Rayuan untuk Syria

Rayuan untuk Syria

Khamis, Februari 10, 2011

Siri 6 : Misi IYCCC di Phnom Penh

Majalah I Luv Islam 11-17 Februari 2011 / 9-15 Rabiulawal 1432 H

Ketika itu saya masih ingat sewaktu bulan Disember 2008, Abang Khaidir, Presiden Majlis Belia Negeri Negeri Sembilan (MBNNS) meminta saya selaku Setiausaha Agungnya yang setia untuk mengiringi beliau ke Phnom Penh. Kalau periksa poket memang selalu kering tak mungkin mampu untuk ke sana walaupun Air Asia sedia memberikan tambang murahnya. Namun atas tugasan rasmi MBNNS perjalanan saya ditaja sepenuhnya, ini namanya rezeki yang tidak disangka-sangka!

Misi saya mengiringi Abang Khaidir yang banyak mendidik saya terkehadapan dalam perjuangan belia ini adalah untuk memastikan persiapan teknikal program IYCCC atau International Youth Conference, Cultural Exchange and Camp berjalan seperti yang dirancang di Phnom Penh atau namanya jolokannya Pearl of Asia. Ini adalah IYCCC siri ke 3 yang dianjurkan oleh MBNNS semenjak siri pertamanya di Port Dickson dan siri kedua di Sumatera Barat, Indonesia. Bukan mudah mengendalikan program belia antarabangsa melainkan mempunyai kenyalarasaan (passion) yang tinggi terhadap kerja belia.

Seusai bertemu dengan jawatankuasa perlaksana tempatan dan segala persiapan teknikal IYCCC dipastikan berjalan seperti yang dirancang, saya dan abang Khaidir dibawa bersiar-siar di sekitar bandar sungai Mekong ini. Biasanya ke mana pun saya pergi, pasti saya akan mencari buku-buku menarik sebagai buah tangan dan koleksi peribadi untuk perpustakaan di rumah saya. Buku yang menarik minat saya ialah A Cambodian Prison Portrait, One Year in the Khmer Rouge’s S-21. Ia mengisahkan gambaran dahsyat dan mimpi ngeri kepada lebih 14 000 rakyat Kemboja yang diseksa dan didera dalam penjara S-21 dibawah pimpinan kuku besi Pol Pot dan Rejim Khmer Rouge.

Tidak cukup dengan hanya menbaca, untuk merasakan lebih ‘feel’ saya dan abang Khaidir dibawa oleh kawan-kawan Kemboja melawat sendiri S-21. Meremang juga bulu roma bila pertama kali menjejak kaki ke S-21. Walaupun tragedi tersebut sudah berlalu 30 tahun yang lampau namun gambar-gambar mangsa yang terpampang dan peralatan mendera dalam S-21 sudah cukup menceritakan apa yang sebenarnya berlaku. 

Vann Nath penulis buku yang saya beli tersebut menceritakan pengalamannya ketika berada dalam S-21 sekitar tahun 1977. Agak leka membaca tulisannya kerana ia ditulis berdasarkan pengalaman benar dan bukan rekaan atau retorik. Bila sahaja Vann Nath disumbat dalam S-21, beliau didera dan dipukul. Beliau diperlakukan seperti kain buruk dan hampir-hampir sahaja mati kebuluran. Dipendekkan cerita Vann Nath berjaya meloloskan diri dari tirai besi tersebut apabila tentera Vietnam melanggar Phnom Penh pada Januari 1979. Setelah suasana kembali aman, Vann Nath kembali semula ke S-21 bukan sebagai banduan tetapi sebagai pelukis bagi melukis semula gambaran-gambaran penderaaan agar dapat dipelajari oleh pengunjung-pengunjung S-21 yang telah pun ditukarkan sebagai muzium peringatan. Jika anda ke Phnom Penh jangan lepaskan peluang ke S-21, ianya satu kemestian!

Tiada ulasan: