Rayuan untuk Syria
Jumaat, Disember 27, 2013
Berpetualang ke Jordan
Ini kunjungan kedua saya ke Jordan dalam tempoh 3 bulan. Di samping tujuan utama menyampaikan bantuan rakyat Malaysia pada pelarian Syria, saya mengambil kesempatan untuk menemui dan ditemui pelajar Malaysia di sana. Juga menziarahi tokoh-tokoh ilmuwan dan cendekiawan Islam seperti Dr. Mahmud Rusydan, Dr. Amin al Btoosh dan Dr. Muhammad Saed Hawwa (anak as Syahid Saed Hawwa).
Saya dapati Jordan merupakan tempat yang subur untuk melahirkan pemuka-pemuka ilmu dan pejuang-pejuang ummah. Hampir kebanyakkan tokoh agamawan kotemporari Malaysia yang bermanhaj ‘I’tidal’ dan ‘insaf’ lahir di sini. Saya amat menyenangi mereka. Saya juga turut berbahagia melihat peranan dan sumbangan besar pelajar Malaysia dalam membantu pelarian Syria yang dipelopori oleh anak muda seperti Musa Nuwayri (Tangisan Syria di Bumi Jordan) di Mafraq dan Hazmi ad Dimasyqi di Mu’tah yang sempat saya ziarahi. Saya yakin ramai lagi pelajar Malaysia yang membantu. Mereka pasti akan diingati oleh penduduk Syria seperti mana yang dilakukan oleh generasi 'awwalin' pelajar Malaysia di bumi United Kingdom (UK) ketika menyebarkan dakwah ke serata UK sekitar tahun 70an.
Saya amat sedar ramai pelajar cerdik dan pelbagai aliran fahaman di sini yang harus disantuni menyebabkan saya terasa kerdil dan tidak berilmu apabila menyampaikan ceramah atas kendalian pelajar di sana. Ini ternyata melalui soalan-soalan ‘killer’ yang ditanya seusai sesi penrkongsian. Rasa bertuah dapat berkenalan dan memperkayakan jaringan dakwah dan ummah pada masa hadapan. Cuma saya mahu berkongsi sebahagian isi ceramah yang saya sampaikan di Irbid khususnya dalam menggalakkan pelajar berfikir dan menyumbang pemikiran kepada pembangunan belia, Negara dan masyarakat. Di Irbid saya kongsikan tajuk ‘Generasi Muda dan Cabaran 2030’, mengajak mereka memikirkan masa depan.
Menurut Dr. Rumaizuddin Ghazali (2012), pendakwah harus berpandangan jauh dan bervisi yang distilahkan sebagai 'al-fikr al-mustaqbal' atau 'foresight thinking'. Menurut beliau lagi, pandangan masa depan akan terhasil apabila digabungkan aspek realiti semasa dengan realiti masa silam dengan membuat analisis yang sistematik. Pendakwah kini harus mempunyai pandangan akal yang bernas dan tajam seperti mana yang dimiliki almarhum Sheikh Muhammad al-Ghazali, tokoh pemikir Mesir. Pertama kali saya bertatapan wajah dengan almarhum ketika mendengar syarahan almarhum tahun 1995 iaitu ketika saya di tingkatan 4, Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP) Kajang. Ketika itu almarhum menjadi tetamu Kerajaan Malaysia dan syarahan dianjurkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Malaysia. Hebat KBS masa tu, tengoklah siapa TPM masa tu. Almarhum mempunyai buku-buku seperti 'Da’wah al-Islamiyyah Tastaqbal al-Qarnil-Khamis ‘Ashar' dan 'Mustaqbal al-Islam Kharij ‘Ardih' yang membawa pembaca ke dunia masa hadapan bagi mencari formula untuk umat kembali di bahagian atas putaran roda perjuangan.
Selain 'foresight thinking', ada beberapa 'style' pemikiran yang perlu untuk memantapkan lagi pemikiran seorang pendakwah dan agamawan. Antara lain 'generative thinking, big picture thinking, breakthrough thinking, creative & innovative thinking, strategic thinking dan lateral thinking'.
'Foresight thinking' adalah pemikiran menjangkakan senario masa hadapan berdasarkan trend trend terkini yang berlaku sekarang. Dengan jangkaan ini, maka kita akan dapat merangka pelan intervensi dan pembangunan jangka panjang bagi menjadikan masa depan semakin baik. Dengan pemikiran ini kita dapat menjangkakan masa depan melalui beberapa 'drivers of change' utama seperti sistem politik, belia, ilmu & pendidikan, agama & nilai dan ekonomi.
'Generative thinking' adalah pemikiran yang menghasilkan penyelesaian. Kita tidak mahu pemikiran yang hanya sekadar bersifat 'an intellectual exercise' yang tidak berpijak di bumi nyata tetapi menyelesaikan konflik dan permasalahan umat khususnya pasca dunia 'Arab Spring'. 'Generative thinking' amat diperlukan ketika saat umat dilanda pelbagai kemelut dan konflik.
'Big picture thinking' adalah satu pemikiran yang juga penting bagi kita untuk melihat sesuatu perkara secara luas atau 'kaffah'. Dalam erti kata lain, pendakwah atau agamawan harus mempunyai pandangan sarwa atau 'worldview' yang jelas tentang Islam dan permasalahan semasa. Menurut Dato’ Dr. Siddiq Fadzil (2010), yang dimaksudkan dengan 'worldview' itu ialah cara bagaimana kita melihat, menanggapi dan mempersepsikan segala sesuatu (how we look at things). Gaya pemikiran ini penting bagi menghasilkan natijah dan penyelasaian masalah umat kerana kejelasan kepada senario keseluruhan dalam mencari ‘root cause’ sebenar permasalahan.
'Breakthrough thinking' adalah pemikiran yang memberikan kesan besar dan faktor ‘wow’ yang merubah landskap masyarakat. Kesannya pastinya akan diingati oleh sejarawan dan membawa perubahan besar dan mencelikkan mata umat untuk bergerak ke arah yang lebih baik.
'Creative & innovative thinking' adalah pemikiran biasa yang kita dengar dan ia amat penting pada kita. Kurangnya style pemikiran menyebabkan kita gagal menyantuni generasi muda dengan pendekatan dan produk dakwah yang lebih segar, berilmu, menarik, cool dan happening. Kegagalan untuk berfikir gaya ini akan menyebabkan kita ketinggalan zaman dan tidak releven.
'Strategic thinking' tanpa perlu mendefinisikannya, saya terus memberikan contoh ala 'socratic dialogue' agar pembaca sendiri mendefinisikannya iaitu bagaimana Profesor Dr. Osman Bakar (sekarang Pengarah Pusat Islam Sultan Omar Ali Shaifuddin, Universiti Brunei Darussalam) berfikiran strategik dengan menganjurkan dan memperluaskan Dialog Islam Konfusionisme bagi menggalakkan orang Cina Malaysia terus berpegang dan berbangga kepada agama nenek moyang mereka ini berbanding menganut Kristian. Ini pemikiran strategik di sebalik penganjuran dialog untuk memperlahankan arus orang Cina untuk memeluk Kristian. Ini berfikir di luar kebiasaan namanya!
'Lateral thinking' satu lagi gaya pemikiran yang saya terlupa untuk kongsikan. Menurut Jaafar Rahim (2012) ketika memetik takrifan pemikiran lateral daripada 'Oxford English Dictionary' menyebut, “Satu cara pemikiran yang mencari penyelesaian terhadap masalah-masalah yang rumit melalui cara yang tidak ortodoks atau unsur yang biasa tidak dipedulikan oleh pemikiran secara logik”. Abang Jaafar yang saya kenali secara peribadi, merumuskan pemikiran ini bermakna berfikir di luar kebiasaan, pemanfaatan alternatif, pemanfaatan peluang, pencarian kelainan, peluasan idea, pergerakan idea, provokasi idea, perubahan idea, pembaharuan idea dan kesediaan untuk berbeza.
Sesungguhnya berfikir adalah satu proses berterusan dan amat quranik sifatnya. Pemikir-pemikir umat dengan karya-karya segar dan futuristik amat diperlukan bagi mengimbangi keaktifan pemikir barat seperti Alvin Tofler, John Naisbitt dan rakan-rakan.
Kunjungan ke Jordan melabuhkan tirai dengan kunjungan ke Markaz 'International Institute of Islamic Thought' (IIIT) Jordan dan saya berborak lama dengan Dr. Fathi Malkawi bagi merangka pelan pemikir muda masa depan.
Rujukan:
Jaafar Abd Rahim (2012) Aksioma, Penerbit DBP, Kuala Lumpur.
Mohd Rumaizuddin Ghazali (2012) Pemikiran Muhammad al-Ghazali Dalam Bidang al-Quran dan al-Sunnah, Penerbit USIM, Nilai.
Siddiq Fadzil (2010) Makalah Melayu: Jati Diri Keagamaan dan Kebudayaannya, Madaniyat, Akademi Kajian Ketamadunan Kajang.
Yusuf al-Qaradhawi (2009) al-Aql wa al-Ilmu fi al-Quran al-Karim, Wahbah Publisher, Kaherah.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan