Rayuan untuk Syria

Rayuan untuk Syria

Isnin, November 24, 2014



OLEH: JUFITRI BIN JOHA
Naib Presiden ABIM
Majalah I Vol 145


Saat ini genap 3 tahun 6 bulan konflik dan perang saudara Syria berlarutan. Tiada tanda tanda bahawa perang ini akan tamat dan harapan rakyat Syria untuk kembali hidup ceria seperti sedia kala seakan-akan musnah. Masa depan yang tidak menentu dan dikhuatiri akan terus berlarutan sebagaimana drama perang saudara di Lubnan yang berterusan selama 15 tahun. 6.5 juta rakyat Syria menurut anggaran Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) menghadapi nasib yang tidak menentu apabila terperangkap di dalam Syria semenjak perang meletus.

Perang saudara ini diburukkan lagi dengan kemunculan Islamic State in Iraq and Syria (ISIS) atau Islamic State of Iraq and Levant (ISIL) yang bukan sahaja memerangi tentera Bashar al-Assad bahkan memerangi kelompok yang tidak setuju dengan ideologi keras mereka termasuklah Free Syrian Army (FSA) yang berjuang semenjak awal konflik. Kemunculan ISIS secara mendadak di Syria khususnya menjadi a big question mark yang sebenarnya melambatkan kemenangan perjuangan tulen rakyat Syria yang dahagakan keamanan. Tiada siapa yang dapat menduga dengan tepat siapakah sebenarnya di sebalik kemunculan ISIS persis seperti kemunculan Taliban di Afghanistan ketika Mujahidin sudah di ambang kemenangan dan kuasa. ISIS bermula di Iraq menentang penjajahan Amerika di Iraq dan dominasi Syiah yang dianugerahkan kuasa memerintah oleh Amerika. Ketua ISIS Abu Bakr Baghdadi telah melebarkan sayap ISIS dengan mengisytiharkan penubuhan ISIS di Syria pada 8 April 2013 dan mengisytiharkan penubuhan khilafah pada 29 Jun 2014 dengan beliau bertindak sebagai khalihah.

Menurut Maszlee Malik dan Syarafuddin Sulaiman, ISIS beraliran salafi jihadi yang merupakan serpihan kumpulan radikal al-Qaeda yang berpengkalan di Afghanistan. ISIS merupakan kumpulan far right yang jauh lebih radikal dan ganas daripada al-Qaeda sendiri. Golongan takfiri ini sanggup mengkafirkan kumpulan mujahidin tulen yang lain di Syria. Ini mengingatkan kita kepada kemunculan kumpulan khawarij pada zaman khilafah sahabat yang terkeluar daripada aliran utama Islam iaitu Ahli as-Sunnah wal al-Jamaah yang sentiasa wasatiyyah iaitu adil dan tidak melampau. Masyarakat dunia Islam dan Malaysia harus sedar hakikat sebenar perjuangan yang di bawa oleh ISIS adalah bathil dan tidak mewakili pendirian majoriti umat Islam jika tidak akibatnya mereka akan terpedaya dengan ‘Islamic state’ yang disalahgunakan oleh mereka. Penulis setuju dengan Sughra Ahmad, Penyelidik di Markfield Institute of Islamic Foundation United Kingdom bahawa ISIS sewajarnya dijenamakan sebagai UnIslamic State kerana banyak mengelirukan masyarakat Islam.

Maka yang jahil atau menganut fahaman radikal, maka berbondong-bondonglah mereka yang mendokong dan mempertahankan ISIS secara melulu termasuk tindakan menyembelih tawanan dan memuatbaikkan dalam youtube dengan visual high definition yang menggemparkan dunia. Penulis juga amat bersetuju Dr. Hafidzi Md Noor ketika muncul bersama-sama penulis di rancangan Analisis Awani bahawa jika benar ISIS membawa ajaran Islam yang murni, maka tindakan mereka akan mengikut jejak langkah Nabi S.A.W dan Sultan Salahuddin al-Ayyubi yang memelihara nyawa tawanan apatah lagi untuk menyembelih.

Namun begitu ISIS berjaya menarik minat sebahagian kecil anak muda khususnya dari Eropah, Arab Saudi termasuk Malaysia sendiri untuk mengangkat senjata di Syria!. ISIS dianggotai lebih ramai oleh warganegara luar berbanding rakyat Syria sendiri sedangkan jika mengikut perjuangan sebenarnya rakyat Syria bahawa mereka tidak perlukan pun bantuan tenaga luar cukup dengan mereka menyelesaikannya sendiri seperti mana yang ditegaskan oleh Ketua Ikhwanul Muslimin Syria Sheikh Muhammad Riyadh as-Saqfa. Pandangan ini juga amat sinonim dengan pergerakan HAMAS di Palestin yang turut tidak mengalu-alukan sebarang bantuan tenaga luar untuk menghadapi Zionis, cukup sekadar menghulurkan bantuan kemanusiaan dan membina semula Gaza yang sudah musnah. Dalam makalah Responding to the Islamic’s State Foreign Fighters: Retribution or Rehabilitation menyebut bahawa terdapat sekitar 12 000 pejuang asing bersama ISIS di mana turut melibatkan rakyat Britain. Bayangkan apabila perang tamat dan mereka pulang ke Negara masing-masing dengan ideologi ISIS, sudah tentu ianya mengancam ketenteraman awam.

Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia di bawah kepimpinan Sheikh Yusuf al-Qaradhawi dan Naibnya Sheikh Ahmad Raisuni telah mengisytiharkan Khilafah ISIS di Syria dan Iraq tidak sah malah bercanggah dengan prinsip agama. Pandangan Kesatuan Ulama ini adalah pandangan mu’tabar atau yang diiktiraf dalam dunia Islam sewajarnya tidak ditolak dan mahupun diperlecehakn oleh pendokong-pendokong ISIS. Sesunnguhnya dakwaan Khilafah ISIS adalah bathil dan tiada asas. Selain itu
Kesatuan Ulama berhujah bahawa tiada keperluan untuk menubuhkan Negara Islam yang baru kerana Negara-negara Islam sudah sedia tertubuh. Mengisytiharkan penubuhan sesuatu Negara adalah hak ummah dan bukannya oleh ISIS yang tidak pun mendapat mandat ummah. Selain itu Kesatuan Ulama berhujah bahawa Jihad bukan fiqh individu di mana seseorang itu boleh membuat keputusan sendiri untuk keluar mengangkat senjata di Syria tetapi ia merupakan fiqh jamaah di mana kerajaanlah yang bertanggungjawab mengsiytiharkan jihad dan menghantar pasukan tentera ke sesebuah medan pertempuran

Seorang lagi ulama mu’tabar Sheikh Ben Bayyah yang memimpin Majlis Hukama turut menolak dan menyanggah ISIS yang menyebut Islam mendokong keganasan dan penubuhan Khilafah secara paksaan. Sheikh Ben Bayyah turut menyeru agar idea dan hujah ISIS dipatahkan secara intelektual kerana jika gagal berbuat demikian maka idea yang sama akan terus muncul semula dengan jenama yang berbeza. Sheikh Ali Jumuah mantan Mufti Mesir turut bersepakat dalam hal menolak keabsahan ISIS.

Namun sayangnya sebahagian kecil masyarakat kita menolak pandangan para cendekiawan yang takutkan Allah ini atas pelbagai alasan sedangkan fatwa Kesatuan Ulama dan ulama tersebut dibuat berdasarkan manhaj ilmu dan fatwa yang benar.

Selain daripada faktor pembulian Barat terhadap dunia Islam, tidak dinafikan bahawa kewujudan ISIS adalah tindakbalas terhadap kelemahan Pertubuhan Kerjasama Negara Islam (OIC) dan kegagalan Negara Arab untuk menamatkan penderitaan rakyat Palestin, Syria dan Iraq. Ramai Umat Islam yang kecewa dam tidak tahan melihat senario ini berterusan maka membuat keputusan sendiri tanpa berdasarkan ilmu dan fiqh keutamaan maka mereka terus masuk ke medan perang dan tersalah pula langkah dengan menyertai ISIS. Ini turut melibatkan sebahagian kecil belia Malaysia.

Keutamaan belia Malaysia ialah menuntut ilmu dan memperkasakan ekonomi dan teknologi bagi membuat persiapan jangka panjang bagi menamatkan segala kezaliman yang berlaku di dunia Islam dan dunia amnya dengan membawa kepimpinan keamanan. Tanggungjawab penting Belia dan rakyat Malaysia menurut Mufti Wilayah Sahibus Samahah Dr. Zulkifli al-Bakri ialah membantu meringankan beban rakyat, Internally Displaced People (IDP) dan pelarian Syria dengan bantuan kemanusiaan. Secara ringkas, belia dan masyarakat boleh menyatakan simpati dengan membantu rakyat Syria melalui usaha-usaha bantuan kemanusiaan.

Golongan belia kini amat terdedah kepada media sosial yang menjadi medium rekrut utama kepada kumpulan IS. Perbalahan dan juga provokasi di media massa juga turut meresahkan sehingga terkeluar daripada norma dan batas adab sebagai manusia yang bertamadun dan berakhlak. Kata-kata ancaman kepada institusi-institusi Negara dan juga sosok-sosok yang berpengaruh juga merupakan suatu perkara yang perlu dianggap serius serta perlu ditangani dengan segera.

Kewujudan ISIS secara dasarnya menyemarakkan lagi Islamophobia di kalangan masyarakat Barat. Ia turut juga merosakkan masa depan belia yang keutamaannya sepatutnya mempersiapkan diri dengan ilmu dan skil skala tinggi bagi membangun peradaban Negara sekaligus membebaskan seluruh dunia Islam daripada belenggu peperangan, kejahilan, kemiskinan dan kemunduran pada jangka masa panjang. Bila umat Islam menguasai ilmu dan teknologi serta memimpin dunia maka akan sirnalah kegelapan dan timbullah cahaya keamanan.

Tiada ulasan: