Rayuan untuk Syria

Rayuan untuk Syria

Rabu, Mei 04, 2011

Siri 11 : Meninjau di Maninjau.


I Luv Islam : 6 - 13 Mei 2011 / 3 - 9 Jamadilakhir 1432 H


Seawal  jam 4 pagi saya sudah pun bangkit dari pembaringan untuk 5 pagi saya bertolak ke Terminal Tambang Murah (LCCT) di Sepang. Saya tidak mahu ketinggalan untuk tiba awal di LCCT bagi meneruskan pemusafiran ke Kota Padang, Sumatera Barat. Ini adalah kali kedua saya berada di Kota Padang, seingat saya kali pertama pada 2008 untuk menjayakan penganjuran International Youth Conference, Cultural Exchange and Camp (IYCCC). 

Oleh kerana kesibukan bertugas, saya terlepas pandang untuk menyemak jadual atau itinieri lawatan kerja ini menyebabkan saya kurang mendapat gambaran awal tentang tempat apa yang sepatutnya dilawati. Sudah menjadi amalan yang saya tekankan dalam mengemudi Grup Penjejak Tamadun Dunia (GPTD) agar dalam setiap misi khidmat sosial ke luar negara wajib untuk membuat persiapan awal sebelum keberangkatan. Persiapan awal meliputi pembacaan bahan-bahan berkaitan, kajian tentang tempat atau negara yang bakal dilawati, penguasaan asas bahasa negara tersebut dan lain-lain.  

Sesampai di Lapangan Terbang Minangkabau, Padang barulah saya jelas misi saya kali ini kerana sudah pun diberikan taklimat oleh ketua rombongan Tuan Haji Ahmad Azam Abdul Rahman, Naib Presiden Wadah Pencerdasan Umat (WADAH). Kami dibawa menaiki Kijang Innova menelusuri pantai melalui Pariaman menuju ke Danau Maninjau. Perjalanan melalui persisir pantai mengambil masa 4 jam berbanding melalui jalan berkelok-kelok yang dikenali sebagai Kelok 44 yang hanya mengambil masa 2 jam. 

Apa ada pada Danau Maninjau? Adakah kedatangan saya hanya ingin melihat keindahan danau yang terbentuk dari letusan gunung berapi? Atau melihat kesan-kesan pasca gempa bumi yang melanda Sumatera Barat pada 2009? Walaupun permusafiran itu separuh daripada kesusahan, namun yang membuatkan saya terlalu kuat untuk mengunjungi Danau Maninjau adalah kerana di situlah merupakan tanah kelahiran lagenda ilmuan terkenal Prof. Dr. Buya Hamka yang kesekian lamanya saya memerhatikan karya-karyanya yang monumental dan rencam. 



Bermula dari sebuah danau yang kelam, namun hari ini setelah 20 tahun kembalinya Haji Abdul Malik Karim Amrullah, ia kembali semula bercahaya dengan pemashyuran semula tokoh yang pernah menggegarkan nusantara dengan Tafsir al-Azharnya  di tanah kelahirannya. Di tapak rumah Hamka didirikan sebuah Muzium Hamka bagi memperingati sejarah, keperibadian, ketokohan dan karya Hamka. 

Setelah 11 tahun para senior ABIM bergelumang membangunkan Pesantren Profesor Dr. Buya Hamka, Tuan Haji Ahmad Azam menyatakan kepada saya bahawa sudah sampai masanya untuk menyerahkan baton kepada generasi muda ABIM bagi meneruskan usaha membangunkan fasa kedua Pesantren Profesor Dr. Buya Hamka pasca gempa bumi. Bahu saya terasa amat berat kerana menjunjung sebuah amanah yang bukan kecil kepalangnya. Saya berasa terpanggil untuk memperkenalkan tokoh ini kepada generasi muda dan sudah tentu Danau Maninjau yang seluas 99.5 km menanti keazaman dan tekad generasi muda Malaysia untuk sama-sama memelihara warisan kebanggaan umat Islam nusantara ini, Allahuakbar!

Tiada ulasan: