Oleh: Jufitri bin Joha
Naib Presiden Antarabangsa ABIM
Sumber: Majalah Al Islam Oktober 2013 / Zulhijjah 1434 H
Ketika ini, sedang hangat diperkatakan dan diperdebatkan isu Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang melibatkan Malaysia dan 10 buah Negara yang lain. Kalau dulu Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) bersifat dua hala atau bilateral hanya di antara Malaysia dan Amerika namun sekarang ia melibatkan multi-lateral.
Selepas kegagalan mencapai kata sepakat dalam rundingan FTA, Malaysia dan Amerika kelihatan mencuba nasib semula dalam TPPA. Menyorot sekali imbas FTA di antara Malaysia dan Amerika pada 2005 adalah amat penting bagi memahami TPPA dan kesannya. Bayangkan jika perjanjian bilateral sudah memberikan kesan yang besar kepada masa depan negara apatah lagi jika perjanjian tersebut bersifat multi-lateral yag melibatkan 11 buah Negara dan beberapa Negara maju seperti TPPA.
FTA Malaysia-Amerika adalah satu perjanjian perdagangan bagi meliberalisasikan pasaran di antara kedua-dua Negara yang berjanji. Pada ketika itu Malaysia merupakan rakan dagang ke 10 terbesar Amerika manakala Amerika rakan dagang utama Malaysia. Rundingan yang berlangsung selama beberapa siri ini bertujuan menggalakkan pelaburan asing masuk ke Malaysia khususnya dari Amerika yang akhirnya diyakini dapat merancakkan ekonomi domestik dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan. Pada satu ketika di akhir pemerintahan Bush, rundingan FTA cuba dipercepatkan untuk dimuktamadkan segera melalui negosiasi ‘fast track’ iaitu satu keistimewaan yang diberikan Kongres Amerika di bawah peruntukan Trade Promotion Authority kepada Presiden Bush yang hampir tamat tempoh jawatannya. Oleh kerana kekangan masa dan rundingan yang kompleks, rakyat Malaysia mampu menghela nafas lega kerana ianya gagal dimuktamadkan. Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri ketika itu dengan tegas memutuskan untuk tidak menandatangani FTA berdasarkan 58 Garis Merah berkaitan kepentingan negara yang tidak boleh dikompromi melalui perjanjian ini.
Selain itu faktor desakan pertubuhan masyarakat sivil seperti Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Third World Network (TWN) ABIM dan Ngo-ngo lain yang prihatin supaya rundingan dihentikan menyebabkan pihak Kerajaan mengambil keputusan menilai semula isi perjanjian dan menghentikan seketika rundingan. Namun akhirnya rundingan tersebut gagal dimuktamadkan apabila berakhir penggal pemerintahan Bush.
Antara isu yang menjadi keprihatinan masyarakat Malaysia berkaitan rundingan ini ialah perolehan kerajaan atau government procurement, kesan langsung kepada industri kecil yang terpaksa bersaing dengan syarikat-syarikat gergasi Amerika, hak harta intelek, akses kepada ubat-ubatan yang dikhuatiri bakal menjadi mahal di bawah FTA dan pelbagai lagi isu yang sukar dirungkai dan memberikan kesan negatif kepada rakyat Malaysia.
Setalah beberapa ketika FTA menyepi kini kini ianya muncul semula dalam bentuk penampilan yang baru namun masih membawa falsafah lama melalui TPPA. Menurut sumber Utusan Pengguna keluaran Julai-Ogos 2013, TPPA jelas mengambil contoh teks Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Syarikat (USFTA) yang digunakan semasa rundingan bilateral atau dua hala antara Amerika dengan Negara-negara lain termasuk dengan Malaysia. Amerika mempunyai pencontoh yang kuat dan mungkin hanya 5% daripada teks FTA yang dicadangkan boleh diubah. Negara-negara yang sebelum ini berunding dengan Amerika mendapati isi perjanjian dalam teks FTA tersebut tidak fleksibel dan tidak sesuai dengan kepentingan Negara mereka lalu mereka bertindak menarik diri daripada rundingan. Sebagai rekod, daripada 63 buah Negara yang ‘terjebak’ mengadakan rundingan FTA. 43 negara telah menarik diri.
TPPA mendapat reaksi yang rencam daripada pelbagai pihak namun kebanyakkan menjurus kepada penolakan kepada pembabitan Malaysia dalam rundingan yang dipercayai didominasi oleh Amerika Syarikat yang mempunyai agenda tersendiri. Walaupun Kerajaan berkali-kali meyakinkan rakyat Malaysia bahawa rundingan adalah dengan mengambil kira dan meletakkan kepentingan dan kedaulatan Negara di atas namun ianya kelihatan gagal ‘menenangkan’ pihak-pihak pemegang taruh dan masyarakat madani Malaysia. Walaupun Kerajaan menyatakan TPPA membawa banyak manfaat kepada Malaysia khususnya kepada ekonomi dan sektor pelaburan namun tidak kurang juga yang sinis dengan mempersoalkan manfaat TPPA yang hanya akan pergi kepada sekelompok elit perniagaan dan tidak kepada masyarakat marhaen terbanyak. Mereka melabelkan TPPA sebagai penjajahan korporat atau ‘corporate colonisation’ yang sinonim dengan budaya kapitalis yang hanya mementingkan keuntungan dan kekuasaan tanpa sedikit pun peduli akan kesan langsung khususnya kepada alam sekitar dan sektor kesihatan. Sang koporat kapitalis ini juga tidak akan peduli dengan hak-hak kelompok bawahan khususnya yang terkesan langsung dengan TPPA mahupun FTA seperti hak para pekerja, pesakit dan pengguna internet.
TPPA juga mengundang keresahan masyarakat Malaysia kerana kandungan rundingan tidak didedahkan. Masyarakat tertanya-tanya perkara yang dirundingkan kerana ia melibatkan masa hadapan mereka sendiri. Mereka berhak mengetahuinya dan perkara terbaik untuk merungkai isu ini ialah dengan membawa perkara ini ke Parlimen untuk dibahasakan oleh wakil-wakil rakyat di samping diadakan konsultasi khas bersama pertubuhan masyarakat madani seperti mana yang dilakukan dalam rundingan Universal Periodic Review (UPR) yang diusahakan oleh Wisma Putra. UPR merupakan laporan berkenaan hak asasi manusia yang disediakan oleh Wisma Putra untuk dinilai setiap 3 tahun sekali oleh Majlis Hak Asasi Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB). Dalam peraturan TPPA, masyarakat Malaysia dan masyarakat Negara-negara yang terlibat hanya dapat melihat isi kandungan keseluruhan dan terperinci selepas 4 tahun ia ditandatangani. Ini meresahkan lagi masyarakat Malaysia dan ditambah pula pengumuman yang dibuat oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa (MITI) baru-baru bahawa analisis cost benefit TPPA turut tidak dapat didedahkan kerana menghormati syarat yang telah ditetapkan semasa rundingan TPPA.
Tidak kurang juga ada suara yang mempertahankan tindakan Kerajaan atas alasan tidak masuk akal jika Kerajaan akan membiarkan Negara tergadai. Sudah tentu Kerajaan akan meletakkan kepentingan Negara mengatasi segala-galanya. Selain itu, MITI turut meminta pertubuhan masyarakat madani membuat ‘Red Lines’ agar pihak Kerajaan mempunyai panduan dan sempadan sebagai tanda aras untuk menentukan sama ada Malaysia akan menerus menandatangani TPPA ini.
Secara ringkas TPPA, walaupun mempunyai faedah-faedah yang positif namun bagi pandangan penulis TPPA mempunyai kesan-kesan negatif mengatasi faedah-faedah tersebut. Paling membimbangkan ialah kesan jangka panjang TPPA yang sukar diramal dan dikawal dengan sistem yang agak liberal dan terbuka.
Ramai pihak mendedahkan kesan-kesan negatif TPPA terhadap sektor dan kepentingan masing-masing. Namun di kesempatan ini, penulis berhasrat berkongsi kesan TPPA kepada generasi muda memandangkan penulis merupakan pemimpin belia dan masih berada di kelompok umur belia. TPPA secara umum mendatangkan sekurang-kurangnya tiga kesan kepada generasi muda.
Kesan pertama ialah akses kepada dunia ilmu dan pendidikan yang akan semakin dikomersialkan, impaknya sektor ini akan menjadi semakin mahal andainya bab hak harta intelek atau intellectual property rights (IPR) tidak berjaya ditangani dengan baik. Isu hak cipta atau copyrights khususnya berkaitan pembelian jurnal ilmiah secara ‘online’ turut akan memberikan kesan langsung kepada mahasiswa. Antara cadangan dalam TPPA ialah penetapan tempoh akses dalam mana-mana jurnal berkaitan. Sebagai contoh, jika satu satu jurnal itu dtempah untuk digunakan sebanyak 10 kali sahaja, andai mahu diakses buat kali ke-11, ia sudah tidak dibenarkan dan pengguna harus subscribe lagi. Ini sudah tentu menambahkan beban di pihak pengguna dan terus menguntungkan pihak korporat.
Kesan kedua pula ialah berkaitan belia dan dunia perniagan. Persaingan yang tinggi dalam bidang keusahawanan di kalangan belia akan memberi tekanan kerana TPPA melibatkan dasar liberalisasi ekonomi yang akan memberi ruang dan peluang kepada para pelabur luar Negara yang bermodal besar untuk bersaing dengan para usahawan tempatan baik yang muda dan profesional. Berkenaan dengan tenaga mahir juga menjadi cabaran khususnya bagi lepasan graduan universiti kerana mereka sudah tentu akan bersaing sengit dengan tenaga kerja luar yang lebih berpengalaman dan lebih murah kos upah atau gajinya.
Kesan terakhir ialah berkaitan belia dan budaya. Globalisasi adalah dunia tanpa sempadan yang akan membawa masuk budaya luar secara tidak langsung. Namun dengan kehadiran TPPA akan mengabsahkan usaha pembawaan masuk budaya asing yang sekiranya ditentang, berpotensi memberi kesan buruk kepada Kerajaan Malaysia seperti kemungkinan di saman oleh syarikat pengendalian acara yang menganjurkan konsert konsert hiburan melampau sebagai contoh. Tanpa TPPA sudah pun memberikan kesan negatif yang banyak, tidak dapat dibayangkan jika TPPA ditandantangani, maka ia lebih merumitkan. Ini jelas merupakan agenda deIslamisasi yang tersembunyi bakal mengundang malapetaka kepada akhlak dan moral generasi muda.
Walaupun TPPA tidak dinafikan mempunyai faedah kepada pembangunan ekonomi Negara, namun kesan-kesan negatif jelas kelihatan dan membimbangkan. Marilah sama-sama kita sokong dan dokong kempen tak nak kepada TPPA demi melihat masa depan Malaysia dan generasi muda yang lebih terjamin. Zahirkan bantahan anda di https://www.facebook.com/bantahtppa
Tiada ulasan:
Catat Ulasan