Rayuan untuk Syria

Rayuan untuk Syria

Khamis, September 11, 2014

Sidang Meja Bulat Belia dan Isu Jihad di Syria Anjuran GMM dan ABIM



KENYATAAN MEDIA BERSAMA
KUMPULAN ISIS MENYUBUR ISLAMOPHOBIA, MENJERAT BELIA


Global Movement of Moderates (GMM) dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengambil berat tentang perkembangan konflik yang sedang berlaku di Syria dan Iraq, terutama dengan kewujudan Negara Islam (IS) atau dahulunya dikenali dengan Negara Islam Iraq dan Syam (ISIS).

IS adalah gerakan ekstrim. Aktiviti-aktivitinya yang ganas jelas bertentangan dengan Islam. Manakala pengisytiharan khilafah daripada mereka memberi imej buruk kepada Islam di samping menyuburkan kembali Islamophobia di kalangan orang bukan Islam.

IS ditolak oleh ulama mu’tabar moden, termasuk Kesatuan Ulama Sedunia di bawah pimpinan Sheikh Yusuf al-Qaradhawi dan Sheikh Ahmad Raisuni. Mufti-Mufti, Ulama-ulama dan Pertubuhan-Pertubuhan Islam utama di Malaysia turut menolak perjuangan palsu IS yang mengganggu perjuangan sebenar mujahidin Syria

GMM dan ABIM prihatin dan tidak bersetuju dengan belia dan rakyat Malaysia yang menyatakan keinginan untuk berjuang di Syria bersama dengan IS. Malah dilaporkan ada sebahagian daripada mereka telahpun berada di sana dan ada yang telah terkorban.

Antara golongan belia yang dilaporkan terlibat adalah pelajar yang sedang melanjutkan pelajaran di Ireland dan Mesir, di samping pelajar di universiti tempatan. Mereka membuat keputusan terburu-buru dan tanpa berbincang dan mendapatkan izin daripada keluarga masing-masing. Sebahagian daripada mereka gagal memahami keutamaan dalam mempertimbangan keputusan mereka berjuang di sana.

Sheikh Muhammad Riyadh as-Saqfa, Ketua Ikhwanul Muslimin Syria telah menegaskan bahawa belia dan rakyat Malaysia tidak perlu ke Syria untuk berjuang kerana biarlah rakyat Syria sendiri berjihad menyelesaikan konflik bersenjata ini.

Bagi belia dan rakyat Malaysia yang prihatin, mereka boleh membantu meringankan beban rakyat, Internally Displaced People (IDP) dan pelarian Syria dengan bantuan kemanusiaan.

Justeru, GMM dan ABIM mengambil ketetapan:
- mengutuk IS sebagai gerakan ekstremis yang bukan dari ajaran Islam;
- menyeru belia dan rakyat Malaysia supaya tidak menyertai IS dan mana-mana badan ekstremis;
- menyarankan agar belia dan rakyat Malaysia yang prihatin menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Syria, Iraq dan sebagainya, melalui saluran-saluran yang sesuai;
- menyeru semua pihak di negara ini untuk bersama-sama menerangkan ajaran Islam yang sebenar,luas, bersepadu serta kontemporari dan mengekang penyebaran pendapat ekstremis agama, khususnya IS;
- menyeru kerajaan Malaysia meningkatkan peranannya di pentas antarabangsa dalam menyelesaikan konflik di Syria, Iraq dan sebagainya.


DATO’ SAIFUDDIN ABDULLAH
CEO GMM

JUFITRI JOHA
NAIB PRESIDEN ABIM

Tiada ulasan: