Di waktu ini teringat semula sewaktu berada di Malaysia tahun lepas. Ketika itu saya bersama rakan-rakan Panel Penilai Anugerah Belia Negara peringkat Negeri Sembilan sibuk menjelajahi daerah ke satu daerah dengan melengkapkan pusingan ke tujuh buah daerah di Negeri Sembilan (ramai orang ingat Negeri Sembilan ada 9 daerah) menilai tujuh buah persatuan belia mewakili daerah-daerah masing bagi menobatkan juara negeri untuk diangkat ke peringkat kebangsaan.
Saya masih ingat ABIM Seremban dinobatkan sebagai juara apabila para penilai sepakat memilih ABIM Seremban dan Naib juara jatuh kepada MAYC Felda Pasir Besar, Tampin.
Apa yang menyeronokkan saya ialah saya dapat bertemu dan beramah mesra dengan persatuan belia yang bergerak di lapangan membantu menyediakan pelbagai aktiviti dan pengisian untuk belia. Di samping itu dapat mendengar permasalahan yang dihadapi oleh pimpinan belia dan belia di akar umbi.
Selain itu, melalui interaksi semasa penilaian berjalan saya dapat menduga tahap pencapaian dan keintelektualan pimpinan belia agar saya dan rakan-rakan panel dapat membimbing mereka ke tahap yang lebih berdaya saing. Saya juga dapat mengcungkil bakat-bakat kepimpinan generasi muda agar dapat diketengahkan cuma apa yang saya tidak mampu laksanakan dan fikirkan ialah mekanisma bagi melatih mereka ke peringkat seterusnya. Saya juga dapati persatuan belia memainkan peranan penting sebagai nadi penggerak komuniti dan mereka mempunyai peranan besar membimbing belia ke arah arah yang positif.
Apa yang paling menarik kita berada di Felda Pasir Besar, Tampin untuk menilai Persatuan MAYC Felda Pasir Besar, dalam ucapan penutup, Timbalan Pegawai Daerah yang kelihatan masih muda melahirkan rasa kekaguman beliau kepada keaktifan persatuan belia kerana beliau sebelum ini beranggapan belia selalu dikaitkan dengan gejala negatif namun sebenarnya persatuan belia berjaya menafikan persepsi umum yang telah digemburkan oleh pihak media.
Saya merindui saat begini kerana saya amat suka turun ke akar umbi bertemu para belia dan mendengar masalah mereka untuk sama-sama diselesaikan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan