di Durham, United Kingdom. Masih berbaki lapan bulan untuk saya habiskan pengajian master di sini. Sisa-sisa pertapaan saya di UK ini harus saya maksimakan penggunaan masa agar saya dapat merenggut sebanyak mungkin ilmu, mutiara, pengalaman, kenangan, jaringan dan skil.
Untuk tujuan itu, saya sudah kerap ke perpustakaan universiti untuk menelaah buku-buku jutaan bilangannya. Saya juga mencuri masa membelek buku-buku di bidang lain seperti pengajian timur tengah, falsafah dan teologi. Saya juga mendisiplinkan diri membeli buku baru sekali seminggu dan terbaru saya membeli buku Islamic Philosophy oleh Oliver Leaman. Setelah berbincang dengan sifu saya Ustaz Maszlee Malek, saya berpendapat dan berkeyakinan bahawa saya harus mendalami falsafah untuk 'ma'rifah haqiqatul hayah' mengetahui makna sebenar kehidupan. Sudah tentu ilmu penting untuk saya menyumbang input dalam Himpunan Keilmuan Muda atau ringkasnya HAKIM (http://www.hakim.org.my/) sebagai Naib Pengerusi.
Selain itu saya menyertai grup Youth Work and Faith untuk mempersiapkan diri saya memahami asas-asas setiap agama. Dan saya dapati ianya amat menarik dan berguna. Minggu ini kami melawat dan berdialog di Masjid Durham, minggu depan ke Tokong Buddha di Darlington diikuti dengan Sinagog Yahudi dan Kuil Hindu di Newcastle. Buku-buku seperti Religious Diversity in the UK karangan Paul Weller dan Politics and Religion karangan Steve Bruce sedang saya semak bagi menambahkan pemahaman. Dialog antara agama adalah antara medium interaksi ABIM dengan golongan bukan Islam di Malaysia. Begitu juga di peringkat antarabangsa ABIM amat aktif dalam dialog antara agama bersama World Parliament of Religion (http://www.parliamentofreligions.org) dan World Conference on Religion and Peace (http://www.wcrp.org/).
Selain itu saya juga menghadiri pelbagai kuliah ilmu terutamanya di Newcastle terbaru saya menghadiri wacana God Delusion yang membariskan Sheikh Abdul Rahim Green (http://www.islamsgreen.org) dan Brother Hamzah Tzortis (http://hamzatzortzis.blogspot.com/). Mereka berdua merupakan muallaf yang petah berhujah tentang Islam dan meyakinkan manusia tentang kewujudan Tuhan dan kebenaran agama Islam. Ini amat penting bagi saya memantapkan ilmu bagi menyampaikan Islam kepada bukan Islam dengan secara lebih berkesan.
1 ulasan:
Brim over I assent to but I dream the post should acquire more info then it has.
Catat Ulasan