Rayuan untuk Syria

Rayuan untuk Syria

Khamis, Oktober 04, 2012

ABIM : Merakyatkan Isu Antarabangsa dan Mengantarabangsakan Isu Umat

ABIM seperti mana organisasi-organisasi yang lain mempunyai pasang surutnya. Satu ketika ABIM kelihatan begitu terkehadapan dengan tradisi membela umat khususnya dipentas antarabangsa. Selepas melalui dan menikmati lekuk kegemilangan, ABIM mengalami sedikit era tribulasi dalaman yang menyebabkan fokus ABIM terhadap isu-isu antarabangsa mengalami sedikit gangguan sementara. Walaupun ia bersifat sementara, namun kesannya banyak merugikan umat yang sentiasa sahaja memerlukan keprihatinan dan pembelaan dari ABIM. Mungkin tajuk buku Maza Khasiral Alam karangan Sheikh Abul Hasan Ali an-Nadawi boleh dipinjam dan difrasakan semula menjadi ‘Apa Kerugian Dunia dengan Kemerosotan ABIM’ bagi menyedarkan qiyadah dan ahli-ahli ABIM tentang penting ABIM menghadirkan peranan pentingnya di pentas antarabangsa sekaligus menyusun semula kudrat dan strategi bagi menggembling peranan ABIM di mata dunia.
ABIM dan Persoalan Antarabangsa : Saudara Anuar Tahir, mantan Setiausaha Agung ABIM (1993) dalam buku Pendirian Politik ABIM menyebutkan bahawa pemimpin ABIM telah melibatkan diri dengan perkembangan Islam di seluruh dunia dan membela nasib umat semenjak awal tahun 60an yang mana ketika itu melalui Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) meliputi pelbagai isu seperti di Selatan Thai, India, Eriteria dan sebagainya. Menurut saudara Anuar Tahir juga, ABIM barangkali adalah pertubuhan Islam terawal di Malaysia memperjuangkan isu umat Islam di luar negeri secara yang berkesan menerusi pelbagai forum dan media. ABIM pada ketika itu terlibat dan berperanan dalam pebagai isu penting antarabangsa termasuk terlibat secara langsung menyelesaikan persengketaan sesama pejuang-pejuang mujahidin di Kabul pada 1993, isu penghapusan etnik di Bosnia-Herzegovina dan isu penindasan etnik Rohinya di Arakan. ABIM juga berperanan penting dan aktif dalam pertubuhan seperti Persekutuan Organisasi Pelajar Islam Antarabangsa (IIFSO), Himpunan Belia Islam Sedunia (WAMY), South East Asia Forum for Development Alternative (SEAFDA) dan EL-TALLER. Sejarah panjang kegemilangan ABIM di persada dunia yang telah dirintis oleh para senior ini harus dihargai bahkan diteruskan momentumnya oleh generasi kepimpinan ABIM sekarang memandangkan nama baik dan jenama ABIM ini rata-ratanya masih dikenali dan diiktiraf oleh tokoh-tokoh global, gerakan Islam dunia dan pertubuhan antarabangsa di serata dunia.
Awlawiyyat Kepimpinan ABIM Untuk Isu Antarabangsa: Dr. Chandra Muzaffar, Presiden International Movement for A Just World (JUST) memberikan formula yang amat baik ketika memberikan panduan keutamaan atau awlawiyyat kepada kepimpinan ABIM sesi ini. Dr. Chandra menyarankan ABIM agar memfokuskan 3 isu utama global iaitu ‘kebangkitan dunia arab’ di mana beliau berpesan agar kita berhati-hati melihat isu ini dengan pemikiran yang lebih ‘articulative’. Isunya adalah campurtangan kuasa asing yang mendokong sesetengah pemberontakkan di negara-negar Arab dengan menangguk di air keruh menjadikan perjuangan sudah tidak lagi asli atau ‘genuine’. Justeru Dr. Chandra dalam tulisannya bertajuk “Quit Gadaffi Quit!’ menggesa Gadaffi pada ketika itu agar segera meletak jawatan atas alasan “It would be ironic if because of his stubbornness he unwittingly opens the door to some nefarious neo-colonial intruder”. Melalui Kempen Save Syria yang digerakkan ABIM semenjak Januari 2012, jelas bahawa ABIM mengambil pendirian tegas menyokong padu kebangkitan rakyat Syria menentang kekejaman Bashar dalam masa yang sama menegaskan pendirian bahawa kebangkitan rakyat yang tulen ini tidak memerlukan campur tangan kuasa asing seperti Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah, Rusia mahupun China tetapi Syria memerlukan tindakan tegas dan pembelaan daripada negara-negara Islam seperti Malaysia dan Turki. Fokus kedua ialah kepada isu konflik Palestin-Israel yang berpanjangan yang dianggap sebagai anak kunci kepada isu-isu lain. Isu ini menjadi fokus dan awlawiyyat ABIM semenjak penubuhannya lagi. Kini ia diteruskan dari masa ke semasa dengan pendekatan yang lebih ‘problem solving’ dan kreatif. ABIM terlibat secara aktif dalam gabungan Friends of Dei Yassin dalam memberikan ingatan tentang peristiwa kampung pertama Palestin yang dicerobohi oleh pengganas Yahudi pada 1948. ABIM juga terlibat dalam menubuhkan Grup Jiil Salahuddin al-Ayyubi (GJSA) dengan memfokuskan generasi muda mengenali ketokohan Sultan Salahuddin al-Ayyubi dan mengkaji faktor-faktor kebangkitan generasi Salahuddin dalam membebaskan kota al-Quds. ABIM juga terlibat dalam penganjuran Bengkel Memahami Isu Palestin untuk generasi muda yang dilaksanakan bersama Palestine Cultural Organization Malaysia (PCOM) yang merupakan wakil rasmi HAMAS di Malaysia yang diiktiraf Kerajaan Malaysia. Selain itu ABIM terlibat menyertai Persidangan al-Quds yang dianjurkan oleh Aqsa Working Group di Bandung, terlibat dalam penubuhan Al-Quds Foundation Malaysia dan membina kerjasama dengan Parliamentarian Friends of Palestine Australia bagi menyelaraskan gerak kerja pembebasan Palestin secara bersepadu di peringkat antarabangsa. Melalui pertemuan bersama Usamah Hamdan, Ketua Biro Antarabangsa HAMAS di Kuala Lumpur tahun ini, ABIM menghormati aspirasi dan pendirian rakyat Palestin dengan ‘One State Solution’ dan meneruskan muqawamah atau penentangan berterusan kepada kekejaman dan kebrutalan regim Israel bagi mendapatkan semula kedaulatan tanahair mereka yang dirampas semenjak peristiwa Nakbah Mei 1948. Lanjutan daripada itu, ABIM meneruskan usaha melobi agar dunia terus mengiktiraf kemerdekaan Palestin khususnya melalui persidangan United Nation General Assembly (UNGA). Manakala fokus ketiga yang harus diberikan perhatian oleh ABIM ialah ‘kemelut ekonomi dunia’ yang semakin meruncing. Generasi muda dan ABIM di seru agar tampil kehadapan dengan menawarkan sistem ekonomi Islam sebagai jawapan kepada semua kemelesetan yang berlaku hasil kerakusan sistem kapitalisme. Ini terzahir melalui gerakan penentangan masyarakat dunia terhadap sistem ini melalui Occupy Wall Street yang bermula di Sepanyol dan merebak ke seluruh dunai termasuk yang terkenal di Amerika Syarikat. Namun ianya harus ditampil dengan pendekatan tidak langsung ya’ni tanpa terlalu memaparkan imej fizikal Islam seperti slogan Negara Islam sebaliknya menampilkan ruh Islami atau ‘substance’ kepada keadilan ekonomi Islam. Menurut Syed Serajul Islam (2005), ABIM amat komited memerangi segala isme-isme yang menindas manusia termasuk sekularisme, sosialisme termasuk kapitalisme. Justeru usaha menawarkan keadilan ekonomi kepada masyarakat dunia merupakan satu perkara yang sinonim dengan perjuangan ABIM. Justeru ABIM disyorkan agar menampilkan tokoh-tokohnya yang mahir dalam bidang ekonomi dan perbankan Islam yang mempunyai padangan alam yang jelas serta kerangka analisis agar terkehadapan dalam menjuarai isu ini di pentas ekonomi dunia. Sebagai langkah permulaan, ABIM telah pun memulakan langkah strategik dengan menubuhkan think-tank ekonominya bagi menangani isu yang amat penting ini.
Peranan Terkini ABIM: Sepanjang setahun di bawah kepimpinan baru, ABIM tidak lagi menoleh ke belakang. ABIM terus membuat kemunculannya semula secara agresif di pentas antarabangsa. ABIM telah menyertai pelbagai pertemuan dan persidangan strategik seperti Bengkel Perdagangan Senjata Anjuran NGO Sweden (SweFor) di Bangkok, Muslim Leadership Training Programme di Australia, Training of Trainers on Youth and Peace Building di Rajiv Ghandi National Institute for Youth Development (RGIYND) anjuran Commonwealth Youth Programme (CYP) Asia Centre di Tamil Nadu, Muktamar Rabithah Ulama Syria di Istanbul, Bengkel Arm Trade Control di Manila dan terkini di Manila dalam rundingan Asean Civil Society Consultation on ASEAN Declaration of Human Rights. Dalam mewujudkan satu persefahaman, keamanan sejagat, dan kerjasama strategik ABIM meneruskan usaha membina hubungan baik dengan kedutaan-kedutaan asing yang signifikan di Malaysia merangkumi Kedutaan dan Pesuruhjaya Tinggi Amerika Syarikat, Arab Saudi, Mesir, Pakistan, Singapura, Britain dan Turki dengan menghadiri acara-acara rasmi anjuran Kedutaan dan Pesuruhjaya Tinggi tersebut. Kerana kemunculan agresif ini, maka ABIM telah dilantik menjadi Organisasi Rujukan untuk Malaysia dalam International Federation of ISESCO Clubs, Centers and Organizations Berpusat di Senegal dan Pengerusi Universal Justice Network (UJN) Malaysia yang berpengkalan di London. ABIM juga memimpin usaha-usaha advokasi secara konsisten membela nasib umat seperti Kempen Save Syria, Freedom for Hunger (Isu mogok lapar tahanan Palestin di penjara Israel), Citizenship for Rohingya, No War and No Sanction to Iran dan Kempen Pembebasan Pimpinan Jamaati Islami Bangladesh. Melalui Global Peace Mission (GPM) Malaysia, ABIM meneruskan kerja-kerja bantuan kemanusiaan ke negara-negara bergolak dan dilanda bencana seperti Syria, Myanmar, Palestin dan Filipina.
The Way Forward: Kepimpinan ABIM masa kini telah menjadikan agenda antarabangsa sebagai agenda utama pada sesi kali ini. Justeru strategi dan pelan jangka panjang harus digariskan dan digagaskan kepada para aktivis ABIM bagi memastikan kesinambungan kegemilangan ABIM di pentas antarabangsa. Oleh itu, strategi dan pendekatan bertemakan Merakyatkan Isu Antarabangsa dan Mengantarabangsakan Isu Umat seperti berikut harus dipertimbangkan oleh semua pendokong gerakan: 1.) Luar Negara: • Mempertingkatkan peranan aktif ABIM dalam Union of Ngos in the Islamic World (UNIW) sebagai platform utama bagi mewujudkan perpaduan dan solidariti yang jitu di kalangan Ngo Islam sedunia. • Mengeratkan jaringan dan mempelbagaikan hubungan dengan badan-badan Islam mahupun bukan Islam khususnya di rantau Amerika Latin dan Middle East & North Africa (MENA) yang baru dibebaskan daripada belenggu autokrasi seperti Ikwanul Muslimin, An Nahdah dan Harakat at-Tauhid wal Islah. • Memperjuangkan isu-isu antarabangsa melalui tema-tema universal seperti hak asasi manusia, alam sekitar, keamanan, kesukarelawanan, keadilan sosial, dialog peradaban, ekonomi Islam dan kemanusiaan yang menjadi intipati ajaran utama Islam. 2.) Dalaman : • Memperkukuhkan Majlis Antarabangsa Jamaah (WADAH-ABIM-PKPIM) dalam memantapkan hala tuju dan agenda antarabangsa jamaah. • Meneruskan siri bengkal-bengkel kefahaman isu-isu antarabangsa bagi melatih aktivis muda ABIM memahami isu sekaligus mempunyai skil yang berkesan bagi mengadvokasi dan mencari penyelesaian kepada isu tersebut. • Memasyarakatkan isu-isu antarabangsa ke peringkat umbi melalui masjid-masjid, kampus-kampus dan sekolah-sekolah bagi memberikan kesedaran menyeluruh kepada masyarakat awam. • Melibatkan ABIM-ABIM Negeri untuk turut serta berpartisipasi secara aktif dalam menangani isu-isu antarabangsa dengan mewujudkan biro khas antarabangsa dalam saf qiyadah negeri. • MENA Regional Desk of ABIM harus terus memantau secara dekat dan menganalisa perkembangan rantau MENA yang menjadi faktor kebangkitan semula Islam dan pembebasan al-Quds. • Memperkukuhkan peranan dan keaktifan enjin-enjin biro antarabangsa ABIM seperti Global Peace Mission (GPM) Malaysia, Grup Penjejak Tamadun Dunia (GPTD), Young Interfaith Group of ABIM (YIGA), Sekolah Pembangunan Kerja Belia dan Komuniti (SPKB), Grup Peguam ABIM (GPA), Grup Alam Sekitar (GAS) ABIM, dan lain-lain bagi memperkukuhkan peranan ABIM di persada antarabangsa. Rujukan: 1.) Artikel ABIM dan Persoalan Antarabangsa dalam Buku Pendirian Politik ABIM, Anuar Tahir, 1993, Terbitan ABIM. 2.) The Politics of Islamic Identity in Southeast Asia, Syed Serajul Islam, 2005, Terbitan Thomson Learning. 3.) JUST Commentary 4.) http://gptd-spain.blogspot.com

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Heya i'm for the primary time here. I found this board and I in finding It truly useful & it helped me out a lot. I am hoping to provide something again and help others such as you helped me.

My website: Psn Code Generator