Saya sentiasa mempercayai dengan menggalakkan generasi muda mengembara adalah satu cara pembelajaran sendiri (self learning) yang terbaik untuk membawa kepada transformasi diri dan perubahan sosial secara menyeluruh ke dalam masyarakat. Namun apa yang paling penting dalam elemen berjalan, melihat dan menafsir dalam pengembaraan ialah untuk mendekatkan sang pengembara kepada Sang Pencipta Rabb al-Jalil sekaligus mengukuhkan pasak keimanan.
Islam menggalakan penganutnya mengembara tetapi dengan pelbagai tujuan murni seperti menuntut ilmu, berniaga, berjihad, berubat, bersukan, membuat penyelidikan, melancong, berdakwah, melakukan kerja kemanusiaan dan pelbagai lagi seribu satu tujuan. Bagi saya, kebanyakkan tujuan pengembaraan saya adalah untuk melakukan khidmat bakti sosial kesukarelaan demi membantu masyarakat di pentas global yang menagih simpati dan bantuan kita. Terlalu banyak pengalaman yang diperolehi dan sebagai orang yang mempunyai semangat berjemaah, saya mahu pengalaman berharga ini dikongsi dengan generasi muda bahkan turut dirasai sendiri oleh mereka melalui pembelajaran langsung melalui pengalaman (experiential learning).
Untuk itu, melalui Makmal Transformasi Belia yang dikelolakan oleh Kementerian Belia dan Sukan, saya telah pun mencadangkan agar sebuah pasukan sukarelawan ditubuhkan yang dikenali sebagai MyCorps. Idea ini tercetus dengan mengambil semangat daripada Peace Corps Amerika Syarikat yang ditubuhkan semenjak 1961 bertujuan menghantar generasi muda Amerika mengembara ke seluruh pelusuk dunia untuk berkhidmat bersama komuniti setempat di lebih 77 buah negara di Asia, Afrika, Caribbean, Eropah, Asia Barat. Amerika Selatan dan Amerika Tengah untuk tempoh lebih kurang 27 bulan. Secara ringkasnya, Peace Corps merupakan program kesukarelaan yang disifatkan sebagai life-defining leadership experience.
MyCorps merupakan satu usaha menjadikan agenda kesukarelawanan sebagai agenda nasional. Melalui latihan yang bakal dilalui para pelatih MyCorps selama hampir sebulan, para pelatih akan didedahkan dengan pelbagai ilmu dan skil berkaitan bantuan kemanusiaan dan pembangunan komuniti oleh para jurulatih pakar dalam bidang kerja bantuan kemanusiaan dan pembangunan komuniti daripada Global Peace Mission (GPM) Malaysia, Malaysian Relief Agency (MRA) dan Yayasan Salam. MyCorps mencari 60 calon pertamanya pada tahun ini untuk dilatih menjadi Pemimpin Sukarelawan (Volunteer’s Leader) yang bakal menyemarakkan lagi budaya kesukarelawanan dan menjadikan kerja sukarela sebagai fenomena di kalangan generasi muda. Pembabitan rakyat khususnya generasi muda dalam kerja sukarela adalah sebagai penanda aras penting sesebuah negara jika ingin dikategorikan dalam negara maju. Mengambil Australia sebagai contoh, para belia mereka telah mencatatkan rekod 700 juta jam penglibatan dalam kerja sukarela pada tahun lepas.
60 peserta yang terpilih menyertai MyCorps akan melalui latihan intensif selama sebulan, kemudian diberikan pendedahan latihan kerja sukarela lapangan domestik sebelum diberi peluang mengembara menjalankan latihan kerja sukarela lapangan di pentas antarabangsa selama sebulan ke tiga buah negara iaitu Laos, Indonesia dan Timor Leste. Bentuk latihan meliputi pelbagai kaedah termasuk ceramah, simulasi, praktikal semasa, latihan dalam kumpulan, kerja lapangan dan perkongsian pengalaman merentasi pelbagai tajuk seperti pertolongan cemas, mengendalikan 4 x 4, seni negosiasi, memahami kepelbagaian budaya, memahami konsep kesukarelawanan, mengendalikan radio amatur, pembangunan komuniti, integriti, menjana kewangan (fund raising) dan banyak lagi.
Peserta yang benar-benar teruji kelasakkannya dan terbukti kenyalarasaannya (passion) dalam kerja sukarela akan diberikan tawaran mengembara lebih jauh dan lebih lama untuk menumpahkan khidmat bakti mereka kepada komuniti antarabangsa. Semasa mengembara di luar negara, aktivis MyCorps akan berpeluang mempelajari kepelbagaian budaya setempat, keunikan berbilang-bilang bangsa yang diciptakan Allah, menyelami hati nurani masyarakat dan mempelajari ilmu, teknologi dan pengajaran (ibrah) yang mampu dikongsi dan diaplikasikan apabila kembali ke tanahair kelak.
Aktivis MyCorps boleh diumpamakan sebagai duta kecil Malaysia di luar negara mengharumkan nama negara dengan menyebarkan mesej keamanan, kemakmuran, keadilan, kasih sayang dan persaudaraan. Kini, sudah sampai masanya, Malaysia mengeksport para sukarelawan mudanya ke luar untuk berbakti di negara-negara yang amat memerlukan bantuan.
Dengan berkonsepkan kesukarelawanan, pengorbanan, dan pengembaraan, MyCorps membuka ruang dan peluang sebesar-besarnya kepada generasi muda untuk terlibat dalam kembara bakti ini. Ayuh sertai MyCorps, daftarkan diri anda ke http://mycorps2u.blogspot.com/. Mungkin anda yang kami cari!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan