Rayuan untuk Syria

Rayuan untuk Syria

Khamis, Februari 17, 2011

Siri 7 : Sepetang Ramadan bersama Melayu HULL.

I Luv Islam : 18 - 24 Februari 2011 / 16-22 Rabiulawwal 1432 H


Sepanjang berada di United Kingdom saya tidak melepaskan peluang menjelajah ke segenap penjuru bumi UK termasuklah Cardiff, Bath, Sheffield, Oxford, Cambridge, Glasgow, Manchester dan Leeds. Di akhir-akhir peringkat pengajian sarjana, saya sempat menjengah ke Hull atas undangan Kelab Melayu Hull untuk mengisi tazkirah sempena menghidupkan malam Ramadhan. Semenjak di bangku pengajian UIA lagi saya sentiasa yakin dengan tugasan menyampaikan dakwah menambahkan lagi keberkatan dan kemudahan kita dalam menuntut ilmu. Walaupun menuntut ilmu sebagai ‘core business’ yang utama, namun tugasan dakwah tidak diabaikan bahkan dilipatgandakan. Usaha dakwah inilah disifatkan oleh Dr.Said Ramadhan al-Buti sebagai satu bentuk ‘ubudiyyah’ atau penghambaan yang tinggi kepada Sang Pencipta.

Justeru jemputan Melayu Hull untuk menyampaikan tazkirah dalam program Ihya Ramadhan mereka  diumpamakan orang mengantuk disorongkan bantal. Di samping kehadiran saya atas jemputan tazkirah, sudah menjadi minat saya untuk berkenalan dengan orang-orang yang belum dikenali apatah lagi komuniti yang bakal saya temui merupakan ahli cerdik pandai yang melanjutkan pelajaran di peringkat doktor falsafah. Ini bertepatan dengan semangat litaarafu atau konsep berkenalan yang dianjurkan al-Quran dalam surah al-Hujuraat.

Perjalanan dari Durham di utara England  di mana tempat saya menimba ilmu ke Hull ke selatan mengambil masa hampir dua jam setengah dengan menaiki keretapi. Di UK, keretapi merupakan pengangkutan yang amat efektif dan selesa untuk ke mana-mana. Walaupun tambangnya agak mahal, namun ‘rail card’ atau kad diskaun pelajar banyak membantu dalam memberikan separuh harga kepada pelajar sepenuh masa seperti saya.   


Setiba di stesyen keretapi Hull, saya dijemput sendiri oleh Presiden Melayu Hull pada ketika itu iaitu saudara Shafudin Mohd Yatim atau lebih mesra dengan panggilan abang Din. Di bawah kepimpinan beliau, Melayu Hull bergerak aktif dengan pelbagai program menarik seperti lawatan ke Manchester, hari keluarga, memetik buah strawberry, wacana ilmiah ta’dib Islamiyy, kuliah agama, sambutan hari raya, sambutan Ramadhan dan BBQ. Kelab Melayu Hull merupakan sebuah kelab sosial dan kebajikan untuk komuniti Malaysia atau lebih tepat untuk pelajar Malaysia di Universiti Hull dan rakyat Malaysia yang menetap dan bekerja di Hull. Di samping itu, ia bertujuan menyatukan rakyat Malaysia dalam satu wadah dan menjaga kebajikan para ahlinya. Sudah tentu apabila berada di perantauan dan berjauhan daripada keluarga di Malaysia, ahli Melayu Hull sudah menjadi seperti sebuah keluarga besar tempat mengadu nasib, berkongsi masalah, melepaskan tekanan menyiapkan tesis, bertukar-tukar fikiran, bersantai dan menyelesaikan keperluan ahlinya.



Abang Din terus membawa saya ke Dewan Komuniti Hull, terubat juga kesunyian Ramadhan saya seorang diri di perantauan tanpa ibubapa, isteri dan anak-anak apabila saya disambut mesra oleh Melayu Hull. Kami berkenalan, berborak, bertukar nombor telefon, bergelak ketawa, berbuka puasa, berterawih dan bertazkirah bersama. Saya mengimamkan terawih dan menyampaikan sedikit peringatan kepada diri dan ahli Melayu Hull. Saya mengingatkan sesama kami untuk mempertingkatkan lagi amal ibadah sempena di bulan Ramdan yang mulia ini. Sebagai contoh Imam Syafie mengkhatamka al-Quran sebanyak enam puluh kali. Saya melemparkan cabaran agar bersama-sama mengkhatamkan al-Quran sekurang-kurang sekali di dalam bulan Ramadan ini.

Saya juga mengingatkan agar sama-sama berdakwah memertabatkan Agama Islam di muka bumi Allah ini bukan sahaja kepada sesama Islam malah kepada yang bukan Islam juga. Kaedah yang boleh digunakan ialah dengan dakwah bilhal yaitu mempraktikkan ajaran Islam itu sendiri di dalam diri kita. Ia dapat menarik minat terutamanya kepada orang yang bukan Islam untuk mendekati dan mengenali Islam seterusnya memeluk agama Islam.



Sebelum berangkat pergi, saya sempat menziarahi Universiti Hull yang terkenal sebagai ‘top ten’ universiti di UK menurut tinjauan The National Student Survey (NSS), 80% kajiannya mencapai piawaian antarabangsa dan mempunyai para pakar dalam kajian meliputi bidang keadilan sosial, teknologi persekitaran,sejarah maritim, penjagaan kesihatan, visualisasi 3D dan teknologi nano.

Kingston upon Hull terpaksa saya tinggalkan dengan perasaan yang berat merentasi persisir pantai timur England menuju semula ke Durham di mana saya menimba hikmah. Selamat tinggal Hull.


Tiada ulasan: