Rayuan untuk Syria
Isnin, Ogos 18, 2014
Kenangan Terindah
Catatan 19 Ogos 2014 / 22 Syawal 1435 H
Abu Qassim Kami Kehilanganmu
Bismillah…
Dua tahun ini aku kehilangan dua orang pemuda yang sering dianggap sebagai permata dambaan Sayyidina Umar al-Khattab. Mereka bukan hanya muda tapi berbakat besar seperti kata Novelis Jepun Haruki Murakami, “If you’re young and talented, it’s like you have wings”. Usia muda dan ‘talent’ merupakan dua sayap penting untuk seseorang insan bergerak lebih maju kehadapan. Namun kedua pemuda berbakat besar sudah meninggalkanku. Mereka dijemput ilahi dalam keadaan mengejut ramai sahabat handai di luar sana.
Aku amat rapat dengan anak-anak muda dan hampir saban minggu bertemu mereka memberikan ilmu, semangat dan pengalaman bagi mencetuskan inspirasi dan menyerlahkan potensi mereka. Terkadang aku banyak belajar dengan mereka. Pertemuan ini bertambah ligat apabila aku memegang ‘title’ Tokoh Belia Negara. Aku menganggap minatku untuk mencetak anak muda sebagai satu saham akhiratku untuk dipersiapkan ke medan juang sebagai mana Hasan al-Banna ditanya mengapa beliau tidak menulis buku lantas dijawabnya “wa lakin ualliful rijal” bahkan aku menulis rijal-rijal (pemuda-pemuda)! Minatku ini kuasah lagi dengan mendalami ilmu kerja belia dan komuniti di Durham University sekitar 2010 dan mendalaminya dengan ‘Youth Studies’ di Universiti Putra Malaysia (UPM) bermula Februari 2014. Aku sering menganggap anak-anak muda sebagai potensi yang harus diserlahkan dan tidak menganggap mereka sebagai ancaman, justeru ku abadikan kajian PhD dengan kajian Islamic Youth Development Model sebagai jawapan tambahan kepada model yang dibangunkan di Tufts University iaitu Positive Youth Development (PYD).
Aku sudah kehilangan Ahmad Ammar tahun lepas dan tahun ini aku dikejutkan dengan kehilangan Abu Qassim. 2 'A' yang jika digabungkan sebagai bateri mampu untuk terus kekal berkhidmat sebagai obor pada umat. Sukar menerima hakikat ini kerana baru minggu lepas aku berkolaborasi dalam Asean Youth Leaders Conference Majlis Belia Malaysia (MBM) membantu beliau yang diamanahkan sebagai ‘kepala kejobos’ persidangan di Hotel Grand Season Kuala Lumpur. Itu kali terakhir kulihat kelibat beliau yang sibuk mengatur dan mencaturkan persidangan sebesar itu. Aku tidak sempat menghadiri upacara penutup persidangan namun laporan yang kuterima daripada Presiden MBM, saudara Maliki sebentar tadi di teratak pengkebumian bahawa Abu sempat menitip ucapan bayangan perpisahan beliau di hadapan pimpinan utama belia Asia Tenggara dengan menyebut lebih kurang maksud, “…I’m not saying that I’m going to die but every man will die..”. Ucapan ini berlangsung seminggu sebelum beliau pulang ke hadratillah. Saya juga masih ingat sepanjang bulan ini saya banyak bertemu beliau kerana membantu dan mendokong beliau menjayakan persidangan tersebut. 26 Ramadhan 1435 H kami sempat berterawih dan bermoreh bersama sambil berbincang persiapan persidangan. Itulah borak-borak yang agak lama sambil beliau menunggu isteri tercinta Sadrina yang turun daripada Pahang untuk pulang beraya ke Seremban. Ia berlaku di Restoren Tomyam Batang Benar dan bila melintasinya setiap hari aku terbayangkan perbualan mesra tersebut kerana ia merupakan laluan utamaku dari rumah ke Bandar Nilai. Ketika mesyuarat Dewan Tertinggi MBM tanggal 12 Julai lepas Abu turut mempelawa aku untuk menumpang kereta beliau dari Seremban. Aku berpuas hati kerana di saat umur beliau yang berbaki aku diizinkan oleh Allah untuk berkomunikasi secara kerap dengan beliau.
Redup mata itu sudah ku renung sejak di Petaling Jaya beberapa tahun lalu. Seingatku tahun 2004 ketika turun malam tautan mesra pengenalan Persatuan Pelajar Islam Negeri Sembilan (PPINS), kuterlihat susuk tubuh Abu menghadiri dengan penuh minat. Aku tak ingat apa yang ku sebutkan pada malam itu tapi yang penting aku ajak mereka berbakti di Negeri Sembilan melalui PPINS dan aku amat ingat dengan renungan anak muda ini. Beliau kemudiannya menerima akad perjuangan ini. Abu membesar dalam perjuangan ini di hadapanku dan juga dihadapan seniornya aka zaujahku Norazla Abdul Wahab semenjak di SMKA Pedas dan PPINS sehinggalah Abu menerima jodohnya dengan gadis PPINS Sadrina yang juga rapat dengan bulatan kegembiraan kami. Mereka mengikut 'sunnah' kami dengan berkahwin sesama jemaah dan sesama negeri dengan andaian agar mudah berjuang dan mudah balik raya. Cuma kelebihan saya selaku jejaka Rembau menikahi gadis bijak Jelebu yang disebut dalam teromba sebagai,
"Kejolobak kojolobu, tuai padi tiga tangkai, kalau kono komat jolobu, tak mati badan berasai"
Semenjak itu beliau mendaki liku-liku perjuangan dan aku pernah tarik beliau untuk projek Grup Penjejak Tamadun Dunia (GPTD) untuk satu projek Negara yang aku sendiri lupa namun beliau tidak minat ke arah menjadi relawan. Beliau lebih berminat mengasah bakat beliau dalam kepimpinan dan siyasah sehingga bergandingan dengan saudara Faisal Abdul Aziz memimpin pergerakan pelajar Islam berpengaruh di Malaysia iaitu PKPIM. Beberapa ketika Abu hilang seketika dalam radar pertarbiyyahanku dan diasuh pula oleh sahabat-sahabat hebat yang lain seperti Azuan Effendy (sekarang Pegawai Besar Istana Negara) dan Saifullah Zulkifli (sekarang menceburi politik kepartian dan antara teraju utama dalam AMK).
Ketika di UIA Kuantan sekali sekala beliau menjemput ku berkunjung ke sana menyampaikan latihan dan ceramah. Kusedari sejak itu beliau mempunyai satu masalah yang sama seperti yang kualami, namun biarlah ia menjadi kenangan manis dan rahsia antara ku dan dia. Bakat Abu terserlah sehingga beliau sering kukagumi dengan pidato yang sentiasa bertenaga beliau dan sering tampil bergaya serta kasual. Dua perkara yang ku sering gagal untuk buat. Aku minat berpidato tapi tak sentiasa mempunyai pidato yang bersemangat dan kedua aku jarang suka tampil dengan gaya mutu dan keunggulan! Aku sering tampil bersahaja dengan pakaian kusut namun tidak pada Abu. Dengan gabungan kekuatan pidato, rupa dan penampilan yang kemas menjadikan beliau memiliki pakej impian sebagai pemimpin masa kini. Belia seperti kata-kata Dato' Saifuddin Abdullah merupakan pemimpin masa kini dan masa hadapan. ABIM merupakan gerakan Islam yang paling sedikit pengikut berbanding gerakan Islam yang lain yang ada di Malaysia namun ia amat sinonim melahirkan pemimpin-pemimpin masyarakat yang bertebaran di serata sektor alam. Aku percaya pada bilangan yang sedikit untuk membuat perubahan sebagaimana keyakinan Dr. Mahmud Rushdan, pimpinan pengasas Institut Antarabangsa Pemikiran Islami (IIIT) yang kutemui di Irbid, Jordan. Dengan membina hanya beberapa karakter anak muda sudah cukup menggegar pentas-pentas penting masyarakat. Abu antara yang diizinkan oleh Allah tergolong dalam bilangan kecil anak muda yang pernah menerima sedikit sentuhan daripadaku. Aku sentiasa ingin melihat ABIM diterajui oleh anak muda yang hebat, jawatan Naib Presidenku hanyalah transit sementara menunggu diisi oleh mereka.
Beberapa ketika ketika memimpin Majlis Belia Negeri Negeri Sembilan (MBBNS), aku membawa dan mendedahkan Abu dalam dunia pergerakan belia. Aku masih jelas ketika itu membawa Abu dan Azli (Setiausaha ABIM Rembau) bersama ketika merasmikan Mesyuarat Agung 4B Kawasan Jempol dan Abu sempat memohon izin berbicara dengan petah lagaknya bagaikan sebahagian perwakilan yang sah sedangkan beliau hanyalah pemerhati. Namun kepetahannya itu dikagumi dan ketika umur itu beliau sudah berani berbicara dengan penuh keyakinan yang mana aku sendiri tidak seberani itu untuk dilakukan di usia yang sama. Sebab itu anak muda dikagumi dengan semangat dan kepemudaannya!. Sheikh Abdullah al-Haddad, Sohib an-Naso'ih ad-Diniyyah wal Wasoya al-Imaniyyah turut menyebut bahawa Allah seolah-olah mengkagumi anak muda yang tidak rosak minda dan akhlaknya.
Ketika Abu muncul semula dalam radar perjuanganku, aku menarik beliau untuk bermula di akar umbi dengan menyertai kepimpinan ABIM di Rembau di mana aku bertindak selaku Naib Yang Dipertua di belakang Yang Dipertua al-Fadhil Ustaz Norazamir Alias(Timbalan Mufti Negeri Sembilan). Kehadiran beliau serba sedikit menajamkan jentera serangan ABIM Rembau yang dibarisi ramai pemain-pemain veteren berpengalaman. Beliau memang berasal dari Rembau dan merupakan pengundi Rembau. Namun faktor jarak yang jauh kerana belajar di UIA Kuantan memisahkan penglibatan aktif beliau.
Selepas memimpin ABIM Pusat selaku Exco, kemuncak karier alumni asuhan SMKA Pedas ini apabila dilantik menjadi Exco Majlis Belia Malaysia (MBM) dan banyak menyerlahkan potensi beliau ke pentas antarabangsa sehingga sejauh Australia dan Myanmar.Beliau amat bertuah kerana Exco MBM yang berumur di bawah 30 tahun sering dihantar mewakili negara dalam persidangan belia seantero dunia, dan Abu baru sahaja menginjak ke usia 28 tahun. Namun pertemuan di Bandar Seri Putra pada 8 Syawal iaitu 12 hari sebelum beliau menemui ajal beliau sebut secara jelas padaku bahawa beliau ingin memberikan laluan kepada orang lain dalam pemilihan MBM hujung tahun ini. Itu kata-kata yang masih jelas di corong telingaku menjadi seakan-akan ucapan perpisahan kepada dunia pergerakan belia! Ini juga merupakan sifat orang ABIM seperti beliau yang berebut-rebut menolak jawatan dan buka merebut jawatan.
Kelekaan dan keheninganku membelek buku di kedai buku Popular Nilai jam 8.55 malam dipecahkan dengan kejutan daripada zaujah dengan berita kematian beliau dilanggar lori di Gambang depan Universiti Malaysia Pahang (UMP). 10 Jun yang lalu, ku berada betul betul di perhentian bas yang meragut nyawa Abu ketika turun bas untuk menghadiri ‘talk’ untuk pelajar baru Pusat Asasi UIA di Gambang. Sebagai sebahagian kelemahan manusia, aku tidak menyangka 67 hari selepas itu bakal berlaku di situ satu peristiwa menyayat hati yang melibatkan juniorku di UIA.
Sungguh ia sebuah kehilangan untuk umat yang sukar digilap semula. Aku yakin obor perjuangan Nabi ini akan diteruskan dan berterusan didokong oleh panji-panji anak muda. Akan lahir lebih ramai anak muda seperti Nu’man Muqarrin yang bersemangat menyebut kepada Khalifah Umar al-Khattab selepas dipanggil mengadap, “Jika untuk mengumpulkan cukai, aku menolak. Namun jika untuk jihad fisabilillah, saya bersedia!”.
Legasi mu kami teruskan! Alfatehah buat adinda Abu Qassim, penyejuk mata ayahbonda. Sadrina, kamu harus bangga bersuamikan pejuang!
3.17 pagi ketika air mata mengalir deras dan gerimis di luar.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
3 ulasan:
Al Fatihah buat sahabat saya abu, Saya berjanji saya akan teruskan perjuanga bersama abg jufitri
Muzammil
Al-Fatihah buat adik iparku Abu Qassim..kak ayu doakan moga Abu tenang di sana..Aminn
Al-Fatihah...
Catat Ulasan