Rayuan untuk Syria
Selasa, September 18, 2012
TURKI : Harapan Sebuah Kuasa Besar Dunia Islam
OLEH : JUFITRI BIN JOHA
Naib Presiden Antarabangsa ABIM
Dua kali ke Turki dalam tempoh sebulan merupakan satu petanda menunjukkan dekatnya hubungan peribadi dan kolektif dengan rakan-rakan di Turki. Dua misi berbeza menghadiri persidangan belia dan muktamar ngo Islam namun ia memberikan satu sisi tersendiri dan pengalaman berbeza dalam menilai Turki sebagai Negara harapan umat pada masa kini dan masa hadapan. Bahkan tidak keterlaluan mengharapkan dan mendoakan agar Turki menjadi sebuah kuasa besar dunia Islam Neo-Ottomanism mengembalikan kegemilangannya ketika memerintah dunia di bawah panji-panji Khilafah Uthmaniyyah.
Turki yang begitu pesat membangun. Saya menyaksikan sendiri kepesatan yang luar biasa. Sebuah negara yang kuat dengan fahaman sekularismenya selama puluhan tahun akhirnya dapat dikendurkan secara berperingkat dengan angin perubahan yang dimulakan oleh Erdogan ketika menang Pilihanraya Turki tahun 2002. Turki tahun 2012 begitu pesat membangun dan yang paling mengkagumkan saya ialah tahap kebersihan yang konsisten di samping Turki yang dianugerahkan panorama berbukit bukau yang indah.
Turki mencipta sejarahnya tersendiri apabila menjadi tajuk ‘headlines’ dunia tahun lepas apabila kadar perkembangan GDPnya mencecah 8.5% selepas Negara China. Menariknya perkembangan positif ekonomi Turki ini bukan disumbangkan oleh bandar-bandar besar di bahagian barat seperti Istanbul banyak disumbangkan oleh peningkatan ‘output’ dari bandar-bandar seperti Kayseri, Konya dan Gaziantep yang banyak didominasi oleh ekonomi berasaskan pertanian (agro). Ini adalah kerana Bandar-bandar di sebelah Barat banyak bergantung kepada eksport ke negara-negara Eropah yang sedang dilanda kemelesetan ekonomi yang parah. Ia juga menggambarkan sebaliknya iaitu jika dahulu Turki amat memerlukan Eropah daripada segi ekonomi namun pada masa depan diramal Eropah pula yang terpaksa menagih kebergantungan kepada kekuatan ekonomi Turki.
Menurut Smith melalui tulisannya dalam Majalah The MiddleEast bertajuk Anatolia’s Tigers, “hatta sebelum berlakunya Arab Spring saham negara-negara Asia Barat dalam jumlah perdagangan dengan Turki telah meningkat, mencecah 14% pada akhir 2009 berbanding hanya 6% pada 2002.” Lanjutan daripada lawatan Erdogan ke Mesir pada September tahun lepas selepas berlakunya ‘thawrah sya’b’ atau kebangkitan rakyat yang turut disertai delegasi perdagangan termasuk SME dari Anatolia dan syarikat korporat besar Turki seperti Turkcell, Akbank dan Taha telah menjangkakan perdagangan bilateral antara Turki-Mesir meningkat sehingga 3 kali ganda mencecah 5 billion daripada 3.7 billion pada tahun 2010.
Ini satu petunjuk kemakmuran ekonomi yang amat memberangsangkan bukan sahaja untuk Turki tapi negara-negara serantau Asia Barat yang baru sahaja dibebaskan daripada cengkaman autokrasi. Haruslah diingat kemakmuran dan kestabilan ekonomi serantau amat penting bagi Turki untuk muncul sebagai sebuah kuasa besar ekonomi dunia. Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) yang memberangsangkan ini, melayakkan Turki menduduki tempat ke 17 senarai negara ekonomi terbesar di dunia dan ke 6 terbesar di Eropah yang dikeluarkan oleh PBB manakala di tangga ke 18 dalam dua senarai berasingan yang dikeluarkan oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia. Pencapaian ini jauh meningkat dari kedudukan ekonomi Turki pada 2002 iaitu negara ke 26 ekonomi terbesar di dunia.
Mr. Egemen Bagis, Menteri EU Turki ketika menyantuni delegasi persidangan belia 2012 di Ibu Pejabat AKP di Ankara, menghimbau dan menyimpulkan formula kejayaan AKP sebagai “affection” atau dalam erti kata lain “caring about people”. Selain pemugaran demokrasi, pembasmian kemiskinan dan memerangi rasuah, keutamaan AKP ialah untuk memberikan kemudahan kepada rakyatnya atau dalam istilah keMalaysiaan ‘rakyat didahulukan’. Menurut Egemen, semenjak AKP mengambil alih pemerintahan pada 2003, mereka telah membina 16 500 km jalan-jalan baru berbanding ketika orde lama memerintah dari 1923 sehingga 2002, mereka sekadar mampu membina hanya 6 100 km jalan-jalan baru. Pembinaan hospital-hospital, sekolah-sekolah dan lapangan-lapangan terbang telah meningkat tiga kali ganda sepanjang 9 tahun pemerintahan AKP.
Model dan pendekatan baru ekonomi Turki yang dipimpin Erdogan dengan tata kelola kerajaan yang baik (good governance) ini mampu menjawab persoalan Profesor Tariq Ramadan yang diutarakan oleh beliau ketika pertemuan bersama pimpinan ABIM iaitu apakah model ekonomi yang mampu ditawarkan oleh gerakan Islam atau tokoh pimpinan Islam yang berlatarbelakang gerakan Islam memimpin perubahan. Erdogan and team telah membuktikan dan menjawabnya ketika memimpin perubahan gilang gemilang pada tahun 2002 sehingga kini.
Dari segi politik, AKP yang berhaluan centre-right pimpinan Erdogan semakin mendapat sokongan, namun sayang pilihanraya 2011 mereka kekurangan hanya 5 kerusi Parlimen bagi membolehkan mendapat majoriti sekaligus menulis semula Perlembagaan Tentera Tukri 1982 tanpa perlu merujuk Parlimen. Namun apa yang penting peratusan sokongan rakyat meningkat kepada 49.9% dalam pilihanraya terakhir daripada pilihanraya 2003 dengan undi popular 34.6 % dan pilihanraya 2007 dengan undi poular 47 %. Mungkin sebahagian besar rakyat sudah muak dengan Parti Republican People’s Party (CHP) yang diasaskan Kamal Attaturk dan mana-mana aliran parti yang beraliran sekular yang konservatif. Atas kestabilan politik dalaman, maka Erdogan mengorak langkah untuk menjadi ‘role player’ politik serantau yang amat mencabar terutamanya selepas berlakunya Arab Spring. Tambahan pula menurut Omer Taspinar dalam makalahnya Turkey’s Strategic Vision and Syria dalam The Washington Quarterly menyebut bahawa Turki sudah lama menyepi dengan memilih untuk tidak terlibat dalam hal ehwal Asia Barat hampir sepanjang abad ke-20.
Ini tergambar dalam dasar luar Turki yang pragmatik khususnya isu Gaza di mana Erdogan mencipta sejarah menjadi hero dunia Islam apabila dalam Forum Ekonomi Dunai (WTO) di Davos, Switzerland beliau bertikam lidah isu serangan ke atas Gaza dengan Shimon Peres, Presiden Israel dan meninggalkan rakan sejawatnya itu dalam keadaan terpinga-pinga. Nama Erdogan ternyata mula meniti di bibir pecinta-pecinta keamanan. Turki juga menjadi penyumbang utama kepada pembangunan semula Semenanjung Gaza selain Qatar dan Kuwait. Turki berikrar terus membantu Gaza dengan memfokuskan bantuan dalam sektor pendidikan, kesihatan dan infrastruktur. Ini merupakan sumbangan Turki yang amat signifikan memandangkan isu Palestin merupakan ibu segala konflik di dunia ini. Jika keadilan dapat dikembalikan kepada rakyat Palestin maka sebahagian besar masalah dunia dapat diselesaikan. Sokongan Ankara terhadap Palestin tidak berbelah bagi di mana Erdogan menegaskan bahawa sokongan terhadap pengiktirafan Palestin sebagai sebuah negara berdaulat di Perhimpunan Agung PBB (UNGA) sebagai ‘an obligation not an option’.
Erdogan juga dengan beraninya mengusir Duta Israel di Ankara dan menggantung kerjasama strategik ketenteraan bersama Israel atas kegagalan Tel Aviv membuat permohonan maaf secara rasmi kepada Ankara selepas komando samseng Israel membunuh 9 aktivis keamanan Turki di atas kapal Mavi Marmara di perairan antarabangsa dalam misi Freedom Flotila menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza. Erdogan turut memberi amaran keras terhadap Israel bahawa negara haram itu tidak boleh lagi sewenang-wenangnya melakukan apa sahaja yang mereka mahu di laut Mediterranean kerana Tentera Navy Turki akan sentiasa melakukan pemantauan dan rondaan.
Turki juga memainkan peranan aktif dalam isu konflik di Syria. Syria setakat ini menjadi medan perbincangan masa depan Syria. Bahkan Turki merupakan tuan rumah kepada Syrian National Council (SNC) yang ditubuhkan pada 2011 apabila meletusnya kebangkitan rakyat di Syria. SNC ditunjangi Ikhwanul Muslimin Syria ditubuhkan bagi menamatkan pemerintahan kuku besi keluarga a-Assad dan mewujudkan sebuah Syria yang adil dan demokratik. Turki turut membenarkan buminya menjadi pertemuan para ulama dan aktivis gerakan Islam membincangkan nasib dan masa depan Syria awal Julai lepas yang dihoskan secara bersama oleh Ikatan Ulama Syria yang dipengerusikan mufassir (ahli tafsir) terkenal Sheikh Ali as-Sobuni dan Majlis Ulama Antarabangsa yang dipengerusikan ulama berpengaruh Sheikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi. Turki seolah-olah sudah menjadi gelanggang pertemuan utama bagi umat mengadu nasib dan mencari solusi. Turki bertuah mendapat arkitek dasar luar yang hebat seperti Ahmet Davutoglu yang mempunyai fikrah progresif, daya intelek yang tinggi dan berjiwa ummatik. Davutoglu sebagai contoh mempunyai pendirian dan tegas terhadap keganasan yang dilakukan oleh regim Bashar. Davutoglu dalam wawancara dengan FRANCE 24 jelas menyeru masyarakat dunia untuk memfasilitasi transisi dan perubahan Syria tanpa Bashar. Bahkan Davutoglu antara Menteri Luar terawal berbincang secara empat mata dengan Bashar selam 6 jam bagi menyelesaikan konflik Syria. Ankara melalui rundingan Davutoglu memberikan jaminan bahawa Bashar boleh kekal berkuasa dengan syarat membuat perubahan (reform) yang tulen dan menghentikan pembunuhan terhadap penunjuk perasaan. Pada awalnya Bashar bersetuju namun persetujuan itu gagal dikotakan oleh Bashar.
Davutoglu juga merupakan Menteri Luar pertama yang mengunjungi Arakan bersama Isteri Perdana Menteri Erdogan bagi meninjau nasib mangsa-mangsa pelarian Rohingya yang ditindas oleh etnik Rakhine. Hasil lawatan ini menatijahkan amaran keras Erdogan terhadap si pelaku kekejaman agar menghentikan kekejaman atau berhadapan dengan akibat kemarahan rakyat Turki. Jelas amaran ini menjadi kelegaan kepada umat dan terabadi di dinding-dinding Facebook sebahagian pengguna Muslim FB di Malaysia.
Erdogan menurut Profesor Tariq Ramadan dalam ‘The Arab Awakening’ percaya bahawa perubahan demokrasi di Mesir dan negara-negara Arab tidak akan benar-benar jitu dan mapan melainkan didokong oleh kekuatan ekonomi. Justeru Erdogan memulakan langkah impresif dengan membawa rombongan perdagangannya ke Kaherah yang disertai 200 orang ahli perniagaan untuk mempertingkatkan perdagangan dua hala dan menandatangani kontrak berkaitan minyak, telekomunikasi, pengangkutan, perkhidmatan, pendidikan dan lain-lain. Ini jelas menurut Profesor Tariq bahawa Turki sedang meningkatkan peranan antarabangsanya. Namun yang lebih jelas ialah peranan Turki di peringkat serantau dalam aspek ekonomi bagi membantu negara jirannya serta menghindari negara jirannya daripada menerima nasib yang sama seperti di Libya di mana Amerika, negara Eropah, Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) berebut-rebut dengan rakusnya menguasai pasaran dan minyak serta masa depan pembangunan Libya.
Sesungguhnya perubahan yang berlaku semenjak 2002 di Turki dijana oleh kebangkitan dan kesedaran anak muda yang dinamik dan ‘liquid’ (meminjam istilah Zygmunt Bauman) sentiasa inginkan perubahan positif terhadap negara mereka. Generasi Y masa kini bukan lagi kelompok yang boleh diperbodohkan dan mengikut telunjuk pemerintah, tetapi mereka sudah bijak berfikir kesan ledakan dan fenomena media sosial yang merata. Smith dalam tulisannya menyebut, “This is a country (Turkey) with a very young population, half of of which is under 29 years of age. We think it will develop further with its young population and the dynamics of Anatolia.” Inilah merupakan aset berharga yang sentiasa menjadi penentu kepada hala tuju dan masa depan Turki.
Sebab itulah Erdogan memberikan tumpuan yang istimewa kepada generasi mudanya. Ketika Erdogan menyampaikan ucapan bertenaga kepada puluh ribu generasi muda yang hadir termasuk saya di AK Parti Youth Conference baru-baru ini di Ankara, beliau menitipkan pesanan berharga. Antara lain beliau berpesan agar generasi muda menjadi seorang yang sentiasa berilmu dan berwawasan. Budaya ilmu menurut beliau haruslah dipupuk sejak zaman muda dengan menyeimbangkan antara ilmu duniawi dan ukhrawi yang akhirnya mampu membangunkan ummah dan negara. Beliau menggalakkan membaca karya-karya pemuka ilmu Turki seperti Mehmet Akif Ersoy, Necip Fazil, Yahya Kemal Beyat, Yunus Emre dan Mevlana Jelaluddin Al-Rumi.
Beliau juga berpesan agar penekanan pembacaan juga harus diberikan kepada penulis-penulis asing dan penguasaan kepada bahasa asing seperti Bahasa Inggeris dan sebagainya. Golongan muda haruslah menjadi seorang yang cekal dan cerdas fikiran dalam menghadapi arus semasa serta menjadi seorang yang berdaya saing sehingga mampu mencipta inovasi baru sepertimana yang telah dilakukan oleh Sultan Mehmet Al-Fatih sewaktu penawanan Kota Konstantinopal. Golongan muda yang mempunyai sifat-sifat ini mampu membawa negara serta mencipta tamadun yang gemilang di masa hadapan. Inilah golongan muda yang kita mahukan. Golongan muda juga haruslah mempunyai sikap ingin tahu, tolernasi, adil, mengambil berat serta bantu-membantu sesama insan tidak kira warna kulit dan keturunan seperti sahabat-sahabat di Syria, Afrika, Iraq, serta di negara-negara yang dilanda musibah.
Lanjutan daripada penegasan beliau di atas dan bagi berterusan untuk memenangi hati anak muda, Erdogan telah mengumumkan biasiswa pelajar dinaikkan daripada 42 lira kepada 450 lira bagi pelajar master dan dan 750 lira bagi pelajar PhD untuk sebulan. Selain itu juga Kerajaan Turki pimpinan beliau akan memperuntukkan belanjawan khusus bagi membina lebih banyak pusat sukan dan rekreasi serta dewan teater. Wajar disimpulkan bahawa beliau ingin pembangunan generasi muda yang lebih seimbang dan holistik mencakupi aspek keimanan, keilmuan, pendidikan dan kesihatan jasmani serta kebudayaan. Kini generasi muda Turki merasai nikmat pendidikan percuma bermula daripada seawal tadika sehingga ke peringkat ijazah sarjana muda.
Bagi saya yang berada di tengah-tengah lautan anak muda Turki ini, ucapan Erdogan jelas bertenaga dan mempunyai inti penting untuk memastikan perubahan yang dijana oleh generasi muda Turki bukan berpandukan emosi semata-mata tetapi berpandukan agama dan ilmu. Walaupun menurut Profesor Ihsan Dagi dalam bukunya Turkey Between Democracy and Militarism menyebut bahawa “Erdogan has asserted many times that the AK Party was not religiously centered but conservative and democratic”, namun berdasarkan ucapan beliau di atas jelas menunjukkan beliau mempunyai jiwa dan ruh keIslaman yang tinggi yang tertanam sejak menjadi murid Allahyarham Erbakan
Justeru tidak hairanlah pendekatan politik berhemah Erdogan menyamai apa yang disebut oleh Profesor Tariq Ramadan sebagai ‘the civil state with Islamic ethic’ menjadi model terbaik kepada banyak negara-negara Arab yang terlepas dari cengkaman kuku besi. Juga tidak hairanlah populariti Erdogan di mata dunia meningkat. Dalam kajian terkini Universiti Maryland, mendapati 63 % rakyat Mesir memilih Erdogan sebagai pemimpin luar yang dikagumi jauh meninggalkan Obama dan Raja Abdullah Abdul Aziz.
Gabungan daripada formula kebijaksanaan dalam mengurus ekonomi dan berpolitik, pengaruh politik serantau, penekanan kepada aspek modal insan dan kepimpinan yang berjiwa ummatik melayakkan Turki menjadi sebuah negara kuasa besar Islam contoh yang diramal mampu membawa roda Islam dengan sistem kekhalifahan bentuk baru kembali ke puncak kegemilangannya sekaligus menamatkan penderitaan dan penindasan terhadap umat Islam di seluruh dunia serta membawa keadilan dan keamanan sejagat.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
3 ulasan:
Jelmaan Muhammad al-Fatih abad kini.Subhanallah
sangat menarik.terima kasih
Malaysia...Malaysia + Indonesia
Catat Ulasan