Rayuan untuk Syria

Rayuan untuk Syria

Sabtu, Ogos 03, 2013

DEMONSTRASI TAKSIM SQUARE, SUATU MIMPI NGERI BUAT ERDOGAN?

DEMONSTRASI TAKSIM SQUARE, SUATU MIMPI NGERI BUAT ERDOGAN?
Oleh: Jufitri bin Joha
Naib Presiden Antarabangsa ABIM

SUMBER : MAJALAH AL ISLAM SEPTEMBER 2013


Awal Jun yang lalu, dunia tiba-tiba digemparkan dengan perkembangan yang berlaku di Turki di mana sekelompok rakyat Turki di kalangan 4 orang grup environmentalis bangkit berdemonstarasi membantah tindakan Kerajaan Turki di bawah kepimpinan Recep Tayyip Erdogan membina kompleks membeli belah di Gezi Park di Dataran Taksim atas alasan pembangunan ini memusnahkan kawasan kehijauan Gezi Park dengan memotong pokok-pokok yang berjumlah sekitar 12 batang bagi tujuan permulaaan kerja-kerja pembinaan. Projek yang didakwa untuk membina kompleks membeli belah yang dikhabarkan sudah pun mendapat kelulusan daripada pihak Kerajaan Tempatan Istanbul namun ia tetap mendapat tentangan sehingga pihak pembangkang sekular dan berhaluan kiri telah memanipulasi keadaan menyebabkan demonstrasi telah bertambah saiz pesertanya daripada semasa ke semasa dan merebak ke beberapa bandar penting di Turki. Pihak tersebut juga telah pun merancang untuk mengadakan demonstrasi dalam saiz dan jumlah yang lebih besar lagi.

Fakta Sebenar


Menurut kenyataan rasmi Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) yang berpusat di Ankara, keputusan untuk Projek Gezi Park di Taksim Square telah diputuskan secara bersama oleh anggota majlis yang mewakili pelbagai parti beberapa bulan lalu pada peringkat kerajaan tempatan Istanbul di mana ia juga menjadi sebahagian daripada manifesto AKP pada Pilihanraya Umum 2011. Ini bermakna dengan kemenangan gemilang AKP pada 2011 itu, bermakna sebahagian besar rakyat Turki menerima baik perlaksanaan projek ini. Projek ini meliputi pembinaan tempat pejalan kaki (pedestrian) dan pembinaan semula Topcu Kislasi (1780) iaitu berek atau kediaman tentera empayar Turki Uthmaniyyah yang telah diruntuhkan pada 1940 oleh Datuk Bandar Istanbul daripada parti sekular CHP iaitu Lutfi Kirdar. AKP menegaskan bahawa projek ini tidak akan mengurangkan kawasan hijau bahkan ia akan ditingkatkan dan pokok-pokok tidak akan ditebang terus cuma dipindahkan sahaja di kawasan sekitar Taksim Square. Sebagai pembetulan fakta, tiada langsung cadangan untuk pembinaan kompleks membeli belah seperti yang didakwa dan ianya sudah ditegaskan banyak kali oleh Erdogan dalam beberapa pertemuan dan majlis.

Protes yang mulakan oleh grup pertama iaitu grup enviromentalis ini turut dimanipulasi oleh grup kedua di kalangan pihak pembangkang bagi menukar ia kepada ‘idelogical protest’ atau penentangan terbuka kepada Erdogan dan AKP. Erdogan mengiktiraf hak grup pertama untuk menyatakan protes aman bahkan pihak Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri Turki mengesahkan hak rakyat Turki untuk berhimpun dan memprotes secara aman.

Grup pertama yang ‘genuine’ ini juga turut merangkumi kelompok pengundi yang kecewa dan ‘dinafikan’ hak kehidupan sosial peribadi mereka setelah AKP yang berbasis Islam memang dalam 3 pilihanraya berturut-turut. Menurut Koresponden Biro Antarabangsa ABIM di Turki, saudara Syafiq Shafii berkenaan grup pertama yang kecewa ini,

“Di antara sebab utama protes adalah dengan lulusnya rang undang-undang baru ini di Parlimen Turki berkuatkuasa minggu lepas. Undang-undang alkohol dan penguguran anak ini dilihat sebagai menyekat kebebasan dan sebagai satu proses Islamisasi Turki. Pengharaman pengguguran anak telah menaikkan kemarahan sebilangan rakyat Turki yang mengamalkan seks bebas. Undang-undang alkohol yang baru telah menetapkan larangan meminum minuman keras di di sekitar 100 meter kawasan sekolah dan masjid, dilarang menjual arak daripada pukul 10 malam hingga 6 pagi, pembatasan iklan arak di media dan cerita yang mengandungi arak akan dikaburkan”.

Menurut sumber AKP, grup pertama dan kecewa sedang didekati oleh pihak Kerajaan Turki bagi berbincang dan mencari jalan penyelesai kepada kehidupan sosial peribadi mereka. Kehidupan ala barat diyakini adalah kesan daripada kehidupan bebas , dan liberal yang digalakkan oleh pemerintah Parti Rakyat Republikan (CHP) yang diasaskan Mustapa Kamal Attaturk yang telah berakar umbi semenjak puluhan tahun sebelum AKP berkuasa.

Manakala grup kedua yang terdiri daripada gabungan haluan kiri, Marxist-Lennist, nasionalis dan sekularis inilah yang bertanggungjawab mencetuskan huru hara dengan memanipulasi keadaan protes aman ini. Grup kedua ini juga merangkumi grup radikal yang popular seperti Parti Komunis Turki (TKP) dan pertubuhan kiri yang diharamkan DHKPC yang telah bertanggungjawab mengebom kedutaan Amerika pada awal Februari lepas. Mereka juga menyerang dan membakar bangunan-bangunan, kereta polis, bas media, kedai-kedai bahkan sekitar 100 batang pokok-pokok yang menyanggahi dakwaan tujuan asal mereka berdemo untuk mempertahankan alam sekitar. Walaupun mahkamah telah memutuskan menghentikan sementara projek yang mendapat bantahan ini dan polis Istanbul telah memutuskan untuk berundur dari Taksim Square serta ditambah dengan permohonan maaf Erdogan terhadap tindakan keterlaluan pihak Polis namun grup kedua ini masih terus menerus mengadakan demonstrasi bantahan besar besaran. Di sini jelas kelihatan pihak yang menangguk di air yang keruh dengan mengambil peluang menjatuhkan Erdogan melalui pilihan jalan raya kerana mereka gagal menumbangkan AKP dalam pilihanraya yang sah kerana AKP terus mendapat sokongan rakyat Turki dan terbaru pilihanraya 2011, AKP mendapat 49.9% undi dengan 326 kerusi parlimen daripada 550 kerusi keselurahan.
Media utama barat cuba memperbesar-besar liputan mereka terhadap demostransi ini seolah-olah protes ditunjangi oleh keseluruhan rakyat Turki. Namun yang pasti grup Islamis dan majoriti tidak bersama dengan para pendemostran. Media barat seperti mempunyai agenda tersendiri untuk memburukkan rekod cemerlang Erdogan di mata dunia.

Turkish Summer?


Seperti yang disebut, pihak pembangkang yang menjadi dalang utama cuba untuk menukar protes aman kepada Turkish Summer dengan memanipulasi idea dan konsep gerakan Arab Spring yang menumbangkan pemerintah-pemerintah autokratik Arab. Ia sudah jelas tidak menepati konsep Arab Spring yang berpunca daripada kediktataron pemerintah Arab; ekonomi yang lemah; dan korupsi serta salah guna kuasa yang berleluasa. Secara fakta Erdogan dan AKP berjaya mentransformasi ekonomi Turki. Zirulnick seorang penulis memerihalkan kehebatan pelan ekonomi Erdogan,
“Di bawah kepimpinan Erdogan, keluaran perkapita ekonomi Turki telah meningkat tiga kali ganda dan Turki telah membida secara serius untuk menyertai Kesatuan Eropah (EU). Agenda beliau yang pro kepada bisnes menyebabkan Turki tidak terkesan langsung dengan krisis kewangan global yang menghantui Eropah. Pada 2010, Turki merupakan salah sebuah Negara yang berada di kedudukan utama dalam kadar pertumbuhan ekonomi dunia”

Zirulnick turut menambah bahawa kadar inflasi Turki dan defisit bajet yang rendah. Turki adalah ekonomi ke-16 terbesar di dunia dan dijangka menjadi ‘top ten’ menjelang 2023.
Mr. Egemen Bagis, Menteri EU Turki menyimpulkan formula kejayaan AKP membangunkan Turki sebagai “affection” atau dalam erti kata lain “caring about people”. Selain pemugaran demokrasi, pembasmian kemiskinan dan memerangi rasuah, keutamaan AKP ialah untuk memberikan kemudahan kepada rakyatnya. Menurut Egemen, semenjak AKP mengambil alih pemerintahan pada 2003, mereka telah membina 16 500 km jalan-jalan baru berbanding ketika orde lama memerintah dari 1923 sehingga 2002, mereka sekadar mampu membina hanya 6 100 km jalan-jalan baru. Pembinaan hospital-hospital, sekolah-sekolah dan lapangan-lapangan terbang telah meningkat tiga kali ganda sepanjang 9 tahun pemerintahan AKP. Model dan pendekatan baru ekonomi Turki yang dipimpin Erdogan dengan tata kelola kerajaan yang baik (good governance).

Demokrasi juga subur di Turki bahkan AKP menyeru pihak pembangkang yang tidak bersetuju dengan mereka agar menghentikan manipulasi protes dan menggunakan saluran demokrasi yang sah dalam pilihanraya Presiden dan Kerajaan Tempatan 2013 dan pilihanraya Parlimen 2015 untuk mengundi parti selain AKP. Ini amat jelas tersasar jika ada pihak yang cuba mengaitkan demonstrasi Turkish Summer ini dengan Arab Spring kerana perubahan ‘reform’ yang dimaksudkan itu telah berlaku semenjak 2002 lagi ketika kemenangan pertama AKP. Ternyata demonstrasi ini bukanlah suatu mimpi ngeri untuk Erdogan.

Erdogan Pemimpin Umat


Erdogan merupakan pemimpin harapan dunia Islam, sudah jelas peranan Erdogan membebaskan umat Islam Turki daripada cengkeman sekular dan membangunkan Turki selaras dengan arus kemodenan. Erdogan juga bukan sahaja jaguh kampung bahkan beliau menzahirkan pembelaan pada dunia Islam termasuk membela nasib umat Islam Palestin, Syria Rohingya dan Somalia.

Walaupun begitu Erdogan tetap seorang manusia dan melakukan kesilapan, mungkin protes aman oleh grup pertama memberikan pengajaran kepada Erdogan agar lebih mendengar suara rakyat dan mengurangkan elemen-elemen yang membawa kepada imej kesombongan. Sifat merendah hati dan mengakui kesiapan secara terbuka tidak akan menjatuhkan kredibiliti seseorang pemimpin bahkan ia menaikkan darjat dan kemuliaan.

Namun begitu umat Islam seluruh dunia harus bersatu mempertahankan Erdogan kerana beliau merupakan pemimpin dunia Islam setakat ini berjaya membawa imej positif dalam dunia yang dinominasi oleh Barat.

Atas sumbangan dan rekod cemerlang Erdogan untuk umat, justeru amat wajar dunia Islam menyatakan sokongan terbuka kepada Erdogan dan mempertahankan beliau atas segala tohmahan yang sengaja ingin menjatuhkan imej seorang pemimpin umat yang berjasa dalam dunia Islam.

Tiada ulasan: