Rayuan untuk Syria

Rayuan untuk Syria

Isnin, Disember 30, 2013

Misi Kemanusiaan Syria di Jordan & Iran’s ‘Foreign Legion’

Oleh : Jufitri bin Joha
Pengerusi Malaysia Life Line for Syria (MLL4S)


Ini kali kedua saya ke Jordan dalam tempoh 3 bulan tahun 2013 di atas banner Malaysia Life Line for Syria (MLL4S). Ia merupakan misi untuk menyampaikan bantuan musim sejuk kepada pelarian Syria yang bertebaran sekitar Jordan termasuk Irbid, Mafraq, Amman dan Mu’tah. Sebahagian besar pelarian Syria ditempatkan di kem-kem besar di Za’tari Camp, Emirates Camp, City Centre Camp dan King Abdullah Camp. Tidak kurang juga yang bertebaran di luar kem-kem besar membina khemah-khemah ‘swasta’ sendiri kerana tidak tahan berada dalam kem-kem utama atas pelbagai faktor termasuk kesesakan dan keselamatan.


Rakyat Syria terpaksa lari dari tanahair sendiri akibat dilanda peperangan saudara yang berlarutan semenjak 2011. Ia merupakan perang proksi tempat di mana kuasa kuasa besar beradu kekuatan untuk mempertahankan kawasan jajahan pengaruh. Rakyat Syria terpaksa lari ke Negara jiran khususnya Jordan, Lubnan, Turki dan Iraq untuk mencari perlindungan dan kehidupan baru. Ada yang turut lari sejauh ke Malaysia bagi tujuan yang sama. Kebanjiran pelarian Syria ke Jordan juga menyebabkan rakyat Jordan yang miskin terus menjadi lebih miskin kerana kos hidup yang meningkat. Ini disebabkan sesetengah pihak mengambil kesempatan sebagai contoh menaikkan sewa rumah kerana pihak penaja pelarian Syria seperti Arab Saudi sanggup untuk membayar sewa rumah untuk pelarian Syria. Justeru tuan sewa rumah sanggup menghalau rakyat Jordan yang miskin termasuk pelajar Malaysia semata-mata mahu menerima bayaran sewa lumayan dengan kemasukan pelarian Syria beserta tajaan. Ini senario yang berlaku di Jordan namun rakyat Syria tiada pilihan begitu juga rakyat termiskin Jordan terpaksa berkongsi beban bersama.

Ini juga merupakan musim sejuk tahun ketiga yang terpaksa dihadapi mereka semenjak. Suhu yang jatuh ke paras negatif dengan turunnya salji memeritkan lagi penderitaan yang sudah lagi tidak tertanggung. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Penderitaan mereka disaksikan oleh mata saya sendiri. Mereka terpaksa berjalan ratusan kilometer untuk mencari perlindungan dan kehidupan baru yang belum tentu menjanjikan sinar yang cerah. Berada di tengah kesejukan negatif satu cabaran yang tidak terbayang tanpa pemanas, selimut tebal dan kopi buat pemanas badan. Sahabat saya Hazmi yang menjadi ‘mutawwif’ kami sepanjang kerberadaan kami di Jordan berhasrat dan mengajak kami untuk bermalam di khemah pelarian tanpa sobah (pemanas) dan hirom (selimut) semata-mata bagi merasai keperitan dan kesengsaraan pelarian Syria yang seaqidah dengan kita semua.


Melalui perbualan saya dan ramah mesra saya dengan Dato’ Abdul Malek bin Abdul Aziz, Duta Malaysia di Jordan, bilangan pelarian Syria yang berdaftar di Jordan sudah mencecah 600 000 jiwa dan jika digabungkan dengan yang tidak berdaftar dianggarkan mencecah 1.2 juta jiwa. Ini bermakna 1/6 daripada penduduk Jordan adalah pelarian Syria. Dato’ Duta memberikan banyak tips dan nasihat untuk MLL4S bergerak dan saya dapati beliau berjiwa Ngo kerana amat prihatin dan berminat dengan kerja-kerja kemanusiaan. Pada hemah saya, Malaysia memerlukan gaya keunggulan Duta sebegini dan tidak seperti kelaziman diplomat yang hanya bersifat “too governmental and bureaucratic”. Ini sedikit sebanyak mampu memberikan imej Malaysia yang baik di mata dunia. Selain itu saya juga tertarik dengan idea Dato’ Duta yang mahu Malaysia menjadi hub kepada bantuan bencana dan kemanusiaan serantau manakala saya menambah Malaysia sewajarnya sudah sampai tahap mengeksport sukarelawan dan kesukarelawanan ke luar bagi memenuhi cita-cita dan citra Malaysia sebagai sebuah Negara maju menjelang 2020.

Rakyat Syria selalu dipuji dengan kebaikan dan kelembutan mereka. Umum mengetahui orang Arab berkarakter keras namun orang Syria sedikit berbeza. Mereka pemurah, mesra dan kuat beragama namun mereka sedang diuji oleh Allah dengan ‘khauf’ (ketakutan) dan ‘ju’’ (kelaparan). Sheikh Muhammad bin Sai’d al-Barudi dalam kitabnya Bilad as-Syam Ardhu ribath wa jihad wa Husa ila Yaumil Qiyamati menyebut beberapa keutamaan bumi Syam. Antara lain ialah bumi Syam adalah bumi Allah yang terbaik dan Dia (Allah) mengumpulkan hamba-hambaNya yang terbaik di sana berdasarkan potongan sabdaan Nabi dalam riwayat Imam Abu Daud,

“Hendaknya kalian menetap di Syam kerana sesungguhnya Syam adalah bumi Allah yang terpilih. Allah memilih hamba-hamba pilihannya menuju ke sana”.


Ujian yang Allah timpakan kepada penduduk Syam atau Syria yang mulia ini, kita amat yakini adalah ujian keimanan atau ibtila’ kerana kasih dan sayangnya Allah pada mereka.

Cahaya perdamaian antara kedua-dua toifah (puak) yang sedang bergaduh masih nampak samar sehingga Rundingan Damai Geneva 2 terpaksa ditangguhkan banyak kali. Lebih memburukkan dan menyedihkan keadaan adalah penglibatan kelompok yang selama ini kita sokong kerana kelantangan menentang Zionis hilang kredibiliti dengan mendokong kezaliman Bashar al-Assad. Siapa lagi jika bukan Hezbollah dan Iran. Saya masih bertanyakan pada diri mengapa Iran dan anak didiknya itu tidak bersama perjuangan rakyat Syria menentang Bashar bahkan berperang bagi pihak pihak Bashar membunuh majoriti pejuang mujahidin ahli Sunnah. Perlu diselitkan nota kaki di sini bahawa Mujahidin bermaksud pejuang-pejuang rakyat Syria tulen dengan menolak kumpulan-kumpulan garis keras yang mendatangkan banyak masalah seperti al-Qaeda dan Islamic State of Iraq and Syam (ISIS). Bagaimana Iran dan Hezbollah boleh menyokong Bashar yang beraliran sekular, nasionalisme, sosialis bahkan berdoktrinkan aqidah Alawiyyah Nushairiyyah. Alawiyah Nushairiyyah menurut Sheikh Abu Mus’ab as-Suri merupakan kelompok Syiah ekstrim yang menuhankan Ali dengan konsep hululnya (penyatuan tuhan dengan mahkluk). Sepatutnya rakan baik Iran dan Hezbollah adalah Mujahidin Syria dan bukannya Bashar!

Saya masih ingat ketika Amerika menekan Iran atas isu nuklear, saya ketika itu Naib Presiden Antarabangsa ABIM tidak teragak-agak bersama rakan-rakan Citizens International (CI) melancarkan kempen 'No Sanction & No War to Iran ' untuk mempertahankan Iran atas prinsip kemanusiaan, kedaulatan dan persahabatan. Namun lihatlah apa yang telah Iran lakukan kepada sahabat yang mempertahankan mereka satu ketika dahulu. Sudah tentu hati ini akan remuk dan hancur!.

Oleh kerana tindakan inilah yang menyebabkan majoriti Sunni tidak dapat menerima hakikat dan kenyataan ini. Lebih pelik ada pihak yang masih kagum dan menyokong pendirian Iran bahkan ada pula yang menghadiri upacara angkat sumpah Presiden Iran yang baru iaitu Hasan Rouhani atas nama hubungan diplomasi.

Saya selalu bertelingkah dengan para diplomat, adakah nyawa manusia lebih penting atau menjaga hubungan diplomasi? Saya amat faham akan kekangan yang dihadapi oleh Kerajaan dan para diplomat apabila berada dalam dunia diplomasi namun apabila kemuliaan insan iaitu nyawa manusia dipertaruhkan maka saya dan pejuang-pejuang karamatul insan sudah tidak dapat menyekat lagi empangan kemarahan dan kesabaran.

Syria di bawah pimpinan Bashar sudah kehilangan kedaulatan sebenarnya. Bashar hanyalah boneka Iran bagi mengekalkan pengaruh serantaunya. Hojjatul Islam Mehdi Taeb, sahabat baik Ayatollah Ali Khamenei jelas menyebut bahawa Syria adalah wilayah ke 35 Iran dan ia merupakan wilayah strategik kepada Iran. Taeb menambah, “If we keep Syria, we can get Khuzestan back too, but if we lose Syria, we cannot keep Tehran”. Ed Blanche, kolumnis majalah The Middle East membuat analisis menarik dalam lewat tulisannya Iran’s Foreign Legion. Iran menurut Blanche telah mengambil alih sistem keselamatan dan ketenteraan Syria walhal sistem ini merupakan ciri-ciri penting menjadikan sebuah Negara berdaulat. Apabila tentera asing yang mengawal sistem ini maka berakhirnya kedaulatan Syria walaupun ia masih ada pemerintah, garisan sempadan dan rakyat.

