Rayuan untuk Syria
Isnin, November 24, 2014
“One Man’s Terrorist Is another Man’s Freedom Fighter”
Oleh: Jufitri bin Joha, Naib Presiden ABIM
Majalah al-Ustaz Volume 03 Bilangan 30
“One man’s terrorist is another man’s freedom fighter” begitulah perbendaharaan daripada kata-kata lama dunia kewartawanan. Kata-kata ini jelas menerangkan bagaimana seseorang individu digambarkan atau dipersepsikan oleh pihak media khususnya para wartawan dan jawatankuasa editorial sesebuah media. Oleh itu, tidaklah menghairankan jika media Zionis dan media Barat pro-Zionis melaporkan aspek yang berat sebelah dan salah terhadap perjuangan rakyat Palestin. Ini adalah kerana media merupakan senjata yang amat ampuh untuk membentuk persepsi masyarakat dunia terhadap konflik Palestin-Israel. Kita sedia maklum bahawa persepsi dibina atas tanggapan yang salah dan tidak berdasarkan fakta sebenar.
Menurut Krishna, Nancy dan Douglas (1993) dalam lewat makalah mereka The Evil Empire Revisited menyebutkan bahawa media Barat khususnya di Amerika memainkan dua peranan besar iaitu pertamanya membentuk ‘public opinion’ dan keduanya mempengaruhi keputusan pembuat dasar berkaitan khusus dengan dasar luar Amerika. Justeru tidak hairanlah jika dasar luar Amerika banyak berpihak membela keganasan Zionis kerana salah satu penyumbang terhadap pendirian ini dibentuk oleh media-media utama Barat seperti CNN, FOX, CBS dan lain-lain. Media-media ini juga ternyata membentuk pendapat umum rakyat Amerika sebagai contoh di mana rakyatnya sekitar 80 peratus tidak pernah mengembara keluar negara bahkan ada yang tidak pernah keluar dari negeri mereka sendiri dan hanya bergantung kepada media-media tersebut untuk mendapatkan berita konflik Palestin-Israel. Dalam kes ini sudah tentu HAMAS telah dikambinghitamkan dan mendapat imej yang amat negatif di mata rakyat Amerika dan dunia. Namun dalam dunia media sosial yang berkembang pesat ini, persepsi tersebut ternyata berrjaya ditumpulkan.
Umum turut sedia maklum bahawa kebanyakkan konglomerat media utama dunia dikuasai sepenuhnya oleh puak Yahudi yang sebahagian besarnya amat pro-Zionis yang terus menerus memberikan imej yang negatif terhadap perjuangan menuntut kebebasan oleh rakyat Palestin. Mereka menjustifikasikan setiap serangan Zionis terhadap Gaza khususnya sebagai ‘self-defence’ dan ‘pre-emptive strike’ untuk mempertahankan ‘kedaulatan’ Negara haram mereka. Penganalisis politik Asia Barat Dr. Maszlee Malik mengumpamakan konflik Palestin-Israel ini seumpama seorang pencuri mencuri sebuah rumah lalu mengisytiharkan rumah tersebut sebagai rumah mereka dan menganggap tuan rumah sebagai perampas apabila tuan rumah menuntut rumah mereka semula. Dalam kes ini media Barat dan Israel berjaya memberikan imej rakyat Palestin sebagai perampas rumah. Pendirian dan peranan besar yang dimainkan oleh pemilik rangkaian konglomerat media terbesar dunia yang digelar sebagai ‘A Friend of Israel’ iaitu Rupert Murdoch banyak mempengaruhi gaya pelaporan media-media milik beliau di Australia, United Kingdom dan Australia yang cenderung membela Israel dan kejahatannya terhadap Palestin. Atas ‘jasa besar’ Murdoch ini, Komiti Yahudi Amerika (AJC) pernah menganugerahkan ‘National Human Relations Award’ selepas hanya seminggu 1400 rakyat Palestin terbunuh pada operasi Israel terhadap Gaza pada Mac 2009. Dalam ucapan penganugerahannya, beliau mempertahankan perjuangan Israel sambil menyifatkan rakyat Palestin sebagai ‘Cold-Blooded Killer’ yang menolak perdamaian dan kebebasan. Saya mengenali kehebatan legasi media Murdoch ketika menghadiri kursus kepimpinan di Australia kerana Murdoch lahir di Melbourne. Saya terfikir bagaimana Murdoch mampu meluaskan empayar perniagaan medianya dengan memiliki media-media penting seperti FoxTv, New York Post dan Wall Street Journal di Amerika, The Sun dan The Times di United Kingdom dan The Australian di Australia yang sudah tentu membawa fikrah fikrahnya yang pro-Zionis dan sarat dengan kebencian terhadap rakyat Palestin.
Menurut Tuan Haji Ahmad Azam Abdul Rahman, Penolong Setiausaha Agung Union of Ngos in the Islamic World (UNIW), media pro-Zionis juga melabel pihak yang menyokong perjuangan Palestin dan anti Zionis sebagai anti semitisme yang seolah-oleh membawa kepada konotasi dan imej negatif.
Isu Palestin berkait rapat dengan perjuangan umat Islam. Di Palestin terletaknya tanah suci yang menjadi rebutan oleh tiga agama termasuk Islam, justeru penulis cuba menyorot ringkas tentang pandangan stereotype dan salah terhadap Islam itu sendiri. Ulasan berkenaan perkara ini oleh Noor Adzrah (2012) amat menarik dalam makalah beliau Covering Islam: Stereotypes and Misconceptions in the Media. Beliau menyorot pertembungan antara Islam dan Barat bermula sejak zaman Nabi dan berterusan pada zaman moden selepas insiden 911 di New York. Media media Amerika seperti The New York Times, The Washington Post , Time, Newsweek, CNN, NBC dan lain lain banyak melaporkan yang selalunya negatif terhadap dunia Islam. Selepas insiden 911, banyak pertubuhan Islam disenaraikan hitamkan termasuk HAMAS dan dipaparkan oleh media sebagai pertubuhan pengganas.Akibatnya pertubuhan-pertubuhan Islam disekat dan dibekukan aset-aset mereka diseluruh dunia. Pertubuhan-pertubuhan ini turut dilabel oleh media kebanyakkannya sebagai ‘Islamic Terrorist’, ‘Muslim fundamentalist’, ‘Wahabi zealots’, ‘Sunni bomber’ dan ‘Islamic suicide bomber’. Label-label yang dimainkan oleh media ini serba sedikit memberi kesan bagaimana masyarakat dunia memandang Islam dan perjuangan rakyat Palestin.
Noor Adzrah menambah lagi bahawa serangan terhadap keganasan Israel dipaparkan oleh media utama dunia sebagai golongan pengganas dan mengamalkan amalan terror. Jika seorang atau dua sahaja rakyat Israel yang tercedera atau terbunuh maka ia akan tersiar sebagai ‘headline’ di dada dada akhbar mereka berbanding hampir 2000 korban rakyat Palestin dalam perang terbaru 2014 hanya dianggap biasa bagi mereka. Bagi 2000 rakyat Palestin yang terbunuh baru baru ini tidak ada ‘headline’ dan tidak ada kenyataan media segera daripada pihak White House. Bagi mereka hanya nyawa mereka sahaja bernilai manakala nyawa selain yahudi dianggap tidak bernilai seperti binatang. Jika adapun wartawan media Barat yang melaporkan secara jujur seperti Jeremy Bowen, maka suara jujur wartawan BBC ini disenyapkan bahkan ditarik keluar daripada Gaza. Jeremy Bowen hanyalah melaporkan yang benar iaitu pihak Hamas tidak menjadikan orang awam Palestin sebagai perisai manusia apabila berhadapan dengan tentera Zionis. Seagresif mana usaha untuk menutup suara kebenaran seperti ini lambat laun kebenaran akan sirna jua.
Tun Mahathir Mohamad pernah dengan tegas menyifatkan media Barat dalam menyikap orang Islam sebagai “…perbuatan ‘simple’ mempertahankan diri oleh rakyat Palestin pun dipaparkan media Barat sebagai pengganas Muslim.” Justeru untuk melawan dakyah dan propaganda media Barat dan Israel dalam menjustifikasi tindakan harus ditentang secara berterusan oleh wartawan-wartawan rakyat di seluruh dunia dengan menyebarkan fakta yang sebenar melalui media media sosial yang amat luas sempadannya. Dunia sudah mula sedar dan usaha harus dipertingkatkan secara berterusan untuk memecahkan dominasi media Barat ini sekaligus memenangi sebahagian besar pandangan umum masyarakat dunia terhadap kekejaman Zionis.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan