Selepas 15 tahun berlalunya peristiwa tragik Perang Bosnia, Sarajevo kelihatan tenang dan terus meniti hari hari gemilang sebagai sebuah ibu kota yang mashyur dengan jolokan Jerusalem Eropah. Kehadiran saya di bumi Balkan ini bagi menghadiri persidangan The Future of Faith in the Age of Globalization. Selain itu, cuba menjejaki kesan peninggalan perang dan projek kemanusiaan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) sekaligus memperbaharui fasa baru hubungan kedua-dua negara di peringkat NGO.
Dari kejauhan saya memandang keindahan panorama Bandar Lama Sarajevo yang dikelilingi oleh bukit bukau yang memukau serta rumah-rumah yang melukut dicelah-celah cerun bukit-bukit tersebut. Panorama ini menjadikan ianya landskap antara tercantik yang pernah dilihat dalam siri kembara penulis di bumi Eropah. Bandar Lama Sarajevo yang terletak sebelah menyebelah dengan Bandar Baru Sarajevo menyimpan pelbagai cereka suka duka perjuangan umat Islam Bosnia serta menjadi nadi ekonomi kepada umat Islam Bosnia. Sementara saki baki etnik Serbia Kristian menempati Bandar Baru Bosnia yang lebih kelihatan lebih moden dan elegan. Walau apa pun keadaan, kemodenan dan kemajuan Bandar Baru Bosnia tidak mampu menandingi keunikan Bandar Lama Bosnia yang telah wujud sejak tahun 1400 Masihi. Justeru tidak hairanlah ianya menjadi tarikan utama pelancong untuk menikmati, menafsir dan menilai keunikan daripada pelbagai sudut aspek ketamadunan, sejarah, budaya dan seni bina yang mempunyai kelasnya yang tersendiri.
Bandar Lama Sarajevo amat terkesan banyak dengan pengaruh Empayar Turki Uthmaniyyah yang pernah membuka dan mentadbir wilayah Balkan tersebut pada abad ke-13. Penduduk Bosnia yang pada ketika itu bermazhabkan Kristian Bogomil berbondong-bondong memeluk Islam dan melupakan seketika perubatan wilayah yang terjadi antara Kristian Katolik di sebelah Barat dan Kristian Ortodoks di sebelah Timur. Dengan perluasan pengaruh Turki Uthmaniyyah ke wilayah Bosnia membuatkan kedua-dua mazhab Kristian yang saling berebut tersebut kempunan untuk menawan Bosnia. Faktor sejarah yang panjang ini serba sedikit melatari konflik berdarah Perang Bosnia 1991 di mana Etnik Croatia mewakili Kristian Katolik dan Etnik Serbia mewakili Kristian Ortodoks terus menerus berebut Bosnia yang menatijahkan umat Islam sebagai mangsa bulian mereka.
Perang meletus pada 1991 apabila 65 peratus rakyat Bosnia memilih untuk merdeka. Puak Serbia cuba untuk menguasai Bosnia dan melakukan pemberontakan dan kekejaman serta jenayah penghapusan etnik yang amat dahsyat pada abad ini. Ketika meneguk secangkir kopi Bosnia, Saed Ali Begovic menceritakan pengalaman dramatik beliau kepada saya ketika bagaimana beliau ditahan oleh puak Serb dalam kem tahanan. Namun takdir Allah beliau terlepas darip tahanan dan terpilih untuk ke Malaysia untuk menyambung pelajaran di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Beliau juga mengambil contoh kekejaman puak Serb sehingga sanggup memijak bayi yang baru lahir di depan mata ibunya sehingga bayi tersebut menemui ajal. Apakah tiada lagi kemanusiaan dalam diri mereka hanya kerana pentingkan ketamakan dan sifat dengki yang tidak kunjung padam?
Selepas berjihad berbulan-bulan lamanya, akhirnya umat Islam hampir menemui cahaya kemenangan. Namun pantas di situ NATO bertindak dengan memaksa pasukan umat Islam di bawah pemimpin karismatik Alija Izetbegovic menandatangani perjanjian damai Dayton pada tahun 1995. Perjanjian berat sebelah ini, memecahkan Bosnia kepada Republica Srpska (RS) yang dikuasai puak Serb dan Persekutuan Bosnia and Herzegovina (BiH) yang dikuasai umat Islam dan Croat. Ini bermakna pada hakikatnya umat Islam tidak menguasai sepenuhnya Bosnia walaupun mereka merupakan majoriti.
Apa yang lebih penting ialah masa depan Bosnia pasca perang. Perang menyatukan umat Islam Bosnia, namun kini umat Islam berpecah, apa sudah jadi? Umat Islam juga pernah mengecapi kemenangan di Afghanistan menghalau Tentera Merah Soviet, namun sayangnya berpecah juga akhirnya kerana berebut kuasa. Kelihatan perpecahan yang melemahkan umat ini menjadi fenomena global umat di mana menurut Almarhum Sheikh Abul Hasan Ali an-Nadwi banyak merugikan bukan sahaja umat Islam tetapi dunia secara umumnya. Adakah umat Islam kehilangan kepimpinan yang berkaliber yang mampu menyatukan kerancuan pemikiran umat? Dalam konteks Bosnia, mampukah umat Islam melahirkan semula Alija Izetbegovic yang berjaya menyatukan Bosnia? Mampukah Bakir, anak Alija yang memenangi Pilihanraya Presiden Bosnia baru-baru ini menyatukan umat dan juga menyatukan Bosnia yang mempunyai tiga Majlis Presiden? Hanya Allah yang Maha Mengetahui.
Selain itu, peranan proaktif bekas pelajar Bosnia di UIAM yang memegang pelbagai jawatan dan peranan penting dalam kerajaan, swasta dan perniagaan Bosnia amat ditagih bagi membantu Bosnia ke arah penyatuan dan pembangunan yang lebih mapan di masa hadapan. Di peringkat NGO seperti ABIM yang pernah bertapak di Bosnia melalui projek Malaysia Relief Centre ketika era perang, harus menyambung semula usaha-usaha murni ini. Mungkin tema kemanusiaan sudah tidak bersesuaian, sebaiknya digantikan dengan tema pembangunan sosial dan perpaduan umat. ABIM melalui unit sukarelawan antarabangsanya iaitu Kelab Generasi Pemuda Tamadun Dunia (GPTD) boleh menghantar sukarelawan mudanya untuk bekerjasama dengan NGO tempatan seperti Sumejja dan Nahla bagi membangunkan belia dan komuniti dalam pelbagai aspek seperti ekonomi, sosial, wanita dan keluarga.
Teringat kepada filem Behind Enemy Lines, buku Kolonel Jihad dan drama Angin Rindu Sarajevo yang mungkin boleh membantu pembaca dalam memahami isu Bosnia secara lebih santai tapi sarat dengan informasi.
Sumber : http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1105&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_04.htm&arc=hive
Sumber : http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1105&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_04.htm&arc=hive
Tiada ulasan:
Catat Ulasan