Hezbollah dan Al-Quds Force iaitu sayap rahsia Islamic Revolutionary Guards Corps (IRGC) merupakan dua sayap militari Iran yang bertindak saat ini sebagai Kementerian Pertahanan Syria dan menggantikan sekaligus peranan utama National Defence Force (NDF) dan Shabiha. Kekuatan militari ini diperkuatkan lagi dengan ketumbukan pejuang Iraq yang dibentuk oleh Iran ketika menentang Amerika tahun 2006 seperti Jaish al-Sha’bi, Liwa Abu Fadl al-Abbas, Kataeb Sayyed al-Syuhada dan Liwa Zulfiqar. Jaish al-Sha’bi sebagai contoh merupakan antara tulang belakang keselamatan regim Bashar pada ketika ini. Penglibatan Iran inilah yang menimbulkan kemarahan majoriti Sunni yang akhirnya perang saudara ini kelihatan dan dikaitkan langsung dengan perang sektarian Sunni-Syiah Imamiyyah walaupun ia sebenarnya bersifat politikal. Iran melakukan kesilapan besar hanya kerana semata-mata tamakkan wilayah pengaruh geopolitik. Tidak hairan ulama tersohor seperti Sheikh Yusuf al-Qaradhawi, Sheikh Ali as Sobuni dan Sheikh Kurayyim Rajih sudah hilang sangka baik kepada Syiah lantas mengisytiharkan tentangan terbuka mereka kepada Syiah walhal Sheikh Yusuf antara ulama yang terkehadapan mempromosi taqrib atau usaha merapatkan Sunni-Syiah sebelum ini untuk berhadapan dengan tantangan yang lebih besar.

Pejuang-pejuang syiah ini selain juga bertindak mempertahankan maqam cucu Nabi iaitu Saydatina Zainab dan mempertahankan sekutu politiknya, sebahagian mereka khuatir jika Syria jatuh ke tangan Mujahidin, maka Iraq akan menjadi sasaran seterusnya dan tidak mustahil Tehran adalah sasaran terakhir.


Saya secara peribadi di bawah kepimpinan Hasan Rouhani amat berharap Iran mengubah pendirian walaupun ia mungkin mustahil untuk diubah. Iran dan Hezbollah harus fokus serangan pada Zionis dan bukannya kepada Mujahidin Syria. Tindakan ini jika diubah pasti akan mempercepatkan pembebasan Palestin. Selagi mana mereka terus bersekongkol dengan Bashar, dunia tidak akan memaafkan mereka.
Rakyat Syria akan terus menderita dan kebanjiran pelarian akan terus berlaku. Kehadiran saya di bumi Jordan bersama tim MLL4S sekadar membantu apa yang terdaya bersama kolaborasi Ngo tempatan yang berkredibiliti iaitu Hilal Akhdor atau Bulan Sabit Hijau. Kehibaan dan kesedihan melihat kanak-kanak, wanita dan warga tua yang terpaksa menempuhi saatil usrah atau saat-saat sukar sedikit terubat apabila melihat kesungguhan anak-anak muda pelajar Malaysia di Jordan dalam membantu meringankan beban pelarian. Bermula daripada bantuan kecil-kecilan kini menjadi bantuan massa yang dikenali sebagai projek Tanginsan Syria di Bumi Jordan, Musa Nuwayri mengorak langkah bersama rakan-rakan pelajar terus melebarkan sayap membantu pelarian. Mereka berjaya menyewa sebuah lokaliti di Mafraq berdekatan sempadan Jordan-Syria dijadikan pusat operasi bantuan merangkap pusat pendidikan untuk anak anak pelarian. Begitu juga di Mu’tah, usaha yang digerakkan Hazmi Hanipa dan rakan-rakan pelajar membantu pelarian harus diberikan kredit dan dicontohi generasi muda.


MLL4S akan terus menggerakkan usaha bantuan kemanusiaan dengan memfokuskan Syria, Jordan dan Lubnan. Bersama layari facebook MLL4S di https://www.facebook.com/MLL4S.

Rujukan:

Abu Mus’ab as-Suri (2013) Rezi Nushairiyah (Ahlu as-Sunnah fi asy-Syam fi Muwajahati an-Nushairiyah wa as-Shalbiyyah wa al-Yahudi), Penerbit Jazera, Solo.

Ed Blanche (2013) Iran’s ‘Foreign Legion’, The Middle East, London.

Eskandar Sadeghi-Boroujerdi (2013) Head of Ammar Strategic Base: Syria is Iran’s 35th Province; if we lose Syria we cannot keep Tehran,http://iranpulse.al-monitor.com/index.php/2013/02/1346/head-of-ammar-strategic-base-syria-is-irans-35th-province-if-we-lose-syria-we-cannot-keep-tehran/, diakses Disember 2013.

Muhammad bin Sai’d al-Barudi (2013) Syam Bumi Ribath & Jihad (Bilad as-Syam Ardhu ribath wa jihad wa Husa ila Yaumil Qiyamati), Penerbit Jazera, Solo.


Tiada ulasan: