Perjalanan dari Istanbul ke Konya mengambil masa 10 jam menaiki kereta. Perjalanan bertambah menarik kerana tempat yang dituju adalah tempat yang sinonim dengan tokoh sufi terkenal iaitu Maulana Jalaluddin ar Rumi. Rumi terkenal dengan karya Masnawi dan tarian kerohanian Semazen atau Dervish. Konya tidak akan bermakna tanpa susuk Rumi kerana itu Arif Nihat Asya menitipkan dalam puisinya secara berulang dalam setiap bait dengan ‘Konya means Mawlana’.
Pencarian Rumi bukan tujuan utama kehadiran saya di Konya, tapi bagi menghadiri Simposium Imam Said Nursi Bediuzzaman tuan punya kepada Rasail an-Nur. Simposium bertaraf antarabangsa ini berlangsung selama dua hari dan dianjurkan oleh pelajar-pelajar dan pengikut-pengikut Imam Bediuzzaman yang bernaung di bawah Yayasan Hayrat. Meskipun Imam Bediuzzaman sudah meninggalkan alam fana ini 50 tahun yang lampau, namun pemikiran, perjuangan dan pengorbanan menyebarkan risalah agama terus segar dibincang, dihayati dan diamalkan bukan sahaja di Turki bahkan di seluruh dunia.
Menelusuri sejarah kehidupan dan perjuangan Imam Bediuzzaman dalam hanya sebuah tulisan ringkas secara hakikatnya tidak mencukupi menggambarkan keseluruhan perjuangan beliau namun memadai bagi pengenalan awal khususnya mempopularkan tokoh ini di kalangan generasi muda.
Dilahirkan di Bitlis, wilayah Timur Turki pada 1876, Imam Bediuzzaman hidup di saat-saat perpecahan umat dan kejatuhan Khilafah Turki Uthmaniyyah. Beliau digelar sebagai Bediuzzaman oleh gurunya Mullah Fethullah bersesuaian dengan keilmuan, kecerdikan dan ketajaman pemikirannya. Imam Bediuzzaman amat aktif mendidik umat, mengajar, berdebat dan mentarbiyyah anak-anak muridnya di beberapa buah bandar-bandar penting di Turki. Imam Bediuzzaman sejak zaman mudanya amat disenangi dan disayangi di setiap genap lapisan masyarakat dan cedekiawan terutamanya di wilayah Timur Turki.
Apa yang mencetus kepada perubahan mendadak atau ‘turning point’ dalam kehidupan dan iltizam perjuangan beliau ialah apabila satu hari beliau terbaca sebuah akhbar memaparkan Perdana Menteri Britain pada ketika itu berkata di dalam Parlimen Britain bahawa “Kita tidak boleh menguasai umat Islam selama mana mereka al-Quran berada teguh di tangan mereka. Kita harus berusaha sedaya mungkin untuk memalingkan mereka daripada al-Quran”. Imam Bediuzzaman lantas berazam membuktikan bahawa al-Quran adalah matahari rohani yang tidak mampu dipadamkan sama sekali!
Setiap yang mengikut perjalanan dakwah para Nabi pastinya akan diuji dan diduga bagi membuktikan keteguhan keimanan. Imam Bediuzzaman juga diuji, diracun, dipenjara, dibicarakan dan di buang negeri kerana ketegasan perjuangan beliau menyebarkan agama Allah. Ketika dalam buangan di Barla, sebuah kampong kecil di Isparta, pemikiran beliau mula dikumpulkan dan dibukukan yang akhirnya menjadi 13 siri koleksi Kuliah Rasail an-Nur yang menjadi inspirasi perjuangan dakwah sehingga kini.
Walaupun Imam Bediuzzaman sudah lama pergi meninggalkan umat, namun obor perjuangan beliau yang berlandaskan al-Quran dan as-Sunnah terus disinambungkan oleh anak-anak muridnya seperti Ahmed Husrev, Said Nuri dan pertubuhan Yayasan Hayrat.
Yayasan Hayrat yang meneruskan perjuangan guru mereka, amat komited dengan kerja-kerja mendidik umat terutamanya generasi muda dengan mendirikan madrasah-madrasah di hampir setiap bandar-bandar dalam negeri di Turki. Di Istanbul sahaja ada hampir 200 madrasah. Saya berkesempatan menginap di madrasah mereka bagi merasai sendiri pengalaman para pelajar dan menghayati perjalanan harian madrasah.
Para pelajar yang menghuni madrasah yang didirikan atas waqaf ini, terdiri daripada pelajar universiti yang siang hari belajar di universiti manakala malam harinya menadah dan menulis kitab Rasail an-Nur. Mereka ini satu hari nanti bakal bergelar graduan dan menjadi profesional yang beriman serta mendidik umat. Mereka ini juga akan kembali semula menyumbang kepada madrasah bagi memastikan kesinambungan pendidikan dan dakwah.
Apa yang menyenangkan hati saya, sebanyak tiga hari saya bermalam di tiga buah madrasah berlainan, saya dapati keselesaan, keceriaan dan kebersihan di tahap yang tinggi hatta tandas mereka turut dijaga dengan begitu bersih sekali. Ini mencerminkan ajaran Imam Bediuzzaman mengakar dan terasas kukuh atas ajaran Islam yang amat mementingkan taharah atau kebersihan.
Apabila mendirikan solat berjemaah, mereka pastinya akan mengenakan serban. Ketika dalam perjalanan saya menaiki Ford Transit milik Yayasan Hayrat dari Istanbul ke Konya menghadiri simposium, para pelajarnya berzikir berjemaah mengalunkan tasbihat susunan Imam Bediuzzaman. Ini menambahkan lagi kekaguman saya terhadap kehidupan beragama mereka.
Sepanjang bermalam di sana, saya dilayan mesra dan sempat bertukar-tukar fikiran dengan para pelajarnya termasuk pelajar asing seperti dari Azerbaijan dan Kyrgyztan berkenaan nasib umat dan hal ehwal semasa dunia. Saya mendapati perbincangan yang amat bermanfaat terutamanya dalam memahami perjuangan Imam Bediuzzaman serta gerak kerja madrasah. Saya bertuah kerana berkesempatan mengutip mutiara kata-kata Imam Bediuzzaman daripada mulut anak-nak muridnya sendiri. Yayasan Hayrat juga gigih menghantar pendakwah-pendakwahnya ke serata dunia termasuk United Kingdom, Sudan, Arab Saudi dan Malaysia.
Perjuangan Imam Bediuzzaman akan terus diingati, dihayati dan disebarkan walaupun beliau sudah lama meninggalkan kita. Generasi muda harus mengenali tokoh ini dan atas inisiatif ini Grup Penjejak Tamadun Dunia (GPTD) telah menubuhkan sebuah kumpulan khususnya mengkaji dan mempopularkan tokoh ini di kalangan generasi muda. Satu lawatan ke Turki juga bakal dirancang melalui GPTD pada tahun hadapan bagi membawa para belia mengenali lebih dekat perjuangan Imam Bediuzzaman dan Yayasan Hayrat.
1 ulasan:
Bediuzzaman said Nursi meninggal dunia pada bulan March 1960. Maknanya beliau telah meninggalkan kita 50 tahun yang lalu,bukan 40tahun.
Namun artikel ini baik untuk pengenalan kepada para Mujahid Dakwah selain dari negara Arab.
Imam Said Nursi adalah penyelamat aqidah Bangsa Turki dari bahana sekularisme bawaan Ataturk.
Catat Ulasan