Rayuan untuk Syria

Rayuan untuk Syria

Isnin, November 24, 2014

Ucapan Aluan di Seminar Pemikiran Sheikh Muhammad Said Ramadan al-Buti 28 September 2014 / 3 Zulhijjah 1435 H

Assalamualaikum warahmatullah,

Segala puji bagi Allah Tuhan semesta alam serta selawat dan salam ke atas junjungan al-Mustafa S.A.W.
Yang berusaha Tuan Pengerusi Majlis,
Yang berbahagia Sohibus Samahah Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri, Mufti Wilayah Persekutuan,
Yang berbahagia Dato’ Hussamuddin Yaacob, Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf,
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian.

Learning of the Wise
Justice of the Noble
Prayer of the Pious
and Valor of the Brave

Ungkapan di atas merupakan motto Universiti Islam Antarabangsa Eropah yang pertama di Cordoba Sepanyol (Kopanski, 2002) yang menggambarkan kepentingan komponen peranan cendekiawan atau ulama’ dalam memastikan kejayaan sebuah pembangunan Negara. Tidak syak bahawa besarnya peranan cendekiawan Islam dalam menyumbang secara aktif dalam memandu kepada sebuah kebangkitan kegemilangan Islam pada zaman Andalus. Cendekiawan Islam akan terus memainkan peranan besar pada setiap zaman dan sewajar diletakkan di tempat terpenting dalam mencorak sesebuah pentadbiran Negara Islam.

“…sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hamba-Nya, hanyalah ulama…” (Faathir: 28). Said bin Jubair menyebut bahawa khasyyah adalah rasa takut kepada Allah yang menghalangi seseorang dari perbuatan dosa kepada-Nya (Ibn Kathir, 1997). Dr. Wahbah az-Zuhaili berkata, “Secara naluri, ulama adalah orang-orang yang mampu menganalisa alam fenomena untuk kepentingan hidup dunia dan akhirat serta takut ancaman Allah jika terjerumus ke dalam kenistaan. Orang yang maksiat hakikatnya bukan ulama. (az-Zuhaili, 1991 dlm Badrudin 1995).

Dalam riwayat Imam Ahmad, Nabi S.A.W bersabda bahawa Ulama adalah pewaris para Nabi dan para Nabi tidak mewariskan dinar dan dirham tetapi mewariskan ilmu (sebagai panduan hidup).


Takrifan di atas jelas menggambarkan kepentingan cendekiawan Islam atau ulama dalam strata kehidupan masyarakat dengan ciri-ciri istimewa seperti rasa takut kepada Allah, berilmu dan memahami realiti semasa berdasarkan nas-nas naqli.
Peranan cendekiawan Islam juga penting dalam memandu kebangkitan anak muda yang highly motivated untuk memperjuangkan Islam. Semangat anak muda pada tahap tertinggi harus diadun dan dipandu dengan hikmah para cendekiawan Islam seperti pepatah arab baina hamasatil syabab wa hikmah as syuyukh. Adunan ini mampu menangani generational gap antara generasi muda dengan generasi dewasa yang turut diwakili oleh para cendekiawan Islam dalam bergandingan bahu memperjuangkan agama. Sheikh Yusuf al-Qaradhawi pernah menyentuh isu ini dalam kitabnya as-Sohwah al-Islamiyyah tentang sekumpulan anak muda yang bersemangat memperjuangkan Islam tapi tidak dipandu oleh ilmu dan hikmah para cendekiawan.

Pengalaman Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) yang kaya dengan aktivis muda sentiasa menekankan kepada generasi muda tentang pendekatan untuk beriltizam dengan para cendekiawan Islam bagi mendapatkan panduan masa silam, kontemporari dan futuristik bagi memandu sebuah kebangkitan yang segar, bermatlamat dan terbaik pada zaman ini. ABIM meyakini pendapat Sheikh Abul Hasan Ali an-Nadwi bahawa sesuatu perubahan dan kebangkitan bermula dengan intelektualisme yang didokong sebahagian besarnya oleh para cendekiawan Islam. Oleh kerana itu, ABIM amat rapat dengan tokoh-tokoh cendekiawan Islam mu’tabar yang diiktiraf kejaguhan keilmuannya dalam dunia Islam seperti Sheikh Yusuf al-Qaradhawi, Sheikh Ali al-Qurahdhagi, Profesor al-Attas, Sheikh Ahmad Raisuni, Dr. Jasser Auda, Profesor Tariq Ramadan, Sheikh Yusof Bakhur, Almarhum Sheikh Abul Hasan Ali an-Nadawi dan lain-lain.


Sheikh Muhammad Said Ramadan al-Buti turut tidak terkecuali menjadi rujukan ABIM dalam banyak keadaan berkaitan perjuangan umat. Menurut Dr. Rumaizuddin (2014), Sheikh Said pertama kali berkunjung ke Malaysia ketika menerima jemputan ABIM sempena Muktamar ABIM ke-23 di Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi menyampaikan syarahan berkaitan ketamadunan. Kali kedua kunjungan pada 2005 atas jemputan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di mana saya turut berkesempatan bertemu bagi mendapatkan nasihat Sheikh di Hotel Nikko Ampang (sekarang Hotel Intercontinental). Saya akui bahawa Sheikh Said menggunakan laras bahasa yang tinggi yang agak sukar difahami bagi pengamal bahasa Arab komunikasi seperti saya, namun semangat untuk mengambil ilmu dan keberkatan tidak menghalang saya untuk kekal sehingga ke akhir perbincangan. Kali terakhir kunjungan sebelum Sheikh Said menghembuskan nafas terakhir pada 2010 di mana sekali lagi saya berkesempatan bersama mendengar kupasan beliau yang mana intinya beliau mempertegaskan kepentingan pendakwah di Malaysia mendalami ilmu Fiqh Sirah dan memperkukuhkan aspek kerohanian.

Oleh itu, pihak Akademi Intelektual Muda (AIM) yang baru sahaja ditubuhkan oleh sekumpulan aktivis ABIM tampil buat julung kalinya memperkenalkan dan mengenengahkan pemikiran Sheikh Said setelah pemergian Almarhum pada 21 Mac 2013 yang lalu. Usaha murni seumpama ini bertepatan dengan saranan Profesor Wan Mohd Nor (1989) sebagai salah satu strategi perlaksanaan budaya ilmu di Malaysia dan memperkenalkan para cedekiawan yang sepatutnya dirujuk dan didampingi oleh masyarakat khususnya generasi muda yang bersemangat untuk membangunkan agama, bangsa dan Negara. AIM komited untuk menganjurkan siri-siri Seminar Pemikiran Cendekiawan Islam seumpama ini bagi mempopularkan idea-idea dan pemikiran ulama silam dan kontemporari yang praktikal untuk menyelesaikan permasalahan umat selain memandu umat maju kehadapan. Selain itu, ia diyakini dapat memupuk generasi muda dan masyarakat mencintai ulama yang soleh seperti kata-kata hikmah Imam as-Syafie,

“Uhibbus as-solihin wa lastu minhum, la’alla an analu bihi as-syafa’ah…”
“Aku mencintai orang soleh walaupun aku bukan di kalangan mereka, aku berharap mendapatkan syafaat mereka..”


Sheikh Said Ramadan dipilih untuk siri Seminar Pemikiran Cendekiawan Islam yang pertama ini adalah kerana beliau merupakan tokoh intelektual awam atau public intellectual seperti yang istilah yang digunakan oleh Edward Said. Setelah satahun pemergian Sheikh Said, sumbangan besar beliau wajar diangkat agar warisan hebatnya dikenang dan dijadikan panduan oleh umat. Edward Said menyebut misi pencerahan intektual ialah to advance human freedom and knowledge. Peranan cendekiawan Islam seperti Sheikh Said adalah amat signifikan dalam membimbing umat memahami agama dan membebaskan mereka daripada belenggu kejahilan dan kekeliruan.

Peranan intelektual awam menurut Alan Lightman ialah,

“Speaking and writing for the public exclusively about your discipline and how it relates to the social, cultural and political world around it. Sometimes speak and write something far larger than the discipline about public issues”.
Sheikh Said yang berlatarbelakangkan pengajian formal syariah menulis secara menulis dan berbicara secara meluas bidangnya dan dikaitkan dengan suasana semasa umat daripada pelbagai aspek kehidupan. Sheikh Said juga turut menulis dan bersyarah di luar bidang kepakarannya sehingga menghasilkan hampir 70 karya ilmiah pelbagai disiplin ilmu Islam (Rashidi, 2014).

Seminar pada pagi ini dijangka akan mengupas fokus-fokus penting dalam kehidupan dan pemikiran Sheikh Said seperti kesan dan pengaruh Fiqh Sirah dalam perkembangan dakwah di Malaysia, isu pembinaan tamadun dan konsep jihad.

Sheikh Said turut tidak terlepas dengan kontroversi konflik perang saudara Syria sehingga mengundang kritikan ulama-ulama sezaman dengan beliau seperti Sheikh Ali as-Sabouni dan Sheikh Kurayyim Rajih berkenaan pendirian Sheikh Said yang kelihatan cenderung kepada pemerintah al-Assad. Sebagai insan yang lemah dan tidak berilmu, saya berpendirian untuk tawaqquf atau senyap dalam isu ini atas faktor sangka baik dan meyakini hikmah yang dipilih oleh Sheikh Said dalam isu ini. Penulis suka mengingatkan bahawa seperti kata-kata Imam Ahmad ibn Hanbal bahawa daging para ulama beracun dan sesiapa yang menghidunya akan mengalami sakit manakala sesiapa yang memakannya akan mati. Memadailah rijal-rijal sezaman dan sejaguh seperti Sheikh Ali as-Sabouni dan Sheikh Kurayyim yang memberikan kritikan-kritikan terhadap Sheikh Said dan yang paling penting masing-masing mempunyai hujah-hujah bersandarkan dalil-dalil dan mengambil kira faktor setempat yang lebih difahami oleh mereka sendiri. Namun begitu, dikatakan Sheikh Said telah menukarkan pendiriannya menyokong perjuangan rakyat Syria pada saat-saat sebelum beliau menemui Penciptanya, wallahua’lam.


AIM ditubuhkan bagi menyemarakkan kegiatan keilmuan dan keintelektualan di kalangan generasi muda dengan menumpukan kepada seminar pemikiran tokoh, penterjemahan karya-karya penting, penerbitan buku, bengkel aktivis intelektual, diskusi ilmiah dan menjadi hos kepada para cendekiawan Islam dan bukan Islam ke Malaysia bagi berkongsi idea-idea dan ilmu segara kepada masyarakat.

Pihak AIM dan ABIM ingin merakamkan ucapan terima kasih atas kerjasam semua pihak seperti Karangkraf, Lembaga Zakat Selangor, Majalah I, Grup Tafaqquh Anak Muda Nilai, Al Ansar Group, Akademi Denai Hati, Malaysia Life Line for Syria, Sinar Harian dan Grup Penjejak Tamadun Dunia dalam menjayakan program penting seumpama ini.

Saya turut ingin menyampaikan salam Presiden ABIM Tuan Haji Amidi Abdul Manan yang tidak berkesempatan untuk hadir kerana mempunyai komitmen dalam program lain.

Terima kasih dan wassalamualaikum warahmatullah.

JUFITRI BIN JOHA
Pengerusi AIM & Naib Presiden ABIM

Dewan Kompleks Karangkraf, Shah Alam

Rujukan:

Alan Lightman (1999) The Role of the Public Intellectual, http://www.mit.edu/~saleem/ivory/epil.htm. (Diakses pada 26 September 2014).
Ataullah Bogdan Kopansky (2002) Religion & Walfare: The Earliest Period of Spread of Islam in Europe. Kuala Lumpur: Muzium Kesenian Islam.
Ibn Kathir (1997) Tafsir al-Quran al-Azim. Beirut: Dar Ihya’ at-Turath al-Arabiyy.
K.H. Badruddin Hsubky (1995) Dilema Ulama Dalam Perubahan Zaman. Jakarta: Gema Insani Press.
Koleksi Kertas Kerja Seminar Pemikiran Syeikh Muhammad Said Ramadhan al-Buti Anjuran Akademi Intelektual Muda (AIM) dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) 2014. Belum diterbitkan.
Wan Mohd Nor Wan Daud (1989) Budaya Ilmu Konsep, Prasyarat dan Perlaksanaan di Malaysia. Kuala Lumpur:Nurin Enterprise.

Tiada ulasan: