Rayuan untuk Syria
Isnin, Disember 01, 2014
Jufitri Menjadi Kolumnis Muslim Teens Bagi Mendekati Remaja
Bersama Abang Ju
Tokoh Belia Negara dan Asean 2014
Salam perkenalan rakan-rakan semula. Tujuan penulisan bukan kerana nama tetapi beban amanah untuk mencetuskan inspirasi sekaligus menyerlahkan potensi generasi muda yang sering terpendam dan ditenggelamkan oleh sesetengah golongan dewasa yang sering menganggap golongan muda sebagai beban dan bukannya aset berharga. Bahkan terkadang mereka dianggap sebagai ancaman yang boleh menggugat keselesaan ‘status quo’ yang sedia dikecapi. Sering kali golongan belia mengadu bahawa mereka sukar mendapat tempat di institusi-institusi masyarakat seperti JKKK, Masjid dan lain-lain kerana mereka juga punya cita-cita dan aspirasi untuk sama-sama membangunkan masyarakat dan umat.
Penganugerahan tertinggi pencapaian belia di peringkat Asia Tenggara baru-baru ini di Brunei Darussalam iaitu Asean Youth Award benar-benar menginsafkan saya bahawa kejayaan ini bukan sekadar anugerah tetapi ia datang dengan tanggungjawab untuk melatih seramai mungkin generasi muda Malaysia lahir sebagai pemimpin dunia mentality bertaraf kelas pertama. Benarlah kata-kata pepatag Inggeris, “Success is not just about what you accomplish in your life, it’s about what you inspire others to do”. Ini tugasan berat saya untuk turun ke bawah sekerap dan sebanyak mungkin untuk bertemu generasi muda mencetuskan inspirasi dan menyerlahkan potensi mereka. Sebenarnya ramai generasi muda yang berbakat besar cumanya terkadang mereka alpa dan dilalaikan dengan dunia yang bersifat menipu. Di tengah-tengah kelalaian ini mungkin cetusan inspirasi mampu untuk memberikan sentakan segera akan mereka mengubah kompas kehidupan agar tepat menuju terus ke utara kejayaan.
Saidina Ali bin Abi Tolib menyebut, “Manusia semuanya tidur bila mereka menemui ajal barulah mereka terjaga”. Terjaga ketika di ambang maut sudah tidak bermakna, namun terjaga di pertengahan jalan masih mampu untuk mengatur rentak semula bak kata orang putih “better late than never”. Saya sempat bersembang dengan saudara Nazri Yusof yang turut menerima anugerah bersama-sama saya di Brunei namun beliau mewakili pertubuhan belia terbaik Malaysia iaitu Majlis Belia Felda Tenggaroh 2 (MBFT2), beliau sebut pada saya lebih kurang, “Bang saya umur 34 tahun ini barulah sambung degree di UTM Johor!”. Saya sebut pada Nazri, “takpe Nazri, proses pembelajaran kita tidak mengira umur, belajar ni dari buaian sehinggalah ke liang lahad”.
Nazri merupakan sebuah lagi gambaran generasi muda yang tersedar di tengah-tengah kehidupan lebuhraya kehidupan yang berazam untuk mengubah nasib diri dan masyarakat bak kata pepatah Melayu, “Sesat di hujung jalan balik ke pangkal jalan”. Beliau nekad pulang ke Mersing setelah bertahun merantau di negeri orang. Dengan berbekalkan azam dan tekad serta tawakkal kepada Allah beliau mengambil alih Majlis Belia Felda Tengggaroh 2 (MBFT2) sehingga berjaya memacu persatuan belia yang hampir mandom ini menjadi persatuan yang dinobatkan sebagai persatuan terbaik di peringkat Nasional dan diiktiraf di peringkat Asia Tenggara. Beliau menghakupayakan MBFT2 dengan beberapa projek pertanian yang akhirnya mampu mengukuhkan ekonomi persatuan bahkan menggajikan beberapa staf persatuan.
MBFT2 juga berjaya memandirikan ekonomi jawatankuasanya dengan menganugerahkan beberapa projek ekonomi pertanian bagi memperkukuhkan sara hidup AJK MBFT2 bagi memberikan fokus membangunkan belia setempat. MBFT2 tidak lagi menoleh ke belakang, mereka terus mara sehingga sudah mempunyai beberapa aset sendiri pejabat sendiri, taman permainan kanak-kanak, balai aktiviti sehinggalah beberapa ekar tanah yang ditanam dengan tanaman kontan kelapa sawit dan nenas yang membawa hasil pulangan yang lumayan kepada persatuan dan ahlinya. Bayangkan jika kita mempunyai setiap daerah satu persatuan belia seumpama MBFT4 yang menjadi ‘the conscience of the youth and society’ maka kita akan melihat masa depan yang gemilang untuk Negara dan umat.
Saya amat bersetuju dengan Nazri apabila beliau menyebut, “Bang sampai bila persatuan belia harus meminta-minta, kita harus ada kekuatan ekonomi sendiri bahkan sampai satu tahap persatuan belia seperti kami pula mampu memberikan sumbangan kepada pelajar-pelajar sekolah setempat untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti luar”. Kata-kata ini membuktikan bahawa persatuan beliau mampu berdiri sendiri tanpa mengharapkan bantuan kewangan kerajaan sebagai sumber kewangan utama kerajaan. Persatuan belia seperti MBFT2 mampu memadamkan mitos bahawa tiada peruntukkan kewangan maka tiada aktiviti, bila tiada aktiviti maka akan terkubur sebuah persatuan tersebut.
Saya yakin jika lebih ramai generasi muda terinspirasi dengan kejayaan saya dan MBFT2 pimpinan Nazri maka lebih ramai yang akan menggerakkan persatuan belia di lokaliti masing-masing sekaligus memperkukuhkan sisi-sisi pembangunan masyarakat untuk menuju kepada gerbang masyarakat maju menjelang tahun 2020.
Saya mengharapkan agar saya dan MBFT4 dapat menyusur ke akar umbi pelusuk negeri dan kampung untuk berkongsi anugerah kejayaan dan cetusan inspirasi ini bagi menggerakkan agenda pembangunan dan penghakupayan.
InsyaAllah kesempatan kolum Muslim Teen ini, saya akan gunakan untuk perturunkan ilmu, pengalaman, idea, kemahiran dan aspirasi buat pedoman rakan-rakan pembaca untuk terus maju jaya dalam kehidupan dunia dan akhirat.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan